Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 25 hari diterbitkan

KOLUM | Membangkit peranan penulis

KOLUM | Novel Animal Farm karya George Orwell sering dijadikan contoh kritikan terhadap masyarakat. Untuk konteks itu, di negara ini karya paling hampir dengan tulisan Orwell ialah novel Tikus Rahmat (1963) oleh Hassan Ibrahim, Sidang Serangga (1990) oleh Pak Sako dan Maharaja Beruk dan Beruk-Beruk Lainnya (1988) oleh Yahaya Ismail.

Sukar untuk karya tersebut dijadikan contoh perbincangan tentang peranan sastera membangunkan masyarakat. Hal itu kerana masyarakat kita kurang terdedah dengan karya berkenaan.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang antara ahli politik yang gemar menggunakan watak binatang dalam memberi kiasan politik. Bezanya ialah, dia tidak menulis novel walaupun banyak buku yang ditulisnya.

Dia seorang pemidato hebat. Maka tidak dapat dinafikan, ucapannya menjadi peluru berbisa kepada pesaing politiknya.

Dalam konteks popular, masyarakat kita mungkin lebih hampir dengan YouTube dan filem berbanding buku.

Masyarakat kita lebih gemar menonton filem berbanding membaca apatah lagi membaca novel bermutu tinggi. Sedangkan, membaca adalah acara yang membangunkan bangsa berfikir.

Bangsa yang maju ialah bangsa yang berfikir.

Masyarakat kita lebih suka mendengar ceramah berbanding membaca karya sastera yang mencabar pemikiran. Masyarakat kita selesa menjadi penonton - disuapkan dan didendangkan.

Buat penonton rasa benci

Menonton filem tidak boleh disamakan dengan membaca buku walaupun kadangkala sesuatu skrip filem berasal daripada sumber yang sama. Pengalaman membaca jauh lebih bermakna berbanding pengalaman menonton filem atau mendengar ceramah.

Membaca buku ibarat berdialog dengan penulis. Menonton filem pula, emosi penonton biasanya cuba dikawal. Sama seperti mendengar ceramah atau pidato.

Salah satu filem Allahyarham P Ramlee yang mengkritik politikus ialah Ali Baba Bujang Lapok.

Dalam filem itu P Ramlee menggunakan kostum koboi walaupun wataknya ketua penyamun.

Dia juga memperagakan kostum golongan profesional seperti hakim, peguam, pegawai, peniaga dan sebagai. Ia merupakan idea yang berani dan kreatif P Ramlee.

Memang mentaliti masyarakat biasa mengandaikan penyamun atau politikus jahat ini dengan penampilan kotor, kasar dan buruk seperti watak Jack Sparrow dalam filem Pirate of Caribbean.

Kadangkala karakter antagonis dibentuk cara lakonannya yang mempengaruhi penonton membenci.

Antara pelakon yang berjaya membawa watak antoganis dengan berkesan ialah Salleh Kamil dan Mahmud June. Apabila mereka berlakon, penonton telah mempunyai perspektif negatif. Itu watak jahat akan berdepan hero atau wira.

Ia juga ada kaitan konsep wira dalam pemikiran masyarakat. Wira dalam karya sastera Melayu berasaskan kedudukan, kuasa dan penampilan luar biasa. Seperti Hang Tuah yang dikatakan tampan, gagah dan menawan.

Seperti juga filem Musang Berjanggut arahan P Ramlee yang merupakan karya seni sebagai kritik sosial. Watak-watak jahat dalam filem itu terdiri daripada raja dan pembesar negeri yang dimuliakan rakyat.

Misalnya watak berserban paling besar, biji tasbih di tangan dan ucapannya paling kudus. Watak-watak penjahat itu semuanya dipandang mulia pada mata masyarakat.

Sebagai pembawa bencana

Hakikatnya ukuran jahat atau baik seseorang adalah atas nilai perbuatan, sedangkan kita selalu menghukum pada yang zahir. Ia berlaku ketika dunia sekarang dipenuhi dengan penzahiran palsu dan sandiwara.

Misalnya untuk membantu fakir miskin, anak yatim atau membina masjid dengan menawarkan janji syurga, keberkatan hidup dan seumpamanya.

Watak-watak jahat itu secara fitrahnya dibantu oleh watak-watak si jahil, pandir, lurus bendul, berani membuta tuli, penakut tak tentu pasal, buta politik, naif, jiwa hamba, miskin harta dan sebagainya.

Penyanggak tidak mempunyai kekuatan tetapi mereka mendapat kuasa daripada majoriti masyarakat yang membisu dan tidak endah.

Semua watak yang mazmumah terhimpun dalam satu pasukan. Kemunculan watak yang melawan pula digambarkan sebagai pembawa bencana.

Sementara belum kiamat, tugas sasterawan ialah memberikan pencerahan menerusi tulisan agar terlahir masyarakat yang celik politik dan terhindar daripada menjadi mangsa penyanggak.

Membangkitkan peranan sasterawan adalah tanggungjawab kita semua. Mungkin istilah paling sesuai ialah penulis. Istilah sasterawan terlalu jargon atau melangit sifatnya.

Penulis adalah manusia biasa meski mereka bergabung atas nama institusi, pertubuhan atau persatuan. Kadangkala mereka leka, lalai dan lupa soal tanggungjawab nasional.

Sewaktu memperjuangkan nasib bahasa kebangsaan pada 1960-an, Usman Awang menyeru - terutamanya kepada orang Melayu - agar bangkit dalam isu Keranda 152.

Penulis berjuang pada persoalan semasa mengikut zamannya. Mereka tidak boleh berdiam diri, berkecuali atau menjadi tunggul kayu.

Usman Awang menulis dalam Keranda 152:

Namamu telah diseru
Jawablah
Sebelum lidahmu jadi bisu.


MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.