Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

KOLUM | Hikayat negeri terbakar dek kalah sabung

KOLUM | “Daulat tuanku Syah Alam, jikalau ada ampun dan kurnia duli yang dipertuan, patik hendak bermohon pergi bermain ke Terengganu melihat temasya negeri orang serta patik hendak menyabung."

Demikianlah bunyi sembah Raja Culan kepada baginda raja Melaka.

Kisah ini ada kaitannya dengan status media sosial Ahli Parlimen Machang yang mengapi-apikan perbuatan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, bergambar dan mengucapkan tahniah kepada atlet Thailand yang memenangi pingat perak dalam acara badminton di Olimpik Paris baru-baru ini.

Bagi ahli parlimen PN itu, tindakan Yeoh boleh dianggap tidak sensitif dan tidak menjaga perasaan rakyat Malaysia.

Arkian diingatkan, selain daripada hal bangsa dan agama, sukan adalah satu lagi perkara yang paling digemari politikus Melayu untuk dijadikan modal perbalahan.

Itulah sebabnya mengapa orang Melayu cenderung untuk membuli kaum minoriti. Tak cukup membuli atas pentas politik, mereka mengapi-apikan emosi rakyat untuk jadi pembuli dalam talian.

Salah satu kitab hikayat Melayu silam ada menceritakan kisah berkenaan temasya sukan yang mirip dengan Olimpik dari segi kebesaran dan kemeriahannya.

Buta kerana tulah

Kisahnya bermula sebaik sebuah bahtera canggih tiba-tiba datang membunyikan meriam di laut Terengganu.

“Kami sekalian ini datang dari Sailan mengikut anak raja Sailan yang bernama Raja Culan; hendak pergi meminang ke Melaka. Sebab ia singgah di sini kerana dikhabarkan orang raja Terengganu ini pandai menyabung, hendak mengajak raja Terengganu menyabung.”

Sebaik mendengar perkhabaran tersebut, raja Terengganu pun segera menitahkan ketua jurulatih merangkap ketua pengarah teknikal kejurulatihan bernama Pak Si Molong datang menghadap.

Oleh kerana temasya sukan sabung ayam tersebut sifatnya kayangan dan diperkasakan dengan ketinggian dan berprotokol bangsawan, tempoh ia berlangsung pun tiada had dan batasan.

Stadium, arena dan gelanggang di Pulau Sakti senantisa terbuka dan bersedia untuk mentemasyakan apa-apa cabaran.

“… maka raja Terengganu pun memakai pakaian yang indah-indah lalu turun berjalan dengan Pak Si Molong diiringkan oleh segala menteri pegawai sekalian menuju ke tengah gelanggang. Setelah sampai maka raja pun berhentilah di gelanggang itu menyuruhkan Pak Si Molong pergi memberitahu Raja Culan suruh silakan ke tengah gelanggang.”

Pak Si Molong dan raja Terengganu sebetulnya maklum akan kejaguhan kontinjen ayam-ayam sabung Raja Culan. Buta mata Pak Si Molong itupun dek kerana tulah akan rajanya kerana dalam temasya sabung yang dulu dia telah tersalah percaturan.

Namun dengan reformasi strategi pemilihan, berserta latihan yang mantap pada ayam yang berterusan, mereka percaya misi sabung Olimpik mereka kali ini akan dapat menewaskan kontinjen ayam-ayam Raja Culan.

Suasana temasya sukan di sekitar gelanggang Pulau Sakti tak ubah meriahnya seperti di Stade de France yang kita saksikan baru-baru ini. Raja Culan sebagai ketua kontinjen pun berarak masuk bersama ayam-ayamnya ke tengah gelanggang.

“Maka mereka sekaliannya menyabunglah terlalu ramai dengan tempik soraknya.”

Oleh kerana Pak Si Molong tidak dapat melihat maka dia dibantu oleh anaknya, Si Molong. Pertarungan sabung ayam Olimpik antara Raja Culan dan raja Terengganu hari itu memang sengit dan mendebarkan.

“Ayuh bapaku, ayam kita patah kakinya.” Maka kata Pak Si Molong, “Ceh! Mengapa begitu? Itulah anak raja bertongkat besi. Sabar juga dahulu anakku, kita lihatkan main-mainnya,” seraya tertawa Pak Si Molong di hadapan raja kedua itu.

Bahtera sampai tenggelam

Seketika lagi maka kena pula sayaplah ayam Pak Si Molong; maka sayapnya pun rebeh ke tanah. Maka kata Si Molong, “Ayuh bapaku, ayam kita rebeh sayapnya ke tanah.” Maka sahut Pak Si Molong, “Sabar juga dahulu anakku. Itulah anak raja bersamir tiba,” serta ia menyingsing tangan bajunya.

Maka kena pula ditikamnya oleh ayam Raja Culan pada temoloknya ayam Pak Si Molong itu. Maka padi di temolok itu pun berhamburanlah. Maka kata Si Molong, “Ayuh bapaku, ayam kita sudah terbit padi berhamburan.” Maka sahut Pak Si Molong serta menggamak tangannya, “Hai anakku, itulah anak raja mengembur bela.

Seketika kena pula pahanya ayam Pak Si Molong. Maka kata Si Molong, “Ayuh bapaku, ayam kita kena pahanya pula.” Maka kata Pak Si Molong, “Itulah anak raja mengikat dendang.

Seketika lagi ayam Pak Si Molong pun menggelupur hendak mati. Maka kata Si Molong, “Ayuh bapaku, ayam kita sudah menggelupur hendak mati. “Ceh, mengapa pula begitu? Jika demikian, terbanglah lawanmu!” Maka ayam Raja Culan pun terbanglah. Maka ayam Pak Si Molong pun matilah.

“Hatta maka ayam Raja Culan itu pun terbanglah lalu ke bahteranya. Dengan takdir Allah Taala di atas hambanya, maka bahtera Raja Culan pun tenggelamlah. Setelah dilihat oleh ayam itu bahtera itu tenggelam, maka ayam itu pun terbang pula ke istana raja Terengganu; maka istana itu pun habis dimakan api dan semuanya negeri itu pun habis hangus."

Api yang dimulai dari sebuah temasya sukan itu diriwayatkan dalam Hikayat Hang Tuah tidak terpadam selama tujuh hari tujuh malam. Kestabilan dan keamanan Terengganu pun jadi kacau.

Namun berita yang sampai ke telinga raja Melaka hanyalah tentang karamnya bahtera mewah Raja Culan. Tanpa banyak periksa, raja Melaka pun menitahkan laksamana menyerang Terengganu.

“Maka laksamana dan Maharaja Setia dan benderang Tun Lekir pun mengerahkan segala orangnya turun ke perahunya. Adapun Patih Kerma Wijaya mata-mata, laksamana, Maharaja Setia panglimanya dan Tun Lekir, Tun Lekiu jadi jejenangnya.

"Setelah sudah mustaid dengan alat senjatanya, maka laksamana kelimanya pun menjunjung duli lalu turun ke perahunya. Maka sauh pun dibongkar oranglah dan tunggul panji-panji pun didirikan oranglah. Meriam pun dipasang seperti bertih.

Gambar hiasan

"Maka Mendam Berahi pun berdayung hilirlah. Setelah lepas halangan, maka segala perahu yang tujuh puluh itu pun menarik layarlah menuju tanah Terengganu.”

Ekoran itu, raja Terengganu pun berundur lari ke hulu negeri.

Maka tidaklah menghairankan kalau pada pada 2021 dulu ada seorang atlet lontar peluru paralimpik Ukraine yang telah ramai-ramai kita serang dan malukan.

Tahun ini sewaktu negara bersiap untuk menyambut hari kemerdekaan, kita serang pula seorang pelumba basikal trek Jepun dengan puluhan ribu komen cercaan.

Ada sebab mengapa pentas politik diguna untuk sengaja memadamkan kebijaksanaan baginda Agong yang pernah memerintahkan gencatan perbalahan politik dengan menawarkan semua kumpulan agar terlibat dalam pembentukan sebuah kerajaan perpaduan.

Sebab memang ada orang politik seperti Pak Si Molong. Sudahlah buta mata dan hati, mulutnya pula celupar dalam perkataan sampai tergamak menyemarakkan api kejahatan menjadi api yang membakar rakyat negerinya sendiri.


HARIS HAUZAH hanyalah seorang periwayat hikayat yang dibuang ke Bukit Bintang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.