Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

KOLUM | Di mana sempadan kebebasan bersuara?

KOLUM | Untuk sekian lama, “kebebasan bersuara” dilihat sebagai hak asasi manusia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Malah dalam konteks politik, ia dianggap sebagai senjata golongan minoriti (dalam erti kata tertindas, terpinggir, tidak berkuasa dsb) untuk mendedahkan penyelewengan sang penguasa, meluahkan ketidakpuasan dan memecah monopoli maklumat dalam ruang wacana awam.

Justeru itu, “penjara” dianggap hukuman keras apabila seseorang disabitkan kesalahan semata-mata kerana “bersuara.”

Bahkan denda yang tinggi pun sudah dianggap sebagai ugutan untuk membisukan mereka yang bukan mahakaya.

Jadi, apabila undang-undang atau dasar digubal untuk menyekat (atau atas nama mengawal selia) kebebasan bersuara, ia dianggap sebagai pencabulan dan penindasan ke atas kebebasan bersuara.

Namun, realiti mengajar kita bahawa mustahil kita menikmati kebebasan bersuara tanpa sempadan. Kebebasan bersuara datang dengan harga dan risikonya, tertakluk kepada konteks masyarakat masing-masing. 

Penularan maklumat palsu yang menghasut sentimen perkauman boleh mencetuskan rusuhan, sebagaimana yang berlaku di United Kingdom, baru-baru ini.

Lantas timbul persoalan, jikalau undang-undang dan dasar bukan jawapannya, maka di mana letaknya batas kebebasan bersuara?

Andaian naif

Tanggungjawab. Jawapan yang nampak abstrak, tetapi menampilkan satu sikap yang wajar diambil ketika mengamalkan kebebasan bersuara. 

Mengikut logiknya, kita harus bersedia untuk berdepan dengan pertikaian yang tercetus, dan juga akibat yang menyusul lantaran kata-kata yang kita ungkapkan ketika mengamalkan kebebasan bersuara.

Misalnya, andainya kita menemui satu produk yang menghina agama di kedai serbaneka, apakah kita wajar mengamalkan kebebasan bersuara dengan menghebohkannya di media sosial, atau kita boleh menyerahkannya untuk siasatan lanjut pihak polis?

Jikalau kita memiliki sehiris rasa tanggungjawab terhadap ketenteraman masyarakat, ditambah secubit kesedaran bahawa kita mungkin belum mengetahui kebenaran secara menyeluruh, sudah tentu kita tidak tergamak untuk melangkaui batas itu, kerana langkah tersebut boleh memporak-perandakan negara.

Kejadian yang berlaku dalam realiti cukup untuk mengingatkan kita, bahawa terlalu banyak andaian naif di sebalik pendirian “batas kebebasan bersuara ialah tanggungjawab.” 

Kita mengandaikan semua manusia cenderung ke arah kebaikan, dan bersuara untuk menegakkan kebenaran. Jika pun berlaku kesilapan, ia lebih kepada kekhilafan atau kecuaian yang tidak disengajakan, mungkin terlepas pandang setelah berkali-kali semakan kesahihan dilakukan.

Malah, kita mengandaikan manusia akan kesal jikalau dibuktikan kenyataannya tersilap. Rasa berdosa itu sudah memadai sebagai “denda” kepada mereka yang memiliki rasa tanggungjawab ke atas kata-kata yang diungkapkan. 

Tuduhan melulu yang bercanggah dengan fakta memalit integriti si penuduh. Seseorang itu akan berasa malu pada dirinya jikalau terkongsi maklumat palsu di media sosial, apatah lagi jika terfitnah seseorang. Imej profesionalnya tercalar. 

Bukankah ini hukuman paling berat untuk seseorang insan yang mempertahankan integriti dirinya?

Manusia taasub

Cuma, dunia bukan syurga dan manusia bukan malaikat. Bukan semua manusia cenderung ke arah kebaikan (apatah lagi konsep “kebaikan” itu agak subjektif dari kaca mata berbeza) dan bukan semua manusia mampu membuat pertimbangan yang waras dan rasional.

Manusia memiliki kelemahan untuk percaya hanya apa yang ingin dipercayai dirinya dan sanggup melakukan apa sahaja untuk membuktikan dirinya benar.

Ketaasuban sedemikian memungkinkan kebebasan disalahgunakan sewenang-wenangnya, untuk memutar belit dan mengelirukan, malah menegakkan benang basah.

Cuba kita perhatikan, pernahkah pempengaruh yang menghuru-harakan satu Malaysia dengan kandungan yang dimuat naik dalam media sosialnya, memohon maaf secara ikhlas atas tindak-tanduknya yang mencetuskan ketegangan hubungan kaum?

Jangan kita pergi jauh, cukup sekadar perhatikan rakan kita yang tersilap kongsi atau komen berdasarkan maklumat palsu – apakah mereka memadamkannya selepas kantoi? 

Dan jikalau mereka sempat memadamkannya, apakah mereka memohon maaf terlebih dahulu atau buat-buat tidak tahu? (Untuk kes yang lebih dahsyat, mereka tetap menularkannya meskipun telah dikantoikan!)

Padahal ini ujian paling kecil dalam hidupan harian, yang mana ramai tidak teruji bila diuji. Dengan kata lain, ramai dalam kalangan kita tidak bersedia bertanggungjawab ke atas kenyataan diri kita, atau mesej yang kita kongsi. 

Kita segan untuk mengaku salah, sungguhpun tidak berlaku adil kepada si tertuduh. Kita tidak bersedia untuk menanggung dan menjawab.

Jelas, “kebebasan bersuara” yang kita idamkan tidak lagi mendekatkan kita dengan kebenaran yang lebih menyeluruh, sebaliknya menebalkan ego dan prejudis tertentu.

Salah guna kebebasan

Andainya kita jujur, kita akan mengaku kebebasan bersuara tidak hanya dicabul dengan akta drakonian atau dasar yang mencengkam, tetapi juga sikap penggunanya yang tidak bertanggungjawab. 

Penyalahgunaan kebebasan bersuara juga sejenis pencabulan kebebasan bersuara yang tidak kurang parahnya berbanding sekatan kebebasan bersuara dengan akta dan dasar, malah satu penghinaan kepada mereka yang memperjuangkan kebebasan bersuara dengan menggadaikan kebebasan diri mereka.

Ya, saya mungkin masih keberatan untuk merestui tindakan undang-undang ke atas mereka yang disabitkan kesalahan hanya kerana “bersuara”  tetapi pada masa yang sama, saya tidak lagi naif untuk mengandaikan bahawa “kebebasan bersuara” semestinya mendekatkan kita dengan kebenaran.

Lebih-lebih lagi, saya semakin berwaspada terhadap mereka yang memperalatkan kebebasan bersuara untuk menyebarkan maklumat palsu dan ucapan benci. 

Ada juga yang mempergunakan kebebasan bersuara untuk mendesak agar hak golongan minoriti dinafikan. 

Bukankah kesemua ini bercanggah dengan semangat kebebasan bersuara, iaitu sebagai senjata golongan minoriti mempertahankan hak asasi dirinya?

Perjuangan ditunggang

Sudah tentu saya sedar betapa bahayanya akta dan dasar yang menyekat kebebasan bersuara – dengan definisi yang kabur, membuka ruang seluas-luasnya kepada penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan pada masa depan. 

Namun usaha untuk mempertingkatkan kecelikan audiens terhadap maklumat yang ditularkan di media sosial, juga tidak kurang pentingnya pada zaman ini, yang harus diberi penekanan setimpal.

Memperjuangkan kebebasan bersuara tanpa persediaan rapi untuk berdepan dengan perang maklumat palsu dan ucapan benci, mendedahkan kita kepada risiko hasil perjuangan kita ditunggang untuk menuju ke arah sebaliknya. 

Audiens gagal membezakan antara fakta dengan pandangan, percaya bulat-bulat tanpa menyemak kesahihan maklumat atau dari mana sumbernya, terikut-ikut untuk bersorak atau memaki setelah dihasut, sehingga menyumbang kepada pembentukan ruang wacana awam yang negatif.

Dalam persekitaran sedemikian, politikus tunduk kepada suara populis sayap kanan untuk bersikap lebih eksklusif terhadap golongan minoriti; anggota masyarakat semakin sangsi antara satu sama lain lantaran prejudis yang semakin menebal; atlet negara mengalami tekanan mental kerana lambakan cemuhan daripada netizen yang komen sesuka hati… semua tidak kena pada tempatnya kerana kita sekadar mengangkat nama kebebasan tanpa menghayati dan mendalami makna sebenar kebebasan.

Cuba kita renung. Jikalau wartawan perlu mengambil kursus media sebelum menceburi bidang kewartawanan, mengapa tiada keperluan untuk pempengaruh atau netizen mengambil kursus seumpamanya, sebelum menghasilkan kandungan atau menconteng komen di media sosial secara terbuka? 

Apakah mereka memiliki ilmu asas tentang kemasyarakatan, mematuhi etika kewartawanan, menyedari kesan kandungan yang dihasilkan – sebelum menularkan kandungannya di ruang awam?

Sudah tiba masanya kita mengambil perspektif yang lebih menyeluruh ketika membincarakan soal kebebasan bersuara. 

Jangan sesekali hasrat murni kita untuk mendukung nilai kebebasan bersuara, ditunggang oleh mereka yang hanya mahu mengambil kesempatan ke atas kebebasan bersuara untuk menjahanamkan makna kebebasan.


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.