Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

KOLUM | Nusantara, dari nama rantau kini ibu kota

Pada tahun ini, sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos lalu buat pertama kalinya diadakan di ibu kota barunya, Nusantara (IKN) yang terletak di pulau Kalimantan.

Ia sedang dalam pembinaan dan secara beransur-ansur ibu kota nasional dipindahkan dari Jakarta ke Nusantara.

Istilah “Nusantara” dicipta oleh Batara Gajah Mada dari kerajaan Majapahit yang menguasai Jawa, Kalimantan, Sumatera dan pulau sekitar termasuk Singapura, dahulu dipanggil Temasik pada abad ke-14. Batara itu bermaksud Perdana Menteri.

Nusantara merujuk kepada pulau-pulau di luar Jawa. Jadi pemerintahan Majapahit itu meliputi Jawa dan Nusantara. Nusa bermaksud negeri-negeri atau pulau, antaranya adalah kawasan merentas laut-laut yang berhampiran Jawa. Tentulah ia meliputi keseluruhan pulau Kalimantan di mana terletak juga pada hari ini Sarawak, Brunei dan Sabah.

Walaupun Temasik sebahagian dari Nusantara. tidaklah diketahui bahawa wilayah Semenanjung Malaysia termasuk dalam gagasan Nusantara itu. Ini kerana semenanjung ini bukanlah sebuah pulau.

Tetapi mungkin juga perkataan “nusa” itu termasuk bukan saja pulau tetapi apa saja tanah termasuk semenanjung, yang dahulunya dipanggil Tanah Hujung.

Tetapi gagasan Nusantara dikatakan sudah ada sebelum Majapahit. Ia mula diutarakan oleh Kertagama dari kerajaan Singhasari di Jawa pada abad ke-13.

Istilah yang digunakan ialah Dwipantara yang merupakan perkataan Sanskrit. Dwipa itu bermaksud pulau.

Ketika itu Semenanjung Malaysia dipanggil Swarnabumi iaitu Bumi Emas, tetapi ia meliputi keseluruhan wilayah yang sekarang merupakan Thailand.

Kini nama alternatif tradisi Thailand ialah Suvarnabhumi. Malah lapangan terbang utama Bangkok bernama Suvarnabhumi. Sumatera pula dipanggil Swarnadwipa iaitu pulau emas. Nama lain Sumatera ialah Seri Andalas.

Orang Eropah menganggap dunia ini ada tiga “India”. India yang sebenar. India Barat atau West Indies terletak di Amerika Tengah. India Timur atau East Indies iaitu Asia Tenggara.

Perancis menamakan sebahagiannya Indocina yang terdiri daripada Vietnam, Kemboja dan Laos. Vietnam dipengaruhi budaya Cina. Tetapi Kamboja dan Laos seperti juga Myanmar, Thailand, Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei dari segi tamadun purba dianggap Indianised States (Negeri-negeri yang dipengaruh India).

Gambar fail, lukisan kapal Dutch East India Company.

Syarikat British yang menjelajah rantau ini dinamakan British East India Company. Belanda juga nempunyai Netherland East India Company. Maka tanah jajahannya, bernama Netherland East India atau Hindia Timur Belanda.

Tetapi pihak British tidak memanggil Malaya, Singapura Sarawak, Brunei dan Sabah sebagai British East Indies. Ia hanya disebut British Malaya.

Apabila pejuang-pejuang kemerdekaan Hindia Timur Belanda hendak memberikan nama baru pada tanah air mereka. maka timbul beberapa cadangan: Nusantara, Melayunesia dan Indonesia.

Walaupun Nusantara itu kelihatannya paling sesuai. Ia perkataan asal tempat dan mempunyai sejarah serta tiada kaitan dengan penjajah. Tetapi masalahnya, ia merupakan asal Jawa.

Negara baru Hindia Timur yang mempunyai rakyat berbilang etnik. Menggunakan perkataan asal Jawa memberikan gambaran dominasi etnik Jawa, yang tidak menyumbang pada perpaduan negara. Maka istilah Nusantara ditolak.

Begitu juga dengan Melayunesia yang menggunakan perkataan Greek dengan membawa makna pulau-pulau Melayu. Sememangnya nama rantau ini juga dianggil Gugusan Kepulauan Melayu atau Malay Archipelago.

Sebab itu, ada ahli akademik Barat yang menamakan rantau ini, Malaysia yang kawasannya termasuk Filipina.

Malah pejuang awal kemerdekaan Filipina menyebut negara mereka sebagai The First Malay Republic. Tetapi dalam konteks Hindia Timur Belanda.

Tanah Jawi

Orang Melayu yang merupakan kaum yang tinggal di sebahagian dari Sumatera. Ia merupakan kaum kecil berbanding dengan Jawa yang bilangannya jauh lebih banyak.

Namun ini hanya pada penamaan. Bagi orang Arab, kaum Melayu dan Jawa itu sama.

Sebab itu apabila disebut Tanah Jawi itu termasuklah pulau Jawa dan Sumatera. Jawa datang dari perkataan Jawi.

Apa yang dimaksudkan dengan tulisan Jawi adalah tulisan Melayu atau Jawa yang menggunakan huruf Arab.

Malah di Hindia Timur, menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara bersama. Sungguhpun begitu nama Melayunesia tidak sesuai untuk Hindia Belanda yang mempunyai pelbagai kumpulan etnik, dari Aceh hingga ke Papua.

Maka nama yang dipilih ialah Indonesia yang bererti negeri-negeri pulau Hindia. Ia merupakan perkataan bahasa Greek, jadi tidaklah ia membabitkan perkataan mana-mana bahasa kaum di negara itu.

Walaupun ada cadangan supaya Indonesia wajar termasuk juga tanah-tanah jajahan British iaitu Malaya, Singapura, Sarawak, Brunei da Borneo Utara, tetapi konsensus umum Indonesia negara merdeka yang mewarisi Hindia Timur Belanda.

Namun begitu, sebelum Perang Dunia Kedua lagi, di Malaya muncul satu pertubuhan politik Kesatuan Melayu Muda (KMM) pimpinan Ibrahim Yaacob yang antara perjuangan mereka adalah kemerdekaan Tanah Melayu yang digabungkan dengan Indonesia.

Pada penghujung Perang Dunia Kedua, Jepun membantui penubuhan Indonesia dan berjanji memerdekakannya. Dalam perjalanan pulang dari perundingan dengan Jepun, Sukarno dan para pemimpin Indonesia yang lain singgah di Taiping.

Di situ, pemimpin KMM bertemu dengan mereka. Tujuannya ialah untuk memerdekakan Malaya bersama Indonesia. Tetapi perkara itu tidak berlaku kerana fokus mereka adalah kemerdekaan indonesia.

Apabila Sukarno dan Mohamad Hatta mengisytiharkan Indonesia merdeka pada 17 Ogos 1945, Belanda menolak. Maka berlakulah perang kernerdekaan.

Walaupun kemudian Belanda menerimanya tetapi ia mahu mengekalkan Papua Barat. Tetapi Belanda masih mahu bertapak di Papua Barat. Namun akhirnya Indonesia dapat juga benar-benar mewarisi semua wilayah Hindia Timur.

Pada tahun yang sama, seorang ahli Parti Komunis Indonesia (PKI), Mokhtaruddin Lasso datang ke Ipoh mengumpulkan beberapa orang bekas aktivis KMM dan menubuhkan parti politik Melayu pertama bernama Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dengan mengikut corak Parti Nasional Indonesia (PNI) dan memakai bendera Sang Daka Merah Putih. Mereka memperjuangkan kemerdekaan Malaya dan penyatuannya dengan Indonesia.

Pada 17 Ogos 1946, ulang tahun pertama Indonesia, satu perarakan peringatan dilakukan oleh penyokong-penyokong PKMM di Melaka membawa sepanduk bertulis Indonesia-Malaya Satu. Ia dinamakan gagasan Melayu Raya tetapi tidak pula Nusantara.

Pada tahun 1948 apabila berlaku darurat. banyak pemimpin PKMM ditangkap dan parti itu dibubar. Apabila pemimpinnya dibebaskan pada tahun 1955, antaranya nenubuhkan Parti Rakyat Malaya (PRM) dan parti pewaris PKMM ini bagaimaiapun tidak lagi bercakap tentang Melayu Raya.

Gambar fail, pimpinan API dan PKMM.

Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan merdeka pada 31 Ogos 1957 dengan asas kerjasama tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India.

Cina dan India diberikan kewarganegaraan. Orang Melayu sebagai pribumi ditakrifkan sebagai bertutur bahasa Melayu, beragama Islam dan mengamalkan adat Melayu.

Dengan sekelip mata semua orang keturunan kepulauan Melayu, sama ada Sumatera, Jawa, Kalimantan atau Sulawesi dikira sebagai orang Melayu.

Pertama kali saya mengenal istilah Nusantara ialah dari majalah Time pada tahun 1972. Ia merupakan iklan badan pelancongan Indonesia.

Di bawah Suharto, Nusantara menjadi nama alternatif atau nama budaya negara itu. Pada zamannya juga berlaku program transmigrasi iaitu pemindahan orang Jawa dan Madura ke Sumatera dan Kalimantan. Suatu yang tidak disukai oleh penduduk wilayah-wilayah Dayak.

Sebuah jurnal yang ditetbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dinamakan Nusantara. Ia menyiarkan artikel-artikel ilmiah tentang rantau Asia Tenggara khususnya Thailand, Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei.

Bagi orang Malaysia umumnya Nusantara merujuk pada negara-negara yang berbudaya rumpun Melayu meliputi Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand Selatan. Rumpun Melayu walaupun ada perkataan Melayu tetap merujuk pada keseluruhan wilayah Nusantara tanpa mengira anutan agama. Nusantara itu didiami penduduk asalnya berbudaya peribumi.

Kini Nusantara nama bandar

Maka di Malaysia ada ungkapan Balada Nusantara bermaksud lagu-lagu yang dicipta berasaskan muzik tradisi Malaysia atau Indonesia. Begitu juga apabila acara-acara budaya yang melibatkan muzik asal Indonesia, maka ia disebut Nusantara. Namun begitu, seringkali muzik Nusantara lebih kepada muzik asal Sumatera atau Jawa dan bukannya di wilayah-wilayah Indonesia Timur.

Maka bagi orang Indonesia. Nusantara adalah nama alternatif bagi negara mereka. Ia adalah eksklusif.

Bagi orang Malaysia, Nusantara nama gugusan kepulauan Melayu termasuk Semenanjung Malaysia. Ia adalah inklusif.

Kini Nusantara sudah menjadi nama bandar maka untuk menggunakan Nusantara sebagai nama alternatif atau nama kepulauan sudah kurang wajar.


ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.