Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

KOLUM | Pingat emas yang kita menang

KOLUM | Pernahkah terlintas di fikiran anda: berapa beratkah bebanan yang ditanggung oleh seorang atlet professional?

Terdapat statistik yang menunjukkan bahawa sudah 210 orang atlet pernah menyertai Sukan Olimpik akhirnya menamatkan riwayat mereka sendiri.

Sebahagiannya adalah disebabkan tekanan mental yang tidak mampu ditanggung berpunca daripada pelbagai sebab, termasuklah kesan masyarakat dan orang sekeliling.

Jaguh sukan berbasikal negara, Azizulhasni Awang, pernah menitipkan pesanan buat bekas rakan sepasukannya, Fatehah Mustafa, yang mengumumkan persaraan pada 2020 lalu.

Dia mencoret luahan mengenai kesukaran atlet profesional mendepani kehidupan seharian.

Menurut Azizulhasni, seseorang atlet elit terpaksa melalui kehidupan yang berbeza berbanding manusia biasa apabila mereka perlu meluangkan sebahagian besar daripada kehidupannya untuk menjalani latihan.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga perlu berdepan risiko kecederaan serta meninggalkan keluarga dan rakan-rakan.

“Telah banyak kajian yang menunjukkan peratusan atlit elit berakhir dengan tekanan perasaan, bunuh diri, jadi gelandangan dan sebagainya,” ujar Azizulhasni.

Bekas pemain pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand - dalam siri dokumentari Beckham yang disiarkan di Netflix - mengakui pada 10 atau 20 tahun lalu tidak wujud istilah kesihatan mental.

Cari dan serang

Ia adalah waktu David Beckham menjadi sasaran kebencian penyokong England akibat kad merah yang diterimanya di kejohanan Piala Dunia 1998. Ketiadaan Beckham menyebabkan England tersingkir di peringkat suku akhir ketika menentang Argentina.

Isu kesihatan mental hanya dibincangkan secara terbuka setelah timbul kesedaran mengenainya. Bagaimanapun pada hari ini beberapa kajian mendapati kadar isu kesihatan mental dalam kalangan atlet profesional sudah mencapai angka yang agak membimbangkan.

Kajian pada 2019 mendapati kira-kira 35 peratus atlet berdepan dengan masalah kesihatan mental termasuk keletihan melampau, kemurungan dan kebimbangan (anxiety).

Ia disebabkan tekanan atau harapan tinggi yang ditanggung atlet, sama ada daripada jurulatih, peminat, rakan sepasukan dan juga diri mereka sendiri.

Pada masa yang sama, mereka juga berdepan cabaran untuk mengimbangi kehidupan dan komitmen sebagai atlet dan pada masa sama sebagai manusia biasa yang bekerja, belajar, berkeluarga dan banyak lagi.

Lihat sahaja sikap sebahagian masyarakat kita tatkala berlaku pelanggaran pelumba basikal negara, Shah Firdaus Sahrom, dengan pelumba Jepun, Shinji Nakano dalam aksi final acara keirin Sukan Olimpik tempoh hari.

Insiden tersebut meranapkan peluang Malaysia untuk sekurang-kurangnya meraih pingat gangsa, sekali gus mencetuskan kemarahan warganet negara.

Mereka kemudian mencari dan menyerang akaun media sosial Nakano. Tentulah ia juga berlaku akibat tekanan rakyat Malaysia yang masih dahagakan pingat emas pertama di pentas sukan paling berprestij di dunia itu.

Sedangkan Shah Firdaus sendiri dalam satu temu bual dengan Sinar Harian mengakui dia malu dengan tindakan rakyat Malaysia. Dia menyifatkan pelanggaran dalam acara berbasikal adalah perkara biasa.

Malah dia tidak menyimpan sebarang dendam kerana Nakano sendiri adalah rakan baiknya.

Perlu masa mencukupi

Mentaliti itulah yang membezakan atlet profesional dengan ‘tentera bawang’. Fikiran dan kudrat mereka ditumpukan sepenuhnya kepada rutin latihan setiap hari demi meraih status atlet elit di pentas dunia.

Netizen pula hanya perlu memerlukan jari untuk menunjukkan belang masing-masing.

Lihat juga bagaimana golongan yang sakit pemikiran itu menerima berita kegagalan atlet negara untuk menamatkan saingan di Sukan Olimpik di kedudukan yang baik.

Antara atlet yang teruk menerima kecaman ialah pelari pecut, Azeem Fahmi, yang tersingkir di peringkat saringan selepas menamatkan larian di tangga tercorot daripada sembilan pelari dengan catatan 10.45 saat.

Sedangkan atlet harapan negara itu sudah berkorban banyak dan gigih membina kariernya dengan berhijrah ke AS bagi menyambung pengajian dan berlatih.

Tatkala dia gagal mengulangi catatan terbaiknya (10.09 saat) dalam acara 100 meter, netizen menghamburkan kejian demi kejian tanpa mengetahui bahawa setiap atlet memerlukan masa yang cukup sebelum dapat menyesuaikan diri dengan perubahan suasana dan corak latihan.

Tidak ketinggalan herdikan yang diterima pelumba basikal lebuh raya, Nur Aisyah Zubir, yang tidak berjaya menamatkan perlumbaan sejauh 158 km selepas mengalami kekejangan pada kedua-dua belah kakinya.

Dia sebenarnya telah mencipta sejarah tersendiri.

Nur Aisyah merupakan pelumba basikal lebuh raya wanita pertama Malaysia layak beraksi di pentas Olimpik selepas Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia menganugerahkan slot di Paris berdasarkan pencapaian cemerlangnya meraih tujuh emas di Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018.

Turut diambil kira ialah kejayaannya meraih dua pingat perak satu gangsa di Sukan SEA Hanoi, dan dua gangsa di Sukan SEA Kemboja.

Masyarakat yang sakit

Apa saja kata-kata buruk yang tidak diterima oleh atlet kita. Azizulhasni, Nur Dhabitah Sabri, dan ramai lagi yang menerima nasib yang sama.

Jika netizen kecewa dengan prestasi atlet negara, mereka sendiri tentulah jauh lebih kecewa kerana sudah mencuba untuk melakukan yang terbaik apabila dibawa terbang jauh beribu kilometer dari tanah air.

Tiga nilai utama yang digariskan dalam Sukan Olimpik ialah kecemerlangan (excellences), hormat (respect) dan persahabatan (friendship).

Ia selaras dengan Piagam Olimpik yang bertujuan untuk membina dunia yang lebih baik dalam memelihara martabat manusia dan membangun keharmonian.

Ternyata semua nilai itu tidak pernah pun difahami - jauh sekali untuk dihayati - oleh sebahagian daripada kita. Kitaran pembulian itu tidak boleh ditamatkan selagi mentaliti atau cara fikir kita melihat sukan tidak diperbaiki.

Berhentilah menjadi masyarakat yang ‘sakit’ dengan menormalisasikan dan menyuburkan budaya buli ini.

Malangnya keadaan tidak begitu. Malah seperti tidak ada sesiapa pun yang tertinggal untuk dibuli oleh rakyat Malaysia.

Atlet negara sendiri dibuli, atlet negara lain dibuli, Presiden Majlis Olimpik Malaysia dibuli, Menteri Belia dan Sukan juga dibuli.

Sikap pembuli inilah yang akhirnya menjadi kebanggaan dan 'pingat emas pertama' kita.


NUR HADI MOHAMAD ialah seorang pencinta sukan yang berhasil menumpahkan minatnya ke bidang penulisan dan kejurulatihan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.