Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

KOLUM | Sentuhan listrik seniman agung M Nasir

KOLUM | Menyanyi 30 buah lagu yang disaring daripada lebih 3,000 lagu ciptaannya sendiri, M Nasir membuktikan diri selaku seorang mahaguru muzik luar biasa. 

Pilihan lagu yang disampaikan sepanjang Konsert Cipta Datuk M Nasir yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil di hadapan audiens seramai 8,000 orang pada malam 10 Ogos 2024 lalu adalah satu penanda aras baru; untuk menobatkan kedudukan Nasir sebagai ‘seniman agung’.

Nasir menyanyikan lagu-lagu ciptaannya, sama ada yang dinyanyikan sendiri atau penyanyi lain justeru ‘Cipta’. Merentangkan pelbagai genre yang meremangkan, lagu sekeras rock Cinta Sakti, seretis pop Seloka Cinta Remaja, segelek cha cha Bercanda di Pasiran Pantai, semabuk folk Hati Emas dan Gerhana, selunak soul dan sesyahdu balada Senja Nan Merah; Nasir juga memukau dengan genre muzik Melayu, sesuatu yang tidak dipunya oleh mana-mana penyanyi lain di negara ini.

Pilihan lagu untuk konsert itu memaparkan kebolehan Nasir mendendang lagu joget seperti Ada, lagu-lagu Gurindam Gunung Tahan, Langgam Pak Dogo, Raikan Cinta dan Tanya Sama Itu Hud Hud yang sebahagian besarnya merupakan ‘fusion’ irama Barat dan Timur Tengah yang disepadukan menjadi satu kearifan lokal yang menyerlah.

Dengarkan sahaja, lagu Hijab Kekasih dengan lirik mendalam benar-benar menguji kemampuan vokal M Nasir yang perlu mengawal nafas dan ligat pentas setelah beraksi lebih dua jam.

Kemunculan magis Ramli MS menaikkan bulu roma penonton yang diheret dalam lirik makrifat oleh Seth.

Sebetulnya, tampil teaterikal (mungkin ada sentuhan isterinya Marlia Musa), konsert Cipta berusaha menyorot perjalanan seni M Nasir sebagai maestro, bermula dari era beliau dengan Kembara di seberang Tambak Johor. 

Untuk anak-anak yang belum tahu, band Kembara yang pernah menyuarakan keperitan marhaen menerusi generasi pertama yang dianggotai M. Nasir, A Ali dan S Sahlan merangkum tiga album iaitu Kembara pada 1981, Perjuangan (1982) dan Generasiku (1983) adalah monumen ajaib untuk generasi era 1980-an. 

Konsert ini juga dengan hati-hati menyaring lagu-lagu gubahan M Nasir yang pernah dipopularkan oleh Search, Alleycats, Awie, Seha, BPR, Kristal, Def Gab C dan Rahim Maarof. Itu semua dilakukan dalam keadaan memastikan lagu-lagu masyhurnya turut diketengahkan agar tidak menghampakan peminat-peminat tegar.

Konsert Cipta juga mengukuhkan letak duduk M Nasir sebagai laksamana muzik Melayu. Mana tidaknya, beliau bersengaja menampilkan misalnya elemen alat muzik rebab, berdialek Kelantan dan sejak awal menaratifkan persembahan dengan ‘dress code’ Melayu, di mana audiens lelaki disaran bersetanjak dan perempuan berkurung sanggul.

Konsert Cipta turut menyorot keresahan, kegulanaan dan juga keteguhan perjuangan Palestin, dengan Nasir mendedikasikan lagu Balada Seorang Teman untuk as-Syahid Ismail Haniyeh dengan paparan foto Ismail berdakapan dengan Anwar Ibrahim. Juga indikasi Palestin bakal bangkit menerusi lagu Phoenix Bangkit

Ini bukanlah kali pertama M Nasir menyatakan solidaritinya kepada Palestin, ketika Konsert Gendang Pati, beliau pernah memecah tradisi dengan bacaan doa Qunut Nazilah dan deklamasi puisi Usman Awang, Thaurah Palestin oleh pelakon Ameerul Affendi di akhirnya konsert. 

Semangat begini tentu serasa bersiri aslinya dan jujur berbanding biduan atau biduanita lain di luar sana.

Untuk generasi baru, mereka barangkali tidak mengenal Nasir sebagai ikon perlawanan berbanding generasi sebelumnya. Mereka tidak mengingat bagaimana pada tahun 1996, M Nasir sebagai seorang seniman telah membuka jalan kepada keberanian mempersoalkan dengan satu soalan mudah, “Siapa Mahathir?”, selain memilih untuk tidak menghadiri latihan sempena Malam Puisi Utusan Malaysia yang menampilkan Perdana Menteri ketika itu, Mahathir Mohamad sebagai tetamu kehormat. 

Ekoran daripada itu, beliau digam daripada muncul dalam mana-mana stesen TV dan radio kerana dikatakan bersikap ‘Jebat‘ terhadap Mahathir. Timbalan Menteri Penerangan waktu itu, Suleiman Mohamed turut mengarahkan agar karya M Nasir tidak dibenarkan disiarkan di TV dan radio. Malah konsertnya yang dijadualkan akan diadakan di Selangor dan Kedah ikut dibatalkan.

Tidak berlebihan untuk dikatakan, pertanyaan “Siapa Mahathir?” itu telah membuka laluan untuk pertempuran seni ketika era reformasi di kala ramai artis memilih untuk menikus.

Memang M Nasir menaruh risiko besar menyanyikan lagu Allah Selamatkan Kamu untuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang beliau salut sebagai PMX Pada 10 Ogos lalu. 

Ia berisiko kerana ia boleh sahaja menjadi momen feudal dedikasi seorang Hang Tuah kepada Bendaharanya. Seperti yang Nasir katakan, satu detik yang ‘tidak biasa kita buat ya’. 

Pun momen beliau menyanyikan lagu ‘hari jadi’ yang dikatakan ciptaan seorang lagi Seniman Agung, Allahyarham P Ramlee itu akan pasti menjadi momen ikonik sepertinya lejen Hollywood si Marilyn Monroe menyanyikan lagu Happy Birthday buat Presiden John F Kennedy pada tahun 1962. 

Selepas ini, Allah Selamatkan Kamu tidak akan pernah sama lagi. Nasir membawa lagu tersebut dengan merdu, membawa sama legasi seorang pahlawan muzik Melayu dengan mantera semerah padinya.

Nasir bijak membawa audiens sehingga ke hujungnya dalam konsert ini. Meskipun telah melampau tengah malam, beliau masih boleh memukau penonton untuk ikut serta ketika menyanyikan lagu Sentuhan Listrik, antara lagu beliau yang merupakan mercu tanda.

M Nasir bermula sebagai pelukis, terserempak menjadi pemuzik dan penyanyi lantas spontan mendunia. Kerja seni beliau tidak mudah. Pernah album solonya tidak beroleh sambutan. Di sela itu, Nasir mampu berlakon teater. Sebagai juri persembahan teater Kaki Seni yang terawal, saya masih ingat lakonan beliau sangat berbekas dalam Antara di sisi Fauziah Nawi dan Sabera Shaik.

Nasir juga berlakon menggamamkan seperti dalam Selubung (dengan Deanna Yusuf) dan Puteri Gunung Ledang (dengan Tiara Jacquelina). Harapannya akan ada lagi langkah lakonan beliau yang betul. 

Tidak terkecuali M Nasir juga pernah mengarah filem, Merah. Garapan Nasir dalam Merah sangat berbeza. Meskipun plotnya klise, ia ada tangan Nasir selaku seorang pelukis. Justeru arahan sinematografinya sangat berwarna.

Konsert Cipta anjuran Icon Entertainment bersempena 45 tahun pembabitan maestro muzik terkenal M Nasir dalam dunia seni tanah air ini sebetulnya boleh menjadi petunjuk untuk meletakkan Nasir sebagai Seniman Agung. 

Tak tahu lagi apa yang kita tunggu, di usia 67 tahun, tidak terlewat untuk kita mengangkat beliau sebagai biduan atau seniman negara.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.