Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

KOLUM | Merenung teater Haji Murat

KOLUM | Tirai teater Haji Murat di DBP sudah lama berlabuh. Teater itu menarik minat Anwar Ibrahim untuk hadir. Difahamkan pada awalnya tiada jemputan rasmi kepada perdana menteri tetapi dia buat keputusan untuk hadir menonton teater itu.

Ini kali ketiga Anwar bertandang ke DBP sejak dia menjadi perdana menteri. Malam itu, Fadhlina Sidek juga hadir bersama timbalannya, Wong Kah Woh.

Ramai pegawai kerajaan datang menjadi peminat teater malam itu. Mungkin ini yang dinamakan politik protokol.

Novel karya Leo Tolstoy bertajuk asal Khadzhi-Murat ditulis dalam bahasa Rusia antara 1897 hingga 1904 tetapi diterbitkan pada 1912 iaitu selepas penulisnya meninggal dunia.

Novel itu diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Victor A Pogadaev pada 2001 dan diterbitkana oleh DBP. Kemudian ia dijadikan skrip drama oleh Anwar Ridhwan dalam antologi drama Rumah Septuagenarian pada 2021.

Seorang pengkritik sastera di University of Yale, Harold Bloom, menganggap novel tersebut sebagai “the best in the world”.

Entah magis siapa teater itu tiba-tiba menarik minat orang ramai. Mungkin magisnya sang perdana menteri, atau barangkali kerana Tolstoy, Anwar Ridhwan, Haji Murat atau keramatnya DBP.

Sahabat jadi pengkhianat

Lebih 30 tahun lalu, saya tertarik dengan sebuah buku nipis bertajuk Imam Syamil. Ketika buku itu dibeli, Rusia sedang menghadapi tentangan mujahidin Chechnya yang menuntut kemerdekaan. Tiada cerita tentang Haji Murat.

Haji Murat adalah naib kepada Imam Syamil yang memimpin orang Islam Chechnya berjihad melawan Rusia pada 1800. Imam Syamil menganggap Haji Murat sebagai seteru politik yang boleh mengancam dirinya.

Terdapat salah faham di antara dua pimpinan besar Chechnya itu.

Akhirnya salah faham berakhir dengan pertembungan yang tidak dapat didamaikan. Hujah paling suci untuk menyingkir pihak lawan ialah dengan menggunakan gelaran pengkhianat.

Sahabat berubah menjadi pengkhianat. Itulah yang berlaku zaman demi zaman dalam sejarah politik manusia. Biarpun Haji Murat adalah sahabat seperjuangan Imam Syamil, kedua-duanya kemudian bertembung akibat cuba mencabar status quo dalam organisasi.

Sebuah buku lagi tentang Iman Syamil ditulis oleh Muhammad Hamid yang diterbitkan pertama kali pada tahun 1977 oleh Islamic Publication Ltd di Lahore, Pakistan.

Buku itu bertajuk The First Muslim GuerilIa Leader. Buku itu menghuraikan peranan Haji Murat dan hubungannya dengan Imam Syamil.

Watak Haji Murat adalah cebisan kecil cerita pengkhianatan dalam perjuangan dan politik. Sama ada Haji Murat melakukan pengkhianatan atau dikhianati, sejarah kabur sering tidak berlaku adil.

Apakah mesej yang hendak disampaikan Tolstoy kepada pembaca? Mengapa Haji Murat yang terkorban dijadikan watak utamanya? Apakah yang diperjuangkan oleh Imam Syamil?

Pada tahun-tahun 1980-an, semangat jihad melawan mustakbirin seperti AS dan Soviet Union berkobar-kobar. Nama Imam Syamil muncul di tengah-tengah kurangnya bahan maklumat tentang perjuangan orang Islam di wilayah kekuasaan Rusia.

Namanya menjadi inspirasi melawan Kremlin.

Imam Syamil lebih menonjol

Setelah Afghanistan dilanggar oleh Soviet, penduduk tempatan melancarkan jihad dengan sokongan moral dari luar. Nama Imam Syamil menjadi suntikan semangat perjuangan itu.

Mereka mengangkat senjata dan ramai yang syahid. Akhirnya mujahidin berjaya menghalau Rusia dan mereka menubuhkan kerajaan sendiri. Tidak lama kemudian, tercetus pula perang saudara sesama pejuang.

Mereka saling bertelingkah hingga lahirlah kumpulan Taliban. Taliban berjaya membentuk kerajaan baru tetapi berhadapan dengan ancaman Washington pula.

Tolstoy yang berbangsa Rusia itu sewaktu mudanya menjadi tentera yang bertugas di wilayah Kaukasia, tempat Imam Syamil dan Haji Murat berjuang. Dia mempunyai pengalaman menentang penduduk pergunungan Kaukasia itu.

Apabila Haji Murat menyerah, ia dianggap kemenangan besar kepada Tsar Rusia. Walhal bertahun-tahun Rusia cuba menguasai Chechnya tetapi tidak pernah mereka dapat menguasai.

Apakah tindakan Haji Murat itu disebabkan ancaman Imam Syamil? Atau dia memohon bantuan dari Tsar itu untuk selamatkan keluarganya? Imam Syamil menawan ibu, dua isteri dan ahli keluarga Haji Murat bagi memaksa Haji Murat menyerah.

Anak Haji Murat dihumban ke dalam lubang gelap yang busuk. Mereka sanggup mencungkil mata musuh politik yang dianggap pengkhianat.

Tolstoy semenangnya terkenal sebagai penulis yang anti-establishment melalui karya-karyanya seperti War and Peace dan Anna Karenina.

Naratif Tolstoy tentang Haji Murat lebih membayangi watak Imam Syamil yang lebih menonjol dalam sejarah perang Chechnya dengan Tsar.

Novel Haji Murat ditulis 50 tahun selepas Tolstoy meninggalkan tugas sebagai tentera. Mengapa Tolstoy menggambarkan Haji Murat sebagai pahlawan sebenar Chechnya?

Menurut Anwar Ridhwan yang menulis kata pengantar pada novel Haji Murat, pengalaman dan renungan Tolstoy tentang masyarakat pergunungan Kaukasia berjuang menjadi rangsangan dia menulis novel itu.

Walaupun fiksyen ia masih menggunakan latar belakang sejarah sebagai plot penceritaannya. Imam Syamil dapat dikalahkan oleh Tsar pada 1859 iaitu lapan tahun sesudah kematian Haji Murat.

Kembali ke gunung

Begitulah sejarah di mana-mana. Sahabat mengkhianati sahabat seperjuangan. Akhirnya perjuangan hilang kemanisan. Perseteruan sesama sendiri menyebabkan hilang keluarga, jiwa terkorban dan kemusnahan nilai-nilai manusiawi.

Membaca novel Haji Murat dan kemudian menikmati teaternya, saya mengela nafas panjang.

Dalam ketaatan mereka yang soleh melaksanakan suruhan agama, ada sisi gelap yang dicerahkan oleh Tolstoy tentang dua tokoh pejuang Islam Chechnya itu.

Apabila Tsar dilihat tidak bersungguh-sungguh mahu menyelamatkan keluarganya, Haji Murat meninggalkan Tsar tersebut. Dia kembali ke pergunungan untuk menyelamatkan keluarganya daripada Imam Syamil.

Tapi Haji Murat terkorban di tangan Tsar. Kepalanya dipenggal dan dipamer pada orang ramai sebagai amaran kepada sesiapa saja yang menentang memberontak.

Teater Haji Murat adalah sebuah karya sastera yang boleh mengajak kita berfikir tentang wajah sebenar politik.

Apakah kita hendak menanti perdana menteri pergi ke panggung teater lagi?


MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.