Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

KOLUM | Lalu sembahyang pun jadi susah

KOLUM | "Bisa sujud saja udah syukur," kata Gus Baha.

Dia menceritakan tentang beruntungnya orang yang dapat sembahyang. Kata dia, sembahyang itu pilihan Tuhan dan mereka yang sudah sembahyang harus berasa syukur kerana diberi kesempatan untuk berbuat demikian.

Gus Baha adalah antara orang alim yang tidak pernah belajar di luar dari Indonesia, namun ilmunya diiktiraf di seluruh dunia Islam.

Kami suka mendengar penjelasan-penjelasan Gus Baha tentang agama yang sederhana. Sesederhana penampilan dirinya. Songkoknya senget. Rambutnya tidak diurus dengan baik manakala pakaian sehariannya hanyalah kemeja putih dan berkain pelikat.

Dan Gus Baha bukanlah guru agama yang pelik-pelik.

Yang disampaikannya adalah agama dari arus perdana. Tidak ada mistik dan majlis yang memungkinkan kamu segera masuk sorga. Dia juga tidak faham bahasa semut.

Ada orang tidak senang apabila melihat video anak-anak muda yang menghafal al-Quran tetapi berpenampilan hip hop. Ilmunya tidak masuk ke dalam jiwa, kata mereka.

Melalui video-video berkenaan kita akan dapati anak-anak muda - yang tidak kelihatan seperti orang belajar agama itu - dengan selamba membaca ayat al-Quran apabila diminta.

Ada antara mereka yang menghafal sebahagian sementara yang lainnya pula adalah seorang hafiz.

Gus Baha

Masalah kita yang paling utama ialah apabila apa saja hal tentang agama, ia mesti dimulakan dengan penampilan. Lihat saja siapa yang rajin ke masjid misalnya.

Dengan penuh susah payah mereka akan menyediakan pakaian (yang menurut mereka) adalah apa yang perlu dikenakan jika mahu bersembahyang.

Kita susahkan hidup hanya kerana mahu bersembahyang mengikut fahaman kita sehingga kita berasa tidak layak untuk menyembah Tuhan sekiranya tidak mengenakan jubah bersama kopiah.

Seolah-olahnya adalah tidak cukup hanya dengan menutup aurat, kita malah harus  pula memakai uniform tertentu jika mahu ke masjid atau surau. Hatta jika di rumah sekali pun, ada antara kita yang tidak boleh bersembahyang jika tidak memakai kain pelikat.

Biar nampak macam Hang Tuah

Lalu sembahyang pun menjadi susah. Perlu bersungguh-sungguh dalam bersiap, mesti memakai atar, dan mula memasang janggut. Kemudian masjid pun menjadi lenggang kerana semua orang berasa harus mengenakan pakaian khas jika mahu ke sana.

Uniformnya pula perlu jubah, atau paling tidak berbaju Melayu.

Jika kamu mengenakan kurta seperti yang digemari oleh budak-budak Tabligh itu, maka kamu mungkin dianggap tidak berapa suci.

Budak-budak tabligh pun satu hal, basuh dan seterikalah kurta kamu tu. Janganlah asal tabligh saja kamu pun memilih untuk menjadi ahli suffah.

Sesekali jadilah Abdul Rahman Auf. Biar nampak kaya. Kalau kamu kaki rokok seperti kami pula, kumur atau makan gula-gula untuk menghilangkan baunya. Jika berambut panjang, sisir elok-elok biar nampak macam Hang Tuah sewaktu duduk bersama Puteri Gunung Ledang.

Bukannya macam Hang Jebat sewaktu mengamuk.

Jubah, janggut dan juga atar adalah bagus tetapi ia bukan syarat sah untuk bersembahyang.

Anak-anak muda yang menghafal al-Quran dan masih ranggi  itu menurut kami masih dalam proses kehidupan. Setelah beberapa lama duduk di madrasah, mereka akhirnya ‘bebas’ daripada semua kehendak mudir.

Lalu sekarang ini adalah masanya untuk mereka mencari diri sendiri.

Setiap hari mereka melihat kawan-kawan bergaya dengan pelbagai jenis fesyen, dan ditambah pula dengan pengaruh media sosial, mereka juga mahu kelihatan seperti orang lain.

Biarkan mereka lalui semua itu selama mana mereka tidak berbuat salah.

Kita semua pernah melaluinya.

Lihatlah kebaikan yang ada pada mereka dan jangan sibuk menuntut supaya mereka jadi seperti yang kamu mahu. Itu nafsu namanya.

Tidak semua orang yang pernah belajar al-Quran akan menjadi ustaz. Bahkan itulah yang kita mahukan. Di negara-negara lain, pelajaran agama diberikan sejak mereka kanak-kanak.

Setelah menghafal mereka kemudiannya akan pergi belajar apa juga 'ilmu dunia.'

Kita patut bersyukur

Maka dari sana akan lahir doktor, jurutera, polis, tentera malah tukang sapu yang tidak kekok apabila datang kepada membaca ayat-ayat Tuhan. Lalu al-Quran menjadi sebahagian daripada hidup mereka dengan bersahaja.

Bukan semua orang mampu berjubah setiap hari dan bukan semua orang mahu melakukannya. Ada orang lebih senang tidak diketahui ramai akan diri mereka. Maka kita raikan mereka itu.

Kita mengehadkan kerja-kerja beragama ini kepada mereka yang sibuk dengan penampilan yang kita rasa layak sebagai seorang ustaz. Orang ramai yang mahu beragama juga mesti dilihat seperti seorang ustaz.

Kemudian kita pun tidak dapat membezakan siapa yang warak dengan siapa yang alim.

Kemudian lagi, mereka yang baru semalam berjubah akan segera menjadi pakar al-Quran dan hadis. Ketika dibacakan sepotong hadis misalnya, segera ditanya sama ada hadis berkenaan sahih atau tidak.

Walhal kelmarin dulu dia bersama kita ke panggung wayang melayan Deadpool berlawan dengan Wolverine, misalnya.

(Bab bergaduh sahih tidak sahih itu, kita serahkan kepada Ustaz Rora sebab dia memang kaki debat. Malah universiti tempat dia belajar dulu pun memang terkenal dalam melahirkan para pendebat. Cuma dia tidak rileks. Nok maroh sokmo.)

Itu belum lagi kita mengira berapa ramai mereka yang menipu sambil mengenakan pakaian agama.  Atau yang gigih bersembahyang malam, dirakam aksinya lalu mengutip derma, misalnya.

Maka kerana itu kita patut bersyukur kerana walaupun budak-budak itu berfesyen yang tidak kena dengan kehendak kita, sekurang-kurangnya mereka tidak menjadikan agama sebagai mata pencarian.

Mereka mungkin masih ‘tersesat’ namun akan sampai masanya nanti mereka kembali. Pada waktu itu sekurang-kurangnya mereka ‘ada benda’ yang membolehkan mereka bersandar.

Doakan mereka kerana sekurang-kurangnya mereka itu lebih baik daripada kita - yakni ada al-Quran di dalam di dada.

Kata Gus Baha: "Agama jangan melulu menakut-nakuti umatnya tentang neraka. Agama membutuhkan marketing ke sorga yang nyaman, happy dan riang gembira. Banyak orang yang hidupnya susah, jangan dibuat tambah susah."


ABDULLAHJONES ialah pelukis dan penulis yang sedang mendalami bahasa semut tinggi.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.