Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

KOLUM | TV yang menyesatkan kita

KOLUM | Saya ada teman yang selalu murung setiap kali menonton TV. Katanya, keselesaan di ruang tamu rumah teres dua tingkat yang dihampar ambal buatan Iran serta dihiasi sofa empuk Cellini dan kabinet Itali semasa menikmati tayangan kaca TV pintar 75 inci pun tak dapat mengendurkan rasa murung yang dihadapi.

Penyaman udara smart inverter yang mengubah angin tropika jadi salju dalam rumah dia di Bangsar tetap tak dapat meredakan rasa jengkel.

Ada ketikanya badan dia jadi dedar kerana menahan migrain, mual dan loya. Bahkan pernah beberapa kali dia muntah hijau di hadapan keluarga mentua.

Hal serupa turut dihadapi oleh seorang lagi teman saya yang suka menonton TV di dalam dapur kondo mewahnya di Mont Kiara.

Kata kawan saya itu, TV akan membuat muka dia jadi merah kerana marah. Sungguh pun dah kenyang mentekedarah tiga pinggan spaghetti bolognese dengan beberapa kilo maple brown sugar BBQ ribs di depan TV hanya akan membuat dia jadi semakin lapar.

Jenis orang yang melihat aspek intelek, kebijakan atau akal budi dalam seni begini memang sudah lama ada. Cuma anehnya kewujudan kumpulan penonton TV sebegitu kerap dianggap poyo kerana kononnya tak memahami apa itu industri penyiaran dan kandungan TV.

Sebab itulah selera seni mereka hanya dipandang sebelah mata.

Pelakon Nasir Bilal Khan sewaktu menjadi panelis Kongres Sangga Artis Veteran pada 2019 pernah berkata: "Secara jujurnya, apabila diberitahu tajuk drama saya rasa seperti nak termuntah. Masakan tidak, drama sekarang hanya berkisar cinta-cintun. Tugas artis mengajar orang ramai dan menghasilkan moral yang baik. Artis ada tanggungjawab, anak seni sepatutnya memandang sesuatu di sebalik sesuatu. Hasil seni juga perlu memandang 100 tahun ke hadapan."

Nasir Bilal Khan

Apa yang dikatakan Nasir ituada kaitan dengan rendahnya tahap kesedaran dan kepedulian cukong serta kartel stesen TV negara ini. Ia malah turut melibatkan kumpulan karyawan seperti penerbit, pengarah, penyanyi dan pelakon yang kurang mahu bertindak sebagai budayawan mendidik intelektual.

Menurut Syed Hussin Alatas dalam bukunya Intellectuals in Developing Societies, seorang cendekiawan mampu melihat, berupaya mentakrif serta dapat menganalisis masalah masyarakat sebelum memberikan penyelesaian pada setiap permasalahan masyarakat yang ada dalam lingkungan.

Pada 1983 ada satu siri televisyen berjudul PJ yang dihasilkan RTM selepas ia terpengaruh dengan kehebatan siri Dallas dari AS.

PJ yang diuar-uarkan oleh menteri penerangan ketika itu sebagai siri TV untuk memperkenal dan mendidik masyarakat berkenaan dunia korporat telah dikritik oleh Mansor Puteh.

Tak cukup intelek

Di mata Mansor, PJ itu adalah drama yang tersesat dalam semak-samun di puncak bukit Angkasapuri.

Menurut Mansor, dasar Malaysian Inc seperti yang ingin ditunjukkan dalam PJ tidak terkeluar dalam penceritaan mana-mana siri yang tersiar. Apa yang didapati cuma kisah-kisah yang sering kita tontoni dalam siri lain RTM seperti Drama Minggu Ini dan Opah.

Katanya siri PJ tidak boleh mengajar sesiapa untuk mengenal apa itu konsep ‘Pensyarikatan Malaysia.’ Ia cuma boleh mengajar penonton bagaimana berdengki khianat, membunuh serta mewujudkan perasaan prasangka.

Malah akhbar New Straits Times dalam satu bancian mendapati PJ adalah siri TV paling hodoh yang pernah ditayangkan pada 1983.

Mengapa PJ gagal sedangkan Dallas yang menjadi acuannya adalah suatu siri TV global yang berjaya hingga ditonton di lebih 90 buah negara?

Jawapannya ialah, kerana PJ merupakan siri TV yang tidak memiliki nilai intelek, kebijakan dan akal budi bangsa.

Kalau di Dallas, Texas sana ada minyak yang jadi perebutan antara keluarga. Tapi di Petaling Jaya, Selangor dalam siri TV PJ itu ada apa?

Akhirnya watak-watak ahli korporat yang tidak cukup intelektual itu diletakkan dalam konflik perkelahian perhubungan cinta dan keluarga yang remeh, kecil dan sia-sia.

Setelah lebih 40 tahun, kita masih tidak bergerak ke mana-mana. Siri TV tentang mentua bencikan menantu tanpa sebab munasabah, kisah gadis bimbo yang buntu terpedaya sampai diperkosa, wanita jadi ‘bibik’ tebusan dalam rumah suami sendiri disebabkan perkahwinan paksa, dan hikayat skandal suami dayus tapi rakus berstatus jutawan tampan yang masuk pejabat sekali-sekala pada saya bahkan lebih ‘sesat’ daripada siri PJ yang hidup pada 1980-an.

Helo Jodoh, Aku Bukan Ustazah, Syurga Itu Bukan Mudah, Dedaun Hijau Di Angin Lalu atau Takdir Itu Milik Aku adalah antara khayalan dari lambakan masalah masyarakat yang tak terselesaikan.

Hari ini masyarakat kita bukan saja berhadapan dengan kemiskinan harta benda. Kita juga ada isu dengan kemiskinan ilmu, pengetahuan, budaya dan moral yang kian kritikal.

Karya seni sepatutnya dimanfaatkan secara intelektual untuk membuka mata manusia tentang ancaman bencana yang sedang menanti untuk menelan kita.  Justeru cabaran ekonomi, politik, budaya, ras dan agama yang kian menggila kini memerlukan kandungan-kandungan TV yang cerdas lagi membina.

Kalaupun seni-seni kita tetap tidak mampu mencerdaskan, paling tidak, janganlah pula dibiarkan ia menjadi alat menyesatkan masyarakat.


HARIS HAUZAH ialah penyajak yang suka membaca buku agama sambil dengar lagu Stevie Wonder.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.