Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

KOLUM | Tanah air memerlukan sastera

KOLUM | Shahnon Ahmad antara penulis yang banyak menimbulkan gerakan sastera politik sehinggalah dia terjun bergelumang dalam dunia politik secara langsung.

Shahnon sememangnya komited dalam menzahirkan setiap aturan politik secara zahir mahupun abstrak.

Dia menjadi wakil rakyat PAS mewakili kawasan parlimen Sik, daerah miskin di Kedah. Sebelum menzahirkan dirinya dalam dunia politik, Shahnon terlebih dulu menulis isu-isu politik dalam karya-karyanya.

Antaranya Sasterawan Negara itu menulis novel yang bertajuk Patriarch, Perdana, Menteri dan sebagainya. Novel Patriarch membawa pembaca meneroka ke alam denyut perasaan pemimpin yang telah mati.

Ia adalah post mortem ke atas sistem politik dan manusia politik dalam sebuah karya sastera untuk dinikmati dan menjadi sebuah kesedaran bangsa.

Istilah mati dalam karya Shahnon itu bukan sekadar bermakna meninggal dunia. Mati bermaksud apabila seseorang pemimpin tidak lagi berkuasa, tidak berjawatan ataupun menjadi mantan.

Ia sekadar menjadi saksi bisu kepada persekitaran yang sudah tidak menghiraukannya lagi. Ia mendengar dan dapat melihat tetapi mulutnya terkunci rapat.

Shahnon mengkritik keras ahli politik yang lupa diri. Sayangnya, ahli politik tipikal jarang membaca novel yang sebegitu. Lebih-lebih lagi novel yang menuntut waktu dan fikiran.

Kehebatan sebagai pemimpin

Masa mereka lebih digunakan untuk melayani kehendak orang di sekeliling yang tanpa jemu memuja muliakan pemimpin. Yang berbincang hingga larut malam tetapi kosong makna buat rakyat dan tanah air.

Juga yang diasyikkan soal si polan yang cuba menjatuhkan kedudukannya atau membidak-bidak peluang pada kesempatan yang ada sambil mengipas pemimpin sendiri.

Novel Patriarch mengisahkan seorang pemimpin bernama Jasadiah yang diberi julukan Patriarch oleh para pengikutnya.

Penggunaan nama Patriarch adalah gelaran yang kelihatan gah dan hebat. Walhal itu hanyalah kosmetik atau seperti jargon sahaja.  

Realitinya Patriarch melupakan janjinya kepada rakyat dan menjadi seorang pemimpin yang kejam lagi zalim demi melaksanakan agendanya. 

Kehebatan sebagai pemimpin berjiwa rakyat yang ditunjukkan pada awal kepimpinannya adalah kepura-puraan demi memenangi hati rakyat.

Shahnon Ahmad

Setelah mendapat kuasa, Patriarch menunjukkan rupa sebenarnya sebagai pemimpin yang mementingkan diri sendiri.

Dalam novelnya, Shahnon membawa pembaca ke alam roh si mati yang sewaktu hidupnya menjadi pemimpin. Jasad pemimpin itu terbaring kaku tetapi rohnya dapat melihat gelagat orang yang masih hidup.  

Ternyata mereka yang ditinggalkan Patriatch meraikan kematiannya.

Tulisan ini tidak berhasrat membincangkan karya Shahnon tentang politik. Ini bukannya ruangan sastera dan seni. Tulisan ini mengajak pembaca berfikir secara kreatif, kritis dan berani melihat politik semasa.

Tulisan ini juga bukan ditujukan kepada pemimpin yang berkuasa atau pemimpin yang sedang gigih mendapatkan kuasa.

Macam bangkai di tepi jalan

Ini adalah soal rakyat biasa atau pengikut cabuk yang sering diperdagangkan oleh pemimpin. Kesetiaan dan pengorbanan pengikut dan rakyat sering dijadikan modal untuk berkuasa. Apabila sudah berkuasa: hilang manis, sepah dibuang.

Biar seratus sasterawan menulis tentang perlunya masyarakat bangkit sedar tentang tipu muslihat pemimpin jahat, namun pada sejarahnya pemimpin jahat terus muncul dengan pelbagai rupa dan bentuk.

Dalam politik sebenar, saat pemimpin mula melupakan peranannya sebagai pemimpin, itulah detik menuju ke garis pengakhirannya sebagai pemimpin - mati!

Biar apa jua jawatan atau takhta yang diduduki, pemimpin itu pada hakikatnya telah mati. Hanya menanti masa untuk diturunkan atau disingkirkan.

Jika dalam organisasi parti, upacara mentalkin pemimpin itu adalah sewaktu kongres, konvensyen atau perhimpunan tahunan. Setiap perwakilan meratib satu demi satu dosa pemimpin mereka.

Bergegar rumah seketika apabila meratib hu-ha-hu-ha yang memecah kesunyian malam.

Sejarah pemimpin itu akan terpadam. Retoriknya dahulu dijadikan bahan jenaka. Itulah pengakhiran sebagai pemimpin yang rosak dan mereput.

Pengakhiran hidupnya sebagai manusia pula seperti bangkai di tepi jalan. Membusuk dan meloyakan apabila namanya disebut.

Atau istilah yang digunakan Shahnon: Shit!

Ini bukanlah sebuah teori kepimpinan yang perlu dipelajari dalam kuliah universiti. Tidak perlu memiliki ijazah untuk memahaminya. Ini kerana si jahil murakab pun mudah faham.

Ini adalah sejarah manusia memimpin dan dipimpin. Ini juga adalah soal hukum alam seperti sungai yang mengalir deras namun beransur-ansur perlahan dan lesu di penghujung zaman.

Petanda bermula kejatuhan

Ini juga bukan soal ukuran umur atau lamanya seseorang pemimpin menerajui bahtera atau berada di lambungan ombak perjuangan. Berpengalaman atau tidak, bukan soalnya.

Ini adalah mauduk pemimpin yang kehilangan bisa lantaran keghairahannya memimpin sudah berubah. Keadaan di sekelilingnya serba baru dan mempesonakan.

Pemimpin yang sedang menuju jalan kematian biasanya akan ‘buang tabiat’. Secara perlahan-lahan minat, hobi atau kecenderungannya juga berubah.

Dia mula mencintai sesuatu yang tidak pernah menarik perhatiannya sebelum ini. Paling mudah adalah keghairahannya pada wanita, pangkat dan harta secara salah.

Itulah permulaan kepada jalan menuju kematian.

Pemimpin yang berada di kemuncak bukanlah bermaksud dia sedang berada di tampuk kekuasaan sama ada takhta, jabatan atau kedudukan yang tinggi.

Contohnya perubahan kedudukannya daripada di medan perlawanan kepada medan pemerintahan. Dunia retorik bertukar kepada dunia sebenar. Dunia sebenar mempunyai kayu ukur yang dapat dilihat, dirasa dan dipegang.

Apabila seseorang berasa dirinya kecukupan dalam hidup sedangkan para pengikut, pendukung serta rakyatnya menderita, itu petanda detik kejatuhan - atau kematian - seorang pemimpin.

Detik kematian tersebut semakin hampir apabila para juak yang di kelilingnya menjadi penasihat yang hanya memikirkan kantung, perut dan bawah perut.

Apabila pemimpin itu nazak, maka para juaknya bergelimpangan kehilangan nafas dan kudrat. Dan ketika itu, tanah air memerlukan sastera kembali!


MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.