Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

KOLUM | Arak, SJKC dan Cina

KOLUM | Jikalau peruntukan untuk sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) mencukupi, apa perlunya mereka berhempas pulas untuk mengutip derma? Persoalan pokok ini tidak harus dielakkan, sebelum kita mengupas lanjut isu penglibatan syarikat arak dalam aktiviti kutipan derma untuk SJKC.

Sekilas pandang, isu ini mencungkil sensitiviti masyarakat muslim kerana melibatkan syarikat arak, lebih-lebih lagi ia bermula dengan serangan pemimpin PAS terhadap parti Amanah. Namun bacaan kita kurang menyeluruh seandainya tidak mengambil kira konteks dan latar belakang kontroversi ini tercetus.

Dengan kata lain, sentimen masyarakat muslim hanyalah sebahagian daripada kontroversi dalam sesebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia. Sentimen masyarakat Cina yang cuba saya singkapkan berikut, merupakan serpihan-serpihan tertinggal, yang wajar kita susunkan kembali untuk mendapat gambaran yang lebih lengkap.

Guru mati jatuh terpijak lantai diceroboh anai-anai

Suka atau tidak, kedudukan sekolah vernakular diiktiraf di bawah Akta Pendidikan 1996. Malah penggunaan bahasa ibunda, iaitu mandarin dan tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular juga terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Kedua-duanya pernah dicabar di mahkamah, tetapi hakim memutuskan bahawa kedua-duanya sah dan selari dengan perlembagaan. Lantas penghakiman ini dijadikan pendirian yang dipertahankan Kementerian Pendidikan pada hari ini.

Namun, sekolah aliran pendidikan bahasa Cina mempunyai sejarah perkembangan dan sistemnya tersendiri. Kerajaan menanggung kos operasi harian sekolah, misalnya gaji guru, kos penyelenggaraan asas dan sebagainya, tetapi penaiktarafan kemudahan menuntut peruntukan lebih besar. Ditambah pula mentaliti komuniti Cina untuk memberikan segala yang terbaik kepada anak-anak dalam hal pendidikan, maka peruntukan kerajaan sering dianggap tidak mencukupi.

Persepsi umum mendapati sekolah Cina dilengkapi infrastruktur yang lebih mewah berbanding sekolah kerajaan yang lain. Namun, ramai Melayu mungkin yang tidak tahu tentang satu tragedi yang berlaku pada 11 September 2005 di SRJK(C) Keat Hwa (K) Alor Setar, yang menyaksikan seorang guru, Chan Boon Heng jatuh mati dari tingkat atas kerana terpijak lantai yang reput dicerobohi anai-anai.

Dengan kata lain, bukan semua sekolah Cina mewah belaka, dan tragedi ini dijadikan iktibar agar ia tidak diulangi, di samping “mengesahkan” naratif bahawa pengagihan peruntukan kerajaan tidak adil untuk SJKC dalam kalangan komuniti Cina. Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menggalas misi tradisi untuk mengutip dana, daripada usahawan Cina, alumni dan komuniti akar umbi setempat, agar infrastruktur yang lebih selamat dan lengkap untuk pengajaran dan pembelajaran dibina.

Maka penajaan syarikat arak dalam aktiviti konsert bagi tujuan mengutip dana harus dilihat dalam konteks ini. Ia lebih kepada kerjasama antara perusahaan untuk membangunkan pendidikan aliran bahasa Cina, kerana media bahasa Cina seperti Sin Chew Daily dan Nanyang Siang Pau turut terlibat dalam usaha ini. Arak minuman yang tidak sihat tetapi bukan dosa untuk kebanyakan Cina, umpama air manis yang merisikokan kaki tetapi boleh dijual di merata-rata.

Apapun tuduhan yang dilontar, “sekolah vernakular penghalang perpaduan”, dan sebagainya, hakikatnya, sekolah-sekolah inilah juga yang melahirkan atlet yang namanya disorak di kedai mamak ketika menonton Sukan Olimpik. Mereka bertarung bermati-matian untuk merebut pingat, agar Jalur Gemilang berkibaran di persada antarabangsa, agar lagu Negaraku berkumandang di pentas Olimpik, tatkala sekolah mereka dihina dengan segala macam tuduhan.

Kemasukan anak-anak Melayu

Zaman beredar. Kita semestinya sedar akan pola peningkatan populasi murid bumiputera dalam SJKC sejak 10 tahun kebelakangan, mencecah 18.52% pada tahun 2024. Angka ini merangkumi murid bumiputera dari Sabah dan Sarawak, namun kita tidak tersasar jauh dari realiti untuk mendakwa bahawa terdapat puluhan ribu orang murid Melayu yang sedang belajar di SJKC.

Sudah tentu pimpinan Dong Jiao Zong mengalu-alukan kemasukan pelajar Melayu ke SJKC, kerana mencorakkan kemajmukan dalam SJKC, selain “membuktikan kejayaan aliran pendidikan bahasa Cina”, sekaligus menepis tuduhan bahawa sekolah Cina untuk Cina sahaja.

Di sebalik “kemegahan” ini, beban guru bertambah, kerana perlu meluangkan lebih masa untuk pelajar yang bahasa ibundanya bukan bahasa Cina. Ia menuntut satu pendekatan pengajaran yang berbeza, yang barangkali perlu diterokai sendiri untuk memahamkan murid tentang pelajaran yang disampaikan.

Itupun belum termasuk komunikasi dengan ibu bapa Melayu yang langsung tidak fasih bahasa Cina. Guru besar pula perlu lebih berhati-hati dalam hal pengurusan, kantin misalnya, dalam bab makanan halal khususnya.

Biar berterus-terang di sini, sama ada pihak LPS, PIBG mahupun pendidik, terutamanya sekolah di luar bandar, agak cuak dan gelisah dalam hal ini kerana bukan senang untuk menguruskan budak umur 12 tahun dan ke bawah. Maklumlah, kesilapan yang tidak sengaja boleh diperbesarkan sehingga dilemparkan tuduhan menghina agama, sedangkan mereka sekadar mahu berkhidmat untuk memberi pendidikan terbaik kepada generasi seterusnya.

Mereka juga sedang belajar untuk menyesuaikan diri, keluar dari zon selesa dengan 100 peratus Cina, ke satu persekitaran campuran pelbagai kaum dalam sekolah.

Sudah tentu ada rungutan dari akar umbi bahawa “SJKC ditampung dengan sumber dana dari komuniti Cina”, mengapa dimanfaatkan pula komuniti Melayu? Naratif sedemikian masih boleh dipatahkan kerana aliran pendidikan bahasa Cina mendukung idealisme “pendidikan harus melayan semua secara sama rata”. Kami tidak diasuh untuk memilih bulu berdasarkan kelas, pangkat, keturunan, warna kulit atau agama dalam pendidikan.

Jikalau diretorikkan, ia berbunyi, “Murid Cina, murid saya. Murid Melayu, murid saya. Murid India, murid saya. Murid Iban, murid saya. Murid Kadazan, murid saya. Zai hua xiao, wo men dou shi yi jia ren. (Kita semua sekeluarga dalam SJKC.)”

Hantar anak ke SJKC, serang SJKC di parlimen

Cuma manusia mempunyai emosi. Bagaimana komuniti Cina berdepan dengan anak murid Melayu yang ibunya selaku ahli parlimen menyerang sjkc di Dewan Rakyat? Bagaimana pula mereka yang berhempas pulas mencarikan dana untuk mengisi kelompongan peruntukan kerajaan, dan kemudian sudi berkongsi sumber ini dengan murid dari semua kaum yang belajar di situ, kini dipersalahkan?

Dengan dana yang terkumpul, infrastruktur sekolah diselenggara agar tragedi jatuh mati dari bangunan usang tidak berulang; kemudahan dinaik taraf untuk menambah keselesaan dan keberkesanan pembelajaran. Kesemua ini dimanfaatkan secara langsung oleh semua anak murid yang belajar, dan semua guru yang mengajar di SJKC, tanpa mengira kaum dan agama.

Dan sekarang, kita membincangkan larangan penglibatan syarikat arak dalam aktiviti kutipan derma untuk membangunkan SJKC, dengan alasan terdapat pelajar muslim Melayu dalam sekolah itu; malah disimbah pula minyak ke dalam api dengan dakwaan bahawa lebih peruntukan kerajaan disalurkan kepada SJKC berbanding sekolah kebangsaan.

Namun jarang-jarang kita mendengar suara “mengapa tidak kita salurkan peruntukan secara adil agar kemudahan SJKC diselenggara sebaik mungkin, supaya ia selamat dan selesa digunakan?”, kerana “Anak Melayu anak saya, anak Cina anak saya, anak India anak saya, anak Kadazan anak saya, anak Iban anak saya”.

Tepuk dada tanya selera, andainya anda Cina, apa rasa anda?


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.