KOLUM | Tiada Qunut Nazilah dalam Boy From Heaven
KOLUM | Siapa kata masjid, madrasah dan maahad bebas daripada iblis dan selamat daripada kejahatan syaitan?
Pada 2 Julai lalu, Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 dibacakan buat kali pertama di Dewan Rakyat.
Ekoran itu timbul polemik dalam kalangan penguasa, ahli politik dan agamawan apabila RUU itu mensyaratkan seseorang yang mahu dilantik menjadi mufti mestilah Sunni yang berakidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan beraliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah.
Malah dalam perkara 4(a) RUU itu juga mensyaratkan seorang mufti yang dilantik mestilah bermazhab Syafie dalam fikah serta berpegang dengan jalur sekolah pemikiran Imam al-Ghazali dan Imam Junaid dalam tasawuf.
Setakat ini sembilan mufti - Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Pahang, Kedah, Terengganu, Melaka, Sabah dan Wilayah Persekutuan - menyatakan sokongan, manakala Perlis menyifatkan peraturan itu sebagai penyempitan minda serta mengekang keterbukaan intelektual selain keluasan perdebatan.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang pula berhujah dengan fakta sejarah dengan menyatakan semua ulama Islam tidak pernah membenarkan mazhab mereka diisytihar sebagai aliran rasmi sesebuah negara.
Pergeseran kuasa politik dan pertentangan intelek dalam hal-hal doktrin mazhab dan aliran keilmuan sebegitu mengingatkan saya pada sebuah filem arahan Tarik Saleh, Walad Min al-Janna (Boy From Heaven).
Ia semakin relevan apabila baru-baru ini ada sekumpulan ahli parlimen membacakan Qunut Nazilah dalam Dewan Rakyat kerana Ahli Parlimen Machang digantung enam bulan.
Peristiwa tersebut seolah-olah mewajarkan kedangkalan akal pihak tertentu yang tidak peduli akan bacaan Qunut Nazilah anak-anak sekolah sebelum mereka memasuki padang untuk pertandingan ragbi.
Kejadian tersebut berlaku di Taiping, Perak dan Sabak Bernam, Selangor.
Melalui Walad Min al-Janna (atau judul lainnya, Cairo Conspiracy) filem hasilan terbaik Tarik cuba meletakkan penonton dalam satu konflik perseteruan di antara kuasa politik dengan kuasa agama yang kemudian menimbulkan banyak pergelutan dan ancaman.
Pengarah yang pernah mengejutkan penonton Eropah dengan filem The Nile Hilton Incident itu meletakkan Universiti al-Azhar sebagai pusat yang melatari krisis kepentingan tersebut.
Konflik tak terduga
Ancaman yang datang daripada jawatan Imam Besar al-Azhar terlihat mampu memudaratkan kestabilan negara, menggoncang kedudukan presiden serta institusi pendidikan agama secara global.
Walad Min al-Janna membuka visualnya dengan pernyataan yang sederhana tapi membukakan mata.
“Pada 972, para Fatimid (dinasti kerajaan Syiah Fatimiyah) telah mendirikan al-Azhar lantas menjadikannya pusat pengajian Islam. Imam besar adalah ketua tertinggi dalam Islam Sunni. Selama berabad-abad para penguasa Mesir cuba menguasai al-Azhar namun hingga kini mereka gagal.”
Premis cerita dimulakan dengan Adam iaitu anak sulung seorang nelayan kampung yang diterima masuk ke universiti Azhar. Ironinya Adam tidak begitu teruja atau menunjukkan sebarang minat luar biasa.
Namun sebaik didorong oleh imam kampung serta mendapat restu ayahnya yang tegas dan keras, Adam meninggalkan kampung untuk menyambung pendidikan agama.
Sebaik saja Adam tiba di sana, Imam Besar al-Azhar tanpa diduga meninggal dunia. Maka muncullah konflik tanpa diduga.
Agamawan seperti Sheikh Negm, Sheikh Beblawi dan Sheikh Durani mula menonjolkan kecenderungan masing-masing dalam doktrin aliran pemikiran mazhab yang dipegang mereka.
Pergeseran itu tentunya didalangi oleh tangan-tangan ghaib dalam kalangan penguasa Mesir yang dimunculkan sebagai Kolonel Ibrahim, Jeneral Sobhy dan Jeneral Al Sakran yang mahu memastikan kepentingan negara dan presiden terpelihara.
Dapat perhatian besar
Dunia baru yang bebas daripada kawalan bapanya di bandar sebesar Kaherah, ditambah kenaifannya tentang dunia politik institusi dan negara akhirnya menjebakkan Adam ke dalam dunia perisikan.
Dia ditekan untuk menyelinap masuk ke dalam kumpulan tertentu serta mengumpul segala maklumat berkenaan skandal, kemaksiatan dan khianat yang wujud dalam kalangan pimpinan institusi pengajian tersebut.
Oleh kerana negara kita tidak ada filem-filem seumpama Walad Min al-Janna, barangkali kita bolehlah terus lalai dan tidak mengendahkan kalau ada antara ulama kita yang memang pantang mendengar ayat al-Quran dibaca dengan cara melagukannya.
Jadi barangkali tidak tercapai akal kita untuk membaca bahawa struktur politik, sistem perundangan dan institusi yang suci murni seperti al-Azhar itu juga tidak pernah selamat daripada kejahatan syaitan.
Malahan ia juga turut terdedah kepada segala macam kerja licik dan manipulasi agenda puak-puak berkepentingan yang mahu impian mereka dimenangkan.
Sementara itu di negara ini ada wabak sedang merebak. Ia merupakan keghairahan orang besar-besar dalam industri televisyen menghasilkan pelbagai rancangan realiti influencer menyanyi.
Untuk melengkapkan kegagalan, program itu mesti menampilkan juri yang mengaku persembahan influencer terbabit sangat sedap dan luar biasa. Dengan ramuan itu maka anak-anak kita akan terus disumpah agar gagal mengenal yang mana agamawan sejati dan yang mana ustaz scammer yang tidak pernah jemu menyakau.
Bahkan ada antara 'ustaz' itu sebenarnya tergamak mencabul serta menyondol.
Disebabkan orang seni kita lebih suka membidankan cerita-cerita ringan yang menguntungkan - dan tidak perlu membuat orang ramai berfikir - masyarakat kita pun tidak dapat tahu betapa ada antara 'ulama' yang memberi ceramah di pentas politik itu juga gemar melibatkan diri dalam majlis joget-jogetan ala demi menghalalkan keinginan mereka pada alam hiburan.
Walad Min al-Janna mengajar kita bahawa kejahatan itu bisa wujud dalam bentuk jelmaan pemimpin-pemimpin yang nampak terhormat. Malah bahkan kesesatan itu turut boleh saja datang daripada para ilmuan yang berjubah dan berserban.
Oleh kerana itu pada penutup filem Tarik itu ada dialog yang cukup menarik.
“Di sana apa yang kau belajar?”
Pengarahnya tahu kita memang sering lalai, dan tak pernahnya perasan pada kejahatan-kejahatan yang dijubah dan diserbankan.
HARIS HAUZAH ialah pembaca tegar buku-buku fesyen yang fanatik kepada idiom dan simbol.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai