Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

KOLUM | Tak payah ambil hati

KOLUM | Bosan sebenarnya apabila mendengar orang marah-marah fasal bangsa atau bahasa Melayu. Ia adalah isu yang sudah lama basi dan berulat.

Sejak lama dulu lagi pihak yang bertanggungjawab ke atas hal-hal bahasa tidak bertegas. Ditambah pula dengan kebangkitan semangat Melayu yang palsu - semuanya menambah lagi benci orang kepada bangsa yang entah-entah itu.

Untuk pengetahuan semua, kebangkitan semangat Melayu yang palsu itu diusahakan oleh sebuah partai politik di hujung-hujung nyawanya. Partai berkenaan biarlah kita namakan saja sebagai Umno sebagai pemudah bicara.

Hampir semua Melayu berasa apa yang diperkatakan oleh partai berkenaan sebagai benar. Melayu terancam - kata mereka - dan ramailah Melayu yang percaya.

Walhal apa yang mereka inginkan adalah mandat untuk memerintah sepenggal lagi.

Dan hal itu mereka ulang dan ulang lagi. Melayu pun berulang-ulang percaya sambil diperbodohkan sampailah ke hari ini.

PAS yang sentiasa berahi ingin menjadi kerajaan itu pun tersasul.

Disuruh memakai tanjak dan keris, dipakainya. Disuruh bercakap pasal ketuanan Melayu, diikutnya. Malah sampai hari ini, yakni hari Umno mula menyedari bahawa membawa modal sentimen tidak semestinya membuahkan untung, PAS masih setia dengan dongeng keagungan bangsa Melayu.

Cuma ditambah oleh mereka sedikit sebanyak panduan jalan mudah ke sorga yang menjadi identiti parti itu.

Kemudian datang pula kumpulan yang mendakwa bangsa Melayu itu mempunyai pertalian dengan semua peristiwa penting dalam Islam dan juga sejarah dunia.

Kayu bahtera Nabi Nuh didongengkan berasal dari negeri sebelah sini. Segala pedang yang penting dalam sejarah Islam, kata mereka, berasal dari relau yang ada di Kedah.

Mendam Berahi, kapal Hang Tuah - pahlawan Melayu yang hilang dari dunia itu - dikatakan boleh muat sampai 1,000 orang. Dan ada pelbagai lagi kisah ajaib bangsa Melayu boleh disurahkan asal kamu sudi mendengarnya.

Yang masih belum kita dengar ialah hubungan Tanah Melayu dengan planet-planet yang ada dalam jagat raya ini.

Kalau percaya kisah sejarah

Pun begitu kami tidak terkejut sekiranya cerita-cerita begitu keluar dalam masa satu atau dua hari ke depan, kerana selain malas, Melayu juga kuat berangan-angan.

Mereka yakin dengan cerita-cerita begitu dengan sesungguhnya sehingga membuatkan kami rasa kesian.

Dalam kalangan masyarakat Melayu, sehingga kini masih ada orang yang bernama Tuah. Ia bukanlah pelik kerana makna nama itu sendiri adalah menguntungkan.

Kemudian datang pula Melayu yang berasa dirinya rebel. Lalu dinamakan anak mereka sebagai Jebat. Konon-konon mengambil sempena nama pahlawan yang dikhianati teman sendiri.

Mereka mahu anak-anak mereka ada semangat melawan, walhal jika mereka sungguh percaya pada cerita sejarah, setelah berasa dikhianati, pertama-tama yang dilakukan oleh Jebat ialah membunuh orang awam dan juga menggauli gundik-gundik raja.

Tak ke berdosa namanya itu?

Sepatutnya Jebat jumpalah raja, berbincang, hantar surat rayuan serta berdoa kepada Tuhan kerana berasa dizalimi. Ini tidak. Terus mengamuk tak tentu hala.

Dan yang sadisnya ialah apabila nama bapa si Jebat moden itu ialah Remy Daniel Oslaini. Jebat bin Remy Daniel Oslaini. Kesian ke budak!

Sejak zaman Melaka sehingga ke hari ini tidak ada Melayu yang bernama Lekir atau Lekiu. Dan hanya Melayu yang singkat akalnya sahaja yang akan memanggil anak lelakinya sebagai Kasturi.

Sedangkan dalam versi Hang Tuah yang lain, Hang Kasturilah yang dikatakan sebagai telah menentang raja dan berlawan dengan Hang Tuah.

Kesian Lekir dan Lekiu, dilupakan begitu saja. Jasa tidak dikenang bangsa.

Hampir semua bahasa asing

Dalam hal bahasa, kita semua sudah tidak boleh diselamatkan. Perkataan baru akan sentiasa segera timbul selari dengan peredaran masa.

Sepuluh tahun dulu kita tidak pernah mendengar perkataan ‘pempengaruh’ misalnya. Hari ini perkataan tersebut sudah menjadi sebutan harian.

Ditambah pula rasa selesa dan juga tidak tegasnya pihak berwajib menjalankan undang-undang mengenai bahasa, maka jadilah apa yang jadi pada hari ini.

Andai kamu berjalan di bandar-bandar di negara ini, kamu akan dimaafkan jika menyangka yang kamu sedang berada di luar negara.

Hampir semua papan tanda menggunakan bahasa asing.

Cuba kamu halakan kamera telefon bimbit kamu ke arah mana-mana bangunan di hadapan kamu dan di sana kamu akan dapati perkataan-perkataan seperti workshop, mart, café, mall, grocery dan sebagainya dan sebagainya.

Malah di celah-celah kampung yang jalannya masih belum berturap sekali pun kamu akan temui café la fleur. Walhal tuan punya kedai berkenaan setiap malam tidur berkain pelikat sambil mengaru butir yang tidak berbulu.

Kemudian kamu menggelupur marah apabila orang buat keramaian dan melupakan bangsa kamu, sedang kamu sendiri asyik dengan dongeng antah-berantah sambil menghirup latte panas dan berseluar ketat tersepit telur.

Sepatutnya apabila kamu marah pada sekolah-sekolah vernakular misalnya, kamu seranglah sekolah berkenaan dengan menghantar anak-anak kamu ke sana. Biar penuh satu sekolah dengan budak-budak Melayu.

Kemudian tentu saja sekolah-sekolah berkenaan menghadapi tekanan untuk menyediakan pendidikan yang kamu rasa sesuai untuk semua bangsa.

Di samping itu kamu juga boleh membiasakan anak-anak yang tidak pernah bergaul dengan bangsa kamu itu agar mereka lebih mengenali bangsa agung kamu itu dengan lebih dekat.

Mana tahu - mereka mungkin akan jatuh cinta dan bernikah. Nanti anak cucu kamu yang keliru bangsa itu akan membesar dan meludah muka kamu yang sangat tebal sikap perkaumannya itu.

Atau jika kamu tidak suka dengan nama George Town misalnya, maka kamu sendiri mula menggunakan nama Tanjong Penaga dalam semua urusan.

Baik semasa bercakap di kedai kopi mahu pun ketika menulis alamat kamu pada semua dokumen kerajaan. Biar posmen dan budak-budak JNT pening.

Kemudian apabila kamu mengadakan persembahan apa pun tentang budaya kamu - tidak kira sama ada boriakah tau dondang sayangkah - buatlah sungguh-sungguh.

Tak payah mengambil hati orang lain dengan melibatkan mereka konon kamulah yang paling muhibah. Tonjolkan kesenian asal puak kamu dengan sepenuh hati dan dengan tekad dan azam untuk mempertahankannya.

Bukan sebab kamu mahu projek dan menggelapkan keuntungan seberapa banyak yang boleh.

Makan duit orang ramai atas nama simpati bukan kerja kamu. Kerja tersebut sudah diambil oleh ramai budak-budak pempengaruh dan musang berjanggut yang sibuk  mencari dana untuk membina deretan kubah masjid di Burkina Faso.

Ikut perangai Yahudi. Rancang perlahan-lahan sehingga semua pihak rasa tertekan dan mengikut telunjuk kamu. Jangan jadi barua politik, sebaliknya bertegas dalam membuat keputusan.

Kemudian pegang sungguh-sungguh apa yang kamu perjuangkan.

Barulah tidak Melayu hilang didunia.


ABDULLAHJONES ialah seorang pelukis, penulis dan pempengaruh.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.