Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

KOLUM | Setahun selepas Salahuddin

KOLUM | Sehari selepas hadir dalam Pertemuan Sasterawan Malaysia anjuran Persatuan Penulis Johor dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka di Pontian, saya mengunjungi pusara Salahudin Ayub.

Pusara itu terletak di kampung halamannya di Serkat, Tanjung Piai. Ia merupakan kunjungan pertama saya ke situ selepas hari pengebumiannya pada 24 Julai 2023 lalu.

Seperti tanah-tanah perkuburan lain, kawasan itu sunyi dan tenang. Tiadalah angin sepoi-sepoi bahasa berhembus. Ia tidaklah seperti dalam drama atau berita sensasi dalam akhbar.

Pusara Salahuddin diselimuti hamparan rumput menghijau, selain tiga rumpunan bunga yang menjadi teman dua batu nisan putih.  

Saya habiskan bacaan surah Yasin seadanya di bawah mentari yang sederhana panas. Ia berkaitan kepercayaan bahawa ada pahala atas bacaan tersebut. Tidak lebih daripada itu.

Kemudian saya ke pusara bapa dan datuk Salahuddin yang tidak jauh dari situ. Ziarah saya ditemani adik arwah, Ghazali, yang juga pemilik kedai Kopi Tenggek di kampung tersebut.

Salahuddin ialah sahabat semua orang politik. Dia bukan sekadar sahabat saya atau rakan politiknya. Politik damai Salahuddin terus kekal meski dia keluar dari parti yang menjadi medan pertamanya berjuang – PAS.

Tercicir dari senarai

Benci dan melawannya terhadap PAS dan seteru politik bukan atas nama peribadi. Dalam politik, biasanya kebencian membakar segala sifat murni yang ada, tetapi tidak pada Salahuddin.

Dia terus kekal bersilaturahmi dan membantu pada kadar yang sesuai.

Banyak pengalaman dan kenangan dengan arwah. Antaranya usaha menjadikan kebudayaan sebagai salah satu segmen penting dalam agenda politik parti.

Pernah saya bentangkan kertas kerja bertajuk Sebuah Idea Kebudayaan Merentas Kementerian dalam mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Definisi kebudayaan sering disempitkan, ke belakang dan kelam. Suatu yang malang, pada awal pembentukan kabinet kerajaan perpaduan, kementerian yang bertanggungjawab dalam hal ehwal  kebudayaan tercicir dari senarai.

Meski kemudian diperbaiki tetapi apa yang berlaku memadai untuk memberi petanda tahap pemikiran kepimpinan pada masa itu.

Begitulah ke belakangnya politik negara membangun dalam meraikan aspek kebudayaan. Walhal kebudayaan adalah persoalan identiti bangsa. Budaya dan seni hanya sering digunakan untuk meraih sokongan kerana memiliki unsur pop dan fitrah.

Saya selitkan petikan tulisan Dinsman tentang tekad budaya yang menyebut, "Yang menggerakkan kesedaran rakyat untuk merdeka adalah orang budaya, dengan kesedaran budaya dan dorongan budaya."

Saya tekankan keperluan Amanah memberi perhatian serius pada aspek budaya sebagai alat politik, bukannya memperalatkan budaya dan budayawan.

Hadapi birokrasi jahat

Meski menteri dan timbalan menteri dari Amanah tidak diberi taklif dalam hal ehwal kebudayaan di bawah kerajaan perpaduan, tidak semestinya aspek kebudayaan dilepaskan begitu sahaja.

Selaku pengerusi Biro Kebudayaan dan Kesenian Amanah Nasional pada masa itu, tanggungjawab politik saya ialah membawa kuasa budaya dalam politik.

Salahuddin antara pemimpin Amanah yang sangat peka tentang hal itu.

Selepas selesai saya bentangkan, Salahuddin paling awal yang mengulas. Dia bersetuju dan menyokong. Namun kertas kerja saya itu lebih kepada satu kerangka konseptual kebudayaan dalam sistem pemerintahan yang perlu diberi perhatian oleh pemimpin parti.

Ia bukan proposal projek menuntut peruntukan.

Ketika itu, Salahuddin berkongsi pengalamannya membantu aktiviti kebudayaan meski portfolionya pada masa itu dalam bidang pertanian. Dia mengambil contoh teater arahan Dinsman di Padang Merbok.

Khalid Samad

Teater Di Sawah Padi Muzika Uda dan Dara dipentaskan bersempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2019. Ia merupakan persembahan grup Seniman Paksi Rakyat (Paksi) dengan kerjasama KL International Arts Festival.

Tema teater itu adalah berasaskan kehidupan petani di sebuah desa miskin yang bertembung antara kaum modal dengan petani miskin. Ia menggambarkan pengeksploitasian dan kezaliman yang mendapat tentangan masyarakat desa yang bersatu.

Salahuddin membawa isu kemasyarakatan desa yang sangat hampir dengan perjuangannya. Dia mencari peruntukan untuk membiayai teater arahan Dinsman itu.

Rahmah suatu nilai

Sebagai menteri, dia terpaksa melalui kesukaran birokrasi jahat dan tradisi kerja pejabat yang jumud.

Untungnya, rakan kabinetnya di Kementerian Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, berkongsi aspirasi yang sama bagi menjayakan teater itu. Salahuddin dan Khalid punya ‘tekad budaya’ bersekali dengan political will.

Teater yang menelan belanja lebih RM200,000 itu akhirnya berjaya dilaksanakan.

Ada beberapa idea kebudayaannya yang ingin dibawa Salahuddin yang sedang diusahakan untuk terlaksana. Sayangnya kerajaan PH tersungkur di tengah penggal pemerintahan akibat pengkhianatan sesetengah pemimpinnya.

Itulah drama politik yang sadis - kawan mengkhianati kawan. Musuh politik dijadikan regu perselingkuhan. Tidak perlu lagi ada kejahatan malam apabila siang lebih sedap berlaku curang!

Apabila Salahuddin dilantik kali kedua menyertai kabinet - kali ini di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim - dia dilantik menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup.

Ia sebuah kementerian yang memberi fokus tentang kebajikan hidup rakyat. Cabarannya lebih luas dan mencabar berbanding sebelum itu.

Di bawah kementerian barunya itu, falsafah Rahmatan lil Alamin yang menjadi moto perjuangan Amanah mendapat sambutan yang luar biasa melalui projek ‘Rahmah’.

Bahkan beberapa syarikat korporat tempatan dan francais luar negara juga mendukung.

Salahuddin berucap di parlimen: "Cita-cita saya adalah kalau boleh ‘rahmah‘ ini jadi satu value (nilai), mungkin sampai bila-bila. Setiap peniaga atau antara kita yang membuka perniagaan, yang untung ataupun tidak untung, tapi ada sebahagian daripada perniagaan kita dah niat untuk bantu orang susah. Kalau itu boleh berlaku, insya-Allah, Malaysia boleh jadi negara kasih sayang."

Begitu juga ucapan terakhirnya sewaktu bersama mahasiswa UUM di Sintok, Kedah. Salahuddin menyebut: "Kita kena ingat, kita pegang jawatan ini sampai bila….. sampai kiamat? Cuba fikir baik-baik. Apa pun, peluang yang diberikan, lakukan yang terbaik. Yang kedua jawatan ini amanah."

Itulah sepatutnya budaya berpolitik orang berkuasa. Kena tahu asal-usul dan akar diri sendiri.

Dalam perjalanan pulang dari pusara Salahuddin, saya tulis serangkap puisi bertajuk Ke Pusara Sahabat:

Pusara di hujung
tanah benua
nisan putih
di rumput hijau
butir pasir
berkongsi cerita.

Serkat
20 Jul 2024


MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.