Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

KOLUM | Beng Hock - Dari senjata serang BN, kini igauan Anwar

KOLUM | Pernah saya menyingkap sentimen masyarakat Cina tempatan di ruang pojok ini sebelum hari pengundian Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Bharu (KKB). Secara ringkasnya, “masyarakat Cina tidak mahu undi mereka diambil kesempatan lagi”.

Pengamatan ini boleh dianggap meleset jikalau keputusan PRK KKB pada 11 Mei 2024 dijadikan rujukan, kerana undi yang diperolehi PH tidak memperlihatkan kehilangan sokongan Cina yang ketara. Namun, kesimpulan ini menjadi agak “masuk akal” apabila keputusan PRK Sungai Bakap diumumkan pada malam 6 Julai 2024.

Tulisan ini tidak berhasrat untuk “membuktikan” apa-apa. Lebih-lebih lagi, analisis bukan pertaruhan untuk menguji ramalan siapa lebih tepat. Pengamatan yang saya kongsikan sebelum ini adalah sentimen masyarakat Cina secara umum, namun keputusan pilihan raya kecil boleh dipengaruhi faktor-faktor lain, misalnya isu tempatan, kualiti calon, strategi kempen, cuaca hari pengundian dan sebagainya.

Apapun, sentimen ini masih menyelubungi masyarakat Cina, malah semakin menebal selepas kejadian adik mendiang Teoh Beng Hock terjatuh ketika disekat polis untuk terus berarak dan menyerahkan memorandum di pintu parlimen. Perdana Menteri Anwar Ibrahim cuba meredakan ketegangan dengan mengaturkan pertemuan bersama keluarga Teoh, tetapi pendekatan polis menangani protes aktivis Persatuan Teoh Beng Hock Untuk Kemajuan Demokrasi (TBH-ADA) sebelum ini, memahat persepsi negatif yang sukar dipadamkan.

Tragedi Beng Hock sekat kemaraan BN

Generasi berusia 30-an ke atas akan ingat tragedi kematian Teoh Beng Hock jikalau tidak mudah lupa. Tragedi ini berlaku tatkala pergelutan kuasa semakin meruncing selepas tanah air kita dibadai “tsunami politik” dalam PRU12. Najib Razak mengambil alih tampuk kuasa pada 3 April 2009, setelah membuktikan kehebatannya dalam percaturan politik untuk merampas kuasa kerajaan negeri Perak dari tangan Pakatan Rakyat (PR) pada Februari 2009. Kerajaan negeri PR di Selangor dikatakan sasaran seterusnya.

Beng Hock pula jatuh dari bangunan SPRM Selangor tatkala politikus saling menjatuhkan. Kematian Beng Hock yang merupakan setiausaha politik exco Selangor ketika itu mencetuskan kemarahan masyarakat sehingga menyekat kemaraan BN untuk menggugat kerajaan negeri PR lain dengan cara yang jijik. Maka Selangor terselamat, menjadi kubu kepada PR, khususnya PKR untuk kekal bertahan dalam pergelutan kuasa tanah air.

Dalam realiti, politik dan sumber berpisah tiada. Dengan jawatan menteri besar, PKR menguasai sumber negeri Selangor. Lantas parti ini melanjutkan kelangsungannya sepanjang tempoh Anwar disumbat ke dalam penjara buat kali kedua dari tahun 2015 hingga 2018. Blok pembangkang berpecah tapi tidak berkecai, malah sempat melakar sejarah dengan pertukaran kerajaan persekutuan pada 9 Mei 2018, selepas dua dekad Anwar melaungkan “Reformasi”. Yang selebihnya terlipat sebagai sejarah.

Keluarga Teoh hilang sabar

Tragedi kematian Teoh Beng Hock digunakan sebagai senjata untuk menyerang BN sejak 16 Julai 2009, khususnya oleh pemimpin DAP, sama ada dalam pilihan raya kecil, umum mahupun negeri. Mereka membakar sentimen ketidakpuasan terhadap kezaliman BN, meraih simpati massa, dan menabur janji untuk menegakkan keadilan bagi keluarga Beng Hock, dengan syarat mereka diberi mandat untuk berkuasa.

Hanya kuasa yang tergenggam dalam tangan mampu menemukan kita dengan kebenaran bagaimana tragedi ini berlaku, kononnya.

Namun janji mereka ‘dicapati’ setelah menawan Putrajaya. Untuk kegagalan era pentadbiran PH 1.0, Lim Guan Eng menuding jari kepada Muhyiddin Yasin, iaitu Presiden Bersatu yang menyandang jawatan Menteri Dalam Negeri dalam kabinet Mahathir Mohamad. Muhyiddin dikatakan pandai “berwayang” dalam isu Beng Hock, sebelum mengkhianati PH dengan Langkah Sheraton.

Kini PH menawan Putrajaya buat kali kedua, dan jawatan Menteri Dalam Negeri disandang Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, sosok yang komited untuk bersama pembangkang sejak zaman Reformasi. Malangnya, tiada juga perkembangan positif untuk mencari kebenaran, apatah lagi menegakkan keadilan untuk mendiang Beng Hock.

Sudah tentu keluarga Teoh hilang sabar kerana mereka seolah-olah diperbodohkan sepanjang 15 tahun ini. Kali ini, tiada alasan diberikan. Ramai yang tertanya-tanya, apakah punca sebenar yang menghalang siasatan, dan kemudian menghadapkan mereka yang bertanggungjawab (ke atas kematian Teoh) ke muka pengadilan?

Tentangan dalaman?

Penyokong Anwar mungkin mempersalahkan “daulah terpendam” (deepstate), sebagai kuasa yang menghalang perjuangan TBH-ADA. Boleh jadi Anwar mengundang tentangan dalaman sehingga menggugat kestabilan politik sedia ada seandainya mencari sampai ke lubang cacing siapa pembunuh Beng Hock.

Cuma alasan ini tidak meyakinkan, kerana Anwar bertegas untuk menyiasat nama-nama besar seperti Dr Mahathir Mohamad dan Daim Zainuddin dalam isu memunggah harta untuk keluarga sendiri, sungguhpun kita sedia maklum sarang-sarang yang maha kaya ini lebih bahaya seandainya dijolok.

Namun, apa peduli Anwar? Beliau tegas dan berani untuk tidak berganjak dari prinsip, sungguhpun berisiko untuk membayar harga yang tinggi. Jikalau nama Mahathir dan Daim pun dirempuh Anwar, takkan pegawai SPRM peringkat negeri pula yang digeruninya?

Jikapun kita berundur seratus langkah – memberi kelonggaran masa agar isu ini diselesaikan, namun apa perlunya aktivis TBH-ADA, termasuk Teoh Lee Lan diperlakukan sebegitu ketika menyerahkan memorandum?

Lebih teruk daripada zaman Najib?

Dalam sebuah video yang mengimbas liku-liku perjuangan 15 tahun ini, Anwar Ibrahim dipetik berkata, “Sekarang ini ada satu kematian. Kita ucap takziah kepada keluarga Beng Hock. Tetapi kita mahu siasatan yang telus. Jadi kita tidak mahu kes ini ditutup begitu saja. Dan kita kena hormati hak rakyat menzahirkan bantahan mereka.”

Alangkah ironinya, bukan sahaja keadilan belum ditegakkan untuk Beng Hock setelah 18 bulan PH memerintah, malah penyerahan memorandum pun cuba dihalang. Lebih menyedihkan, apabila Teoh Lee Lan yang terjatuh ketika disekat polis mempersoalkan dalam tangisan, “Mengapa kami dibenarkan masuk ke parlimen untuk menyerah memorandum pada zaman Najib, tetapi tidak dibenarkan untuk berbuat demikian sekarang?”

Ramai mula bersikap sinis terhadap Anwar dan kerajaan Madaninya. Ada yang memetik pemikir bebas Amerika, Robert G.Ingersoll pada abad ke-19, “Jikalau anda ingin melihat wajah sebenar seseorang, berikan dia kuasa” untuk menyindir politikus PH. Semakin ramai cenderung untuk bertanggapan bahawa keluarga Teoh dipergunakan PH untuk mendaki ke puncak kuasa, dan kebisuan majoriti pemimpin PH sekarang dalam isu ini umpama habis madu sepah dibuang.

Malah sebelum Anwar mengaturkan pertemuan bersama keluarga Teoh, Pengerusi TBH-ADA, Ng Yap Hwa mempersoalkan, “Anwar ada masa untuk mengambil berat tentang isu Palestin. Anwar ada masa untuk bertemu dengan penyanyi…Mengapa Anwar tiada masa untuk bertemu dengan keluarga Teoh?”

Pendek kata, jikalau isu Teoh Beng Hock merupakan beban kepada BN 15 tahun lalu, kini ia lebih sebagai igauan yang menghantui PH. Ia mengundang kritikan seperti “hipokrit”, “cakap tak serupa bikin”, “ketidakcekapan”, “habis manis sepah dibuang” dan sebagainya. Jelas, integriti politikus semakin dipertikaikan, dan rakyat semakin sinis terhadap tindak tanduk dan janji-janji politikus.

Apapun, kita masih tidak tahu kebenaran bagaimana mendiang Beng Hock jatuh dari bangunan pada 15 tahun lalu, tetapi kita sedang menyaksikan bagaimana integriti politikus jatuh dari kemuncak tangga kuasa, 15 tahun kemudian.


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.