Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

KOLUM | Pulang dari tanah haram

KOLUM | Entah sudah berapa ratus juta orang berkunjung ke tanah haram Mekah, Madinah yang juga disebut sebagai Haramain (dua kota suci).

Pulang dari tanah haram bukan sekadar membawa gelaran haji, ole-ole Mekah atau pun juga status sosial. Banyak pengajaran penting daripada tempoh musafir di situ yang penting untuk difikirkan bersama.

Ada suatu yang menarik jika menelusuri pengalaman intelektual moden selepas mereka kembali dari tanah haram tersebut. Antaranya, Muhammad Asad, Ali Shariati, Malcolm X, Hamka, Snouck Hurgronje dan juga Hamzah Fansuri.

Muhammad Asad menulis Road to Mecca sebagai catatannya tinggal di Arab Saudi selama enam tahun. Dia mengerjakan haji sebanyak lima kali sepanjang tinggal di situ. Haji pertamanya ialah pada 1927.

Dia lelaki keturunan Yahudi Austria yang bekerja sebagai jurnalis di India. Ketika itu, dia berpeluang berinteraksi rapat dengan masyarakat Muslim. Dari situlah dia mengenali dan memeluk Islam.

Keinginan mendalami agama barunya itulah yang membawa dia ke tanah haram.

Pengamatan dan penghayatan terhadap ajaran Islam di tanah haram itu mempunyai impak besar dalam pemikirannya. Kesannya bukan terhadap Muhammad Asad secara peribadi tetapi peranan dan sumbangannya kepada intelektual dan diplomatik dunia.

Daripada seorang yang hidup dengan gaya Eropah dan memiliki kemampuan kewangan, dia sanggup tinggal di tanah haram yang persekitarannya gurun pasir kering demi memahami agama baru yang dianutinya.

Pejuang hak asasi manusia, Malcolm X, juga mengalami perubahan besar selepas menjejaki tanah haram. Dia menulis buku The Autobiography of Malcolm X bersama Alex Haley.

Buku itu ditulis selepas dia kembali daripada mengerjakan haji pada 1964.

Meninggalkan bekas dalam masyarakat

Pengalaman di tanah haram itu mengubah pemikiran dan pendekatan perjuangan Malcolm X.

Ketika bersama pertubuhan Nation of Islam yang dipimpin Muhamad Elijah, pendekatan Malcolm X lebih kepada berkonfrantasi dengan golongan kulit putih atas nama membela kelompok kulit hitam.

Dalam buku tersebut, Malcolm X menyimpulkan bahawa Islam adalah jalan untuk mengurangkan ketegangan kaum di AS. Konsep ummah dan pelaksanaan ibadah di tanah haram menunjukkan keindahan dan keterbukaan Islam.

Setelah pulang dari tanah haram, pendekatannya lebih bersifat kemanusiaan yang rasional. Sayangnya, dia ditembak mati oleh tiga anggota Nation of Islam yang ekstrem pada 1965.

Pertubuhan itu diresapi unsur Khawarij atau pelampau yang tidak bertoleransi dengan sebarang perbezaan. Pun demikian, legasi perjuangan Malcolm X terutama dalam soal pertentangan etnik atau warna kulit sangat berbekas dalam masyarakat di AS.

Seorang lagi cendekiawan yang karyanya memberi impak besar kepada dunia Islam adalah Ali Shariati melalui bukunya, Hajj. Buku tersebut diterbitkan pertama kali pada 1964 di Teheran.

Ia merupakan satu tafsiran yang progresif dan kontemporari berkaitan haji.

Tidak dapat dipastikan bila Shariati ke tanah haram tetapi pemikirannya antara faktor tercetusnya revolusi Islam di Iran. Dia mati tiga tahun sebelum revolusi - dipercayai dibunuh - sewaktu dalam buangan di UK.

Shariati mentafsir dan menyediakan falsafah bagi setiap tempat di tanah haram serta rukun haji. Ia bukan sekadar untuk memperolehi ganjaran pahala, menghapuskan dosa, atau mendapat ibrah yang boleh menyuntik revolusi atau perubahan diri.

Seorang ulama Nusantara yang memberi impak besar setelah pulang dari tanah haram ialah Hamka. Dia menunaikan haji pada 1927.

Novel romannya Di Bawah Lindungan Kaabah (1939) malah menggunakan Mekah sebagai sebahagian daripada latar belakang penceritaan. Watak dan perwatakan dalam novel tersebut adalah gambaran sosiobudaya masyarakat pada masa itu.

Elemen penting dalam sosial

Tanah haram dianggap sebagai tempat terbaik untuk membawa diri, penyucian diri dan meningkatkan harga diri. Anggapan tersebut bukanlah soal salah atau tidak. Ini adalah persoalan pemikiran masyarakat semasa.

Dua watak utama dalam novel itu berakhir dengan kematian. Hamid yang menjadi watak utama kecewa apabila kekasihnya, Zainab, akan dikahwinkan dengan orang lain kerana perbezaan darjat.

Oleh itu, Hamid membawa diri ke Mekah untuk mengubat kekecewaannya.

Tanah haram menjadi destinasi mengubat duka, bermunajat dan mengadu kepada Tuhan yang Maha Kuasa. Seolah-olah di tanah haram sahaja yang memberi cahaya harapan terhadap hasrat yang tidak kesampaian.

Akibat penasaran cinta yang terhalang, akhirnya kedua-dua mereka meninggal dunia. Hamka menggunakan ketajaman penanya untuk mengkritik kuasa tradisi tempatan yang banyak mengongkong masyarakat.

Berbeza pengalaman yang diperolehi oleh Hurgronje ke tanah haram. Dia ke Mekah atas nama Muslim pada 1888 dan berada di situ selama setahun. Hurgronje kemudian menulis buku Orang Acheh dan Mekka 1888-1889.

Di tanah haram itulah Hurgronje menyedari bahawa ulama adalah elemen sosial yang penting. Sepanjang di sana, dia melihat gelagat jemaah haji dari Pulau Jawa yang ghairah mendengar cerita jemaah haji Acheh tentang peperangan mereka dengan Belanda.

Acheh adalah satu-satunya wilayah yang bebas daripada Belanda.

Hurgronje menganggap perihal tersebut sesuatu yang boleh menyuntik semangat menentang Belanda. Padanya, posisi ulama secara sosial harus diasingkan. Biar ulama tenggelam dalam asyik dengan ibadatnya.

Sebahagian besar orang Islam yang lain pula biarkan lebih menumpu perhatian kepada rutin ibadah seperti solat, tadarus dan sebagainya.

Hurgronje mencatatkan bahawa tiada keperluan untuk Belanda bimbang terhadap jemaah haji yang seperti itu kerana mereka tidak mengancam Belanda.

Sebaliknya Hurgronje mengatakan jemaah haji yang berkongsi pengalaman menentang kuasa penjajah sangat bahaya kepada Belanda dan imperialis. Kelompok itu ada nilai politik penentangan.

Muhammad Asad, Syariati dan Malcolm X lebih memandang potensi diri di sebalik tanah haram. Hamka pula secara halus mengkritik umat Islam yang menjadikan tanah haram sebagai destinasi ‘pengubat lara’.

Hamzah Fansuri pula memberi tafsiran yang cukup mengesankan terutama melalui syair Rubiatnya.

Syair itu juga memberi gambaran seolah-olah pemergiaannya ke Mekah untuk ‘mencari’ Tuhan sesuatu yang sia-sia. Hal itu kerana dia menemukan Tuhan di rumahnya sendiri.

Hamzah juga seakan meremehkan kesucian kota Mekah.

Pelbagai pengalaman yang dapat dirasai berkunjung ke tanah haram. Ia bergantung kepada tahap ilmu pengetahuan, niat dan juga kemampuan seseorang.

Setiap pengunjung tanah haram mempunyai makna tersendiri dan itu adalah antara rahsianya dengan Tuhan.


MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.