Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

KOLUM | Guru umat, Asghar Ali Engineer

KOLUM | Membaca terjemahan Islam and Its Relevance to Our Age karangan Asghar Ali Engineer 30 tahun setelah terjemahan bahasa Melayunya yang pernah diusahakan oleh Profesor Dr Jomo KS bakal membuka mata kita kepada beberapa hal yang asyik; tetapi juga akan mendorong kita mempersoalkan akan sikap almarhum.

Setiap pembaca akan datang membawa pengetahuan, pengalaman, usia, pendidikan, proses kognitif dan juga latar belakang yang pelbagai; maka di sinilah suatu wacana itu akan berdepan dengan tantangan masa hadapannya. Asghar Ali menamakannya dengan mudah sebagai: konteks.

Apakah satu-satu gagasan itu akan disahut atau disanggah; atau kalau bernasib baik ditekuni, dikoreksi, diadaptasi dan diakomodasi untuk diaplikasikan sebagai suatu formula zaman sebetulnya sangat bergantung kepada bagaimana kita membaca wacana ini kelak. Untuk itu, tidak dapat tidak, kita sendiri selaku pembaca harus datang dengan semangat kritis dan berkehendak kepada keadilan dalam membaca satu-satu wacana.

Oleh kerana Asghar Ali sendiri menekankan konteks semasa untuk membaca sesuatu, hatta kitab suci al-Quran, maka dia sendiri, atau dalam kata lain karyanya sendiri ini tidak akan terlepas daripada penelitian dan juga perbahasan sama ada ia akan disahut, disanggah atau jika bernasib baik diambil jadi ole-ole dibawa pulang untuk dipetuakan.

Konteks Asghar Ali terdapat dua. Pertama India, latar asal dan tempat ia bergelumang memperjuangkan gagasannya. Kedua adalah Bohra, iaitu latar keluarga, pendidikan, intelektual dan perlawanannya.

Asghar Ali lahir di Rajashtan, India pada 10 Mac `1939 dan beroleh pendidikan keagamaan daripada bapanya dalam bidang tafsir, ta’wil, hadis dan bahasa Arab. Bapanya bernama Qurban Hussain, ibunya pula Maryam. Dalam banyak tulisan beliau, kita akan dapat mengesani yang Asghar Ali terpengaruh atau meminati ideologi dan peribadi rencam termasuklah ideologi marxisme, liberalisme, muktazilah, Iqbal, Gandhi dan Sayyed Ahmad Khan.

Beliau kemudian beroleh pelajaran daripada tokoh-tokoh Bohra seperti Syedna Hatim, Syedna Qadi Nu’man, Syedna Muayyad Shirazi, Syedna Hamiduddin Kirmani, Syedna Hatim al Razi dan Syedna Jaafar Mansur al Yamani. Setelah melalui pendidikan agama secara tidak formal ini, Asghar Ali menempuh pula pendidikan rasmi di India sehingga diterima masuk ke Universiti Indore pada tahun 1956, lantas berhasil menerima ijazah kejuruteraan pada tahun 1962 sebelum menggeluti profesyen sebagai jurutera di kota Mumbai selama dua dekad.

Asghar Ali terlibat dalam gerakan reformasi Bohra sejak tahun 1972, dan tidak berpaling. Sepanjang kerja reformasinya, beliau menulis di The Times of India, Indian Express, Statesman, Telegraph dan The Hindu yang mana semua ini adalah lidah perdana persuratkhabaran di India. Oleh kerana ketokohan beliau, Asghar Ali dipilih sebagai Setiausaha Agung Masyarakat Dawoodi Bohra di Udiapur pada tahun 1977. Di sini mulanya pertembungan tajam antara beliau dan kelompok generasi terawal Bohra yang konservatif.

Untuk masyarakat luar daripada mazhab Syiah, Bohra akan secara mudahnya dikategorikan sebagai Syiah Tujuh memandangkan pengikutnya menerima kepimpinan ahlul bait Nabi Muhammad SAW, menganjur kepada Imam Ali, Imam Hassan dan tentu sahaja Imam Hussein. Setelah itu mereka juga menerima Imam Sajjad atau Ali bin Hussein, seterusnya Imam Baqir dan Imam Jaafar as Sadiq.

Pertikaian tercetus apabila terdapat masyarakat Syiah ketika itu melihat kepimpinan atau Imamah harus diserahkan kepada Ismail, salah seorang anak Imam Jaafar as Sadiq membawa kepada pembukaan aliran baru yang dinamai Ismailiyyah.

Manakala kelompok yang menerima kepimpinan Imam Musa al Kadzim dan seterusnya sehingga Imam Mahdi yang berada dalam keghaiban besar itu pula dirujuk sebagai Syiah Imamiyyah. Jalur ini lebih dominan dan apabila seseorang menyebut kata Syiah, selalunya yang dimaksudkan adalah Imamiyyah.

Dalam kalangan kelompok Syiah arus perdana iaitu Imamiyyah ini pula, Bohra jarang dirujuk sebagai sebahagian daripada Syiah tetapi tetap diterima sebagai pencinta Saidina Ali dan ahlul bait. Bohra sendiri dalam banyak interaksi saya dengan mereka mengesahkan mereka berasa lebih dekat dengan Ahlus Sunnah wal Jamaah berbanding dengan Syiah Imamiyyah.

Latar belakang keagamaan Asghar Ali inilah wajar difahami sebelum kita pergi jauh menilai dan menyikapi karyanya ini. Bohra merujuk pengganti Nabi sebagai Amir al Mukminin dan Imam mereka yang dua belas; langsung membawa kepada Maulana Abu al-Qasim at Tayyib yang menghilang pada 526 Hijrah. Kepimpinan Bohra seterusnya beralih kepada kelompok yang dinamai da’i, yang mana untuk diangkat terpilih sebagai ‘da’i’ perlu memenuhi 94 kriteria melibatkan pendidikan, pentadbiran, moral dan teoretikal, serta kualiti keluarga dan keperibadian.

Bohra tersohor sebagai kelompok konservatif yang eksklusif dan sangat khas. Ia juga adalah komuniti yang tertutup dan berinteraksi secara terpilih. Kepimpinan atau da’i masyarakat Bohra yang digelar sebagai Syedna ini sukar ditembusi kerana terdapatnya satu sistem utuh dan tetap yang tidak boleh diubah atau direviu sewenang-wenangnya. Mereka jarang-jarang berkahwin dengan anggota di luar Bohra.

Adalah sangat penting sebelum kita memasuki tulisan-tulisannya yang berteriak menginginkan reformasi itu untuk kita memahami latar Asghar Ali yang menghabiskan sebahagian besar perlawanannya di India, dan dalam masyarakat Bohra yang begini tertutup dan eksklusif ini. Ini kerana kita semua menginginkan reformasi, akan tetapi reformasi yang bagaimana Asghar Ali inginkan; atau sebagai pembaca dengan kekuatan kognitif kita akan kemudiannya bertanya kepada diri, reformasi macam apa yang aku inginkan. Untuk itu, tidak dapat tidak kita harus menggunakan alat yang digunakan oleh Asghar Ali sendiri, iaitu konteks.

Secara besarnya terdapat empat ranah idea yang diceburi oleh Asghar Ali. Pertamanya, Teologi Pembebasan yang kerap juga dikaitkan dengan buku yang sedang saya ulaskan ini; kedua, keharmonian masyarakat inter kepercayaan dan agama; ketiga, hak-hak wanita di dalam Islam; dan terakhir, Islam dan cabarannya dalam dunia moden.

Secara asasnya Asghar Ali mempercayai Islam itu cocok, serasi dan boleh diamal serta dipraktikkan sesuai dengan perkembangan politik semasa, dan sejajar pula dengan pertumbuhan sosio-ekonomi zaman.

Saya percaya kita semua juga percaya akan hal ini.

Asghar Ali percaya, sekiranya terdapat seakan pertentangan atau pertelingkahan, ia bukanlah kerana Islam itu sendiri tetapi kerana kealpaan, kecuaian dan kegagalan umat untuk memahami prinsip teras Islam yang relevan pada setiap masa dan tempat.

Kritikan paling asas Asghar Ali ialah kebergantungan umat kepada fikah zaman lampau yang muncul atau tumbuh pada masa dan tempat yang spesifik dan tidak semestinya relevan dengan era masa kini atau masa depan. Oleh itu kita akan memahami mengapa Asghar Ali misalnya menekankan persoalan representasi umat dalam masyarakat; kecelikan pendidikan, dan pembasmian kemiskinan yang mana ini rata-ratanya masalah yang dihadapi oleh umat Islam di India.

Masalah lain umat Islam di benua tersebut adalah campur tangan dalam undang-undang keluarga Islam, kekeliruan jati diri, termasuklah perjuangan mereka sebagai minoriti. Semua masalah ini begitu menusuk dan telah menjadikan umat Islam di India khususnya sibuk mencari solusi, justeru tertinggal dan terkebelakang dalam meningkatkan pembangunan masyarakat.

Sebetulnya, tidak sukar mana untuk kita memahami projek Teologi Pembebasan yang dikemukakan oleh Asghar Ali. Projek yang dikemukakan oleh Asghar Ali ini menitik beratkan aspek-aspek praksis yang mana ia bersifat liberatif atau membebaskan. Beliau menyarankan umat melihat ‘apa yang ada’ dan memikirkan semula ‘apa yang seharusnya’.

Islam, menurut Asghar Ali, datang untuk menidakkan penaklukan, penawanan dan penindasan. Selagi masih ada kelompok tertindas dan dieksploitasi, itu bermakna Islam yang sebenar masih belum terlaksanakan. Teologi yang membebaskan itu menurut Asghar Ali lagi terbahagi kepada lima paradigma, iaitu kemerdekaan, persamaan, keadilan sosial, kerakyatan dan monoteisme. Argumen Asghar Ali, Rasulullah SAW hadir untuk membebaskan umat pada waktu itu daripada cengkaman adat dan juga sistem yang tiada belas dan penuh penganiayaan. Saya percaya kita semua tidak ada apa-apa pertikaian di sini.

Oleh itu Teologi Pembebasan Asghar Ali menawarkan masyarakat yang adil dengan mencabut segala eksploitasi. Beliau berhasrat menjadikan Teologi Pembebasan ini selaku senjata ideologi agar kaum terbawah dapat memperjuangkan nasib mereka; dan mendorong manusia bebas untuk menentukan diri. Ini tentu sahaja dengan mengambil kira konteks - struktur Bohra - yang begitu ketat dan dalam banyak keadaan menafikan pilihan individu anggotanya.

Dari sini, Asghar Ali cuba membangunkan konsep kafir tersendiri. Menurut Asghar Ali mereka yang kafir adalah mereka yang hanya beriman secara formal dan memadai dengan mempercayai Allah SWT, para Rasul, kitab, malaikat dan hari kiamat tetapi gagal berperanan dan berfungsi untuk membela kaum lemah, gagal mencipta masyarakat egaliter, dan tidak mampu mewujudkan keadilan sosial. Ini termasuklah mereka yang menolak kebenaran dan mendiamkan kesalahan dan kejahatan.

Harus diingatkan, hujahan atau argumen di atas bukanlah milik Asghar Ali sepenuhnya, malah sebetulnya dipinjam dari Bani-Sadr.

Harapan Asghar Ali adalah dengan Teologi Pembebasan ini, umat akan berusaha untuk memerah dan meningkatkan ilmu pengetahuan di samping dalam masa sama mengetengahkan kerangka revolusionari untuk berhasil melawan dehumanisasi, utopia, kedunguan dan juga ketuanan tanpa sebab.

Dalam banyak tempat pada karya-karyanya yang lebih 40 buah itu, termasuk yang ini, Ashghar Ali mengisyaratkan bahawa bentuk syariah Islam yang ada sekarang, khususnya melibatkan kaum wanita, adalah syariah yang diarabkan atau Arabised Sharia. Oleh itu pada pandangan beliau, syariah itu sepatutnya berevolusi dan tidak mesti kelangitan (divine). Atau dalam erti kata lain syariah tidak mutlak. Dalam karyanya yang lain seperti Islam and Secularism, termasuk juga karyanya yang ini; sebagai contoh, Asghar Ali menegaskan tidak ada negara Islam tetapi yang ada adalah masyarakat Islam dengan hikmah, akal, adil dan ihsan yang mana menurut beliau adalah secara idealnya dapat dipenuhi oleh negara moden yang sekular dan demokratik.

Saya mempunyai banyak kritikan terhadap tulisan-tulisan Asghar Ali Engineer ini tetapi tidak sesuai untuk diketengahkan dalam sanggar kolum sebegini. Apa pun penerbitan semula buku Islam dan Cabaran Masa Kini oleh Lestari Hikmah ini wajar disahut. Saya membacanya ketika masih di Akademi Islam di Universiti Malaya, Nilam Puri. Saya percaya ia membuka minda pembaca untuk bermuhasabah diri meskipun tradisi Asghar Ali mungkin sedikit berbeza daripada kita.

Akan tetapi itulah kekuatan Islam, diversiti dan keberanekaragaman yang boleh dipulas untuk kekuatan dan pencarian solusi kontemporari.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.