Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

KOLUM | Ibadah haji dalam lagu

KOLUM | Selain ditulis dalam bentuk esei, novel, puisi dan sebagainya keunikan ibadah haji juga dirakamkan dalam bentuk lagu.

Antara yang menjadi killer song dalam sejarah ialah Panggilan Haji dendangan Nur Aisyah Jamil dari Orkes El Suraya Medan. Lagu itu dicipta Prof H Ahmad Baqi pada 1978.

Panggilan Haji bukan sahaja popular di Indonesia bahkan diterima dengan meluas di Malaysia.

Pada era tersebut, lagu Orkes El Suraya itu sering dipersembahkan dalam acara-acara keagamaan atau majlis keramaian di sekolah agama. Di kampung saya, kumpulan itu pernah datang mengadakan persembahan di padang sekolah.

Berduyun-duyun orang kampung keluar menyaksikan persembahan tersebut.

Kumpulan nasyid dari negara jiran itu diundang ke tanah air atas inisiatif Allahyarham Asri Muda yang memimpin PAS ketika itu. PAS pula sedang menjadi kerajaan bersama Perikatan.

Namun saya tidak pasti sama ada PAS atau pihak lain yang menganjurkan persembahan Orkes El Suraya di kampung kami.

Pencipta lagu Panggilan Haji itu mendapat anugerah ‘professor’ daripada oleh kerajaan Kelantan. Biarpun Ahmad Baqi tidak pernah mendapat pendidikan universiti tetapi sumbangannya dalam kebudayaan sangat besar.

Nasihat agama pada lirik

Seni lagu bergenre nasyid cuba bersaing dengan pop yeh-yeh yang kuat pengaruhnya pada ketika itu. Pada waktu tersebut bukanlah aneh untuk majlis kenduri kahwin dihiasi dengan acara kugiran dan joget lambak.  

Meskipun nasyid tidak begitu menyerlah, namun ia setidak-tidaknya dapat menjadi alternatif buat golongan agama yang meminati seni.

Orkes El Suraya dibarisi pemuzik yang ramai, manakala penyanyinya berkebaya dan tidak pula bertudung. Jika diukur pada neraca hari ini, ia dianggap tidak Islamik dan sudah tentu tidak dianggap menjadi medium dakwah.

Hanya lirik-lirik lagu Orkes El Suraya berkonsepkan keagamaan. Misalnya lagu Selimut Putih, Doa Dan Pinta, dan Pusara Kasih. Kebanyakan lirik-liriknya puitis, mendalam dan indah sekali untuk dinikmati.

Lagu itu menjadi tarikan besar terutama kepada orang kampung. Iramanya bernafas Timur Tengah manakala liriknya berupa nasihat agama.

Panggilan Haji memulakan lagu dengan rangkap yang menjadi faktor ibadah haji bagi umat Islam. Sesungguhnya ibadah haji adalah seruan Tuhan.

Panggilan haji
telah tiba lagi
menunaikan ibadah
panggilan Baitullah.

Ibadah haji adalah simbol penyempurnaan rukun Islam. Meski ada kelonggaran dari segi pelaksanaannya, ibadah haji dan umrah mempunyai nilai tersendiri dalam pemikiran masyarakat.

Masyarakat Islam memandang tinggi kepada seseorang yang telah melaksanakan haji dan umrah.

Oleh kerana itu ada yang sanggup melanggar undang-undang dan mempertaruhkan risiko untuk ke Tanah Suci semata-mata untuk menunaikan ibadah tersebut.

Realiti itu dinyatakan dalam lirik lanjut Panggilan Kaabah yang menyebut:

Putih bersih berseri
abdi pada Ilahi
terbayanglah di sini
tempat berhimpun nanti.

Lagu itu membawa pendengar ke suatu alam selepas kematian dan keadaan bertemu Maha Pencipta. Bertemu Tuhan dalam keadaan yang bersih, suci dan sempurna melaksanakan kewajipan sebagai umat Islam.

Keindahan lirik itu tidak sekadar persamaan rima akhir tetapi isinya menyentuh emosi. Ini ditambah dengan melodinya yang melankolik.

Pencipta seorang genius

Umum mengetahui bahawa sepanjang menjadi jemaah haji (dan umrah), kehidupan seharian sentiasa dipenuhi dengan ibadah khusus yang mendekatkan diri hamba dengan Maha Pencipta.

Selepas berangkat ke tanah suci, semua hal ehwal yang berkaitan kerja harian ditinggalkan. Bahkan pada tempoh di Tanah Suci, kerajinan solat berjemaah, iktikaf, tadarus meningkat berganda-ganda.

Mereka yang tidak serius menutup aurat pula akan sentiasa menjaganya sepanjang berada di tanah haram. Mereka yang jarang ke masjid, akan sentiasa awal masuk ke Baitullah atau Masjid Nabawi.

Lirik Panggilan Haji secara langsung mencatatkan rutin rukun, wajib dan amalan lain semasa jemaah mengerjakan haji:

Malam, subuh, dan senja
pergi ke Kaabatullah
sembahyang berjemaah
tawaf sai dan umrah

Tiba masanya kini
wuquflah di Arafah
terdengar sayup sampai
tahmid takbir dan tasbih

Dari padang Arafah
lalu ke Muzdalifah
bermalam di Mina
melontar tiga jumrah

Syarat rukun haji sempurnalah sudah
mogalah ibadah haji mabrurah
.

Ahmad Baqi sememangnya seorang genius. Dia berjaya menghimpunkan segala falsafah dan syariat dalam haji dalam sebuah lagu dengan begitu bersahaja dan lihai.

Lagunya itu mungkin tidak setanding dengan karya Hamka dalam novel Di Bawah Lindungan Kaabah atau syair Hamzah Fansuri tentang Kaabah. Namun ia adalah sumbangan besar seniman terhadap pembentukan budaya bangsa.

Ironinya - seperti kata Ahmad Baqi sendiri sebelum meninggal dunia - "Kami ini seniman, setelah di pusara baru dihargai. Kalau tidak anak aku, cucu aku yang menikmati."


MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.