Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

KOLUM | Ranjau Pak Utih yang tidak habis-habis

KOLUM | Ketika Anwar Ibrahim memberi perutusannya di kaca televisyen beberapa hari lalu, saya teringat pada sebahagian sajak Usman Awang yang bertajuk Pak Utih:

Di kota pemimpin berteriak-teriak
Pilihan raya dan kemerdekaan rakyat
Seribu kemakmuran dalam negara berdaulat
Jambatan emas kemakmuran sampai ke akhirat.

Sebagai generasi yang membaca Pak Utih, terasa bait-bait sajak itu seperti baru ditulis semalam. Namun ia bukanlah bertujuan meragui hasrat dan perutusan perdana menteri.

Ia sekadar layanan kenangan pada sajak tersebut.

Pak Utih ditulis ketika Usman berusia 25 tahun. Saya pula hanya mengenali Pak Utih ketika di bangku sekolah - atau selepas dua dekad ia ditulis.

Sajak itu mewakili suara sepi orang kampung mengusahakan bendang untuk menyara keluarga - seperti bapa saya.

Berkenaan isu tahap kesihatan dan teknologi yang dibangkitkan dalam karya itu, saya kira negara kita berada pada landasan yang betul. Kemudahan kesihatan jauh lebih baik berbanding zaman sebelum merdeka. Begitu juga dengan perkembangan teknologi dalam pertanian.

Namun nasib Pak Utih dan pesawah lain di kampung tradisi terutamanya dalam isu kemiskinan masih tidak jauh dari dahulu. Jurang pendapatan golongan miskin - kaya secara relatif masih tinggi. Bukannya miskin tegar.

‘Permasalahan kampung’ kekal relevan menjadi isu berdekad-dekad lamanya meskipun kerajaan menyediakan pelbagai peruntukan, inisiatif dan kemudahan dalam pelbagai segmen ekonomi di kampung.

‘Permasalahan kampung’ adalah nyawa ahli politik khianat, birokrat jahat dan kapitalis penyangak yang mengaut keuntungan di balik tabir derita orang kampung.

Banyak asas buat terpinggir

Cerita Ranjau Sepanjang Jalan dan bait sajak Pak Utih tidak mati ditelan zaman. Masalah ketidakadilan dan kesejahteraan hidup masyarakat kampung kekal mencengkam dalam diam.

Tahniah kepada penganjur Kongres Masyarakat Terpinggir anjuran Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya atas usaha murni pada hujung minggu ini.

Kongres, seminar, diskusi atau apa jua persidangan yang membincangkan sesuatu isu seharusnya tidak berakhir dengan upacara penutup, penyampaian cenderamata atau resolusi sahaja.

Begitu juga dengan perutusan negara, ia tidak wajar terhenti dengan ucapan pujian atau kritikan berjela.

Ia adalah agenda mencetuskan idea dan gerakan masa hadapan. Mungkin ada tulisan dan persidangan lain yang berbeza nada suaranya tetapi mempunyai hasrat sama dalam membawa masyarakat terpinggir berada pada landasan perdana.

Biarkan kumpulan dan pendekatan lain membawa aspirasi itu berlangsung.

Pembentukan masyarakat madani wujud apabila percambahan idea asli, kreatif dan kritis yang subur. Kongres adalah nukleus diskusi daripada ribuan nukleus diskusi kepada pembentukan masyarakat madani.

Perutusan oleh perdana menteri seharusnya mencetuskan gelombang pemikiran dan tindakan yang lebih konkrit.

Dalam konteks masyarakat kampung tradisi, banyak asas yang menyebabkan segmen itu terpinggir daripada arus perdana. Antara yang paling utama ialah faktor tradisi politik kampung dalam pemikiran dan pendekatan masyarakat setempat.

Istilah politik kampung biasanya merujuk aktiviti ataupun pendekatan politik yang lebih berasaskan semangat, emosi dan tidak mempunyai sandaran yang kukuh.

Perjalanan politik kampung dilakukan secara ala kadar dengan kemampuan sedia ada. Politik kampung juga sering dikaitkan dengan pendekatan politik yang lemah dan hanya bersifat setempat dan sementara.

Namun di sebalik kenaifan itu, politik kampung sarat dengan rasa ikhlas, pengorbanan yang sangat tinggi, kepatuhan tidak berbelah bahagi, kesungguhan dan pasrah. Kekuatan politik kampung terletak pada budaya hidup orang Melayu yang menekankan nilai gotong-royong dalam hidup bermasyarakat.

Hidup gotong-royong menjadikan suatu tugas atau kerja lebih mudah, murah dan segera diselesaikan. Kekuatan politik kampung adalah kekuatan akar umbinya yang memberikan komitmen tinggi dalam merealisasikan hasrat politik mereka.

Politik kampung sarat dengan impian yang cukup sederhana. Mereka tidak mengimpikan sesuatu yang luar biasa. Kehidupan seadanya itu diteruskan dengan keperluan yang mencukupi demi menyambung kehidupan esok.

Warisan sistem feudal

Sangat mementingkan hubungan kekeluargaan dan bermasyarakat.

Politik kampung menampilkan wajah Melayu tipikal seperti bersongkok semasa majlis tradisi seperti tahlil, kenduri-kendara, konservatif, sering memendam perasaan dan suka berkumpulan atas rasa kekitaan.

Sangat memberi penghormatan kepada tetamu, orang luar dan juga orang atasan. Ini juga adalah perkaitan dengan persoalan budaya orang Melayu yang sangat kuat dengan tradisi yang diwarisi turun temurun.

Namun pemodenan dan perkembangan zaman sedikit sebanyak mengubah pemikiran masyarakat Melayu. Dalam beberapa aspek, masyarakat Melayu sudah memiliki nilai kebendaan, moden, pragmatik dalam bermasyarakat.

Ini juga adalah kesan daripada penghijrahan atau budaya merantau orang Melayu yang mewujudkan kelompok masyarakat Melayu yang agak bebas daripada ikatan tradisi tetapi masih dalam orbit kosmologi Melayu Islam.

Secara demografi dan geografi, politik kampung berpusat di petempatan Melayu di perkampungan, luar bandar dan jauh daripada memperolehi kemudahan awam sebagaimana yang wujud di kawasan bandar.

Setiap proses perbandaran bermula dari petempatan seperti kampung-kampung kecil yang berkembang menjadi pusat perdagangan setempat atau serantau.

Politik kampung itu diperkukuhkan dengan warisan sistem feudal menyuburkan benih perhambaan dan jiwa hamba itu sendiri. Rakyat kebanyakan yang sudah lazim dengan kehidupan feudal tidak merasakan feudal suatu yang menyekat kebebasan mereka.

Sistem politik demokrasi yang dibawa oleh Inggeris adalah perubahan dalam sistem politik tempatan. Inggeris merupakan penjajah yang mempunyai kebijaksanaan dalam merencanakan sistem kolonialisme dengan memberikan kemerdekaan kepada orang tempatan tetapi Inggeris sendiri melahirkan anak-anak tempatan yang mempunyai fikiran Inggeris.

Rupa dan bentuk fizikalnya memang Melayu tetapi isinya adalah Inggeris.

Namun tidak semua anak tempatan begitu. Biarpun mereka menerima pendidikan Inggeris dan bekerja dengan Inggeris, tetapi jiwanya tetap Melayu yang merdeka.

Tambahan pula mereka yang menerima pendidikan agama di madrasah dan pondok-pondok yang bertebaran di seluruh tanah air, mereka mempunyai semangat juang yang sangat kental.

Melalui sistem politik dan pengaruh Barat, ramai pemimpin Melayu mula menubuhkan persatuan-persatuan kebajikan yang lebih bercorak politik bagi membela nasib bangsa dengan memberi pencerahan.

Kelaknya pencerahan itu dapat membangkitkan satu kesedaran semula bahawa segala keturunan Pak Utih dan masyarakatnya mesti sanggup melakukan reformasi kebudayaan. Iaitu perubahan minda dan strukrural masyarakat yang dikuasai regim, struktur dan minda lama.


MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.