Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

KOLUM |  PRK KKB: Sentimen masyarakat Cina

“PRK Tanjung Piai 2019” kembali disebut-sebut dalam komentar bahasa Cina ketika diulas pilihan raya kecil yang berlangsung di Kuala Kubu Bharu. Dengan kata lain, terdapat beberapa persamaan yang dikongsi kedua-dua PRK ini, membayangkan kemungkinan Pakatan Harapan mengulangi kekalahan yang menimpa lima tahun lalu.

PH kehilangan sokongan kedua-dua masyarakat Melayu dan bukan Melayu dalam PRK Tanjung Piai, menjurus kepada kemenangan calon MCA dengan majoriti lebih 15,000 undi, satu lonjakan mendadak dalam tempoh 18 bulan, dari 524 undi majoriti yang dimenangi calon Bersatu ketika PRU14. Apa yang berlaku selepas itu sudah terlipat sebagai sejarah.

Terlalu awal untuk meramalkan kesudahan PRK KKB selepas tempoh kempen selama dua minggu. Cuma sebelum ini, mungkin kita boleh mengimbas senario dan suasana politik pasca PRU15 (2022) dan PRN 2023, sambil menyelami sentimen masyarakat Cina secara umumnya.

Masyarakat Cina semakin pragmatik

Mengaku atau tidak, masyarakat Cina sedikit sebanyak mengambil iktibar daripada pengajaran Langkah Sheraton. Akur dengan realiti bahawa mustahil matlamat yang ideal dicapai dalam sekelip mata, dirumitkan pula dengan kompleksiti sesebuah masyarakat majmuk, mereka kini bersikap lebih pragmatik ketika mengemukakan tuntutan politik, malah bersedia untuk berganjak ketika diperlukan.

Rata-rata Cina mengidamkan sebuah kerajaan yang adil untuk semua, bersih dari rasuah, dan ruang kebebasan yang seluas mungkin, selain pengurusan ekonomi yang cekap. 

Memandangkan imej Umno-BN terpalit dengan skandal rasuah, Perikatan Nasional pula dilihat memperjuangkan dominasi Melayu-Muslim, lantas PH menjadi pilihan terdekat di hati masyarakat Cina.

Cuma PH gagal membentuk kerajaan persekutuan secara bersendirian pada malam keputusan PRU15 diumumkan. Tidak semua, tetapi kebanyakan masyarakat Cina terpaksa menerima “kerajaan perpaduan” yang disertai BN, satu pilihan yang dianggap lebih baik andainya dibandingkan dengan gandingan PN-BN.

Belum genap setahun, mereka dikejutkan dengan keputusan “lepas tanpa bebas” (DNAA) Zahid Hamidi, presiden Umno daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram. Lagi membeliakkan, apabila hukuman ke atas Najib Razak dikurangkan dari penjara 12 tahun ke 6 tahun, dan denda RM210 juta kepada RM50 juta kemudian, disusuli pula dengan dakwaan terbaru bahawa baki hukuman penjara itu boleh dijalani di rumah, menurut peguam bela Najib.

Berganjak untuk tangkis Gelombang Hijau?

Ketidakpuasan menyemarak tetapi tidak meledak. Ketakutan terhadap “gelombang hijau” mengatasi ketidakpuasan terhadap kesudahan skandal 1MDB. Mungkin kesimpulan ini kurang tepat untuk menggambarkan situasi masyarakat Cina secara menyeluruh, namun ia tetap berasas dan tidak menyimpang jauh dari realiti sebenar.

Persoalan seterusnya, apakah “gelombang hijau” yang dimaksudkan?

Sudah tentu ia bukan sekadar kebangkitan PAS, tetapi juga jalur atau fahaman agama yang lebih keras dan eksklusif, diterjemahkan kepada dasar yang membelenggu kebebasan individu sehingga non-muslim yang hidup bersama di tanah air ini terkesan dengan impaknya. 

Malah ada yang berseloroh, “Jikalau ditanya ‘Apa lagi Cina mahu?’ pada zaman ini, jawapannya tinggal ‘pakai seluar pendek’, ‘tengok konsert’, ‘minum arak’ dan ‘mencuba nasib di kedai empat nombor ekor’.”

Apa yang menyedihkan di sebalik jenaka ini, masyarakat Cina menganggap diri mereka seolah-olah ditolak beransur-ansur ke pelosok, sehingga itu sahaja hak yang mampu dipertahankan – bukannya demokrasi, integriti, keadilan, ketelusan dan sebagainya. Dengan kata lain, masyarakat Cina telah berganjak berkali-kali agar tidak dibadai dan ditenggelami “gelombang hijau”.

Kejadian stoking KK Mart

Namun demikian, masyarakat Malaysia tetap tidak terelak daripada kocakan “gelombang hijau”. Jam tangan berwarna pelangi dirampas kerajaan, syarat konsert diperketatkan, kod etika pakaian dikuatkuasakan dan sebagainya. 

“Dulu tak ada hal pun, sekarang dah jadi masalah,” demikianlah reaksi spontan sesetengah komuniti Cina, sungguhpun dari perspektif Melayu-Muslim, kesemua dasar ini berpandukan ajaran Islam, dan sejajar dengan prinsip kelima Rukun Tetangga, Kesopanan dan Kesusilaan.

Meskipun kurang selesa dengan sekatan ke atas dirinya lantaran larangan agama lain, namun sesetengah masyarakat Cina terpaksa menerimanya, dengan andaian barangkali PAS-PN mengambil pendekatan yang lebih ekstrem jikalau menawan Putrajaya.

Kemudian muncul isu stoking tertera kalimah Allah di KK Mart. Masyarakat Cina memerlukan sedikit masa untuk memahami bagaimana isu ini mencungkil sensitiviti masyarakat Muslim, sehingga mencetuskan reaksi sebegini. Bukan mereka bersetuju untuk menghina agama Islam, cuma mereka membanyangkan apakah pula reaksi diri mereka, jikalau muncul rupa Buddha atau corak salib pada stoking?

Mereka tidak menjangkakan reaksi sekeras ini, dan sudah tentu perbahasannya panjang lantaran perbezaan pandangan agama, dan tidak termuat di ruang pojok ini. Untuk memendekkan cerita, sejauh mana kita boleh pergi dalam isu stoking tertera kalimah Allah?

Kebanyakan Cina cenderung untuk menganggap ia satu kecuaian, tetapi terpulanglah kepada pihak KK Mart untuk membentangkan hujah dan bukti di mahkamah. Ramai yang tidak bersetuju dengan “kempen boikot KK Mart”, tetapi itu hak pengguna yang terpaksa dihormati. Persoalannya, apakah lontaran “molotov cocktail” ke kedai KK Mart itu diizinkan?

Sehingga hari ini, tiga kedai KK Mart dibaling “molotov cocktail”, tetapi tiada suspek ditangkap, didakwa dan dihukum, setelah lebih sebulan kejadian pertama berlaku. Kejadian ini mencungkil ingatan pada tahun 2009, di mana pencerobohan gereja berlaku lantaran kontroversi kalimah Allah ketika itu. Naratif PR ketika itu, Umno cuba melaga-lagakan PAS dengan DAP yang bekerjasama bawah bumbung Pakatan Rakyat, dengan menyimbah minyak ke dalam api ketika isu yang dianggap bakal memecahbelahkan PAS-DAP, sedang hangat.

Apapun, kerajaan di bawah Najib Razak ketika itu berjaya menghadapkan pelaku ke mahkamah, dan pesalah itu telah dijatuhkan hukuman. 

“Sebusuk-busuk Najib, penjenayah yang baling molotov cocktail ditangkap dan dihukum. Tetapi Anwar yang menanam kalimat ‘rule of law’ di tepi bibir, apa pula yang telah dilakukannya?”

Undi Cina deposit tetap Kerajaan Madani?

Ringkasnya, masyarakat Cina telah berganjak dalam isu integriti (kes Zahid dan Najib), dengan harapan agar mereka terselamat dalam politik identiti. Namun, realitinya tidak berlaku sedemikian. Ketua Pemuda Umno mengambil pendekatan yang lebih agresif berbanding PAS dan Bersatu dalam PN. Anwar Ibrahim pula kelihatan pasif dan tidak menampakkan kepimpinan yang tegas dan berkesan, dibiarkan naratifnya didominasi seorang pemuda Umno bernama Akmal Saleh.

Kesemua ini berlaku dalam suasana ekonomi Malaysia yang masih dibelenggu kejatuhan nilai wang ringgit, inflasi, dan sebagainya. Untuk mereka yang bertimbang rasa, tidak adil untuk menyalahkan kerajaan Madani sepenuhnya kerana pergolakan antarabangsa menjadi faktor luar yang mempengaruhi jatuh naik ekonomi kita. Mereka sanggup tunggu, tetapi sampai bila?

Paling penting, bagi mereka, kerajaan Madani seolah-olah menganggap pengundi Cina sebagai deposit tetapnya, dengan andaian masyarakat Cina tiada pilihan alternatif selain PH. Maka Anwar tidak pernah menggariskan batasnya dalam politik, dengan keyakinan bahawa pengundi Cina akan berganjak mengikut langkahnya.

Kini semua tertanya-tanya, apakah yang akan berlaku seterusnya? “Lepas tanpa bebas” untuk kes-kes lain yang membabitkan Najib Razak? Apa penyelesaiannya untuk kes pencerobohan KK Mart?

Itu pun belum lagi masalah yang tertunggak selama ini, misalnya kes Teoh Beng Hock. Sememangnya pencerobohan Israel di Palestin mencungkil sentimen muslim sedunia, dan tiada yang akan menolak usaha Anwar untuk bersuara lantang dalam isu ini.

Namun, ada juga rungutan yang berbisik, bagaimana pula dengan ketidakadilan yang berlaku di tanah air kita sendiri? Apakah Anwar tidak dapat meluangkan walaupun 30 minit, untuk menemui keluarga Teoh yang masih tercari-cari punca kematian Beng Hock?

Keputusan PRK KKB tidak merombak landskap politik kerajaan negeri Selangor mahupun kerajaan persekutuan di Putrajaya, dari segi kerusinya dalam dewan. Barangkali masyarakat Cina masih keberatan untuk mengundi PN buat setakat ini, tetapi mereka mungkin menambat langkah dari keluar mengundi. Seandainya sentimen masyarakat Cina ini menjadi-jadi di PRK KKB, moga-moga Kerajaan Madani nampak bahawa itulah batasannya yang digariskan komuniti Cina, yang tidak mahu undi mereka diambil kesempatan lagi.


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.