KOLUM | Tolak penipu kelayakan akademik
Pada tahun 2019, salah seorang timbalan menteri dari Bersatu telah diasak atas dakwaan menipu kelayakan akademiknya. Pemalsuan sijil akademik itu menjadi demikian serius apabila ahli politik tersebut bertegas menyatakan pernah belajar di Cambridge of University di United Kingdom (UK). Bagaimanapun, selepas pendedahan demi pendedahan dilakukan oleh warganet, ahli politik ini terpaksa akhirnya mengaku mendapatkan sijil itu dari Cambridge International University di Amerika Syarikat (AS). Wah bukan main!
Ekoran dari itu, Dewan Ulama PAS Selangor dengan segera mengecam perbuatan itu sebagai penipu, tidak berakhlak, pemusnah kehidupan rakyat dan membawakan sebuah dalil hadis. Dalam satu kenyataan di organ rasmi parti Islam tersebut, kenyataan keras itu berbunyi: "Jika keadaan sebegini dibiarkan tanpa tindakan sewajarnya maka ia akan meruntuhkan sebuah negara. Bayangkan jika pemimpin terdiri dari kalangan penipu, negara sudah pasti akan rosak dan memusnahkan kehidupan rakyat yang berada di bawah. Hal ini boleh diperingatkan dengan hadith Nabi SAW iaitu: Apabila diserahkan urusan itu kepada bukan ahlinya yang layak maka nantikan kehancuran (Al-Bukhari)". Wah bukan main!
Pada tahun tersebut juga terdapat pendedahan bahawa antara 30 hingga 40 tenaga profesional di negara kita ‘ditelanjangkan’ setiap bulan kerana memalsukan sijil kelayakan akademik mereka. Penipuan ini dilakukan semasa memohon kerja. Pendedahan mengejutkan ini dilakukan oleh sebuah firma saringan maklumat Verity Intelligence Sdn Bhd. Menurut saringan firma ini ke atas kira-kira 100,000 pekerja dalam tempoh 12 bulan antara tahun 2018-2019, mereka mengesan penipuan berani ini turut melibatkan profesyen doktor dan jurutera. Wah bukan main!
Hal ini sangat membimbangkan kerana penipuan ini melibatkan pekerjaan kritikal seperti dalam bidang perubatan, perbankan, syarikat keselamatan dan kejuruteraan petrokimia, dan yang tertipu ini termasuklah syarikat milik kerajaan (GLC). Wah bukan main!
Tipu sijil kesalahan jenayah
Sebetulnya sindiket ijazah palsu dengan harga serendah RM12,000 di internet ini mudah sahaja untuk dikesan. Dalam satu laporan lain pada tahun 2019, sindiket jahat ini bahkan beroperasi secara terbuka melalui beberapa laman web dan dapat kita cari dengan mudah menerusi Google dengan kata kunci “buy fake degree”. Untuk ijazah dari universiti yang lebih berprestij ia dijual pada harga RM17,000. Manakala ijazah palsu dari luar negara pula sekurang-kurangnya RM20,000 dengan sesetengah laman web menuntut mata wang dolar Amerika. Lebih berani, kilang ijazah ini turut memberi jaminan sijil yang dikeluarkan ini akan melepasi semakan di universiti berkenaan kerana kononnya mereka boleh meminda rekod di institusi terlibat. Wah bukan main!
Ini menjadikan sukar untuk kita mengesan penipu-penipu kelayakan akademik ini dikesan sebetulnya. Helah muslihat mereka bukan main lagi.
Sekiranya anda seorang pekerja yang terkantoi menipu sijil kelayakan, ada padah menanti. Selain nanti berdepan dengan tindakan dibuang kerja, kesalahan penipuan sijil dan dokumen ini juga boleh dianggap sebagai salah satu kesalahan jenayah. Ia boleh disiasat dan didakwa dibawah Kanun Keseksaan [Akta 574]. Antara seksyen yang boleh dipertimbangkan untuk digunakan bagi tujuan siasatan dan pendakwaan sebarang kes yang melibatkan jenayah pemalsuan sijil ataupun dokumen ini adalah Seksyen 463 Kanun Keseksaan [Akta 574]. Wah wah bukan main!
Seksyen 463 Kanun Keseksaan [Akta 574] dengan terang memperihalkan yang kegiatan jenayah pemalsuan ini merupakan satu ‘bencana awam’ dan sesiapa yang bersekongkol boleh juga didakwa; "Barang siapa membuat sesuatu surat atau sebahagian surat palsu dengan niat hendak menyebabkan kerosakan atau bencana kepada awam atau kepada seseorang, atau hendak menyokong apa-apa tuntutan atau hak, atau hendak menyebabkan seseorang melepaskan harta atau membuat apa-apa kontrak yang nyata atau yang disifatkan ada, atau dengan niat hendak melakukan tipuan atau supaya tipuan boleh dilakukan, adalah melakukan pemalsuan". Bukan main, wah!
Bukan itu sahaja padah menipu sijil ini membawa kepada Seksyen 465 Kanun Keseksaan [Akta 574] yang memperuntukkan hukuman terhadap kegiatan jenayah pemalsuan ini adalah "diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda, atau dengan kedua – duanya". Wah!
Ternyata penipuan sijil atau kelayakan akademik adalah sesuatu yang sangat berat dan tidak boleh dipandang ringan. Ekoran dari itulah ustaz-ustaz PAS pada tahun 2019 menyergah isu ini dengan gagah berani. Wah wah, jangan main!
Pilih Adun macam pilih pekerja
Malah salah seorang agamawan PAS, Nasrudin Hassan namanya, telah ikut memberi peringatan atau tazkirah. Katanya dengan penuh bijak pandai, "…tindakan pemalsuan dokumen untuk mendapatkan hak terhadap sesuatu kepentingan adalah tindakan yang tidak boleh dimaafkan". Kononnya dia "mendesak agar satu siasatan terperinci dilakukan…sekiranya melibatkan pemalsuan dokumen", sambil menuntut "perkara ini diadili dengan sewajarnya". Dia mengakhiri kearifan kenyataan dengan retorika ‘Islam Memimpin’. Wah bukan main-main!
Makanya kita mengalu-alukan hantaran di laman Facebook pemangku Ketua Bersatu Hulu Selangor Khairul Azhari Saut yang memuat naik transkrip serta sijil Ijazah Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan yang diperoleh dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). Dia adalah calon Perikatan Nasional untuk Pilihan Raya kecil Kuala Kubu Bharu. Ini dia lakukan setelah banyak pertikaian mengenai kelayakan akademiknya yang tampak meragukan.
Manakala lawan paling siginifikannya adalah dari calon Kerajaan Perpaduan yang masih muda. Calon wanita, Pang Sock Tao dari DAP ini adalah graduan sebuah universiti yang tersohor, iaitu Universiti Tenaga Nasional (Uniten). Dia adalah graduan kejuruteraan elektrik.
Memilih Adun dengan kelayakan yang betul adalah satu tugas rakyat atau pengundi. Mereka ini adalah pekerja kita, rakyat. Pengundi adalah majikan. Ini kerja bukan main-main.
Majikan yang waras dan ragu-ragu dengan kelayakan akademik calon pekerjanya, apa yang mereka lakukan selalunya adalah mengetepikan calon tersebut dan memilih calon lain yang lebih menyerlah. Jangan main-mainkan nasib kita sendiri. Salah pilih nanti, wah bukan main alamat merana.
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai