Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

KOLUM | Ilusi Israel pertahan tamadun Barat

Selepas menyerang Isfahan, Iran, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu muncul di skrin televisyen dan menyeru supaya Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah membantu negaranya atas alasan mempertahankan “tamadun Barat”.

Daripada sudut berlawanan, Netanyahu menyifatkan dia berdepan dengan pihak yang mahu memusnahkan “tamadun Barat”, iaitu Iran. Maka Iran adalah musuh “tamadun Barat”, dan Iran adalah sebahagian daripada “tamadun Timur”. 

Serangan itu menjadi simbolik dari sudut ketamadunan. Israel menyerang Isfahan, kota yang mempunyai banyak bangunan warisan bersejarah dengan seni bina mencerminkan kebudayaan Islam. Isfahan bukan saja kota tamadun Parsi dan Islam tetapi juga “tamadun Timur”.

Menurut Israel, serangan ke atas Isfahan memusnahkan tempat pengeluaran dron yang digunakan Iran. Tempat yang diserang Israel itu didakwa sebagai pusat pembangunan nuklear Iran.

Sedangkan serangan dron Iran ke atas Israel tidaklah menyasarkan mana-mana kota yang mempunyai bangunan warisan dan bersejarah, yang mewakili “tamadun Barat.” Kebanyakan dron, yang didakwa jenis murah itu kebanyakannya dipintas. Tetapi ada juga yang mengena sasaran.

Kota paling bersejarah dan merupakan warisan adalah Baitulmaqdis dengan bangunan Masjidil Aqsa dengan Kubatul Sakhra atau Dome of the Rock. Tentulah Iran tidak menyasarkan Baitulmaqdis. Walaupun Israel menempatkan ibu negaranya di Baitulmaqdis, dengan Amerika menempatkan kedutaannya di situ, Iran dan banyak negara tidak mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai milik Israel. 

Baitulmaqdis tetap milik Palestin. Ibu negara Israel adalah Tel Aviv dan bukannya Baitulmaqdis.

Sememangnya Palestin mempunyai kota-kota bersejarah yang disebut dalam Bible. Palestin dan tempat-tempat itu disebut sebagai biblical lands tetapi ia bukanlah sebahagian daripada “tamadun Barat”. Tetapi apakah yang disebut sebagai “tamadun Barat”?

Masjid Al-Aqsa juga disebut  dalam Al-Quran. Maka ia juga boleh disebut sebagai quranic lands. Palestin adalah sebahagian daripada “dunia Arab”. Tentulah “dunia Arab” ini bukan sebahagian daripada “tamadun Barat”, tetapi “tamadun Timur,” jika hendak dipanggil sedemikian.

Jika dilihat dari sudut ini, maka peperangan Israel dan Palestin merupakan pertembungan antara “tamadun Barat” dengan “tamadun Timur.”  Israel berjaya menakluk Palestin dan mempertahankan kedudukannya, setakat ini.  Konotasinya dari sudut lain adalah “tamadun Barat” adalah baik, dan “tamadun Timur” adalah jahat yang perlu dikalahkan.

Beza Israel-Iran

Perbezaan antara Israel dengan Iran amat besar. Penduduk Israel seramai 9.5 juta dan Iran pula ialah 88.5 juta, mengikut angka 2022. Dari segi keluasan, Israel seluas 21.671 juta kilometer persegi berbanding dengan Iran (1.68 juta kilometer persegi). Dalam sejarah purba, Empayar Parsi yang diwarisi Iran bukan saja merangkumi keseluruhan Palestin tetapi sampai juga ke Mesir.

Maka untuk menampilkan dirinya besar, Israel perlu disifatkan sebagai sebahagian daripada “dunia Barat” yang meliputi Amerika Utara, Eropah, Australia dan New Zealand. Tetapi Iran dari awal lagi member amaran pada Amerika supaya jangan masuk campur dalam pertikaian baharunya dengan Israel. Setakat ini, Amerika tidak campur tangan. Tetapi kalau Iran menampilkan dirinya sebagai “dunia Timur”, maka ia menjadi lebih besar meliputi Rusia; China dan India. 

Tetapi istilah “tamadun Barat” adalah berbeza daripada “kuasa Barat” yang lebih kepada kedudukan politik. Maka apa yang dikatakan “kuasa Barat” tentulah diketuai Amerika dan ia terdiri daripada Eropah, Kanada, Australia dan Jepun, walaupun ia terletak di timur.

Ada personaliti rancangan bual bicara Amerika terkenal, Stephen Colbert, seorang Katolik mewawancara Richard Dawkins, seorang ahli biologi yang atheis. Dalam wawancara itu, disebut bahawa agama Kristian adalah bedrock bagi “tamadun Barat “ Apa yang dimaksudkan dengan “bedrock” ialah “dasar”. Bedrock secara harfiah bermaksud batu pejal yang padu pada dasar sungai.

Sememangnya agama  Kristian dengan segala mazhabnya, bukan saja Katolik tetapi juga Protestan dan Ortodoks menyumbang pada apa yang difahami sebagai “tamadun Barat “. Tetapi apabila melihat sejarah, semua pihak tentu dapat melihat asal “tamadun Barat” ialah dari Greece purba yang beragama pagan. 

Maknanya tamadun Greek adalah bedrock kepada “tamadun Barat.”. Ia kemudian ditambah oleh tamadun Rom. Kemudian agama Kristian pula menyumbang pada “tamadun Barat.” Tetapi Renaisans yang berlaku di Itali digerakkan oleh tamadun Islam yang menyalurkan pemikiran-pemikiran falsafah Greek. 

Pun begitu, apa yang dimaksudkan dengan “tamadun Barat” adalah lebih banyak dikira pada zaman Pencerahan atau Enlightenment, pada abad ke-28 di beberapa negara Eropah–Perancis, Britain dan Jerman. Tetapi ia bukan berbentuk agama tetapi berupa sekular yang melahirkan pelbagai fahaman falsafah. 

Dibandingkan dengan “tamadun Barat”, apa yang disebut sebagai “tamadun Timur” berasal dari China, India, Parsi dan tamadun purba seperti Sumeria, Mesir, Yaman–saling pengaruh-mempengaruhi–akhirnya menjadi beraneka, dan tidak boleh disebut sebagai “tamadun Timur”.

Malah “tamadun Islam” yang mempunyai pusat-pusat di Damsyik, Baghdad, Cordoba, Delhi, Isfahan, Samarkand dan Istanbul turut menerima pengaruh tamadun Greek dan Rom. Malah pada zaman moden, tidak ada negara Islam yang terlepas daripada pengaruh “tanaman Barat”, lebih-lebih lagi kebanyakan negara Islam pernah dijajah oleh “kuasa-kuasa Barat”.

Tamadun sejagat

Sememangnya dapat difahami bahawa apa yang dimaksudkan oleh Netanyahu sebagai “tamadun Barat” adalah nilai-nilai Barat yang dimiliki oleh Israel seperti demokrasi, sains dan teknologi. Maka konotasinya ialah nilai demokrasi, kapitalisme, sains dan teknologi tidak ada di Iran.

Jadi apabila disebut Iran juga mempunyai demokrasi. Maka akan dipersoalkan bahawa sistem Iran tidak seperti di Eropah. Tentulah setiap negara mempunyai budaya dan sistem masing-masing. Malah Israel juga tidak mengamalkan demokrasi seperti Eropah. Dengan penyingkiran rakyat Palestin, maka  ia sendiri sudah tidak mengamalkan demokrasi. 

Malah dijadikan Israel sebagai Negara Yahudi dan bukannya negara pelbagai kaum. Ini merupakan pelanggaran kepada falsafah demokrasi. Adakah dasar seperti itu sebahagian daripada nilai “tamadun Barat” yang  dikatakan baik?

Bagi saya, dunia hanya ada satu tamadun. Apa yang sebenarnya disebut sebagai “tamadun Barat” sudah menjadi sejagat atau global. Seluruh dunia sudah menjadi sebahagian daripada “tamadun Barat ” atau sebenarnya tamadun global. Tamadun itu sudah disertai oleh negara-negara lain yang dikatakan sebagai “tamadun Timur.“  

Apa yang dikatakan tamadun Arab, tamadun Islam, tamadun Parsi, tamadun India atau tamadun China sememangnya asalnya tamadun tersendiri. Tetapi sekarang baik di Kaherah, Damsyik, Baghdad, Isfahan, Samarkand, New Delhi, Beijing dan Tokyo, adalah kesemuanya sebahagian daripada “tamadun Barat”? 

Revolusi Iran, Revolusi China dan Revolusi Indonesia, kesemuanya bukan hanya dipengaruhi oleh “tamadun Barat” tetapi sebahagian daripada “tamadun Barat.”

Sememangnya boleh dikatakan bahawa “tamadun Barat” telah mengalahkan semua tamadun-tamadun lain. Sebab itu “tamadun Barat” adalah lebih tepat disebut sebagai tamadun global.

Maka bukan saja Israel tetapi Palestin, Iran, Rusia, China dan India adalah sebahagian daripada tamadun global. Tidak timbul bahawa Israel sedang mempertahankan “tamadun Barat”.

Apa yang berlaku sekarang, Israel sudah menduduki bumi Palestin. Ia tiada kaitan dengan tamadun. Ia hanya merupakan pendudukan (occupation) yang mesti dilawan.

Maka Israel juga bukannya benteng “tamadun Barat.” Ia hanya mempertahankan benteng saki-baki kolonialisme Barat yang sudah ketinggalan zaman.


ZIN MAHMUD adalah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.