KOLUM | Apa ertinya perang Iran-Israel?
Apabila berlakunya perang antara Iran dengan Israel, saya cukup “malas” untuk menonton laporan-laporan berita televisyen DW, France 24, ABC, BBC, NHK, Euronews dan CNA. Sebaliknya saya menonton Al Jazeera, CGTN dan Wion. Ada kalanya saya tonton berita dari TV1, TV3 dan Bernama TV.
Kesemua saluran-saluran itu terdapat dalam rangkaian Unifi. Bagi mereka yang melanggan Astro, konfigurasi saluran berita antarabangsa tentulah berbeza. Di situ ada CNN dan pada satu masa dahulu, ada Fox News. Kedua-duanya pun saya “tidak suka” bila mereka buat liputan hal ehwal antarabangsa.
Perang Iran-Israel adalah pertembungan antara “Barat” dan “Timur”. Israel adalah “Barat” dan Iran adalah “Timur”. Sememangnya “kita”, iaitu Malaysia, khususnya orang Melayu, sebahagian daripada “dunia Barat” dari segi politik demokrasi, ekonomi kapitalis, sains teknologi dan budaya global.
Tetapi dari sudut jiwa tentulah “kita” di pihak “Timur”. Dari segi agama, sejarah, geografi dan budaya, “kita” adalah orang “Timur”, bukan saja bagi orang Melayu, tentunya juga kaum Cina dan India.
Sebenarnya setakat tulisan ini dibuat, perang Iran dengan Israel belum berlaku. Tehran berkata, serangan dron itu merupakan tindakan balas perbuatan Israel memusnahkan bangunan konsulat Iran di Damsyik, Syria. Kawasan kedutaan termasuk konsulat adalah wilayah Iran. Maka serangan itu bertepatan dengan Piagam Bangsa-bangsa Bersatu. Mana-mana negara yang diserang boleh melakukan tindak balas.
Tetapi pihak Israel berkata, serangan Iran itu sudah sampai kepada tahap perisytiharan perang. Menurut mereka, kini Israel boleh melakukan apa saja, open options ke atas Iran.
Namun secara rasmi, perang tidak diisytiharkan. Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Antonio Guterres menyeru supaya segala tindakan yang boleh membawa kepada peperangan dihentikan.
Dunia tidak mahukan peperangan. Perkara ini tidak perlu ditanyakan kerana apa yang dunia mahukan adalah jelas. Sekarang pun, penerbangan antara Asia Tenggara dengan Eropah terganggu kerana mereka terpaksa mengelak ruang angkasa Iran dan negara-negara berdekatan iaitu Iraq, Syria, Jordan, Kuwait, Qatar; Bahrain dan Emiriah.
Seperti perang di Gaza, media “Barat” akan melaporkan menurut kaca mata mereka yang tentunya menyebelahi Israel dan menyakitkan hati “kita”.
Pendirian media-media dunia
BBC (Perbadanan Penyiaran British), DW (Deutsche Welle) atau Dunia Jerman, France 24 serta Euronews merupakan saluran televisyen awam negara-negara Eropah yang tentunya mencerminkan pendirian kerajaan-kerajaan “Barat. Walaupun negara-negara itu merupakan tonggak sistem demokrasi liberal yang termasuk dalamnya kebebasan bersuara, tetapi apabila mengenai keselamatan dan kedaulatan negara, perkara itulah yang akan mereka dahulukan. Maka Israel dianggap sebagai sekutu dan Iran sebagai musuh.
ABC atau Perbadanan Penyiaran Australia walaupun terletak di luar Eropah dan berada di bahagian selatan bumi tetapi dalam segala-galanya, ia sebahagian daripada “Barat”. Amerika Syarikat, Kanada; Australia dan New Zealand adalah projek penempatan “Barat” yang berjaya. Maka mereka mahu Israel pun berjaya sebagai projek itu.
NHK atau Nippon Hoso Kyoko bernaksud Perbadanan Penyiaran Jepun. Walaupun dari segi geografi, ia adalah negara timur, tetapi dari segi politik, Jepun adalah sekutu Amerika, menjadikannya sebahagian daripada “Barat”. Ia sentiasa melihat China–yang mempunyai pertikaian wilayah di pulau Senkaku (Diaoyu bagi China)–sebagai ancaman terbesar. Ancaman kedua datang dari Rusia yang masih menduduki pulau Kuril sejak Perang Dunia Kedua. Sementara Korea Utara pula mengancamnya kerana ia mempunyai keupayaan nuklear untuk menjadikan Jepun sebagai sasaran. Jepun tidak ada pilihan selain bersama Amerika.
Begitu juga dengan Singapura. Saluran tekevisyennya CNA atau Channel News Asia kelihatannya merupakan suara bagi benua Asia khususnya Asia Timur. Tetapi akhirnya ia bukan saja tidak menyuarakan sentimen Asia Tenggara, tetapi mencerminkan sikap kerajaan Singapura. Republik itu walaupun terletak di timur, seperti Jepun, ia adalah sekutu Amerika.
Majoriti penduduk Singapura adalah kaum Cina tetapi seperti Taiwan, ia dianggap sebagai sekutu “Barat”. Taiwan yang dianggap China sebagai sebahagian daripada wilayahnya tentulah menganggap negara komunis itu sebagai ancamannya.
Apa yang boleh menjadi ancaman bagi Singapura ialah negara-negara jirannya iaitu Malaysia dan Indonesia. Maka hubungan baik dengan kedua-dua negara itu amat penting. Namun ia perlu memperkasakan dirinya dengan menjadi sekutu “Barat”. Singapura bukan saja mempunyai kedutaan Israel tetapi ada hubungan kerja termasuk ketenteraan pada awal penubuhannya.
Walaupun Singapura bukanlah projek penempatan orang British seperti Amerika, Kanada, Australia dan New Zealand tetapi kedudukan geografi yang begitu strategik menjadikannya proksi penting bagi “Barat “. Status “negara maju” pula menjadikan Singapura lebih selesa berada bersama Taiwan, Korea Selatan dan Jepun selaku sekutu “Barat “
Maka Singapura merupakan sebahagian daripada “Barat” di tengah-tengah Malaysia dan Indonesia yang merupakan negara “Timur”. Kedua-dua negara ini pula mempunyai hubungan baik dengan semua negara “Barat” kecuali Israel. Mereka juga menolak pelanggaran Rusia ke atas Ukraine. Tetapi mereka juga tidak dapat menerima pendudukan Israel ke atas Palestin.
Begitu juga di pihak “Timur”. Saluran-saluran televisyen China, Qatar, India dan Malaysia turut mencerminkan sikap negara masing-masing. Maka CGTN atau China Global Television Network tidaklah menyebelahi Israel. Gambaran terhadap “perang” antara Iran dan Israel adalah lebih seimbang. Tentulah CGTN dikawal oleh Parti Komunis China, tetapi begitulah sistem politik di negara itu.
Qatar juga sekutu “Barat.” Tetapi ia merupakan negara Arab dan Islam yang tentunya menyebelahi Palestin. Maka Qatar menjadi orang tengah dalam perundingan Hamas dengan Israel. Sebagai negara Arab di Teluk Parsi, Doha perlu menganggap Iran sebagai ancaman. Saluran televisyen Al Jazeera dibiayai oleh kerajaan Qatar. Tetapi strukturnya adalah profesional dan mengikut BBC. Namun laporan Al Jazeera mengenai Palestin adalah lebih seimbang, malah pro-Palestin. Ada dilaporkan bahawa Al Jazeera bebas membuat laporan asalkan tidak mengkritik Qatar
Saluran televisyen India iaitu Wion, atau World is One News (Dunia adalah Satu Berita) adalah milik swasta. Namun begitu, ia tentunya menyokong kerajaan New Delhi walaupun tiada kawalan langsung. India tidaklah menjadi penyokong Palestin. Negara itu mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel sejak tahun 1992. Sebelum itu, India adalah negara berkecuali yang condong pada kepada Soviet Union.
Ancaman utama bagi India iakah Pakistan dan China. Pakistan yang merupakan sekutu Amerika sejak penubuhannya pada tahun 1947 adalah tegas dalam soal berpihak pada orang Islam, maka tentunya ia menyebelahi Palestin. Sebagai negara yang majoriti bukan Islam dan berdepan pula dengan Pakistan, maka ia cenderung pada Israel. Namun begitu, Wion mampu menyiarkan laporan seimbang kerana televisyen itu tidak perlu berpihak.
Sensitif dengan syiah
Sementara pendirian Malaysia adalah jelas. Negara ini menyokong Palestin, baik kerajaannya mahupun majoriti rakyatnya yang beragama Islam. TV1, TV3 dan Bernama TV diharapkan dapat mencerminkan sentimen majoriti rakyat negara ini. Berita tidak boleh seimbang, tetapi perlu pro-Palestin.
Namun apabila berlakunya “perang” Iran dengan Israel, umumnya rakyat negara ini menyokong Iran, sungguhpun ada sebahagian orang Islam yang sensitif dalam soal mazhab. Mereka menolak Syiah dan sebab itu mereka tidak dapat bersama dengan Iran.
Namun ada sebahagian yang suka dengan tindakan Iran itu dengan mengambil kira tidak ada satupun negara Sunni yang melancarkan serangan ke atas Israel atas isu Gaza. Golongan Houthi di Yaman yang menyerang Israel adalah juga Syiah.
Ketika kerajaan-kerajaan di dunia dan juga PBB menyeru Israel dan Iran mengawal diri untuk mengelak perang kerana akibatnya buruk, sebahagian rakyat Malaysia mengharapkan perang besar supaya Iran membebaskan bumi Palestin dari sungai ke segara.
ZIN MAHMUD adalah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai