Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

KOLUM | Kritikan Lu Xun dan konteks Malaysia

Karya-karya Lu Xun yang terkumpul dalam buku ini ditulis hampir satu abad yang lalu, diterjemah oleh Ban Chen setengah abad lalu. Dengan kata lain, Ban Chen telah menunggu 50 tahun untuk buku ini diterbitkan – satu tempoh penantian yang sukar dibayangkan oleh generasi “klik dan hantar/muat naik”.

Lantas timbul persoalan yang sukar dielakkan. Apakah relevannya karya yang ditulis sekitar satu abad lalu, berlatarbelakang sejarah dan konteks masyarakat China yang tersendiri, untuk masyarakat Malaysia, lebih-lebih lagi selepas satu abad kemudian?

Lu Xun (1881-1936), sebagaimana yang dikenali, adalah sasterawan, pemikir, pengkritik dan pendidik yang terlibat dalam Gerakan Budaya Baru untuk membebaskan China dari[ada feudalisme di zamannya. Sesungguhnya zaman itu memperlihatkan bagaimana sang penguasa menindas rakyat jelata - korupsi berleluasa, dogma mencengkam, rakyat merana.

Semestinya realiti ini ditafsir sebagai penyakit (sesebuah bangsa) oleh Lu Xun yang pada asalnya ingin melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan. Kita tidak pasti apakah latar belakang sebegini mendorong Lu Xun untuk menulis novel yang berjudul Ubat (药) , mengkiaskan bahawa penyakit bangsa ini hanya boleh diubati dengan pertumpahan darah (revolusi).

Namun “darah” dalam novel tersebut disalah guna lantaran kepercayaan mengarut dalam kalangan masyarakat, untuk mengubati penyakit batuk kering dengan “darah” (daripada mereka yang dipancung kepala) yang dicicah dengan bun kukus.

Lantas ia mencungkil persoalan, sama ada “pengorbanan pejuang revolusi” itu berbaloi atau telah dipersia-siakan begitu sahaja oleh masyarakat yang jahil?

Lu Xun

Seringkali kita menaruh harapan agar sasterawan, seniman, budayawan ataupun cendekiawan menggalas misi zaman untuk mencetuskan perubahan. Perubahan bermaksud beralih atau bertukar untuk menjadi sesuatu yang berbeza daripada yang asal.

Secara ideal perubahan itu disempurnakan dengan membina sesuatu yang baru selepas merobohkan sesuatu yang lama. Namun ada kala proses ini tidak lengkap, tergendala setelah sesuatu yang lama dihancurkan, tanpa sesuatu yang baru dibina.

Bak kata pepatah, ilmu itu kuasa. Lantas ia menyuntik keberanian kepada golongan intelektual untuk mengacukan hujung penanya ke arah sang penguasa. Hal ini kerana kita mengandaikan sang penguasa yang berjawatan dan berpangkat bertanggungjawab penuh ke atas segala kebobrokan yang menimpa sesebuah negara dan masyarakat. Untuk mencetuskan perubahan, sekurang-kurangnya sebagai langkah permulaan, sang penguasa harus ditumbangkan dan digantikan.

Cuma pengamatan Lu Xun mungkin lebih tajam dan mendalam. Jikalau karyanya diteliti, ia bukan sahaja memperlihatkan kezaliman dan kekejaman sang penguasa, tetapi juga watak-watak dalam masyarakat rakyat jelata sendiri, yang secara langsung atau tidak, menjurus kepada terjadinya tragedi.

Mudah sahaja untuk kita kategorikan masyarakat kita kepada golongan menindas dan golongan tertindas. Tetapi hakikatnya, dalam kalangan mereka yang tertindas, iaitu kumpulan minoriti itu sendiri, sering berlaku fenomena saling pijak memijak, buli membuli, malah baham membaham.

Justeru itu, andainya dilanjutkan soalan, apakah jaminan bahawa tragedi yang sama, seperti penindasan, korupsi dan kezaliman, tidak akan berulang jikalau sang penguasa yang sedia ada ditumbangkan dan digantikan oleh mereka yang berasal daripada kalangan rakyat jelata?

Barangkali kesedaran ini mendorong Lu Xun menulis untuk mengubah minda masyarakat rakyat jelata. Mustahil sesebuah bangsa mampu bangkit andai kekal dibelenggu dengan pemikiran yang jumud dan kolot.

Kitaran ini tidak akan terhenti atau terputus sungguhpun berkali-kali regim korup ditumbangkan dan digantikan. Ia sekadar pemberontakan, bukan pembaharuan. Tanpa anjakan paradigma dari segi pemikiran, masyarakat itu akan terus dilanda malatepaka buatan manusia, sehingga kita percaya bahawa bangsa kita disumpah untuk mengulangi tragedi yang tiada penghujungnya.

Bagaimana ia ditafsir dalam konteks Malaysia?

Berbalik ke Malaysia. Dengan latar belakang masyarakat yang jauh berbeza, Malaysia menyambut pertukaran kerajaan persekutuan buat kali pertama dalam sejarah pada tahun 2018. Itu pun dipimpin oleh “bekas diktator” daripada regim lama. Jelas, kita memiliki permasalahan yang tertunggak, dari padapolitik, ekonomi hinggalah sosial. Malah andai diteliti, politik identitilah antara masalah yang paling rumit untuk diselesaikan dalam konteks masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, agama, budaya, bahasa dan sebagainya.

Petik contoh yang paling kerap kita bincangkan - kaum. Cuba perhatikan ruang komen di bawah berita, atau video terbaru mengisahkan pengalaman saling membantu yang melibatkan kaum berlainan. Hampir pasti kita akan menemui komen berbunyi sebegini, “Politikus di atas saja yang buat hal, sedangkan rakyat di bawah okey saja”, dan komen sebegini akan mendapat “like” yang paling banyak.

Lalu ia menimbulkan tanda tanya. Sekiranya rata-rata rakyat Malaysia bersikap matang, tidak termakan dengan propaganda perkauman yang disebarkan pempengaruh, tidak menari ikut irama perkauman yang didendang politikus, sudah tentu politikus yang memainkan sentimen perkauman akan ditolak dan dihumban.

Kita akan diperlihatkan bagaimana masyarakat ini menyanjung tinggi pemimpin politik yang cuba mendamaikan pertelagahan, menghargai usaha tokoh yang cuba mencari titik pertemuan dalam kalangan komuniti berbeza, bukan mencerca atau memaki mereka dengan gelaran “pengkhianat bangsa”, sebagaimana yang berlaku sekarang.

Maknanya, sentimen perkauman ada pasarannya. Jadi, politikus yang melanjutkan talian hayat politiknya dengan undi, akan menunggang arus ini untuk meraih sokongan. Bagaimana rupa pengundinya, begitulah wajah pemimpinnya.

Justeru itu, pembentukan jati diri bangsa itu penting, sama ada 100 tahun dahulu mahupun 100 tahun kemudian. Lu Xun sebagai cendekiawan memilih untuk menongkah arus perdana dalam kalangan bangsanya dengan mengkritik amalan bangsanya yang jahil. Mungkin tulisannya tidak memberi jawapan atau menunjukkan jalan penyelesaian kepada masalah sedia ada ketika itu, tetapi ia “mencerahkan”, atau setidak-tidaknya umpama seekor gagak yang menusuk ke arah langit yang kegelapan, dengan harapan sinaran cahaya terpancar daripada celah keretakannya.

Karya Lu Xun amat bermakna untuk “pencerahan” masyarakat China pada zaman itu yang diselubungi kejahilan. “Kejahilan” pada zaman dahulu boleh disebabkan tahap pendidikan yang rendah, tetapi tahap pendidikan yang tinggi pada zaman kini tidak semestinya menjurus kepada “pencerahan”. Pendidikan tanpa “pencerahan” boleh jadi penyemaian doktrin dalam jiwa.

Begitu juga dengan penerimaan dan penyebaran maklumat. Tanpa “pencerahan”, pengaliran maklumat boleh jadi penularan berita palsu, umpama penyebaran surat layang pada zaman dulu-dulu.

Malaysia dengan kadar literasinya yang mencecah 95 peratus, juga penggunaan teknologi maklumat yang agak meluas, dianggap masyarakat yang “celik huruf” dan tidak ketandusan maklumat. Cuma, sekali lagi, tanpa “pencerahan”, boleh jadi kita sekadar diasuh untuk membaca mesej yang mengarut, menyebarkan berita palsu, sebagaimana yang berlaku ketika zaman penularan wabak Covid-19 sebelum ini.

Malaysia memerlukan sasterawan, pemikir, pengkritik dan pendidik yang berani mempersoalkan dogma dan doktrin yang sekian lama tersemai dalam jiwa masyarakat ini. Kita memerlukan cendekiawan yang menyeru agar anak muda dan bangsanya berlapang dada, memberanikan diri untuk berdepan dengan dunia di luar tempurung, yang pantas berubah dan jauh meninggalkan kita.

Dalam erti kata lain, kita memerlukan Lu Xun baru di Malaysia.

Di sini terserlahnya nilai terjemahan karya Lu Xun oleh Ban Chen, yang tidak luput sungguhpun diterbitkan 50 tahun berlalu. Barangkali kita boleh meletakkan diri kita pada kedudukan mereka sepanjang pembacaan, untuk kita telusuri dari mana mereka datang 100 tahun yang lalu, supaya kita tahu ke mana kita pergi 100 tahun akan datang.

*Artikel ini ditulis untuk memperkenalkan Kumpulan Pilihan Rencana Lu Xun, terjemahan Lee Ban Chen. Buku terbitan Gerak Budaya ini sudah ada di pasaran.


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.