Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

KOLUM | Kerancakan aktiviti perbukuan

KOLUM | Hujung minggu ini Khalid Jaafar, aktivis dan intelektual era awal Reformasi yang juga ahli politik PKR sebelum 2020 mengadakan jualan buku-buku lamanya. Koleksi 2,000 judul yang dihimpun sejak 40 tahun lalu akan ditempatkan di kedai buku Pelita Dhihin di Mutiara Majestic, Petaling Jaya dengan harga RM10 - RM20. Harga yang tujuannya melepaskan buku-buku itu.

Beliau juga akan memberikan satu syarahan mengenai pengalamannya sebagai kolektor buku sempena acara itu. Satu siaran podcast beliau tentang perkara sama telah pun tersiar dikendalikan oleh Muhamnad Nazreen, seorang aktivis, penjual dan kurator buku langka melalui syarikatnya Bukuku Press.

Hujung minggu lalu Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur telah diadakan di Pasar Seni yang menghimpunkan penerbit-penerbit indie. Konsep asalnya ialah sebuah pesta buku yang alternatif kepada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Maknanya kalau PBAKL adalah pesta untuk penerbit besar dan arus perdana, maka acara di Pasar Seni itu adalah untuk mereka yang berada di pinggiran.

Pada waktu sama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sedang menjalankan jualan gudangnya yang ke-68 di lima lokasi iaitu Kompleks DBP Hulu Kelang, Anjung DBP Kuala Lumpur, DBP Cawangan Sabah, Kota Kinabalu, DBP Cawangan Sarawak, Kuching dan DBP Wilayah Timur, Kota Bharu dengan diskaun sehingga 50 peratus.

Seminggu sebelum itu, sebuah kedai buku indie, Toko Buku Rakyat yang mempunyai kedai di Wisma Central, Kuala Lumpur mengadakan jelajahnya ke seluruh semenanjung untuk menjual buku. Penjual buku-buku alternatif ini pergi ke Lumut, Gelugor, Kota Bharu, Dungun, Kemaman, Kuantan dan Johor Baharu.

Pada akhir Januari hingga awal Februari, acara Big Bad Wolf bagi tahun 2024 diadakan di Shah Alam. Acara yang menawarkan harga murah bagi buku-buku bahasa Inggeris yang berkualiti menjadi tumpuan para peminat-peminat buku. Ia dianjurkan oleh rangkaian kedai buku BookXcess yang turut membawa acara ini ke bandar-bandar lain di semenanjung.

Cabaran media elektronik

Ternyata aktiviti-aktiviti perbukuan ini menunjukkan terdapat golongan dalam masyarakat yang meminati buku dan bilangan mereka cukup banyak untuk memunculkan penjual. penerbit dan penganjur acara-acara berkenaan. Maknanya ada saja pihak yang bersedia membuat pelaburan ke dalam industri perbukuan. Apa yang memberikan harapan ialah para pembaca dan penggiat buku ini terdiri daripada generasi baru.

Keadaan ini berlaku walaupun dinyatakan bahawa minat rakyat Malaysia untuk membaca buku dan membelinya amat rendah berbanding negara-negara Barat. Ditambah pula media maya yang lebih menarik perhatian menjadi cabaran kepada semua media cetak termasuk buku. Tetapi ternyata ketika akhbar dan majalah cetak sukar untuk terus hidup, buku kertas dapat menarik perhatian golongan muda.

Walaupun sejak 10 tahun lalu sudah ada buku elektronik atau e-book yang banyak dan mudah dapat diperoleh secara percuma terutama dalam bentuk fail PDF tetapi ia tidak menjejaskan jualan buku-buku fizikal. Peminat buku masih suka membeli buku kertas, malah yang mempunyai kulit tebal, terutama buku dalam bahasa Inggeris. Keadaan ini berlaku sungguhpun rumah-rumah kediaman semakin kecil dan sempit, maka untuk menyediakan ruang bagi banyak buku adalah satu cabaran.

Pun begitu, keadaan ekonomi negara dan dunia tahun 2024 ini pula turut menjadi cabaran kepada industri perbukuan di Malaysia. Harga barangan yang meningkat memberi tekanan kepada keupayaan seseorang untuk membeli buku, kerana buku bukanlah keperluan asasi seperti makanan.

Sementara kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika bukan saja memberi tamparan kepada perniagaan yang bergantung pada barangan import tetapi turut menjejaskan kemampuan seseorang untuk membeli buku bahasa Inggeris yang bermutu. Harga buku yang diimport dari Amerika Syarikat dan United Kingdom begitu tinggi hingga ia menjadi barangan mewah yang hanya mampu dibeli oleh mereka yang berpendapatan tinggi.

Perlu disebut bahawa walaupun dunia perbukuan ini didominasi oleh buku-buku berbahasa Melayu, kebanyakannya hal agama pula, tetapi tahap keilmuan dan pemikiran rakyat amat bergantung pada buku-buku bahasa Inggeris. Mereka lebih bermutu dan membawa ilmu pengetahuan, pemikiran, idea, motivasi dan inspirasi yang terkini dan pelbagai. Untuk buku-buku ini, sememangnya lahir satu golongan pembaca buku bahasa Inggeris yang merentas semua kaum dan pelbagai lapisan pendapatan.

Mereka bukanlah majoriti tetapi boleh dianggap sebagai tonggak intelektual negara. Bagi yang mampu, mereka boleh terus membeli dari luar negara secara atas talian, atau pun pergi ke kedai-kedai mega Kuala Lumpur iaitu Kinokuniya, Tsutaya dan Eslite. Bagi yang kurang mampu, mereka membeli buku-buku lebihan stok seperti yang dibawa oleh BookXcess dan Popular, juga dari kedai-kedai buku terpakai dan acara-acara yang diadakan seperti yang dilakukan oleh Khalid Jaafar itu. Platform perniagaan atas talian tempatan seperti Shopee juga menjajakan buku-buku terpakai bahasa Inggeris.

Namun begitu, tidak boleh juga disebut bahawa seseorang yang tidak ada kemampuan untuk membaca buku bahasa Inggeris tidak akan dapat menjadi intelektual. Bahasa tidak perlu menjadi penghalang. Orang boleh menjadi intelektual dengan membaca buku Arab, China atau Tamil iaitu tidak semestinya perlu dalam bahasa Inggeris. Begitu juga jika seseorang hanya membaca buku Melayu, lenih-lebih lagi jika mereja turut nembaca buku-buku bahasa Indonesia. Sudah banyak buku bermutu diterbitkan dalam bahasa-bahasa itu. Walaupun tentunya buku bahasa Inggetis jauh lebih banyak dan beragam. Dalam konteks Malaysia, buku bahasa Inggeris adalah jalan untuk berfikiran secara intelektual.

Buku terus hidup

Kini kemudahan media maya turut banyak membantu dunia perbukuan. Buku-buku mudah dijual dan dibeli melalui atas talian. Para penerbit dan penjual tidak perlu bergantung kepada kedai buku dan jurujual semata-mata. Kesemua buku yang diterbitkan boleh dipaparkan dalam Internet dan dipasarkan melalui media sosial. Sementara usaha penerbitan menjadi bertambah mudah dan cepat kerana teknologi komunikasi yang canggih.

Buku terus hidup walaupun manusia yang memilikinya tidak akan ada lagi. Selagi ada generasi baharu yang meminati buku, maka ia terus hidup. Buku tetpakai dijual semula dan ada saja orang yang meminatinya. Apa yang perlu ialah adanya penjual yang sanggup menyimpannya untuk menunggu pembeli dan pemilik baharunya.

Sebagai seorang yang mengikuti perkembangan dunia perbukuan negara sejak tahun 1980-an, saya percaya apa yang dilakukan oleh Khalid itu adalah acara pertama seumpama itu. Langkah melepaskan sebahagian koleksinya dalam sebuah acara adalah satu cara terbaik. Ini kerana buku-buku bermutu itu akan beralih kepada pecinta-pecinta buku dari kalangan generasi baharu.

Selagi buku tidak dimusnahkan, sesebuah buku itu terus hidup dan ia lebih bermanfaat di tangan pecinta buku dari kalangan generasi baharu. Sememangnya buku seperti harta lain akan berpindah kepada pewaris. Tetapi dari pengalaman saya, jarang benar pewaris mempunyai minat terhadap buku, ataupun pada jenis buku-buku yang sama. Lebih-lebih lagi jika kuantiti buku itu besar dan malah ia menjadi beban kepada pewaris.

Umumnya, pewaris selalu berfikir hendak menyerahkan buku-buku itu kepada perpustakaan khusus atau awam. Tetapi tidak semua perpustakaan bersedia menerima buku-buku lama. Mereka juga kesempitan ruang dan menjalankan proses pelupusan buku dari masa ke masa.

Seperti juga pencinta buku yang lain, iaitu mereka menghimpun buku sepanjang hayat, maka saya pun menghadapi cabaran cara mana untuk melepaskan buku yang sudah berada di luar minat saya. Apabila bersara, perkara pertama seseorang pecinta buku fikirkan ialah untuk membaca buku yang tidak sempat untuk dibaca semasa bekerja. Membaca buku bukanlah perkara mudah

Ia memerlukan minat, tumpuan dan masa, sesuatu yang menjadi cabaran bagi warga emas yang semakin menurun kekuatan otak dan fizikalnya.

Perkara kedua ialah cabaran bagaimana hendak melepaskan buku supaya ia terus menjadi manfaat kepada mereka yang mempunyai minat serupa. Saya memilih untuk melepaskan kepada penjual-penjual buku terpakai. Penjual membayar dengan harga saguhati dan ia menjualkannya di kedainya dan juga melalui dalam talian. Dengan cara ini, perniagaan buku terpakai yang dapat menjual buku dengan murah akan dapat juga berkembang. Ia juga membolehkan buku terus hidup merentas generasi.

Tumbuhnya generasi baharu yang meminati ilmu dan pengetahuan melalui pembacaan buku adalah positif bagi negara ini. Perjalanan negara masih jauh untuk menjadi negara maju. Tetapi pada saat ini, ada juga perkara yang boleh disikapi dengan optimisme.