Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

KOLUM | Milik siapa bahasa ini?

KOLUM | Bahasa Melayu itu milik siapa? Milik orang Melayu, orang Malaysia, atau orang Nusantara? Orang Indonesia mengatakan bahawa bahasa kebangsaan mereka adalah bahasa Indonesia meski ia lebih kepada soal identiti nasional mereka.

Sesuatu bahasa yang tidak menjadi budaya kehidupan masyarakatnya, lama-kelamaan akan hilang penutur dan pendengarnya. Ia akan senasib dengan bahasa Sanskrit, Latin dan bahasa lain yang hilang dalam lipatan sejarah.

Bahasa adalah salah satu idea yang dicipta oleh masyarakat melalui hubungan sosial. Khazanah atau kekayaan sesuatu masyarakat tidak mungkin diukur dengan kuantiti objek-objek yang mereka miliki.

Hal itu kerana objek atau material akan sama ada musnah atau hilang penguasaannya. Sebaliknya, malapetaka besar dalam masyarakat akan berlaku apabila hilang penguasaan terhadap sesuatu idea.

Bahasa adalah salah satu karya dan idea bangsa yang bertamadun yang boleh di-Unesco-kan. Pasti ia tidak menimbulkan polemik.

Melalui hubungan sosial yang kukuh, bahasa akan berkembang maju serta mengakar dalam masyarakat. Oleh itu, prasyarat mewujudkan masyarakat yang bersatu padu adalah melalui pengembangan idea menerusi bahasa pribumi dan bahasa yang subur di buminya.

Pentingnya hubungan tiga unsur

Mahu tidak mahu, kita harus menanamkan ke dalam pemikiran masyarakat peri pentingnya menyuburkan bahasa Melayu dalam kehidupan bermasyarakat.

Kegagalan mengungkapkan idea-idea kehidupan dalam bahasa Melayu - sama ada dalam aspek politik, sosial, ekonomi, pendidikan, sains dan sebagainya - menandakan kegagalan membentuk masyarakat yang bersatu padu.

Bahasa Melayu harus bersedia menghadapi cabaran dengan mampu menjadi wadah menyatukan idea-idea yang rencam dengan makna yang dapat difahami semua pihak.

Malik Bennabi mengatakan "keberkesanan idea bergantung pada rangkaian hubungan, iaitu kita tidak boleh memikirkan adanya tindakan yang penuh harmonis menggabungkan peribadi manusia, idea dan objek benda tanpa adanya hubungan antara mereka."

Ini kerana hubungan ketiga-tiga unsur itu amat penting dalam mewujudkan masyarakat yang progresif dengan acuannya sendiri. Kegagalan kita memilikkan bahasa Melayu sebagai bahasa peribadi dan bahasa kebangsaan adalah cerminan kegagalan sebuah bangsa merdeka.

Oleh itu, ketika kita berdiri di muara merdeka ini, saya ingin menyebutkan beberapa tingkat hukum yang boleh dilakukan demi kelangsungan hidup bernegara dan bermasyarakat yang menjadikan bahasa Melayu sebagai teras kebudayaan hidup.

Inilah yang disebutkan oleh budayawan Nusantara terkenal, Koentjaraningrat semasa membicarakan tentang proses pembudayaan bangsa.

Tingkat pertama adalah lapisan abstrak yang sangat luas, kabur tetapi memiliki akar dari jiwa dan emosi dalam masyarakat itu sendiri. Inilah tingkat yang disebut sebagai tingkat nilai.

Nilai hidup masyarakat harus dilihat kembali terutama dalam kerangka dunia langit terbuka sama ada melalui kemajuan teknologi maklumat atau dasar globalisasi kuasa-kuasa besar dunia.

Pertimbangan sains, politik

Bagaimana ahli politik dan masyarakat memberi nilai terhadap bahasa kebangsaan dalam kehidupan sosial? Bagaimana sistem ekonomi memberi ruang kepada bahasa kebangsaan menjadi bahasa komunikasi untung rugi?  

Pada amatan kasar saya, kita masih lagi berlegar-legar pada tingkat pertama iaitu pembinaan nilai bahasa terhadap pembangunan bangsa. Oleh itu, usaha membina nilai terhadap bahasa kebangsaan adalah tugas nasional.

Kita belum melepasi ke tingkat kedua, ketiga atau seterusnya. Inilah cabaran yang kita perlu lalui bersama.

Suatu yang sangat ironi apabila masyarakat Malaysia menjadi hairan dan kagum apabila menemui kaum bukan Melayu fasih berbahasa kebangsaan.

Tingkat kedua ialah pembentukan sistem norma dalam masyarakat. Covid-19 telah membentuk norma-norma baru bagi masyarakat meneruskan kehidupan baru.

Norma-norma itu perlu diterima oleh masyarakat atas pertimbangan sains dan politik.

Kadangkala pematuhan norma-norma itu tidak sangat bersandarkan sistem nilai dalam diri masyarakat sebaliknya adalah kesan daripada tekanan kuasa-kuasa luar seperti penguatkuasaan undang-undang dan nilai baru dalam masyarakat.

Tingkat ketiga melalui proses penghukuman dan perundangan yang mendorong secara paksaan masyarakat untuk menerimanya sebagai suatu norma sehingga menjadi sesuatu yang sebati dalam kehidupan seharian.

Tahap-tahap ini tidak semestinya berlaku secara berturutan, tetapi mungkin juga berlaku secara serentak. Ia bukan persoalan mekanikal pembentukan bangsa tetapi persoalan falsafah bangsa.

Sudah selalu dibangkitkan

Dalam siri penulisan tentang Tatkala Bahasa Mengalir Di Muara Merdeka sebelum ini, saya percaya pembaca sekalian dapat mengukur badan sendiri sebelum mengambil peranan yang lebih proaktif.

Kebijaksanaan tidak memadai tanpa ada rasa keberanian yang bertanggungjawab bagi membawa masyarakat melewati setiap tahap sebelum kita benar-benar berada di penghujung merdeka.

Kita mungkin berada pada titik terhakisnya kemerdekaan tanah air.  Ketika inilah, perjuangan baru harus dimulakan dan digerakkan.

Hal-hal yang saya tulis sebelum ini sudah diperkatakan oleh banyak pihak. Bahkan sudah berulang kali ia diulang ungkit di pelbagai medan dan waktu.

Saya tidak mengharapkan hasil yang sama daripada tindakan yang sama berlaku.

Seperti yang saya jelaskan pada tulisan awal lagi, saya hanya mengulangi fakta-fakta yang sama. Ia sekadar ingatan kembali buat mereka lupa, alpa dan naif.

Kita tidak boleh penat, bosan dan menyerah dalam memperjuangkan roh bangsa ini.

Ingatlah pesanan pujangga kita: bahasa jiwa bangsa.


MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.