Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

KOLUM | Bahasa Melayu dan kesumat politik

KOLUM | Tulisan Imran Adabi mengenai pencemaran bahasa dan budaya di Kuala Lumpur patut diambil perhatian. Bahasa rojak adalah penggunaan bahasa Melayu yang bercampur aduk dengan bahasa lain sehingga merosakkan segala-galanya.

Bahasa rojak bukan sahaja memberi identiti aneh kepada masyarakat luar tetapi sekali gus menyebabkan jati diri kebangsaan meluntur.

Bahasa Inggeris memang suatu keperluan untuk bergerak ke hadapan. Tiada siapapun menafikan keperluan tersebut. Kita perlu akui bahawa bahasa Inggeris sangat berpengaruh dan kukuh di segenap lapisan masyarakat.

Bahkan bahasa Inggeris sudah digunakan dalam sistem pendidikan negara sebagai salah satu mata pelajaran yang dominan sama ada di peringkat prasekolah, sekolah hingga universiti.

Namun ia bukanlah hujah untuk merojakkan bahasa kebangsaan.

Dalam keadaan hari ini, bahasa Melayu tidak boleh dibiarkan menjadi melukut di tepi gantang. Sayangnya pepatah itu sendiri sudah tiada dalam kamus pemikiran masyarakat pada hari ini.

Permasalahan ini tidak boleh dituding kepada generasi muda sahaja sebaliknya turut melibatkan golongan dewasa, terpelajar dan berkuasa. Mereka menyumbang saham yang besar untuk menyebabkan bahasa Melayu terabai.

Asas jati diri bangsa

Mereka termasuk pemimpin negara, pegawai kerajaan yang secara prinsipnya harus menggalas keluhuran perlembagaan yang memberi peruntukan khas mengenai bahasa kebangsaan.

Sejarah perjuangan bahasa Melayu Anwar Ibrahim semasa mudanya patut menjadi modal pencetus kebangkitan baru terhadap bahasa kebangsaan.

Perjuangan bahasa tidak boleh sekerat-kerat tetapi merupakan langkah yang berpanjangan dan menuntut komitmen tinggi.

Anwar tidak boleh bersendirian melaksanakan tugas nasional itu. Ia merupakan perjuangan bersama. Secara politiknya, membela bahasa kebangsaan adalah tanggungjawab blok pemerintah dan blok pembangkang sekali gus.

Masyarakat perlu mempunyai nilai tersendiri terhadap bahasa sebagai asas jati diri bangsa.

Selaku perdana menteri tentu Anwar memiliki jadual yang sangat padat tetapi individu yang ramai di sekeliling sosok itu perlu menyedari tugas nasional tersebut sedang dikongsi sama.  

Bahasa tidak boleh dijadikan modal untuk meraih sokongan politik pada waktu-waktu tertentu saja. Ia adalah modal membangunkan bangsa, bukan alat mendapatkan kuasa meskipun tentunya ia memiliki potensi untuk dijadikan alat mendapatkan kuasa dan pengaruh.

Apabila masyarakat mengubah sistem nilai yang menjadi kayu ukur dalam kehidupan, bermulanya penjajahan baru. Kata-kata "sekali merdeka, selamanya merdeka" hanya tinggal dalam lipatan sejarah.  

Jika kita tidak lagi menghargai kebijaksanaan sendiri dan mengutip kebijaksanaan luar, maka kita hanya menunggu saat kehancuran sebuah tamadun bangsa.

Pada hari ini, bahasa Melayu bagai kehilangan lidah dan suara di rumah sendiri. Inilah yang pernah diungkapkan dalam puisi Sasterawan Negara, Usman Awang:

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.

Itulah sebahagian gambaran sejarah tentang rumah besar bangsa dari kaca mata seorang penyair. Perkembangan bahasa kebangsaan ibarat sebuah ruang dalam rumah besar bangsa.

Sejarah sebuah rumah besar bangsa atau negara adalah himpunan cebisan sejarah dan kenangan bersama dari pembesar negara hingga ke rakyat jelata.

Bahasa Melayu di Scotland

Sejarah bukan semata-mata apa yang ada dalam catatan buku sekolah atau universiti. Sejarah adalah himpunan pengalaman, perkongsian kehidupan dalam bermasyarakat. Ia juga termasuk impian dan cita-cita bernegara.

Persoalan bahasa sebenarnya sudah berdekad-dekad disuarakan. Berkali-kali di sana sini. Sekarang setelah tanah air ini merdeka lebih setengah kurun, persoalan itu masih diungkit-ungkit lagi.

Apa lagi yang mengecewakan? Apa lagi yang didendamkan? Apa lagi yang hendak mahu dicapai?

Bahkan berucap mengenai mauduk bahasa kadangkala dianggap ketinggalan zaman atau keluar dari arus perdana.

Bahasa Melayu bagai tiada nilai ekonomi dalam pasaran terbuka. Peraturan-peraturan mengenai penggunaan bahasa di peringkat kerajaan tempatan dianggap sebagai paksaan dan tiada nilai komersial.

Suatu ketika dahulu, apabila Menteri Alam Sekitar dan Air kerajaan terdahulu berucap dalam bahasa Melayu di di Scotland, pelbagai reaksi yang keluar.

Abaikan isi kandungan ucapan menteri tersebut tetapi aktif ahli politik terbabit mengundang rasa bangga, gembira, sindir dan tidak kurang juga mempersendakan.

Dalam konteks bahasa, kita sewajarnya menghargai usaha menteri terbabit berucap dalam bahasa Melayu di pentas antarabangsa.

Sebelum itu Jokowi juga berucap menggunakan bahasa Indonesia dalam persidangan antarabangsa. Tiada siapa yang sibuk mengkritik atau mempersendakannya. Bahkan berbangga.

Mengapa ini berlaku?

Pertama ini disebabkan kita terlalu banyak dihempap pertembungan politik yang tidak berkesudahan dan tidak perlu. Justeru semua perkara hendak dipolitikkan.

Ini bukan bermakna politik tidak penting, bahkan politik sangat penting. Namun haruslah ia diletakkan pada tempat yang sewajarnya.

Kedua, kerana kayu ukur kita sudah ada kecacatan. Contohnya berucap dalam bahasa Melayu adalah sesuatu yang memalukan. Terasa pandir apabila berucap menggunakan bahasa kebangsaan.

Sedangkan lidah sendiri adalah lidah Melayu.

Menjadi warganegara Malaysia, sangat wajar untuk kita berbahasa kebangsaan dengan fasih dalam semua keadaan. Mengapa harus diriuhkan sekampung jika ada warganegara boleh berbahasa kebangsaan yang baku?

Begitu juga pengucapan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa itu tidak boleh juga dianggap sebagai kejayaan perjuangan bahasa yang terlalu dibesar-besarkan oleh rejim lalu.

Apabila terlalu diperbesar-besarkan hingga di luar konteks, ia menjadi semacam suatu agenda politik yang dangkal dan memualkan.

Oleh kerana persidangan tersebut mengenai perubahan iklim global, maka wajar sebarang kritikan atau pujian memberi fokus kepada kandungan persoalan perubahan iklim global dan bukannya soal bahasa atau batang tubuh yang berucap.

Dendam kesumat politik begitu tebal. Ibarat tidak dapat tanduk, telinga dipulas.


MUHAIMIN SULAM ialah penulis dan penyelidik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.