Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

KOLUM | Mahu optimis atau pesimis pada 2024?

KOLUM | Setiap kali melalui awal tahun baru, timbul persoalan adakah ia perlu dihadapi dengan sikap optimis atau pesimis? Awal tahun baru adalah waktu-waktu sekarang ini, iaitu minggu pertama, atau bulan Januari 2024. Adakalanya awal tahun boleh merangkumi suku pertama tahun, iaitu sehingga Mac, seperti menurut kiraan akaun kewangan.

Malah ada pula yang mengira sepertiga tahun sebagai awal tahun, iaitu sehingga April dengan membahagukan tahun itu kepada tiga, iaitu awal, pertengahan dan akhir, membahagi tahun pun adalah suatu yang subjektif. Apatah lagi dengan apa yang dinilai untuk menjadikan seseorang itu bersikap optimis atau pesimis.

Untuk bersikap sama ada optimis atau pesimis bagi tahun baru, saya mentakrif apa yang disebut sebagai awal tahun baru adalah minggu pertamanya, iaitu 1 Januari hingga tujuh hari bulan. Lepas itu tidak lagi dianggap awal tahun baru, malah 2024 juga tidak perlu lagi dianggap sebagai tahun baru.

Kehidupan sedang berjalan hinggalah akhir tahun, atau penghujung tahun, iaitu dari 25 hingga 31 Disember, ketika kebanyakan orang bercuti. Sementara dari 2 hingga 7 Januari, tolak cuti umum dan cuti hujung minggu, kerja sudah dimulakan, terutama ketika membuat suatu tugasan yang baru.

Dalam menghadapi tahun baru, seseorang tidak perlu mengambil sebarang sikap, sama ada optimis atau pesimis, atau positif dan negatif tetapi seharusnya terus mencampakkan diri ke dalam kancah kehidupan dan hanyut bersama arus perjalanan masa.

Seringkali, sebagai manusia moden, kita dinasihatkan supaya sentiasa bersikap positif dan optimis terutama dalam kehidupan kerana ia dianggap sebagai nilai baik untuk membawa kepada kemajuan dan pembangunan. Tetapi ia bukan saja merupakan nilai moden tetapi juga amalan tradisi, iaitu bersangka baik dan sentiasa bersyukur.

Bersikap positif dan optimis pada awal tahun baru merupakan nilai baik kerana ia memberi harapan bahawa perkara-perkara bagus akan berlaku pada tahun 2024, iaitu ia dapat dicapai dan dikecapi jika seseorang itu berusaha dan berdoa untuk mrndapatkannya. Dengan perasaan bahawa harapan baik itu tetap ada, maka seseorang wajar bersikap positif dan optimis.

Namun begitu, apabila ada konsep positif, mestilah wujud negatif. Apabila ada optimisme mestilah wujud pesimisme. Realitinya, harapan tidak semestinya benar.

Ada masanya apa yang ada ialah harapan palsu. Dalam banyak ketika, sukar hendak mengenali masa. Tetapi bagi mereka yang berpengalaman dan berpengetahuan, mereka mungkin mengenali harapan palsu, kalau tidak ada pada peringkat awal pun, ia disedari ketika waktu-waktu sesuatu perkembangan sedang berlalu.

Tiada yang boleh diramal

Optimisme dan pesimisme adalah lebih berpunca daripada emosi dan bukannya pertimbangan objektif. Sebab ia merupakan suatu nilai-nilai subjektif. Dasarnya bukanlah daripada fakta atau data, tetapi intuisi yang berasaskan pengalaman dan dipengaruhi oleh apa saja yang dicerap oleh minda seseorang.

Tetapi realiti tidak bergantung pada emosi dan intuisi. Ia juga bergantung pada harapan. Sama ada optimisme atau pesimisme yang disikapi oleh manusia, realiti mengatasi kedua-duanya. Bagaimana kuat motivasi seseorang dan menggantung harapan yang begitu tinggi, realiti akan memusnahkan sebarang bentuk optimisme.

Walaupun seseorang menggandingkan optimisme dengan sikap positif dan pesimisme dengan negativiti tetapi boleh juga adanya pesimisme positif dan optimisme negatif. Apa yang disebut sebagai pesimisme positif ialah sikap yang dianggap buruk ini mempunyai sisi kebaikan yang selanjutnya mendatangkan manfaat, bukannya mudarat.

Seringkali dilihat bahawa kedudukan optimisme dan sikap positif adalah lebih tinggi daripada pesimisme dan sikap negatif, dengan umumnya disebut dua perkataan itu didahulukan optimisme daripada pesimisme, begitu juga positif didahulukan negatif tetapi hakikatnya tidak ada yang berkedudukan lebih tinggi.

Boleh saja dimulakan dengan perkataan pesimisme, baru diikuti dengan optimisme. Begitu juga, negatif boleh didahulukan daripada positif. Sebagai perkataan, mereka adalah setaraf dan neutral. Hanya maksud dan tafsirannya yang membezakan kedudukan mereka.

Dalam keseluruhan konteks inilah maka saya mempunyai sikap pesimis terhadap tahun 2024 dan untuk tahun-tahunnya selanjutnya. Seperti tahun-tahun sebelum ini, perasaan optimis atau pesimis ini timbul pada awal tahun dan kemudian ia dilupakan begitu saja. Namun ia bukanlah suatu ramalan terhadap sesuatu perkara.

Tidak ada sesuatu apa pun yang boleh diramalkan manusia. Terdapat terlalu banyak faktor untuk membolehkan manusia membuat ramalan terhadap masa depan. Cuma manusia mempunyai kemampuan untuk melakukan jangkaan. Perbezaan antara jangkaan dengan ramalan adalah terletak pada ketepatan. Ramalan dibuat atas kepercayaan ia adalah tepat. Sementara jangkaan dibuat berdasarkan pada pengalaman dan pengetahuan yang merupakan kecenderungan terhadap perkembangan suatu kejadian.

Dengan kemampuan melakukan jangkaan inilah yang mendorong seseorang untuk berusaha dan berikhtiar. Ataupun sebaliknya iaitu mengelak dan menghentikan sesuatu perancangan atau pelaksanaan. Jangkaan itulah yang memberi penilaian sama ada sesuatu usaha dan matlamat itu boleh berjaya dan todak sia-sia.

Oleh kerana tahun 2024 ini baru bermula, maka apa saja keadaan masa depan masih boleh dicorakkan. Sebarang masalah masih boleh diatasi dan sebarang matlamat masih boleh diusaha untuk dicapai.

Seperkara lagi ialah sikap optimis dan pesimis pula juga dicorakkan oleh perawakan seseorang. Ada orang yang sering memandang dunia ini negatif dan dia pun bersikap pesimis. Ada pula yang sentiasa positif dan ia mennjadikannya optimis. Kebanyakan orang berperawakan sederhana. Mereka bersikap positif atau negatif, optimis atau pesimis adalah secara bersilih ganti, menurut keadaan, baik keadaan masyarakat sekeliling atau mood peribadi.

Tiga perkara di peringkat antarabangsa

Terdapat tiga perkara di peringkat antarabangsa yang saya berasa pesimis. Begitu juga, ada perkara-di peringkat nasional yang saya juga berasa pesimis. Tiga perkara di peringkat dunia ialah pertama, soal alam sekitar. Kedua, soal Palestin. Ketiga, soal Ukraine.

Soal alam sekitar melibatkan perubahan iklim, kemusnahan hutan dan kepupusan spesies. Soal Palestin pula melibatkan bukan saja Gaza dan Israel tetapi juga keseluruhan hubungan Barat dan bukan Barat, khususnya dunia Islam. Soal Ukraine ini pula merupakan isu geopolitik global yang melibatkan bukan saja Rusia dan Amerika Syarikat, tetapi juga China dan juga negara-negara lain.

Terhadap soal alam sekitar pula, apa yang dirasakan pesimis adalah perubahan iklim, khususnya pemanasan global, bukan saja ia bertambah buruk dan tidak dapat ditangani tetapi juga manusia pada keseluruhannya gagal menyesuaikan diri. Kesan-kesan perubahan iklim seperti bencana banjir melanda di pelbagai tempat dan ia akan berlaku pada tahun 2024.

Pada penghujung 2023, Israel sedang mengebom Gaza pada pembunuhan ramai yang tidak kelihatan bila kesudahannya. Apa yang dirasakan pesimis terhadap perang Gaza ini ialah penderitaan penduduknya akan terus berlaku sepanjang tahun 2024. Ia juga bermakna hubungan pihak Barat dengan dunia Islam menjadi sentiasa buruk.

Perang Ukraine juga terus berlaku pada penghujung Disember 2023. Harapan untuknya berakhir pada 2024 juga tidak kelihatan. Keadaan hubungan Rusia dengan Barat terus memburuk. Amerika dan Eropah sentiasa melakukan pelbagaji tindakan untuk menekan Rusia. Bukan itu saja, mereka juga sedang berkonfrontadi dengan China.

Walaupun pada tahun 2023 ada usaha kedua pihak untuk meredakan suasana, tapi kepercayaan sudah tiada. Taiwan akan mengadakan pilihan raya presiden tahun ini. China bertegas Taiwan mesti bergabung dengannya. Amerika pula sentiasa menghalang. Keadaan boleh menjadi buruk.

Apabila sukar untuk mengharapkan suatu perkembangan yang bertambah baik untuk 2024, maka keadaan itulah yang membawa kepada sikap pesimisme.


ZIN MAHMUD adalah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.