Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

KOLUM | Bermesyuarat di atas gunung

KOLUM | "Tak gam, mesti hisap batu,” kata seorang kawan. Kami ketika itu sedang berbual pasal keagungan bangsa Melayu.

“Asal mesyuarat je, mesti atas gunung, mesti tempat-tempat misteri. Tak boleh ke mesyuarat kat balai raya ke, dewan sekolah ke?

"Ingat senang ke nak bawak karipap dengan bihun panjat sampai puncak Gunung Jerai? Naya ke Tok Bahaman kena panjat gunung bagai,” tambah dia lagi. Entah melawak entah bersungguh.

Cerita mengenai keagungan Melayu itu bermula sangat santai. Kita menerimanya sebagai sesuatu yang entah-entah ya, entah-entah tidak.

Namun ia kemudian membengkak dan membesar sehingga dipercayai sebagai benar oleh agak ramai orang.

Mereka yang percaya betul-betul itu bukan sahaja terdiri daripada golongan muda remaja, malah yang telah berusia juga terjebak lalu mahu berbangga-bangga tak terkira.

Kami ini entah mengapa akan amat berbangga dengan pisang lemak manis.

Pisang lemak manis yang sebesar ibu jari setiap biji itu boleh kami habiskan bersisir-sisir jika diberi peluang. Yang menjadi kegemaran kami ialah pisang yang dari jenis yang tidak berbiji.

Kami mengelarnya sebagai pisang lemak manis Pahang. Jenis yang berbiji pula kami gelarkan sebagai pisang lemak manis Kelantan.

Sahabat kami si Dahri menafikan yang pisang lemak manis berbiji itu berasal dari Kelantan, namun apa sangatlah yang dia tahu mengenai Kelantan sedangkan dia sendiri berasal dari Besut, yakni sebuah daerah yang kekal keliru seperti dirinya.

Orang Besut, konon, tapi pakai topi koboi dan mengaku pejuang sastera Melayu.

Tidak tahu dari mana datangnya tetapi kami akan jadi bangga tidak tentu hala apabila terlihat akan pisang tersebut. Kami tidak ada sejarah dengannya dan kami juga bukan pemakan pisang yang tegar.

Bercakap luar bidang

Namun setiap kali bertemu dengan pisang berkenaan, akan keluarlah dari mulut kami bahawa "itu lemak manis Pahang".

Memang hanya sekadar itu, tetapi bangganya seolah-olah kami penyokong JDT yang paling kaki bangku.

Lalu kami boleh faham perasaan bangga tak tentu fasal sesetengah budak-budak Melayu apabila ada ahli akademik datang membawa cerita yang kononnya kayu kapal Nabi Nuh AS datang dari Tanah Melayu.

Atau juga cerita Pekida itu ada hubungan terus dengan Nabi Muhammad SAW, misalnya.

Tentu saja ia lebih mulia daripada kita kata yang kumpulan itu sebenarnya berasal dari pakatan orang kampung belah Kedah sana bagi melancarkan kerja sesuatu majlis perkahwinan.

Yang satu bakal dapat syafaat nabi manakala yang satu lagi pula hanya dapat rokok John seorang satu kotak.

Bagaimana tegar pun si perokok itu, mati hidup balik pun kita akan setuju bahawa kumpulan kita itu salasilahnya datang daripada nabi.

Ahli akademik boleh saja bercakap luar daripada bidangnya, namun dia mesti mengikut disiplin ilmu yang betul. Lihat bagaimana buku 65 Tahun Muzik Rock Malaysia yang ditulis oleh Takiyuddin Ismail, seorang pensyarah sains politik sebagai contoh.

Ayat "tak percaya, sudah" itu tidak sepatutnya datang daripada seseorang yang bergelar profesor hanya untuk memenangi hati sebahagian masyarakat kita.

Rasa rendah diri yang tinggi

Kami syak budak-budak Melayu yang bersungguh mahu betapa cerita sakti bangsa itu juga adalah peminat kayu koka. Ingat suatu masa dulu hampir seluruh Tanah Melayu 'gila' kepada kayu koka?

Pada waktu itu pun mereka mengatakan bahawa bahtera Nabi Nuh diperbuat daripada kayu tersebut, lalu ditambah lagi bahawa tongkat Nabi Musa juga ada elemen kayu yang sama.

Lalu berbondong-bondonglah mereka berhabis wang membeli kayu tersebut untuk dibuat tasbih atau sekadar disimpan sebagai azimat. Berzikirnya tidak juga.

Sekadar berharap hasanah dari kayu yang dianggap berkat.

Yang untung tetaplah si penjual kayu koka. Entah datang dari tanah Arab atau entah-entah dari belakang rumah si penjual tersebut saja.

Jika tidak silap ingatan, si Dahri yang kami sebut di atas tadi juga pernah memiliki gelang kayu koka yang dipakainya di lengan ketika dia ke mana-mana. Buat tangkal pemanis gamaknya.

Teruk sangatkah bangsa Melayu sehingga perlu mencari sejarah yang ‘super’ bagi membuktikan keunggulan mereka?

Dan jika sekalipun sejarah yang mereka gembar-gembur itu benar, apakah mereka akan automatik menjadi bangsa yang mulia?

Kami syak bangsa Melayu hari ini memiliki rasa rendah diri yang tinggi, justeru mereka berasakan sangat perlu untuk diberitahu bahawa datuk nenek mereka dulu semuanya adalah hulubalang yang mendunia.

Mereka ini tidak ubah seperti ayah ibu mereka yang menjual tanah pusaka untuk berjoli sakan dan kemudian berbangga apabila kawasan itu dimajukan oleh orang lain.

"Itu tanah wan awok tu... dari Stadium Darul Makmur sampai ke pasor besor," kata mereka kepada anak cucu sambil berbangga. Tak ubahlah mereka itu seperti Pak Kaduk.

Kita diajar bahawa tidak ada kemuliaan dalam berbangsa. Kita dianjurkan untuk menjadi manusia beriman.

Jika sekali pun kita ini ada hubungan dengan apa khilafah sekalipun, atau apa nabi sekali pun, selama mana kita ini tidak rajin sujud kepada Tuhan yang Maha Satu, maka selama itulah kita ini tidak dimuliakan.

"Semayang malas tapi sibuk nak mati syahid. Syahid wan aok.

"Jenis kayu koka blake," kata teman berbual kami tadi itu. Kami berpisah dan berjanji untuk bertemu lagi.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan pengembara yang setia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.