Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KOLUM | Sejarah Malaysiakini adalah sejarah negara

Saya berkenalan dengan Profesor Janet Steele mungkin di hujung tahun-tahun 1990an, di Ubud Bali. Barangkali ketika itu juga beliau sudah mulai memesrai tim Malaysiakini seperti mana yang beliau tuliskan dalam babak-babak awal buku Malaysiakini and the Power of Independent Media in Malaysia. Dan membaca buku kajian beliau tentang iklim jurnalisme dan media di negara ini dapat menghimbau hari-hari di zaman reformasi, tatkala saya mengenali dirinya.

Tidak keterlaluan untuk dikatakan, kejayaan Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri hari ini juga banyak dibantu oleh kewujudan Malaysiakini. Kata Anwar dalam tahun 2007, kepada Profesor Steele; “Malaysiakini has independence, credibility. It’s the only avenue we have; the other media have an instruction to block us out.

Justeru membaca kerja akademik terbaharu Profesor Steele ini membawa kita melihat semula dekad-dekad ke belakang Malaysia khusus di akhir pemerintahan Mahathir Mohamad, merentang sehingga era Abdullah Badawi dan naik jatuhnya Najib Razak kerana loba sendiri. Kini seperti mencermin sejarah negara.

Hal ini tidaklah menghairankan kerana Profesor Steele sudah pun menetapkan kerangka dan hala tuju penyelidikan beliau selama bertahun-tahun ini (malah berdekad!) iaitu pendekatan Malaysiakini adalah melihat “…history of modern Malaysia through the lens of Malaysiakini.” 

Maka segala yang terungkap di buku ini adalah saksi mata kepada pembinaan Malaysia baharu yang lebih baik. Dengan kewujudan Malaysiakini misalnya, kita (atau generasi kami) dinyalai oleh rasa melawan yang membawa kepada perjalanan panjang menentang korupsi, cengkaman kuku kuasa dan reformasi.

Steven (kiri) dan Premesh

Buku Malaysiakini and the Power of Independent Media in Malaysia membabadkan kepada kita perjalanan Steven Gan dan Premesh Chandran menubuhkan platform media paling berpengaruh di negara ini, sesuatu yang rakyat Malaysia tidak pernah terfikirkan satu masa dahulu - di internet. Ia dilakukan dengan melawan muslihat Mahathir, serbuan dan rampasan polis, pertelingkahan, air mata dan darah wartawan, keterbukaan memberi ruang dan wadah dan akhir sekali mendobrak pembungkaman bersuara.

Untuk itu, Profesor Steele dengan amat jaya juga menelusuri hayat hidup Steven Gan, salah seorang pendiri Malaysiakini. Misalnya apakah yang telah mencorak keperibadian, dan keberanian beliau. Juga memahamkan kita watak Steven dari Kampung Baru Cina di Ketari, Pahang; kemandiriannya apabila berkelana di Kuala Lumpur serta aktivisme pelajar bukan Melayu ketika menuntut di Australia. Siswa tempatan patut membaca buku ini dan tahu rasa malu. 

Dengan itu kita juga dihela ke zaman beliau memulai bidang kewartawanan di Bangkok dan Hong Kong. Misalnya apakah rencana pertama Steven, yang sebetulnya menentang imperalisme Barat tatkala Perang Teluk; sebelum memberikan kita Malaysiakini seperti hari ini yang diasas dengan wang RM30,000.

Hal yang sama dilakukan kepada Premesh Chandran yang meski datang dari keluarga kelas menengah sempat terperuk oleh ketidakadilan Dasar Ekonomi Baru. Kita diberitahu buku yang dibaca oleh Premesh - Deterring Democracy oleh Noam Chomsky - sehingga tabah dan tega melawan pihak berkuasa. Memahami motivasi tokoh-tokoh Malaysiakini ini sangat bermakna kerana ia menyediakan kepada kita penghayatan sebenar apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh rakyat Malaysia satu masa dahulu. 

Pilihan menerokai latar peribadi Steven dan Premesh membantu naratif buku ini yang menjadikan ia sebuah kerja ilmiah yang berimbangan fakta dan juga mencuit emosi.

Apabila Steven tidak dapat melakukan banyak ketika berada di The Sun, kerana tokoh korporat Vincent Tan memilih mendengar cakap Mahathir; ia membawa kepada rasa sebal yang menggeramkan. 

Penting juga dinyatakan betapa para jurnalis di sini kekal dengan Malaysiakini kerana ia berbeza, ia memilih pendekatan lain dan memberi atmosfera segar. Mereka tidak mendapat imbuhan besar seperti di akhbar besar tetapi memilih untuk tetap kerana agendanya adalah kebebasan media. Ini dibuktikan apabila Malaysiakini memberi Mahathir suara (selain blog Chedetnya) meski dipinggirkan ekoran mengkritik Abdullah Badawi. Hal yang sama berlaku apabila Malaysiakini menemu bual Najib Razak. Ia seperti pembalasan dendam yang terindah.

Najib ketika kali pertama berkunjung ke Malaysiakini pada 2018 untuk sesi wawancara khas

Tentu sahaja kejayaan Malaysiakini bukan kerana tim mereka sahaja yang hebat. Tetapi Malaysiakini juga bersahabat dengan wartawan dari akhbar lain dan mereka sering berkongsikan apa yang dinafikan untuk Kini. Buku ini memberikan kita kesan bahawa seluruh rakyat Malaysia telah berjasa kepada perkembangan demokrasi walau dengan hanya membaca laman web akhbar digital itu.

Maju selangkah lagi Malaysiakini memperkenalkan pula Malaysiakini TV pada tahun 2004. Semua itu dilakukan dengan berada di hadapan beberapa langkah. Ini bermakna bukan sahaja Kini menakluk dunia kewartawan konvensional tetapi juga melanggar dunia penyiaran. Tidak ada siapa menyangka Malaysiakini akan bertahan. Hari ini ketika video menjadi tatapan di telefon tangan, Malaysiakini sudah pun matang dalam zon ini.

Janet Steele berjaya menunjukkan kepada pembaca, cabaran terbesar Malaysiakini ialah untuk kekal bebas dan non partisan. Ia tidak harus dilihat sebagai lidah pembangkang meski selalu dituduh sedemikian. Untuk itu cabaran lain ialah melatih dan mengajarkan etika kepada generasi wartawan baharu. Suatu kerja yang bukan senang dan memerlukan ketabahan berpanjangan. Semua dilema dan juga kegigihan ini dituang dan disusun dalam dua belas bab termasuk pendahuluan dan epilog.

Membaca Malaysiakini and the Power of Independent Media in Malaysia saya jamin tidak melelahkan. Meskipun ia sebuah buku akademik, dengan persembahan yang berfakta; ia masih tersusun dalam bentuk penceritaan yang boleh diekori. Ia disulami oleh rekod lisan mereka yang terlibat langsung dan tidak langsung dengan platform media ini. 

Janet Steele

Saya dapat membayangkan jenuhnya Profesor Steele merakami suara mereka yang diwawancarai, payahnya menulis semula nota dari kajian lapangan dan menyaring dapatan yang paling berguna dan tidak lewah untuk ditampilkan. Untuk rekod, Profesor Steele adalah beberapa orang sarjana yang tersisa masih melihat dan merenung Asia Tenggara dengan objektif. Ahli akademik lain kebanyakan telah berpindah menekuni China.

Setelah membaca buku ini saya percaya perjalanan rakyat membina demokrasi tulen dan hak asasi manusia boleh menjadi kenyataan jika terus beriltizam dan tidak mengalah. Malaysiakini adalah platform media atas talian paling penting, berjaya dan bergaya di Asia Tenggara. 

Sayang buku ini terbit sedikit lewat di National University of Singapore. Ia boleh jadi dokumen pemikat untuk pemberi Hadiah Nobel Keamanan. Sumbangan Malaysiakini untuk negara tercinta ini sangat besar. Terima kasih. Terima kasih semua wartawan.

Reformasi kebebasan bersuara masih panjang. Kita masih memerlukan Malaysiakini.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.