KOLUM | Pemilihan Amanah: Percaturan atau pemikiran?
Seramai 102 nama disahkan bertanding untuk pemilihan kepimpinan Amanah sempena konvensyennya yang akan berlangsung hujung minggu ini. Dari menteri, timbalan menteri, senator, ahli parlimen, Adun, pegawai menteri hinggalah ahli biasa menawarkan diri untuk kerusi pimpinan nasional Amanah.
Ini merupakan pemilihan kali ketiga dalam Amanah selepas lapan tahun ditubuhkan. Kali terakhir ialah pada tahun 2019. Ketika pemilihan tersebut, penulis berjaya menempatkan diri dalam kelompok 27 yang menentukan lima jawatan tertinggi parti termasuk presiden.
Pemilihan kepimpinan hanyalah sebahagian proses demokrasi dalam sesuatu organisasi politik. Ia berlaku untuk tempoh yang tertentu mengikut perlembagaan sesuatu parti. Bagi Amanah, tempoh sepenggal kepimpinan itu adalah selama tiga tahun.
Calon-calon yang bertanding dalam pemilihan ini bukanlah lawan atau musuh politik. Mereka adalah rakan seperjuangan dalam satu jemaah. Oleh itu, proses pemilihan ini lebih kepada perlawanan persahabatan. Berlawan semasa bertanding, berganding selepas pertandingan.
Pemilihan ini tetap ada yang menang dan yang kalah. Menang bukan bererti menguasai segalanya dan yang kalah tidak bermakna hilanglah semuanya. Keputusan pemilihan bakal membentuk pola pendekatan kepimpinan Amanah agar lebih dinamik dan progresif.
Tanpa menafikan pemilihan ini juga berkait rapat dengan pemilikan kuasa, peluang dan pengaruh. Hal ini tidak boleh dari sudut negatif semata-mata. Ia juga harus dilihat untuk maslahah yang lebih besar; kuasa pelaksana dan pengukuhan idealisme perjuangan.
Konvensyen Amanah kali ini, hakikatnya bukan sekadar mencari pengganti Allahyarham Salahuddin Ayub atau suatu proses pemilihan kepimpinan. Ia juga adalah proses pemikiran politik sama ada perwakilan dan pemimpin menjadi bidak-bidak catur, penonton, pemain atau pencatur sayembara. Itu bergantung juga kepada kredibiliti perwakilan dan pemimpin.
Budaya politik
Artikel ini akan cuba menelusuri perubahan dalam Amanah dengan analisis secara kontekstual terhadap perkembangan budaya semasa menerusi kontradiksi yang wujud antara trend politik lama serta praktis politik yang lebih kontemporari.
Demokrasi adalah suatu proses pelbagai hala dari banyak lapisan ahli parti. Pemimpin dan penyokong atau perwakilan saling berinteraksi dalam menentukan pilihan mereka menang. Ini melibatkan usaha melobi, kempen, merayu dan sebagainya. Tindakan mengugut, menabur fitnah, menghukum dan mengadu domba pasti ditolak.
Ada pemimpin Amanah bersikap neutral, aktif dan juga pasif. Ada pemimpin membiarkan orang bawahan melaksanakan misi masing-masing. Ada juga secara diam atau terang memberikan bantuan dan sokongan kepada pelobi atau team kempen mereka. Ini bergantung pada perwatakan pemimpin itu sendiri. Maka, wujud kebimbangan di kalangan ahli tentang situasi ini.
Aroma keresahan itu memang kuat terhidu. Ini ekoran sebahagian kepimpinan dan ahlinya masih kuat pada tradisi organisasi yang konservatif. Transisi kepimpinan lazimnya bersifat agak feudal dan terikat dengan struktur.
Perkembangan ini dilihat sebagai satu bentuk kontradiksi antara praktis keterbukaan politik dengan unsur politik lama. Usia Amanah yang masih muda bakal menghadapi risiko kestabilan dalam kepimpinan untuk keluar dari kerangka sedi ada.
Orentasi dan sikap politik dipengaruhi oleh tindakan politik ditentukan berdasarkan budaya. Sungguhpun begitu, budaya politik akan menjadi satu subjek yang sempit dan terbatas sekiranya ahli dan kepimpinannya bertindak pasif dan hanya menurut kehendak percaturan politik atau menganggap diri mereka tidak meninggalkan impak positif walaupun pada asasnya mereka dipengaruhi oleh percaturan tersebut.
Latar belakang inilah yang membentuk lahirnya kelompok-kelompok yang berbeza dalam mengekalkan status quo atau keinginan perubahan demi kemajuan parti. Keadaan ini perlu diurus secara bijak oleh parti.
Sebagai sebuah parti yang inklusif dan rahmah, Amanah memiliki ahli yang pelbagai. Di sinilah pentingnya menghargai idea orang lain dan menghormati sesama ahli. Dalam masa yang sama, budaya politik Amanah akan berkembang secara semula jadi.
Amalan cai
Jalan singkat di penghujung musim kempen ini adalah mewujudkan cai atau senarai calon pilihan untuk diedar kepada perwakilan. Wujud beberapa cai untuk menjadi panduan kepada perwakilan untuk membuat pilihan. Cai boleh menjadi pemula proses pencaturan politik kepada perwakilan.
Sebenarnya sukar untuk menghalang atau melarang amalan cai semasa pemilihan. Ia wujud dalam hampir setiap pemilihan semua parti. Bahkan ia tidak menyalahi peraturan dan dianggap sebahagian proses demokrasi. Tidak mungkin untuk memansuhkannya.
Kebaikan cai adalah sebagai panduan kepada perwakilan membuat keputusan secara lebih terarah. Pun demikian, ia boleh membantutkan pemikiran politik kritis. Ia menyuburkan taqlid jika tidak diimbangi dengan tanggungjawab politik terhadap perjuangan parti membangun negara.
Merantai diri dengan cai boleh membunuh fikiran dan roh sendiri. Ketika itu, peta fikiran sudah dibidak-bidak di atas papan catur. Janganlah sampai fikiran dipajak kepada orang lain dalam membuat keputusan.
Oleh itu, perwakilan mestilah rasional, berfikiran jauh, progresif, amanah dengan dasar perjuangan parti dan bertanggungjawab pada keputusannya. Ini akan membantu parti untuk lebih berdaya maju dan mempunyai daya saing tinggi.
Perwakilan sesekali tidak boleh termakan sentimen, gelap mata dengan kedudukan, tunduk pada kilauan fatamorgana dan lemah daya fikiran. Semua ini menjadikan parti tidak memiliki ketahanan dalaman, rapuh dan diragui kemampuannya.
Cai mestilah berasaskan indikator yang boleh memperkukuhkan parti. Cai kerana kawan-kawan regu sembang ngopi bukanlah indikator yang tepat untuk majukan parti. Pemilihan ini adalah suatu episod dalam perjalanan politik yang madani dan rahmatan lil alamin.
Quraish Shihab berpesan dalam bukunya, ‘Islam & Politik. Perilaku Politik Berkeadaban’, bahawa politik itu adalah kehidupan sosial. Ini memberi makna, politik seharusnya memperbanyakkan kawan. Lalu, saya ingin menambah dengan frasa berikut - sastera mencetus bahagia dan bahasa jiwa bangsa.
Begitulah yang sewajarnya budaya kita berpolitik, kawan.
MUHAIMIN SULAM ialah anggota Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai