Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KOLUM | Pelajaran-pelajaran dari tahun 2023

Tinggal beberapa hari lagi tahun 2023 akan berlalu untuk digantikan dengan 2024. Apakah yang dapat dipelajari dari tahun 2023 untuk dibawa ke tahun selanjutnya?

Di pentas dunia, perkara paling besar berlaku ialah apa yang disebut sebagai Konflik Hamas-Israel tetapi sebenarnya adalah pembunuhan beramai-ramai atau massacre penduduk Gaza oleh Israel, dalam konteks perjuangan Palestin melawan pendudukan Zionis di bumi mereka.

Peristiwa sejak 7 Oktober 2023 merupakan suatu mercu tanda bagi dunia yang kesannya adalah besar dan berpanjangan. Tahun 2024 adalah diharapkan akan menyaksikan pengorbanan penduduk Gaza itu tidak sia-sia tetapi perjuangan masih jauh melangkaui puluhan tahun.

Kanak-kanak yang menjadi mangsa serangan Israel

Ada banyak pelajaran terkandung dalam peristiwa-peristiwa sejak bulan Oktober itu. Apa yang dirasakan hampir pasti, kesannya tidak akan hanya berlalu seperti apa yang berlaku pada tahun-tahun sebelum ini.

Di medan nasional pula, 2023 seharusnya merupakan tahun kebangkitan setelah negara menerima pukulan akibat pandemik Covid-19 bermula pada tahun 2020 hingga 2022. Ia juga ditandai dengan ketidakstabilan politik demokrasi apabila menyaksikan penggantian perdana menteri pada tahun 2020, 2021 dan berakhir dengan pilihan raya umum pada November 2022. Maka sepanjang tahun 2023 berlakulah usaha untuk membangkitkan negara ini melalui gagasan yang dinamakan Madani.

Pada keseluruhannya untuk tahun ini Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mengetuai Pakatan Harapan dengan PKR sebagai parti induk telah dapat mengekalkan kestabilan politik demokrasi. Suatu perkara penting dalam keadaan negara sedang melalui fasa suasana politik baharu dengan tidak ada parti tunggal menguasai majoriti bagi pemerintahan negara.

Kestabilan ini wajar dihargai walaupun tentunya banyak penyokong dan pengundi Pakatan Harapan kecewa bahawa agenda Reformasi yang diperjuangkan sejak tahun 1998 tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana apa yang ada sekarang ialah Kerajaan Perpaduan dan bukannya Kerajaan Pakatan Harapan.

Anwar di Istana Negara selepas mendapat sokongan majoriti susulan BN dan GPS.

Tambah kecewa bagi banyak penyokong PH pula ialah negara tidak dapat melonjak hebat dengan ketara sepanjang 2023 walaupun pelbagai penambahbaikan dan pembaharuan yang dilakukan kerajaan. Namun begitu, hakikatnya bahawa kerajaan berusaha untuk memperbaiki kehidupan rakyat dengan pelbagai inisiatif pun sudah dikira suatu kejayaan. Apa yang diharapkan ialah lebih idea dan usaha kreatif dalam menyelesaikan masalah dan memperkenalkan gagasan-gagasan baharu.

Apa yang dapat dilihat oleh rakyat termasuk saya adalah terhad. Tentunya rakyat tidak mengetahui apatah lagi memahami banyak perkara mengenai kerajaan dan negara. Ruang lingkup kemampuan manusia menyerap maklumat adalah amat terhad walaupun pada zaman ini, sifat kerajaan jauh lebih telus dan kemajuan teknologi membolehkan banyak perkara untuk diketahui umum. Namun beserta dengan itu, mudah pula maklumat palsu dicipta dan disebar.

Tamparan 6 PRN

Dari segi politik, walaupun Kerajaan Perpaduan dapat mempertahankan kekuasaannya tetapi keputusan pilihan raya enam negeri merupakan suatu tamparan kerana mereka gagal untuk menambah sebarang negeri dalam pangkuannya. Kelantan, Terengganu dan Kedah bertambah teguh bawah Perikatan Nasional. Walaupun PN gagal memenangi Selangor tetapi sokongan yang diperoleh mereka adalah juga besar.

Secara umum, trend keputusan PRU pada tahun 2022 berterusan pada PRN tahun 2023 yang menunjukkan PN khususnya PAS memperoleh sokongan dari orang Melayu terutama bagi generasi muda. Maka soal kaum dan agama akan terus menghantui Kerajaan Perpaduan terutama PH. Dalam persaingan pengaruh dalam medan digital, kelihatannya PH dan BN kalah pada PN. 

Kesemua ini, iaitu soal kaum dan agama memberi kesan pada semua pihak. Kerajaan Perpaduan melakukan pelbagai program dan aktiviti untuk menaikkan imej yang dikaitkan dengan kaum dan agama. Soal kaum dan agama ini adalah amat sensitif kerana media sosial begitu mudah mempengaruhi sentimen rakyat, yang sukar untuk dilawan.

Setiap parti dalam PH berasa kesannya. Sementara BN pula masih belum lagi berupaya untuk bangkit walaupun ia terus menjadi sebahagian daripada kerajaan. Imej lama BN sebagai parti yang tidak boleh diharap masih menyelubunginya.

Bagi PKR yang mempunyai imej berfahaman terbuka sukar untuk melawan PAS dalam suasana orang Melayu yang sensitif terhadap agama dan kedudukan kaum. DAP juga perlu menyesuaikan diri dengan keadaan ini. Sebarang tuntutan yang keterlaluan pasti mendapat perhatian sensitif daripada orang Melayu.

Sementara Amanah pula menjadi parti paling berasa tercabar dalam suasana kaum dan agama ini. Keadaan ini pasti memberi kesan pada pemilihan parti yang akan berlangsung beberapa hari ini. Ada pihak dalam parti yang mahu membawa Amanah untuk lebih kuat mempunyai imej beragama, sebagai parti yang merupakan pecahan dari PAS ifh.

Di pihak PAS, mereka semakin bertambah yakin untuk menjadi pengganti PH pada pembentukan kerajaan-kerajaan akan datang. Dalam PRN tahun 2023.  Mereka bukan saja dapat menyapu bersih Terengganu dan dapat memenangi Kedah yang PRN sebelumnya, ia merupakan negeri PH. Ternyata menteri besar Kedah apalah popular walaupun ia berwatakkan sebegitu rupa.

Pilihan raya kecil Kemaman pula menunjukkan bahawa BN sudah tidak berdaya di negeri itu. PAS meletakkan seseorang yang penyokongnya melihat beliau mampu menjadi perdana menteri jika PAS menjadi kerajaan persekutuan.

Ahmad Samsuri Mokhtar, calon PAS di Kemaman.

Tetapi PAS sebagai parti tidak menunjukkan kewibawaan dari segi kemampuan pemimpin-pemimpinnya mentadbir pada tahap yang boleh diharapkan untuk negara. Sebagai pembangkang pun; ahli-ahli politiknya tidak menunjukkan kemampuan yang boleh menyumbang pada negara kepada kedudukan lebih baik.  Mereka sebenarnya  telah diuji semasa menjadi sebahagian kerajaan persekutuan bawah Bersatu dan BN. 

Semenangnya malang bagi Malaysia kerana kekurangan ahli politik yang dapat diyakini boleh membawa negara pada kecemerlangan. Baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang. Semua parti kini perlu secara serius melihat kemampuan pemimpin-pemimpin mereka masing-masing. Zaman sebuah parti politik mendominasi seperti dahulu sudah berlalu. Kerajaan-kerajaan akan datang akan terus wujud dalam bentuk gabungan merentas negara hingga ke Sarawak dan Sabah 

PM perlu orang kanan hebat

Sememangnya perdana menteri ada banyak tahun lagi untuk menunjukkan kemampuannya sebelum tempoh penggal pilihan raya ini berakhir. Tetapi beliau perlukan orang kanan yang juga hebat. Tentu perkara ini telah dan sedang difikirkan oleh semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan. Soalan-soalan siapakah selepas Anwar  dan siapakah dalam PKR yang mampu menjadi menteri yang layak tentu difikirkan dan dibincangkan. Perkara ini bukan saja di PKR tetapi juga parti-parti lain.

Mereka perlu mempunyai pemimpin-pemimpin layak dan mampu untuk menjadi menteri, bukan saja parti dalam PH seperti DAP dan Amanah tetapi semua parti politik. Ini kerana apabila ditubuhkan Kerajaan Perpaduan, parti-parti lain juga perlu membekalkan pemimpin mereka untuk dilantik sebagai menteri.

Sememangnya seorang perdana menteri boleh melantik orang bukan politik atau teknokrat dan birokrat yang berkelayakan sebagai menteri. Tetapi tentulah lebih baik jika tokoh yang dilantik adalah dari kalangan ahli politik kerana mereka lebih menghayati keperluan rakyat dan aspirasi partinya 

Adalah suatu tindakan yang wajar bagi perdana menteri melakukan sedikit rombakan kabinet baru-baru ini, selepas ulang tahun penubuhan kerajaan Madani. Setelah setahun, suasananya adalah lebih jelas terhadap kesesuaian seseorang mengetuai portfolionya walaupun perkiraan politik sebagai kerajaan perpaduan tetap perlu diambil kira.

Dzulkefly Ahmad

Dengan lantikan semula Dr Dzulkefly Ahmad sebagai menteri kesihatan, berketepatan pula dengan kenaikan kes Covid-19, seolah-olah seperti adalah menjadi tugas beliau untuk menyambung semula apa yang terputus pada tahun 2020 apabila kerajaan PH tumbang.

Maka kes-kes Covid-19 baharu ini merupakan cabaran bagi negara pada tahun 2024. Berbekalkan pengalaman lalu tentulah rakyat mengharapkan negara dan dunia tidak terjerumus kepada keadaan malang seperti dahulu.

Satu pelajaran daripada apa yang berlaku sepanjang 2023 ialah penyokong-penyokong parti tidak wajar mempunyai harapan begitu tinggi untuk melihat sebarang perubahan besar apabila parti mereka berjaya memperoleh kuasa selepas kemenangan sesuatu PRU. Sikap yang perlu ada ialah memahami realiti tanpa meninggalkan idealisme.

Sebagai contoh, idealisme Reformasi serta mahukan negara bersih daripada korupsi hendaklah sentiasa ada sepanjang hayat walau apapun keadaan negara. Dengan mempunyai harapan dan bersikap optimis akan mendatangkan suasana positif. Tetapi harapan itu tidak boleh terlalu tinggi hingga mengabaikan realiti.

Apa yang disebut realiti ialah keadaan sebenar yang sering tidak diketahui jika sesuatu pihak itu tidak memegang kuasa. Ahli-ahli politik mempunyai kelemahan tertentu. Maka begitu juga dengan parti politik. Sementara jentera kerajaan juga mempunyai kelemahan tersendiri. Ia juga mencerminkan kelemahan rakyat dan negara itu sendiri.

Realiti parti politik ialah mereka perlu bergabung untuk menubuhkan kerajaan. Ada masa mereka perlu bergabung dengan lawannya. Sebab itu, bermusuh dalam politik hendaklah berpada-pada. Jangan sampai menyemai kebencian kerana kemungkinan pada satu hari kerjasama perlu dibuat demi rakyat dan negara. Dalam sistem demokrasi semasa, kompromi dengan kerjasama adalah asas kestabilan, pembangunan dan kemajuan. Tahun 2024 bukanlah akhir zaman. Masa terus bergerak dan manusia akan berganti generasi.  Sesuaikan diri kerana akhir zaman masih jauh lagi.


ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.