Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KOLUM | Tok Mat kini ‘world’ di Wisma Putra

Perubahan portfolio Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan (lebih mesra sebagai Tok Mat) dari Kementerian Pertahanan ke Kementerian Luar Negara dalam rombakan kabinet 12 Disember 2023 nampaknya menjadi bahan ejek pemimpin Perikatan Nasional. Wan Saiful Wan Jan misalnya dengan gesit mengacum dengan mendakwa keputusan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menghantar Mohamad ke Wisma Putra akan mengukuhkan posisi Zahid Hamidi. 

Portfolio luar negeri dilihat “tidak strategik untuk individu yang satu tangga saja lagi boleh menyanggah Zahid sebagai presiden Umno”. Ini kerana Tok Mat selaku menteri luar negeri akan terpaksa berada di luar negara untuk tempoh lama. Bukan itu sahaja, Wisma Putra dilihat sebagai Kementerian yang tidak begitu kaya dan memberi laba besar dalam politik. 

Untuk rekod ketika kerajaan Perikatan Nasional bawah Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob, Tok Mat malah tidak diberi peranan yang munasabah langsung. 

Pun, Tok Mat menyatakan yang peranan barunya ini “adalah tanggungjawab dan amanah yang berat” dan beliau berhasrat melaksanakannya “dengan kerjasama dan nasihat para pegawai kanan dan seluruh kakitangan Wisma Putra”. Beliau ikut menambah yang “komitmen saya ialah untuk meneruskan dasar luar yang progresif, bebas dan berkecuali, selari dengan kepentingan nasional dan peranan antarabangsa Malaysia”.

Sebetulnya jika Tok Mat yakin dengan tempat baharunya, beliau boleh membuktikan pandangan seperti Wan Saiful Wan Jan itu salah. Bahkan sebagai orang Negeri Sembilan saya percaya beliau dicampak di mana pun akan memberikan hasil lumayan, bak kata pepatah lama; benih yang baik kalau di campak ke darat menjadi gunung dan jika di campak ke laut menjadi pulau.

Pertamanya, Tok Mat tidak perlu bersedih. Dengan pasukan yang mantap, beliau sebetulnya boleh menonjol dan hal ini boleh menjadi kapital politik yang lumayan. Di bawah Kerajaan Madani, Perdana Menteri Anwar Ibrahim nampaknya disambut dan disahut di luar negara sebagai seseorang yang penting dan bermakna. Lihat sahaja cara Indonesia melayan beliau. Atau keberanian Anwar menegur Joe Biden ketika Mesyuarat Apec yang lalu. Juga sikap Thailand dan China terhadap Anwar. Hal ini memberikan beberapa pengajaran besar untuk Tok Mat. 

Pertama, beliau boleh dan wajar menggilap citra dan menimba pengalaman di Wisma Putra. Bahkan sekarang Tok Mat berkesempatan untuk membina profil beliau di luar negara. Jika bijak Tok Mat boleh dan patut menunggang gelombang perhatian terhadap Malaysia di luar ini dengan berkesan. Dalam erti kata lain wajah dasar luar Anwar Ibrahim sekarang di tangan Tok Mat. Akan tetapi ia juga boleh menjadi malapetaka besar jika Tok Mat gagal menguruskan lidahnya. 

Sebagai rujukan; kejahilan pesaing lain Tok Mat iaitu bekas Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein yang pernah satu masa lalu menggelar China sebagai "abang" kepada Malaysia pernah mengheret negara kepada satu bentuk keaiban dan penghinaan terhadap pendirian kita yang tidak berpihak. Justeru Tok Mat boleh menyinar jika pandai bermain di lapangan. Boleh pula jahanam jika tidak berhati-hati.

Tanggapan yang bodoh

Harus diingat, dakwaan Wan Saiful bahawa Tok Mat melemah di Wisma Putra dan hanya mengukuhkan Zahid dalam Umno sebetulnya satu tanggapan yang bodoh. Ini kerana imej Zahid Hamidi sebagai seseorang yang dilepaskan tanpa dibebaskan dari 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram kekal terdokumentasi di mana-mana dan memberi persepsi yang tidak indah di luar negara. Tok Mat sebagai kebalikan, paling tidak boleh dilihat sebagai belum terpalit apa-apa. Tok Mat juga diketahui sihat berbanding Zahid Hamidi.

Kedua, tanggapan bahawa Kementerian Luar adalah kementerian sampingan adalah sesuatu yang salah sama sekali. Bahkan sebenarnya, Wisma Putra adalah penyambung kepada banyak Kementerian lain dalam pelaksanaan pelbagai dasar kerajaan. 

Misalnya, Wisma Putra boleh memain peranan penting dalam isu diskriminasi minyak sawit di Eropah. Penambahan kuota haji bukan sahaja satu mainan yang perlu dikincah menteri hal ehwal agama tetapi harus juga dibantu oleh Wisma Putra. Jika Tok Mat menyinggung perasaan Arab Saudi banyak masalah akan timbul, akan tetapi jika beliau berjaya mengambil hati ia akan memberi pula manfaat besar. Demikian juga urusan pengambilan pekerja asing yang melibatkan negara jiran kita seperti Indonesia, Vietnam dan Myanmar.

Tahun 2024 adalah ulang tahun 50 tahun hubungan baik Malaysia-China yang tentu sahaja akan mendorong ‘keraian’ dan sambutan signifikan antara kedua-dua negara. Dalam hal ini Wisma Putra akan memainkan peranan. Kalau Tok Mat kaku di sini maka sambutan itu juga akan dilihat memilukan.

Ketiga, dalam keadaan Malaysia ingin ikut serta menjadi juara dalam dunia Islam, Tok Mat boleh memain peranan penting. Isu Palestin misalnya membolehkan Tok Mat untuk ke hadapan. Jika kena caranya Tok Mat akan terkenal seantero dunia khusus di dunia Islam. Citra sihat dan baik Tok Mat di dunia Islam akan memercik di dalam negara ini kerana orang Melayu datang sekali dengan Islam. Masakan orang Umno akan memandang sebelah mata kepada Tok Mat jika beliau dapat menjadi perantara yang baik dalam isu di Gaza sebagai contoh. 

Dalam banyak hal lain juga, sukar untuk seseorang ahli politik berbuat salah di Wisma Putra (kecuali Hishamudin Hussein). Pencapaian seseorang Menteri di Kementerian Belia dan Sukan misalnya sangat bergantung kepada kejayaan atlet negara dan pengurusan sukan. Apa sahaja boleh berlaku kerana penilaian akan bersandarkan kepada prestasi pihak lain. 

Pencapaian seseorang menteri pertanian pula sangat bergantung kepada keterjaminan makanan. Jika ada makanan asas yang tiada dalam pasaran, beliau akan dilihat tidak mampu mentadbir. Padahal ketiadaan makanan itu mungkin kerana faktor cuaca dan krisis antarabangsa. 

Ruang kurang risiko

Ini tidak berlaku kepada Menteri Luar. Apa sahaja ucapan menteri luar di pentas antarabangsa akan dilihat sebagai pencapaian (dengan syarat disampaikan dengan bahasa Inggeris yang fasih). Zahid, dan Ismail Sabri misalnya kurang berkesan di pentas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Berada di dalam ruang yang kurang risiko seperti di Wisma Putra membolehkan Tok Mat menguruskan kedudukan beliau di dalam parti. Prestasi beliau selagi berada di Kementerian Luar dapat dikatakan selamat. Soal Tok Mat akan berada lama di luar negara juga tidak tepat. 

Beliau bukannya dilantik sebagai duta di luar negara yang memerlukan beliau berada di luar sepanjang masa. Tok Mat adalah seorang menteri, memadai Tok Mat untuk menjadi sedikit lebih rajin dan mahir menguruskan masanya untuk pulang ke Rembau, merebak di Ibu Pejabat Umno di PWTC dan berlari ke serata negara Asean.

Terakhir, tidak ramai pula yang tahu Jabatan Hal Ehwal Maritim terletak bawah Kementerian Luar. Jabatan ini perlu bekerjasama dengan Tentera Laut Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia dalam banyak keadaan. 

Sayugia juga diingatkan, terdapat lebih 16 juta tong minyak mentah dan petroleum dipindahkan melalui perairan negara pada 2016. Isu yang sering diperkatakan di Laut China Selatan adalah perselisihan pemilikan Kepulauan Spratly. Pertikaian berterusan berlaku antara Malaysia, Taiwan, Filipina, Vietnam, Brunei dan China. Ini berlaku kerana kedudukan gugusan pulau itu yang strategik dan mempunyai banyak potensi untuk ekonomi negara. 

Pengalaman sekejap Tok Mat di Kementerian Pertahanan akan berguna di Kementerian Luar. Perlu diingatkan banyak negara mempunyai sebuah kementerian khusus berkait hal ehwal maritim. Sedang kita hanya baru menubuhkan sebuah jabatan beberapa tahun lalu. 

Sebuah lagi agensi bawah Wisma Putra adalah Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) yang sebenarnya memantau sebarang potensi teror yang mungkin memberikan implikasi besar terhadap negara kita. Saya sarankan Tok Mat agar berusaha memperkasakan dua agensi ini sebagai KPI beliau kelak. Kedua-dua agensi ini sangat penting disuntik semangat dan juga hala tuju agar bermaya. Tok Mat turut boleh menonjol melalui dua entiti ini.

Pokoknya, berada di Wisma Putra sebenarnya memberi kelebihan taktikal untuk beliau menyediakan diri sebagai pemimpin Umno selepas Zahid. Jika Tok Mat percaya dan ikut sama termakan acuman Perikatan Nasional atau Wan Saiful Wan Jan itu makanya beliau telah masuk perangkap ilusi. Lebih baik sahaja Tok Mat menyahut cabaran yang diberikan perdana menteri.

Tidak ada jawatan yang tidak penting dalam kabinet untuk seseorang ahli politik. Ramai yang mengidam tempat dalam kabinet. Ada yang meminta-minta. Kalau mahir apa sahaja boleh menjadi emas. Malah ada ramai ahli politik yang mencemburui kebolehberadaan seseorang di dalam pentadbiran rasmi kerajaan. 

Tok Mat tentu sahaja pandai, dan cekap. Dari Rembau, Tok Mat kini mendunia.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.