Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KOLUM | Kita ini bangsa kuat berehat

"Sebab dah tua," jawab kami. Fendi - penulis terkenal di media sosial yg setiap hantarannya mendapat ratus ribu like dan juga komen - bertanya mengapa tulisan kami tidak lagi sekeras dulu.

Setiap kali bertemu Fendi mengingatkan betapa kami ini kononnya idola dia dalam menulis. Kami meragui kenyataan itu kerana kami berasakan dia terlalu yengki dalam berfesyen.

Namun kami menghargai basa-basinya sebagai orang yang lebih muda.

Sebenarnya ramai pembaca yang tidak dapat membezakan tulisan kami di portal atas talian dengan yang kami tulis di media sosial.

Di media sosial biasanya kami gunakan untuk bergurau dengan teman-teman. Teman-teman pula faham apa yang kami maksudkan. Dan juga apabila di media sosial, hanya kami sendiri bertanggungjawab atas apa yang kami tulis.

Berlainan apabila kami menulis di portal atas talian. Walaupun ada penafian yang mengatakan portal sekian-sekian tidak bertanggungjawab atas apa yang kami tulis, sebagai tanda hormat atas kepercayaan yang diberikan, kami sedikit berambi apabila menyatakan pendapat.

Dan lagi, gurauan peribadi dengan teman-teman tentu saja tidak sesuai dikongsi dengan orang banyak.

Pun begitu ada masanya kami terlepas juga melakukannya.

Kata Rumi, "semasa muda aku mahu mengubah dunia, setelah berusia aku mahu mengubah diriku."

Ganggu masa main telefon

Kami yakin tulisan kami tidak mungkin mengubah apa-apa, dan jika sedang tua ini pun kami masih marah (apabila menulis) maka kami hanya perlu menyalahkan diri sendiri untuk itu.

Mengikut kata sahabat kami, Razaq Ahmad, menjadi tua adalah mudah.

"Bangun, tidur, makan. Kemudian tidur dan bangun lagi, maka tualah awok. Yang payoh adalah untuk menjadi orang tua yang wise," kata Razaq.

Kami ini mungkin hanya akan menjadi seorang yang tua tanpa sebarang kecerdikan, dan sebagai orang tua, kami pun jadi seorang yang banyak komplennya terhadap orang muda hari ini.

Dan ini adalah komplen kami.

Sudah beberapa kali kami memarahi budak-budak yang bekerja di kedai serbaneka dan juga yang melayan di kedai makan. Budak-budak hari ini adalah individu yang sangat pentingkan diri.

Bekerja kepada mereka adalah ihsan - satu macam khidmat sukarela yang harus dipuji. Lalu mereka tidak lagi mahu tersenyum apabila melayan pelanggan.

Kita yang datang berbeli dan berbelanja ini adalah gangguan kepada keinginan segeranya mereka untuk kembali melayan telefon pintar. Maka dilayannya kita acuh tak acuh dan mahu kita segera selesaikan pesanan.

Sedikit pertanyaan akan membawa kepada marah. Jadi biasanya sebelum mereka marah, kami lebih dulu akan menaikkan suara.

Bukan sekali dua kami memarahi mereka. Untungnya kami masih bernasib baik kerana belum ditularkan oleh mereka.

Pernah sekali ketika mengambil pesanan, budak muda itu sedikit angkuh dan kami tegur. Lalu diherdiknya kami. Kebetulan waktu itu kami sedang malas mahu berkelahi, lalu kami tidak memesan sebarang makanan atau minuman.

Teman kami si Rosli Arca menyangkakan yang kami merajuk. Lalu kami pun dipujuknya, sedangkan kami sebenarnya sedang kecewa dengan tingkah laku anak muda tersebut.

Ada peluang dilepaskan

Apakah ubatnya buat penyakit pentingkan diri sendiri anak-anak muda hari ini? Jawapannya ialah tiada apa-apa.

Kamu hanya perlu banyak bersabar dan berharap kamu tidak dipukul oleh mereka. Atau jika kamu masih berasa memiliki tenaga seperti semasa usia muda, kamu pukul saja akan mereka itu.

Dan itu yang terlalu ingin kami lakukan kepada kebanyakan mereka.

Hentak kepala mereka di meja, terjang celah kelangkang mereka dan seret wajah cantik mereka di simen. Oh! Biasanya yang ramai kurang ajar itu adalah budak-budak perempuan.

Sebut pasal kurang ajar, semua kita gemar akan pendekatan popular. Wakil rakyat dan orang bersongkok tinggi serta yang bertanjak adalah kumpulan yang paling gemar keluar mengherdik para peniaga dari Bangladesh dan juga Rohingya.

Peniaga itu dilayan lebih daripada pencuri sedangkan mereka hanya bijak mengambil peluang dari loopholes yang ada dalam undang-undang kita.

Mereka nikahi anak dara kamu dan membuka kedai atas nama isteri, atau kamu sendiri merelakan nama kamu digunakan untuk memohon lesen perniagaan asalkan mendapat bayaran.

Kamu sangat suka berniaga atas angin. Itu sudah jadi darah daging kamu jika kamu mahu mengambil konsep ‘ali baba’ yang menjadi amalam kamu sejak lama itu sebagai pedoman.

Mereka tidak melakukan ‘dosa’ itu sendirian dan kamu sendiri adalah ‘kepala haliangnya’.

Kita ini yang memiliki peluang yang lebih besar untuk menjalankan perniagaan seperti mereka, sebaliknya melepaskan peluang tersebut. Mungkin kerana kita tidak melihat kerja menjual sayur-sayuran dan barangan runcit sebagai jalan sumber rezeki.

Mahathir Mohamad kata Melayu malas, kita marah. Mak Cik Kemboja kata kita malas, kita amuk ke serata alam.

Dan seperti selalu, kita akan mendakwa catatan penjajah yang menganggap kita ini bangsa pemalas adalah kerana tidak fahamnya mat salleh itu kepada budaya suka berpada yang kita banggakan sampai mati.

Ada juga yang berpendapat penjajah membuat pemerhatian pada waktu tengah hari. Ia adalah waktu datuk nenek kita berehat setelah penat bekerja.

Namun jika hampir semua orang yang memerhatikan kita mengatakan bahawa kita ini bangsa kuat berehat, maka mungkin ada kebenaran atas penyataan tersebut.

Sebelum warga Bangladesh dan Rohingya, kita lebih dulu didatangi orang Cina dan India. Mereka berkerja keras untuk memajukan diri sendiri dan tidak berharap kepada subsidi atau tongkat kerajaan.

Mungkin orang India sedikit mundur secara bandingan, namun hal tersebut boleh saja kita salahkan kepada pemimpin politik mereka yang masih kuat dengan adat kastanya.

Kemudian datang orang Indonesia dan juga Thailand. Yang satu mengambil kerja sebagai buruh binaan, dan yang satu lagi - dengan hanya berbekalkan serai dan daun limau purut - tidak lagi kembali ke negara asal mereka.

Semuanya untuk kantung sendiri

Kedua-duanya telah kekal di negara ini sejak itu dan kita bukan saja menerima bahkan bergantung kepada mereka.

Orang Melayu kuat dan sangat pendekar. Ilmu Melayu menjangkau benua dan kehandalan Melayu jadi perbualan penduduk seluruh alam.

Atau sekurang-kurangnya itu yang orang Melayu tertentu mahu kamu percaya hasil daripada kajian yang katanya dihasilkan oleh seorang profesor bahasa Arab.

Mereka raikan Pendekar Awang bagaikan dia sepupu wan sebelah ibu kita. Walhal nama Awang itu sendiri adalah hasil khayalan seorang penulis novel tidak lama dulu.

Kami tahu kerana pernah membaca novel berkenaan semasa remaja.

Entah-entah si Awang itu orang Filipina atau penduduk salah satu pulau di Indonesia sana. Namun kamu anggap dia orang kampung kamu sendiri dan berbangga menjaja namanya.

Pada masa yang sama kamu nafikan kad pengenalan untuk budak-budak yang berumah di atas air di Sabah sana.

Memasak juga handal (maksud kami, kalau kamu mahu makan aglio olio atau fish and chips, serta yang sewaktu dengannya).

Namun cuba kamu beritahu kami mana anak Melayu yang mahu berpanas mengikat bata atau memasak sehingga tengah malam untuk turun sama bersaing dengan 'pendatang' berkenaan.

Rasanya anak-anak muda Melayu lebih rela jadi budak Grab. Siang menghantar makanan sambil hisap rokok dan layan Mortal Kombat, manakala malamnya merempit demi memuaskan nafsu sendiri.

Kamu adalah bangsa yang suka berehat, maka berehatlah. Datuk nenek kamu sudah lama bersusah payah memerdekakan negara ini.

Mereka berpenat lelah membangunkan negara, maka adalah hak kamu untuk menikmati buah hasil semaian mereka.

Kamu tidak pernah mahu bertegas dengan politikus kesayangkan kamu. Mereka yang sepatutnya sibuk membuat polisi kamu biarkan sibuk berebut jawatan.

Politikus kamu yang Islami tidak lebih baik daripada yang sekular atau liberal. Semuanya mengejar untung untuk kantung sendiri. Maka layaklah negara kamu ini diambil orang.

Alas, bahasa kamu pun dipandang sebelah mata, apa lagi rasa hormat orang kepada bangsa kamu yang sibuk mencari bangga dengan keagungan masa lalu.

Sebut fasal sekular, Islami dan liberal, kami ini meme-lah tua, tapi ada manisnya.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan pemikat kopi O ais.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.