Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KOLUM | Buku terus jadi industri, peradaban dan kuasa

KOLUM | Tahun 2023 berlabuh dengan acara akhir bagi dunia buku berupa Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam dari 7 Disember hingga 10 Disember.

Ini adalah kali kedua SIBF diadakan. Sebelum tahun 2022, acara yang diadakan ialah Pesta Buku Selangor, di Kompleks PKNS Shah Alam sejak tahun 2006.

SIBF boleh dianggap sebagai acara buku kedua terbesar di Malaysia selepas Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIBF). Bagi kalangan pemain industri yang terlibat, selepas SIBF ini, mereka akan berehat untuk cuti hujung tahun sebelum kembali aktif pada Januari 2024. Tumpuan mereka adalah KLIBF 2024 yang tarikhnya belum ditetapkan, selalunya sekitar Mei dan April.

Jadual pesta buku sentiasa diambil perhatian kerana di situ merupakan lubuk wang, sana ada untung atau rugi. Terdapat pelbagai jenis pemain dalam industri. Selain penerbit dan penjual, ada satu golongan yang muncul sejak sepuluh tahun lalu. Mereka adalah penjual dan pembeli hak cipta buku. Sektor ini semakin mendapat perhatian industri buku negara kerana daripadanya, keuntungan dapat diraih dengan lebih besar berbanding menjual naskhah-naskhah itu sendiri.

Di Barat, ia telah dilakukan lebih seratus tahun. Sejak 10 tahun lalu, Kota Buku sebagai agensi buku kerajaan berusaha untuk mempopularkan sektor ini supaya dapat menambah pendapatan negara tetapi amat kurang sambutan daripada penerbit.

Di SIBF, urus niaga jual beli hak cipta berlaku juga dengan ejen datang dari penerbit luar negara. Sesi-sesi ini menjadikan pesta buku ini “antarabangsa” walaupun tidak banyak disertai pempamer luar negara. Perkataan antarabangsa itu bukan saja digunakan untuk tujuan pemasaran tetapi ia sebenarnya mencerminkan bentuk pesta buku itu.

Bagi mereka yang terlibat dengan jual beli hak cipta, tentu setiap tahun jadual mereka  sudah ditandakan dengan tarikh-tarikh pesta buku antarabangsa yang lain, seperti di Jakarta, London, Kaherah, Teheran, Shanghai dan puncaknya ialah di Frankfurt. Pesta Buku Frankfurt yang diadakan setiap Oktober merupakan “ibu” kepada pesta buku sedunia.

Tetapi pada tahun ini, Malaysia seperti mana juga beberapa negara Islam lain telah menarik diri daripada Pesta Buku Frankfurt kerana penganjurnya terang-terang menyatakan sokongan kepada Israel apabila berlaku operasi Taufan Al-Aqsa yang dilancarkan selepas serangan Hamas pada 7 Oktober lalu. Pada masa itu perwakilan Malaysia sudah pun sampai di Frankfurt tetapi tidak dapat mendirikan reruai mereka.

Pesta buku kedua terpenting selepas Frankfurt ialah Pesta Buku Kanak-kanak Antarabangsa yang diadakan setiap tahun di Bologna, Itali.  Edisi tahun depan diadakan pada bulan Februari. Peserta-peserta dari Malaysia tentu sudah bersedia. Tidak seperti buku dewasa, Malaysia seperti mana negara-negara bukan Barat mempunyai peluang besar menjual hak cipta. Cumanya tidak banyak penerbit buku-buku kanak-kanak di negara ini. Sememangnya ilustrasi dan gambar merupakan tarikan penting bagi pembeli hak cipta tetapi turut penting adalah konsep, plot dan mesej yang dibawa.

Walaupun buku kanak-kanak tipis dan ringkas tetapi cabaran untuk menghasilkannya adalah besar. Ia bukan saja memerlukan penulis yang baik tetapi juga pelukis yang luar biasa kreatif. Selain itu, dengan gambar berwarna serta kulit tebal dan berkilat, kos untuk menerbitkannya adalah tinggi. Ia pula bukan saja perlu menarik minat kanak-kanak tetapi juga ibu bapa yang akan mengeluarkan wang untuk membelinya.

10 tonggak dunia buku

Bagi saya, kejayaan industri menghasilkan buku kanak-kanak adalah penting bagi memastikan kelangsungan hidupnya dan peradaban yang berdiri di atas buku. Jika dunia dapat melahirkan pembaca kabak-kanak, maka ia juga akan melahirkan remaja, belia dan orang dewasa yang membaca. Jika seseorang percaya bahawa peradaban berdiri di atas buku dan bukannya gajet, maka sewajarnya usaha untuk melahirkan pembaca buku kanak-kanak diambil berat. Tanpa kanak-kanak membaca, industri buku akan tumbang.

Dunia buku mempunyai sepuluh tonggak, iaitu pembaca, pembeli, penjual, pengedar, penerbit, pembikin buku, editor, penulis, peniaga, pentadbir dan aktivis. Sesiapa yang terlibat dengan salah satu tonggak ini, maka ia adalah sebahagian daripada dunia buku. Walaupun kegiatan peradaban itu terletak pada membaca dan menulis saja tetapi mereka memerlukan lapan tonggak lain untuk mewujudkan buku itu sendiri.

Walaupun seseorang pembaca seringkali juga menjadi pembeli buku tetapi ia tidak semestinya begitu. Seseorang boleh saja tidak membeli buku untuk membaca. Mereka boleh meminjam dari perpustakaan atau memuat naik naskhah percuma buku elektronik (e-book).

Pembeli juga tidak semestinya menjadi pembaca. Seorang pustakawan umpamanya adalah seorang pembeli tetapi bukan pembaca. Pustakawan boleh disifatkan sebagai pentadbir buku. Mereka membeli buku dan menyimpannya untuk para peminjam. Turut tergolong dalam pentadbir buku ialah penganjur pesta buku. Ada di kalangan mereka menjadi peniaga yang meraih keuntungan sebagai penganjur. Ejen-ejen yang berurus niaga hak cipta termasuk dalam kategori ini.

Pemilik kedai buku termasuk yang dalam bentuk atas talian adalah jelas merupakan penjual buku dan peniaga. Tetapi tidak semua peniaga dalam dunia ini yang menjual buku. Para pencetak dan pembekal kertas merupakan peniaga, tetapi mereka bukanlah penjual buku.

Antara golongan yang membeli buku tetapi tidak membaca adalah kolektor buku. Sama ada yang secara besar kerana memburu buku langka untuk dijual melalui bidaan, atau yang menghimpun sesuatu kategori buku kerana minat. Ada penghimpun buku yang bukan kolektor. Mereka hanya berasa bahagia dengan melihat buku-buku tersusun elok di rak rumah masing-masing.

Apa yang dinamakan sebagai membikin buku adalah mereka yang menjadi pereka bentuk atau designer. Golongan inilah yang mengatur huruf supaya cantik. Golongan ini bukan saja mereka bentuk kulit buku tetapi juga melakukan kerja-kerja grafik dan ilustrasi. Pembikinan buku memiliki keseniannya yang tersendiri.

Dalam dunia buku, ada satu golongan yang dinamakan aktivis buku. Mereka ini meminati buku dan bercakap mengenainya namun berkemungkinan tidak membacanya. Maka aktivis ini menubuhkan kelab-kelab buku yang antaranya diadakan di kafe-kafe bergaya. Di situ mereka setiap minggu membincangkan sesuatu tajuk buku, seringkali ia berbentuk karya sastera. Para aktivis ini juga mengadakan acara seperti forum untuk membedah buku.

Usaha perniagaan buku adalah sukar pada zaman sebelum ada media sosial. Kini ia bertambah sukar kerana sebahagian besar anggota masyarakat tidak suka membaca. Seseorang boleh saja memperoleh ilmu tanpa perlu membaca buku. Ada satu masa buku dianggap akan menjadi tidak relevan seperti mana akhbar dan majalah. Tetapi sehingga ini, buku terutama dalam bentuk bercetak masih diminati ramai dan terus boleh menguntungkan.

Buku tetap dihormati

Tetapi melihat betapa sukarnya industri ini, tentulah menghairankan mengapa masih banyak orang gemar menceburkan diri ke dalamnya. Saya lihat ada tiga jenis orang yang terlibat dengan perniagaan buku. Pertama, kebetulan. Kedua, sememanya minat. Ketiga, buku adalah alat perjuangan.

Seperti pekerjaan lain, seseorang itu mungkin kebetulan berjumpa dengan industri buku di awal kerjayanya. Apabila dia mendapati dirinya mahir dalam bidang ini dan ia dapat menyara hidup, maka dia teruskan kerjaya ini hingga ke akhir hayatnya. Orang seperti ini melihat buku hanyalah sebagai produk yang orang suka membelinya.

Ada pula yang menceburkan diri ke dalam industri ini sememangnya kerana minat. Mereka melihat buku adalah suatu yang indah dan berasa perlu terlibat dengannya dalam apa jua peranan.

Ketiga, ada juga antara mereka yang terlibat dengan perniagaan buku atas perjuangan tertentu. Mereka mahu berjuang untuk penyebaran idea-idea melalui penerbitan buku. Dahulu sememangnya mesej perjuangan disebarkan melalui akhbar. Sekarang pula banyak menggunakan media sosial.

Tetapi ada pejuang, tidak kiralah apa yang diperjuangkan, gemar menggunakan buku sebagai medium penyebaran fikiran mereka. Ini kerana buku merupakan wadah terbaik untuk mengungkapkan idea secara mendalam, dan lebih baik berbanding media sosial. Lagipun buku boleh membangun penulis dan seterusnya pemikir bagi fahaman perjuangan berkenaan. Maka kebanyakan gerakan mempunyai rumah penerbitan masing-masing.

Ada satu lagi keistimewaan dunia buku. Di tengah-tengah zaman keagungan gajet yang mampu membekalkan maklumat tanpa had, manusia masih menghormati buku. Walaupun bagi yang tidak membaca, membeli atau menyimpan buku, mereka tetap menghormati buku dan pembaca buku. Perpustakaan masih dibina dan diperbaiki walaupun pengunjungnya kian berkurangan. Dengan sejarah buku dan tamadun yang berkait rapat, ia akan terus bersama manusia bagi generasi-generasi akan datang.

Maka sesiapa yang paling aktif dalam dunia buku, ia menguasai dunia. Buat masa ini Barat, dari Kanada sehingga ke Australia, aktif dalam dunia buku. Sejak dahulu lagi, dalam dunia buku Barat terdapat banyak orang Yahudi. Mereka amat aktif dalam bidang penulisan dan penerbitan buku. Maka tidak menghairankan apabila mereka menguasai dunia.


ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.