Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KOLUM | Antara Yahudi, Arab dan Melayu

KOLUM | Yahudi kerapkali digembar-gemburkan sebagai antara bangsa terhebat di dunia. Segala-galanya ialah Yahudi. Bukan sahaja ekonomi dipunyai oleh Yahudi, malahan hiburan, dan juga penerima Hadiah Nobel.

Jika nak menyalin nada Adun Hulu Langat, semuanya Yahudi. Nestle Yahudi, McD Yahudi, Starbuck Yahudi, Mercedes Yahudi, Einstein Yahudi, Karl Marx Yahudi, Disney Yahudi, Hollywood Yahudi, Facebook Yahudi. Tanpa dinafikan, benarlah kata-kata itu. Yahudi boleh dikatakan bangsa yang sangat berpengaruh di dunia.

Sekurang-kurangnya semenjak zaman Nabi Musa lagi. Sebelum kelahiran Kristian dan Islam, yang pertama sekali muncul di arena agama semitik ialah Yahudi. Islam muncul di Tanah Arab, lebih tepat di Makkah oleh Nabi Muhammad. Sementara 500 tahun sebelum itu ialah kelahiran Nabi Isa di Palestin.

Sementara sebelum kelahiran Nabi Isa, ialah nabi-nabi Yahudi. Boleh dikatakan hampir kebanyakan senarai daftar 25 nabi yang wajib dipercayai oleh orang Islam adalah Yahudi. Dari Nabi Ishak sehingga ke Nabi Isa. Nabi Ibrahim melalui perkahwinan dengan Siti Hajar melahirkan Nabi Ismail yang melahirkan orang Arab, yang seterusnya dari keturunannya melahirkan Nabi Muhammad. Dan Nabi Ibrahim juga melalui perkahwinan dengan Siti Sarah melahirkan Nabi Ishak yang melahirkan orang Yahudi.

Tetapi Yahudi bukan terus meluru ke pentas dunia dengan dihamparkan permaidani merah. Kita tidak perlu pergi jauh dalam hal ini. Al-Qur’an sendiri mencatatkan tentang penindasan yang dilakukan oleh Firaun terhadap Yahudi. Surah al-Baqarah, surah kedua dalam al-Qur’an selepas al-Fatihah terus mencatatkan tentang kisah Yahudi. Bukan kisah orang Melayu atau orang Arab yang menjadi permulaan dalam surah tersebut, sebaliknya ialah kisah Yahudi.

Jadi sentimen atau keterkaitan Yahudi dan Arab dan seterusnya Melayu yang memasuki Islam, sangat berkait. Kerana kitab suci itu sendiri mencatatkan begitu banyak nabi-nabi Yahudi, dan Nabi Musa sebagai protagonis utama dalam surah al-Baqarah yang bermaksud lembu betina, yang mengisahkan tentang pertanyaan Yahudi kepada Nabi Musa, bagaimana hendak menyelesaikan satu kes pembunuhan di kalangan mereka.

Nabi Musa yang memimpin kaumnya iaitu Yahudi dalam menentang Firaun, akhirnya berjaya melarikan diri menyeberangi Laut Merah dengan memukul laut sehingga terbelah. Al-Qur’an mencatatkan itu ialah mukjizat yang diberikan kepada Nabi Musa melalui tongkatnya yang juga boleh menjadi ular. Penindasan dan kisah Yahudi melarikan diri dari Firaun tercatat baik dalam al-Quran, selain dalam Bible pada fasal Exodus.

Seterusnya pada era Rom dan Parsi yang menguasai dunia, Yahudi juga tidak mendapat tempat yang mulia. Mereka bukanlah begitu berkuasa pada era itu. Kerajaan yang kuat dan besar pada era itu bukanlah kerajaan Yahudi. Di seluruh dunia, sepanjang sejarah yang kita baca, sejarah Yahudi adalah sejarah ditindas ribuan tahun bahkan sehingga memasuki era moden di Jerman.

Kegemilangan Arab

Arab juga tidak begitu dipedulikan ketika Rom dan Parsi sedang menguasai dunia dan sedang rancak berperang. Bangsa Arab sepertimana Yahudi, tidak begitu dipandang. Tetapi dari sudut ekonomi, di Yathrib, nama asal Madinah, Yahudi lebih menguasai. Di Makkah pula, bukanlah adanya sebuah kerajaan atau ketamadunan, tetapi hanyalah pusat penyembahan kaum pagan. Allah hanyalah nama sahaja, bukan Tuhan dalam pengertian monotheistik. Dalam hal ini, Yahudi lebih keras dan tegas dalam bab ketauhidan.

Malahan mereka menolak polytheism Kristian, yang menurut mereka menyimpang. Ternyata Yahudi dan Islam ada persamaan dalam bab monotheistik. Kasih sayang jelas banyak pada Kristian, kerana itu Raja Najashi siap menerima kehadiran kumpulan Islam dari Makkah yang hendak bernaung mencari keselamatan di sana. Tetapi dari sudut ketegasan dan kekerasan, ada pada Yahudi. Banyak hukum-hakam agama yang keras, ada pada Yahudi.

Dalam al-Quran ada disebutkan hukuman bunuh diri kepada Yahudi. Ada ulama Islam mengatakan, hukuman rejam dalam Islam banyak disadur daripada hukum-hakam kitab Yahudi.

Arab bukan meluru ke pentas dunia secara melulu selepas kedatangan Nabi Muhammad. Selepas Rom dan Parsi kian melemah hasil peperangan panjang, barulah giliran Arab naik ke permukaan, itupun selepas selesainya peperangan sesama mereka sendiri iaitu antara Muslimin Madinah dan Musyrikin Makkah yang berhujung dengan pembukaan Kota Makkah.

Pada era Umar Al-Khattab sebagai khalifah Islam kedua, satu demi satu kota ditakluki, baik Parsi (Iran hari ini) juga Baitul Maqdis. Seterusnya pembukaan demi pembukaan dilakukan. Arab bukan lagi Arab Badwi atau Arab Padang Pasir yang tidak ada ketamadunan, tetapi mulai melaju memimpin peradaban. Konflik demi konflik juga tak lepas dari apa sahaja ketamadunan.

Pembunuhan Umar, Uthman, dan Ali dan seterusnya period Umayyah di bawah Muawiyah dan Abdul Malik Bin Marwan yang hendak mengukuhkan dan menstabilkan dunia Arab di bawah satu kepimpinan.

Hanyasanya masuk ke era Abbasiyah, terutama ketika era Harun Ar-Rasyid dan puteranya Makmun, dengan pembukaan Baitul Hikmah, pelbagai penemuan mulai ditemukan dan umat Islam di antara puing-puing keruntuhan Rom dan Parsi mulai melakar peradaban dunia. Arab bukan lagi seperti saudara Yahudi mereka. Arab sudah berada di pentas dunia. Jika Hadiah Nobel sudah wujud pada waktu itu, pastilah orang Arab yang banyak mendapat hadiah tersebut. Yahudi ketika itu sangat tersudut, dan hanya bertaraf Zimmi.

Arab selama ratusan tahun memenangi dunia dan mewariskan Islam ke bangsa-bangsa lain selepasnya. Selepas era Khulafaur Rasyidin dan Umayyah (Arab), kerajaan Islam diteruskan oleh Abbasiyah (Arab-Parsi), kemudian Safavid (Parsi), Moghul (India) dan Uthmaniyyah (Turki). Belum dicampur lagi dengan kerajaan-kerajan Nusantara yang memeluk Islam. Sementara Yahudi kekal tidak berkerajaan, dan berdiaspora menjadi scattered tribe.

Antara Yahudi dan Arab

Bolehlah diibaratkan kedua-dua ini ialah pergaduhan adik beradik yang kian lama kian jadi dendam kesumat. Selain garis keturunan yang telah dinyatakan dan tentang mereka ini hidup sangat berdekatan, nama-nama mereka juga sangat rapat persamaan. Ibrahim (Arab), Abraham (Yahudi), Ishak (Arab), Isaac (Yahudi), Musa (Arab), Moses (Yahudi), Yaakob (Arab), Jacob (Yahudi), lain-lain selain nama seperti Salam (Arab), Shalom (Yahudi), Amin (Arab), Amen (Yahudi), Sabtu (Arab), Sabbath (Yahudi). Antara lain kita menyebut ‘Assalamualaikum’, sementara Yahudi ‘Shalom aleichem’. Kita menjawab ‘Waalaikumussalam’, sementara Yahudi, ‘aleichem shalom. šālōm lǝkā’ digunakan kepada seorang lelaki, dan šālōm lākem digunakan kepada ramai.

Jika kita bariskan 100 orang Arab bercampur dengan 100 orang Yahudi, kita susah untuk bezakan mereka, mana satu Yahudi dan mana satu Arab, jika mereka bercakap bahasa yang sama dan dalam pakaian yang sama. Sacha Baron Cohen, pemain watak Jeneral Haffaz Aladeen dalam filem The Dictator, bukan sahaja sememangnya berketurunan Yahudi, malahan mukanya juga persis Arab. Bahkan dia membawa watak dalam The Spy sebagai Eli Cohen yang juga Yahudi menyamar sebagai usahawan Arab di Syria. Atau jika tidak mampu ke Timur Tengah, langgan sahaja Netflix dan tonton siri TV Fauda untuk melihat persamaan Yahudi dan Arab.

Dan Arab pernah cuba mengalahkan Israel sebelum ini, bukan sekali, tetapi berkali-kali, tetap tidak mampu.

Melayu di mana?

Kebelakangan ini muncul pula pandangan yang menceduk pandangan entah dari tahun bila, yang mengatakan bahawa Melayu adalah keturunan Yahudi yang ketiga belas. Dikatakan selain Siti Hajar dan Siti Sarah yang melahirkan Nabi Ismail dan Nabi Ishak yang mewakili Arab dan Yahudi, Nabi Ibrahim dikatakan mengahwini seorang lagi wanita bernama Qanturah, yang menurut mereka melahirkan Melayu.

Tidak dapat dipastikan sejauh mana kebenaran tesis ini, yang pastinya dibandingkan dengan Tanah Arab yang sentiasa panas dan peperangan sentiasa, umat Melayu lebih aman damai, atau jika hendak dibaca dalam luasnya geografi Melayu iaitu Nusantara - termasuk Indonesia - adalah secara relatifnya aman jika dibandingkan dengan Tanah Arab yang sentiasa bergolak.

Dalam hal ini, Melayu lebih wajar dijadikan contoh dan ikutan dibandingkan Arab dan Yahudi, yang sentiasa membuat dunia ini bergolak. Bukan sahaja isu di Palestin, bahkan sebelum ini juga adanya Perang Iran-Iraq, kemudian Saddam (Iraq) melanggar Kuwait, kemudian Saudi memerangi Yaman dan banyak lagi.

Selepas rontoknya Uthmaniyyah secara rasmi pada tahun 1924, Arab tidak henti-henti bergolak. Hari ini masyarakat internet membuat semakan semula, bahawa bendera-bendera negara Arab hari ini (hijau merah hitam), termasuk Palestin direka oleh British yang merancang untuk meruntuhkan Uthmaniyyah.

Sementara itu dunia Nusantara, selepas tamatnya penjajahan secara fizikal, kita perlahan-lahan masuk ke pentas dunia dengan cara aman. Konflik tetap ada, tetapi selalu cuba diselesaikan dengan jalan aman. Tidak ada peperangan antara Indonesia dan Malaysia - selepas isu Konfrontasi - bahkan apabila berlaku perpisahan antara Malaysia dan Singapura, walaupun hal itu dianggap merugikan, tetai tidak ada perang yang berlaku. Kita hanya bergaduh di Facebook, kemudian meneruskan kehidupan seperti biasa.

Suka atau tidak suka, kita harus menyedari kekurangan dan keterbatasan kita, barulah kita tahu apa kelebihan kita. Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal selalu menggunakan perkataan ‘kancilian’ suatu masa dahulu, yang diambil secara harfiahnya dari perkataan ‘kancil’, seekor binatang yang sangat diangkat dalam kisah dan hikayat kita. Binatang ini tidak berkuku tajam seperti harimau, bertaring seperti singa, atau bertubuh besar seperti gajah, tetapi inilah binatang yang dijadikan hero dalam cerita rakyat kita.

Yahudi mencapai kemajuan dan penubuhan Israel bukan dengan merempit setiap malam atau mendengar ceramah teori konspirasi dari rabbi mereka 24 jam. Ribuan tahun mereka ditindas sebelum mencapai apa yang mereka capai pada hari ini. Justeru itu jika orang Malaysia, khususnya umat Melayu-Islam jika hendak memegang semangat ‘from the river to the sea’, haruslah sedar ia tidak akan berlaku pada esok hari atau musim-musiman atau sekadar retorika berapi-api. Ia pastilah usaha yang begitu lama dan memakan masa.

Tidak ada tamadun yang terbina dalam satu hari, dan tidak ada kemenangan dalam masa yang singkat.


BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.