KOLUM | Parti dari rahim sosialis
KOLUM | Dalam majlis pelancaran Amanah di Shah Alam pada 16 Sept 2015, Nalini Nair dipimpin menaiki pentas utama. Dia menyerahkan bendera berlogo bulatan dan cangkul itu kepada Mohamad Sabu sebagai simbolik peralihan Parti Pertubuhan Pekerja-Pekerja Malaysia yang berideologi sosialisme.
Kemudian bendera itu ditukar kepada bendera Amanah yang berwarna jingga. Begitulah gimik pelancaran Amanah kira-kira lapan tahun lalu.
Kami yang berdiri di bawah terus mengibarkan bendera Amanah sambil menyanyikan lagu rasmi parti.
Artikel ini akan menerangkan susur galur penubuhan Amanah yang mungkin tidak diketahui ramai.
Usaha GHB (Gabungan Harapan Baru) untuk menubuhkan parti bukanlah tugas yang mudah. Satu jawatankuasa penaja yang diketuai Anuar Tahir dibentuk.
Pada peringkat akhir, jawatankuasa penaja Amanah membuat keputusan untuk mengambil alih Parti Pertubuhan Pekerja-Pekerja Malaysia untuk sementara sebelum menukar perlembagaan dan identiti.
Kaedah itu lebih mudah berbanding usaha mendaftarkan sebuah parti politik yang baru.
Parti Pertubuhan Pekerja-Pekerja Malaysia ditubuhkan pada 1978 oleh Ganga Nayar iaitu ibu kepada Nalini Nair yang menyerahkan bendera parti itu kepada Mohamad di Shah Alam.
Elak proses yang cerewet
Ganga Nayar (gambar utama, di sebelah Mohamad Sabu) merupakan wanita India pertama menjadi ahli legislatif dalam sejarah demokrasi tanah air. Dia juga wanita pertama mengetuai sebuah parti politik di Malaysia sebelum diikuti pula oleh Wan Azizah Wan Ismail.
Parti itu menyertai pilihan raya umum (PRU) pertama kali pada 1978. Ketika itu Ganga Nayar bertanding di kawasan Parlimen Sungai Besi dan DUN Sungai Way.
Dia kalah di kedua-dua kerusi. Sejak itu, parti terbabit menumpukan kerja-kerja sosial berbanding aktiviti sebagai sebuah parti politik.
Ganga Nayar memulakan karier politiknya dengan menyertai Parti Buruh Malaya pada 1958, diikuti dengan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan). Dia mengetuai sayap wanita dan menang di DUN Serendah semasa PRU 1969.
Pada 1974, dia menyertai DAP dan bertanding di Parlimen Setapak tetapi kalah. Setelah itu, dia menubuhkan parti baru yang diketuainya sendiri.
Parti Ganga Nayar diperkenalkan oleh pimpinan Bersih seperti Maria Chin dan S Ambiga yang ingin membantu Mohamad menubuhkan parti tanpa melalui proses yang cerewet.
Anuar - yang ada pengalaman menubuhkan PKR - mewakili GHB untuk berbincang dengan pihak yang dikaitkan dengan parti itu. Dia menemui setiausaha agung, Gopalan K Ppapchan, di Brickfields.
Akhirnya parti itu bersetuju untuk 'dipindahkan' kepada GHB tanpa syarat, termasuk tiada sebarang tuntutan bayaran dibuat.
Gopalan menawarkan diri untuk pergi ke cawangan-cawangan partinya di seluruh Malaysia bagi memberi taklimat dan membuat mesyuarat luar biasa sebelum ia diserahkan kepada GHB.
Semua kos bagi urusan tersebut ditanggung oleh Gopalan dan rakan-rakannya walaupun GHB menawarkan untuk membiayai perbelanjaan mereka.
Mereka sangat memberi sokongan dan berusaha merealisasikan hasrat pimpinan GHB menubuhkan parti Islam baru.
Sebagai menghargai peranan dan bantuan Gopalan pimpinan GHB menawarkan dia untuk berada dalam saf kepimpinan parti baru nanti. Ia dipersetujui namun untuk sementara sebagai langkah memudahkan proses peralihan.
Permohonan ditolak KDN
Kini, Gopalan adalah ahli Jawatankuasa Tatatertib Amanah. Sesekali dia juga dijemput menghadiri mesyuarat biro politik bagi agenda-agenda tertentu.
Sebelum itu Pengerusi Jawatankuasa Interim GHB Pulau Pinang, Mujahid Yusof menyatakan hasrat untuk mengambil alih parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita).
Namun ura-ura itu menimbulkan bantahan kalangan ahli parti berkenaan. Beberapa pemimpin mereka juga menyatakan bantahan dan membuat laporan polis kerana mendakwa wujud sesuatu yang melanggar peraturan pertubuhan.
Anuar menghantar tiga permohonan mendaftar parti baru kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) namun ia hanyalah taktik untuk menghadapi tekanan daripada kerajaan.
Antaranya ialah percubaan mendaftar Parti Progresif Islam (PPI) yang ditolak oleh Kementerian Dalam Negeri.
Pada 31 Ogos 2015, Pertubuhan Pekerja-Pekerja Malaysia diambil alih secara rasminya oleh jawatankuasa penaja Amanah sebagai wadah perjuangan baru.
Satu sidang media diadakan di Hotel Vistana, Kuala Lumpur.
Proses pindaan nama dan perlembagaan akan dibuat secara berasingan namun secara prinsipnya pimpinan baru membuat ketetapan bagi menamakan parti baru itu sebagai Amanah dengan Islam menjadi dasar parti.
MUHAIMIN SULAM ialah anggota Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai