Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KOLUM | Sepupu Lim Kuan Yew

Satu masa dahulu ada seorang ahli PAS yang dari segi gred jawatannya lebih tinggi daripada saya di tempat kerja. Beliau telah memanggil saya dengan tujuan ‘menasihati’. Saya mengetahui beliau adalah ahli PAS kerana beliau memegahkan diri sedemikian. Dia membebel berkhutbah kononnya saya seorang yang liberal. Dek malas membalaskan pelecehannya yang panjang itu saya membatukan diri.

Antara lain dia menasihati saya agar jangan terlalu liberal ‘seperti abang awak’ iaitu Dr Farouk Musa (ketika itu memimpin IRF atau Islamic Renaissance Front). Oleh sebab saya tidak kuasa bertegang urat dan hanya diam, dia pun gagal mendapat reaksi eksplosif daripada saya. Maka dia pun melepaskan saya dengan ingatan ‘jangan buat lagi’. Pun, sebelum saya beredar dari kamarnya itu, dia sempat bertanya, ‘Adik awak sihat?’.

Sudah tentu saya membayangkan adik kandung saya di Melaka, sebelum saya yang masih kabur tiba-tiba membalas pertanyaan itu dengan soalan, ‘Adik saya?’

Ini kerana setahu saya adik saya tidak pun mengenali ahli PAS ini. Lelaki itu dengan wajah yakin dan tekad, serta sedikit riak bangga (kerana akhirnya beroleh secuil perhatian daripada saya) segera menyebutkan, ‘Marlia Musa’.

Maka kaitan kami adalah Farouk Musa, Faizal Musa dan Marlia Musa.

Apabila klip video ahli parlimen Kepala Batas (wakil rakyat PAS) mendakwa Lim Kit Siang adalah sepupu dengan Lim Kuan Yew iaitu ‘Ketua Menteri Singapura’ menjadi tular, saya segera teringatkan kisah lampau itu.

Maksud sepupu menurut Dewan Bahasa dan Pustaka adalah saudara sedatuk atau senenek.

Mengapakah sebahagian pimpinan PAS (meskipun tidak semua) cepat percaya dengan hal-hal bangang, kabur, dan bodoh sebegini? Hal bodoh bahawa semua anak Musa adalah adik beradik, atau Lim Guan Eng ada hubungan darah dengan Chin Peng senang serta boleh dijaja?

Jawapannya ialah kerana rata-rata pimpinan PAS hari ini tidak ada pemikiran kritikal. Maksud pemikiran kritikal adalah akal yang boleh berproses untuk menganalisa dan menilai argumen. Ia berbeza pula dengan pemikiran kreatif iaitu proses akal untuk mencipta dan membangunkan idea-idea unik.

Sebagai contoh kita boleh melihat kejahanaman cerita bahawa Lim Kit Siang - Chin Peng - Lim Kuan Yew itu sepupu. Untuk rekod, nama sebenar bekas Ketua Menteri Singapura ketika republik itu masih dalam Malaya adalah Lee Kuan Yew, dan dalam sejarah dinyatakan Singapura turut memusuhi gerakan komunis.

Kebusukan dan kekepaman fitnah ini, yang dipercayai sebagai satu kebenaran sebetulnya mempunyai sebab musabab dan punca. Ia boleh ditilik dan ditelusuri untuk memahami mengapa ada orang yang nampak pandai dan bijak, malah kadang memiliki ijazah kedoktoran boleh berfikir dengan cara pandir.

Terdapat 25 sebab mengapa ini berlaku, tetapi saya hanya akan memberikan 15 sahaja sebab musabab itu di sini.

Pertamanya, ialah kerana sikap mereka sendiri yang menjadikan diri itu rapuh dan boleh diruntuhkan. Di bawah kategori ini kita akan menemukan pertama, orang yang selalu kelihatan terlebih yakin diri (over confident). Pelajaran dan ilmu menjadikan diri mereka perasan serba tahu. Sindrom ini ada di menara gading.

Keduanya, boleh jadi juga mereka nanar diri atau lebih mudah disebut sebagai under confident dalam bahasa Inggerisnya. Kelompok ini bergantung kepada kesimpulan-kesimpulan mudah yang boleh diwiki atau dichatgpt tanpa pemikiran kritis. Kebergantungan kepada rumusan yang kadang kala popular tetapi tidak semestinya betul ini bakal segera dipegang.

Ketiganya kita akan menemui orang pandir yang percaya fakta merapu kerana mereka itu terikat dengan satu-satu jenama (married to brands). Jenama tertentu adalah satu produk untuk dijual.

Mereka sering mengiklankan diri dengan kebaikan lantaran sasarannya adalah menjual. Orang yang gila syampu tertentu akan berhujah mati-matian hanya syampu yang digunakannya sahaja berkesan membasmi kelemumur. Tidaklah menghairankan ada orang mati-mati percaya menyertai parti PAS akan membawa mereka ke syurga. Ini kerana ada aktivis PAS menjual jenamanya sedemikian.

Keempat, kebutaan dek prejudis, prekonsepsi dan bias. Ketika api bertiup di Palestina dan Lubnan hari ini, kita akan segera memahami mengapa ada sesetengah orang percaya dengan mitos serta khabar angin janaan Israel (zionis) sebagai contoh bila Israel dihujahkan mempunyai hak mempertahankan diri. Hak ini diketengahkan sedangkan kebenarannya adalah Israel adalah penakluk atau penjajah, menjadikan argumen itu tidak lagi sah. Sikap prejudis inilah yang mendorong sesetengah kelompok agamawan Melayu percaya yang lebih ramai Cina adalah komunis dan ada hubungan DNA dengan Chin Peng.

Kelima, sikap atau perangai mengimani apa yang mereka mahu imani. Kita menemukan ada orang yang percaya bahawa Menu Rahmah boleh mengakibatkan beberapa penyakit terutamanya kanser, autoimmune (diseases) dan autisme. Meskipun tiada satu pun kajian atau fakta untuk membantu dakwaan itu, kelompok ini masih memilih untuk percaya atau beriman dengan apa yang salah itu kerana potensi diri mereka sebagai insan tidak habis dipugar.

Keimanan palsu mereka itu diperkukuhkan apabila ada ‘nabi palsu’ yang mensabdakan naratif ini.

Keenam, ada sesetengah individu terperangkap dengan tradisi. Oleh sebab itu, mereka sering menolak untuk menerima apa-apa yang baharu dan reformasi. Demi menyelamatkan rasa selamat berpegang dengan tradisi itu mereka pun menentang apa sahaja penghujahan yang boleh membawa diri kepada kebaikan. Perangai ini tentulah ada pada sesetengah musyrikin

Mekah yang enggan mengislahkan masyarakat lantaran selesa dengan tradisi seperti menanam hidup-hidup anak perempuan.

Ketujuh, mereka gagal membaca atau menelah tanggapan sebenar yang tersembunyi. Saya bawa contoh, tanggapan sebenar yang ada pada Statut Rom adalah negara yang memeterai Statu Rom ini akan mempunyai akses kepada penghakiman di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Akan tetapi Malaysia menarik diri dari perjanjian ini pada tahun 2019 kerana bantahan PAS yang menanggap cerita bukan-bukan mengenai Statut Rom.

Akibatnya Malaysia tidak dapat mengheret Israel ke Mahkamah Antarabangsa ekoran kekejaman dan jenayah perang di Gaza hari ini. Lebih aneh, PAS hari ini mempersoalkan pula mengapa kerajaan gagal membawa Israel ke ICC dan pura-pura tidak tahu bahawa merekalah puncanya.

Kelapan, mereka memperlecehkan kuasa paradigma. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, paradigma adalah ‘lingkungan atau batasan pemikiran (seseorang atau sesuatu organisasi) pada sesuatu masa yang dipengaruhi oleh pengalaman, pengetahuan, kemahiran, dan kesedaran yang ada.’ Penyakit ini biasanya ada pada generasi lama yang enggan berubah dan rasa terancam oleh anjakan baharu menyebabkan mereka memilih untuk memperlecehkan saja perubahan paradigma ini. Betapa ramai orang yang kita temu memperlecehkan Melayu yang menyertai DAP sebagai golongan yang menjadi hamba Cina. Mereka enggan mengiktiraf adanya perubahan paradigma dalam kalangan Melayu yang ingin bebas dari politik membolot syurga ana yang punya.

Kesembilan, gagalnya memahami dan melihat sarwa pandang lain. Dalam dunia hari ini terdapat banyak sarwa pandang. Sebagai contoh ada sudut pandang bahawa Iran gagal membantu Palestina di saat Gaza digasak oleh Israel. Sedangkan sarwa pandang sepatutnya adalah negara

Arab dan Turki paling gagal membantu Palestin ketika ini. Negara-negara ini kebanyakannya mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Turki pula misalnya membekalkan minyak kepada negara haram itu selain merupakan anggota NATO.

Kesepuluh, ada juga orang yang enggan berfikir lojik. Mereka ini terjatuh di bawah kategori gagal meneliti argumen. Kewarasan adalah satu daya tenaga yang perlu digembleng sendiri untuk membolehkan akal dan benak bergerak. Namun demikian, untuk orang bijak pandai yang enggan berfikir lojik mereka akan membodohkan diri dengan lojika ciptaan sendiri bahawa Faizal Musa tentulah abang kepada Marlia Musa, atau Michelle Yeoh tentulah anak beranak dengan Hannah Yeoh.

Kesebelas, kebanyakan dari kita akan terjerumus kalau tidak selalu pun, sekali-sekala, dengan hujah falasi. Hujah falasi yang biasa ada banyak dan saya tidak akan berkesempatan menurunkan semua. Percaya bahawa ‘semua orang dengan nama Lee adalah adik beradik atau sepupu- sepapat’ dapat menjadi satu contoh hujah falasi. Hujah karut ini memang dilakukan oleh ramai cendawan di universiti malah. Atau kepercayaan ala Israel bahawa semua orang Palestina itu adalah ahli atau anggota Hamas. Atau semua Yahudi adalah zionis padahal itu tidak semestinya benar.

Keduabelas, ada juga falasi yang dijawab dengan falasi iaitu apabila mematahkan hujah itu adalah sebenarnya bukan pun patahan hujah. Perangai menegakkan benang basah ini berlaku di sekeliling kita. Adalah kebiasaan orang yang ‘kantoi’ akan mencipta macam-macam hujah pertahanan diri yang sebetulnya lemah dan menampakkan lagi kantoi atau kelemahan mereka itu. Sebagai contoh apabila ditanyai akan fitnah di atas, dia akan menjawab dengan satu poin falasi ‘tengok video sampai habis’. Makanya apa? Adakah menonton video itu sehingga selesai akan menemukan kita bukti biologis bahawa Chin Peng dan Lim Kit Siang adalah sepupu?

Ketiga belas, orang yang percaya sepupu Lim Kit Siang adalah Lim Kuan Yew ini kadang kala terdiri dari mereka yang cepat atau lekas membuat konklusi. Orang seperti ini cepat klimaks dengan sebarang tujahan atau gentelan, sehingga mereka akan segera terpancut membuat rumusan. Padahal untuk tiba kepada konklusi kadang-kala kita perlu meneliti pelbagai bukti dan dapatan.

Keempat belas, ada yang juga membuat kesilapan ini kerana gagal menyaring apa yang fiksi, dan apa pula yang fakta atau kebenaran. Saya misalnya pernah menemukan pelajar doktorat yang percaya Sultan Mansur Syah dari Kesultanan Melayu Melaka adalah menantu Sultan Muhammad al Fatih dari dinasti Osmaniyyah di Turki. Hari ini dalam politik terdapat banyak fiksi yang dasarnya merepek. Akan tetapi ia akan tetap dipercayai kerana benak telah gagal berfungsi.

Maka tidaklah menghairankan apabila ada fiksi tertentu seperti jika Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri maka Israel akan diiktiraf dijual di surau-surau kampung di Kedah. Padahal ini semua tidak ada dasarnya.

Kelima belas, walaupun sebenarnya bukan yang terakhir adalah, emosi dan kehendak telah mengatasi otak matang dan akal jernih. Emosi adalah satu tenaga yang bahaya jika tidak diurus dengan baik. Emosi yang datang dari rasa murung dan sebagainya mungkin menciptakan jenayah seperti amuk. Emosi yang sihat dan boleh dibidak tentunya datang dari kebijaksanaan emosi atau emotional intelligence.

Saya pernah menemukan orang yang percaya Abdul Hadi Awang adalah wali Allah meskipun saya sudah mempertikaikan yang wali Allah tentu sahaja akan menunaikan amanahnya dengan penuh integriti sebagai contoh menghadiri sesi parlimen tanpa ada tuang dan ponteng.

Memang tidak ada sebab untuk kita percaya yang Lim Kit Siang dan Lim Kuan Yew itu adalah sepupu seperti mana tidak ada sebab pun untuk orang percaya yang Faisal Tehrani itu berasal dari Iran justeru seorang Syiah. Juga tidak ada sebab musabab pun untuk kamu percaya yang saya pernah keluar makan malam dengan Angelina Jolie di Geneva tetapi untuk ramai orang yang minat akan Faisal Tehrani dan Angelina Jolie mungkin sahaja mereka akan memilih untuk percaya gosip liar yang sebetulnya tidak ada pun.

Saya harap episod kepandiran ini akan berakhir dan kita semua tidak lagi kepam. Tetapi percayalah, dek ada 25 sebab mengapa orang boleh menjadi bodoh ini maka kita akan menyaksikan terus drama kepam ini berpanjangan.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.