Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KOLUM | Usah tapis jika mampu bedah

KOLUM | Beberapa bulan lalu, filem klasik Titanic ditayangkan semula di panggung wayang sempena ulang tahun ke-25 filem Hollywood itu.

Sudah tentu filem yang diubah suai daripada sejarah pelayaran sulung kapal Titanic pada tahun 1912 ini memberi seribu makna kepada kita yang menontonnya pada tahun 1998, lebih-lebih lagi jikalau ditelaah dalam konteks krisis ekonomi Asia 1997 – kerana kapal gergasi yang “terlalu besar untuk tenggelam” itu akhirnya karam selepas terlanggar bongkah ais, begitu juga syarikat mahupun regim yang tumbang dibadai gelombang krisis ekonomi ketika itu.

Saya memasuki panggung wayang untuk menonton Titanic sebelum menduduki peperiksaan SPM. Pada usia hormon bergelora dalam tubuh badan, sudah tentu beberapa adegan dalam filem itu mencungkil keghairahan.

Namun Lembaga Penapisan Filem (LPF) mencelah untuk “potong stim”. Kami sebagai penonton terkilan kerana gagal menilai sejauh mana lukisan Jack (watak dimainkan Leonardo DiCaprio) menggambarkan realiti sebenarnya.

Bagaimanapun, VCD cetak rompak sudah berleluasa ketika itu. Ramai yang meneliti bakat Leonardo DiCaprio melukis dengan ‘mengulang kaji’ VCD kedua untuk filem tiga jam tersebut. Saya tidak pasti berapa kes jenayah telah dikurangkan dengan penapisan shot Rose (watak dimainkan Kate Winslet) berbogel untuk dilukis Jack, kerana VCD itu ada di pasar malam seluruh pelosok negara, sebelum internet semakin pantas dan luas liputannya dari tahun ke tahun kemudian.

Bogel tidak semestinya lucah

Setelah suku abad berlalu, saya kembali ke panggung wayang untuk filem Titanic, menyaksikan penapisan yang lebih ketara. Rupa-rupanya sisa tapisan versi 1998 boleh ditapis lagi pada tahun 2023. Sepatutnya pengalaman menonton kali ini menjadi lebih menarik dan selesa kerana filem klasik ini ditayangkan dengan format baru IMAX 3D, namun terjejas juga sedikit sebanyak lantaran penapisan LPF yang berlebihan.

“Penapisan” bukan lagi isu baru, dibangkitkan semula pengarah filem tempatan Tiger Stripes baru-baru ini kerana tidak berpuas hati dengan suntingan LPF terhadap filemnya yang memenangi Hadiah Utama Cannes Critics Week.

Sudah tentu pembikin, pengkaji dan peminat filem berkongsi sentimen ini, kerana sudah sekian lama karya seni budaya tempatan terjejas, lantaran pemahaman penguasa yang tidak memandang filem itu sebagai produk seni budaya, tetapi sebagai bahan pendidikan moral semata-mata.

Untuk mereka yang hanya berfikir untuk berpropaganda dan berdakwah, mereka gagal melihat bahawa sesetengah budayawan dan seniman berkarya untuk mencerminkan realiti, malah memperlihatkan sesuatu yang tersirat di sebalik realiti, dengan citarasa estetika masing-masing.

Maka tiada sehiris rasa dosa apabila mereka menggunting shot tertentu, mengkaburkan bahagian tubuh yang terdedah, atau senyapkan ungkapan tertentu dalam filem yang diterbitkan seniman.

Bagi mereka, bogel atau pendedahan bahagian tubuh tertentu adalah lucah, lantaklah jikapun itu scene seorang ibu sedang menyusu bayi. Membenarkan kata-kata kesat dalam filem boleh menjurus kepada keruntuhan akhlak penonton. Menayangkan shot rokok itu bakal memupuk budaya merokok.

Bayangkan jikalau piawaian ini dipatuhi ketika menerbitkan filem gangster, sudah tentu ketua samseng dalam filem lebih beradab berbanding menteri besar yang berceramah secara terbuka dengan pujian pun berbunyi “kepala bapak hang”.

Namun LPF dan rakan-rakan yang sewaktu dengannya, seolah-olah tidak sedar bahawa fahaman dangkal sebeginilah yang merencatkan industri filem. Malah saya kurang pasti sama ada Perdana Menteri Kesepuluh, Anwar Ibrahim menjadi mangsa kepada fahaman ini.

Apa tidaknya, untuk hampir dua dekad Anwar menjelajah dari hulu ke hilir, mendakwa dirinya “pernah ditelanjang dan diterajang dalam lokap”, tetapi filem Anwar: The Untold Story tidak menayangkan satu scene pun yang membayangkan watak Anwar dibogelkan ketika dibelasah separuh mati selepas ditahan pada malam 20 September 1998.

Lalu saya tertanya-tanya, siapa yang harus kita pertikaikan untuk babak ini? Pengarah filem yang tersilap tafsir sehingga tersasar dari apa yang berlaku sebenarnya, garis panduan LPF yang tidak masuk akal sehingga pengarah terpaksa mengubah suai skrip asalnya, atau kredibiliti PMX?

Daya membedah filem

Jangan kita terus melenting dengan mengandaikan bahawa jikalau kebebasan diberikan kepada seniman dan budayawan, maka mereka akan menghasilkan karya yang menonjolkan alat kelamin di sini sana.

Sebaliknya, kita wajar merenung, apakah kayu ukur penapisan pada hari ini masih relevan, memandangkan kecanggihan teknologi maklumat telah mendedahkan masyarakat massa kepada segala-gala informasi di hujung jari?

Pernah saya bersembang dengan seorang remaja berusia belasan tahun, yang berkongsi pandangannya dengan saya selepas menonton drama popular Korea pada tahun 2021, Squid Game. Dia mengaku dirinya paling suka watak Cho Sang-woo, yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai kemenangan dalam pertarungan. Lalu saya tanya, mengapa?

Saya rasa dia kacak, jawabnya sambil tersengih tersipu-sipu.

“Eh, bukankah dia orang jahat?” sengaja saya mengusiknya.

“Tidak. Dia bukan jahat, dia cuma bertindak mengikut peraturan permainan itu. Padahal, semua peserta menyedari peraturan itu sebelum memasuki gelanggang. Cho Sang-woo cukup sedar bahawa jikalau dia membiarkan pesaingnya menarik diri pada pusingan akhir, kedua-dua mereka akan kembali ke dunia realiti dengan tangan yang kosong. Maka dia yang sudah tewas mengambil keputusan untuk membunuh diri supaya rakannya (juga pesaingnya di pusingan akhir) memperolehi hadiah wang tunai untuk menyara hidup ibunya di luar sana.”

Saya cuba bayangkan, apakah saya mampu mengulas dan mengupas drama Korea ini sebagaimana budak di depan saya, pada zaman remaja saya? Saya rasa tidak. Lantas uncle yang enggan mengalah ini bertanya lagi, sebagai cubaan terakhir untuk menumpaskannya, “Eh, kan drama ini mengandungi shot yang berunsur keganasan dan seksual? Awak boleh tonton ke?”

Dia tersengih lagi, tanpa menjawab versi mana yang ditontonnya. Apapun, saya menganggap soalan saya sudah tidak relevan. Untuk seorang penonton yang mampu membedah jalan cerita, watak dan mentafsir makna filem itu dari perspektif dirinya, apalah sangat dengan satu dua scene yang berdarah dan berasmara?

Kaji semula piawan LPF

Sejujurnya, saya cukup terkesan dengan peredaran zaman. Sebarang penapisan untuk tujuan menjauhkan audiens dari anasir negatif, tidak lebih daripada pembohongan untuk menipu diri sendiri. Biarlah sesuci mana skrin dalam panggung wayang, audiens tetap terdedah kepada kata-kata kesat, dan aksi-aksi tidak senonoh dari kaca mata polis moral di luar panggung wayang.

Sebaliknya, pandangan sedemikian hanya akan membantutkan pembangunan industri filem tempatan. Bayangkan, mampukah Amanda Nell Eu memenangi hadiah di peringkat antarabangsa, dengan Tiger Stripes versi air tangan LPF? Atau, mampukah Michelle Yeoh memenangi Anugerah OSCAR, andainya watak yang dimainkan perlu mematuhi piawaian LPF?

Kita semua tahu jawapannya. Selagi LPF meletakkan “penapisan” sebagai misinya – mengukur kesungguhan bekerja dengan berapa shot yang ditapis, dikaburkan atau disenyapkan, mustahil kita hasilkan filem dan drama seperti Korea.

Sia-sia penulis skrip menyusun jalan ceritanya berlapis-lapis, sia-sia jurukamera mengambil sudutnya dari kiri kanan atas bawah, sia-sia pelakonnya menyelami pergolakan dalam wataknya, kerana semuanya akan berkecai lantaran suntingan atas nama sensitif.

Tiba masanya LPF mengkaji semula mekanisme penapisan. Kita perlu memupuk generasi audiens yang mampu menerokai maksud yang tersirat di sebalik apa yang tersurat, bukannya menapis apa yang tersurat supaya menjadi tersirat. Masyarakat kita tidak akan matang selagi audiens dewasa masuk ke panggung wayang untuk menonton versi Titanic yang lebih tapisannya berbanding versi yang ditontonnya ketika remaja, suku abad lalu.