KOLUM | Iman dah lama dijual beli
KOLUM | "Dia tak pernah beli buku tapi time periksa, dia tak pernah fail,” kata Burhan.
Burhan sedang bercerita mengenai seorang rakan sekuliahnya. Rakannya itu akan pergi ke kedai buku dan menghafal segala isi buku yang diperlukan untuk lulus dalam peperiksaan.
Begitu cekapnya rakan Burhan dalam menghafal sehingga tuan punya kedai buku tersebut telah melarang dia daripada datang lagi ke kedai tersebut.
Rakan Burhan itu berasal dari Afrika. Kami lupa dari mana. Tetapi di Chad, Kenya dan beberapa tempat lain lagi, mereka ada sistem menghafal yang sangat unik.
Biasanya teknik itu digunakan untuk menghafal al-Quran. Mereka akan menulis ayat-ayat suci itu pada kepingan papan dan kemudian menghafalnya. Mereka akan menulis dan membaca sehingga betul-betul telah menghafal apa yang ditulis sebelum ia dipadam untuk memulakan proses tersebut semula dengan ayat-ayat yang baru.
Ilmu itulah yang dimiliki oleh rakan Burhan.
Menurut Burhan lagi, bukan seorang sahaja rakan kuliahnya yang memiliki kemahiran tersebut, bahkan ada ramai lagi. Dan semua mereka itu datang dari benua Afrika.
Guna emosi cari untung
Cara pembelajaran tersebut dikatakan sudah diamalkan sejak ratusan tahun lalu dan berjaya melahirkan beribu-ribu huffaz.
Amalan menulis ayat-ayat suci al-Quran pada kepingan kayu, batu, kulit dan tulang binatang sudah dilakukan sejak zaman awal Islam. Mungkin tradisi itu yang dipertahankan oleh madrasah-madrasah di kebanyakan negara di Afrika sehingga kini.
Tidak lama dulu kami melihat satu iklan meminta sumbangan (atau disebut dalam hebahan tersebut sebagai infaq). Ia diperlukan bagi membeli sejumlah naskhah al-Quran untuk diagih-agihkan kepada pelajar tahfiz yang - menurut iklan tersebut - tidak berkemampuan.
Pengiklan terbabit menggunakan gambar kanak-kanak Afrika yang menulis pada papan kayu itu sebagai tarikan, dan mungkin juga dijadikan bukti bahawa mereka itu sangat-sangat memerlukan al-Quran.
Kami tidak tahu sama ada mereka yang terlibat memang benar-benar jahil mengenai tradisi yang kami sebutkan tadi, atau mereka sebenarnya tahu tetapi menggunakan emosi kasihan sebagai cara untuk meraih keuntungan.
Apa pun sebabnya, kami berasakan itu adalah perbuatan yang biadab.
Menjual kasihan memang cara yang sangat berkesan untuk mendapat keuntungan segera. Lihat saja segala iklan meminta sumbangan daripada orang ramai.
Segala macam penderitaan dipaparkan untuk mendatangkan simpati. Yang paling kasihan ialah apabila mereka yang giat meminta sumbangan itu orang agama.
Hari ini kita sangat sedih dengan apa yang berlaku di Palestin. Baru-baru ini lebih 500 orang terkorban apabila rejim Zionis mengebom sebuah hospital. Itu bukan perang. Itu adalah pembantaian warga.
Kami sendiri berasa putus harap apabila tidak dapat melakukan apa-apa selain bersedih dan berdoa supaya malapetaka yang sengaja dibuat itu segera berakhir.
Papan iklan besar-besar
Yang untungnya adalah kita ini orang yang percaya kepada Tuhan dan kita semua yakin Dia Maha Mengetahui akan apa yang sedang berlaku. Semoga kemenangan yang abadi buat mereka yang ditindas. Tiada kerugian pada sesiapa saja yang syahid di jalan Allah.
Dalam pada itu, tentu saja ini adalah masa yang paling sesuai buat sesetengah pihak untuk mengutip sumbangan orang ramai. Kita pun dihujani dengan pelbagai iklan yang merayu derma bagi pihak mangsa serangan tidak berperkemanusian tersebut.
Kasihan menjadi komoditi yang sangat laris pada kebanyakan waktu. Maka kita yang sedang marah dan sedih tidak keruan ini akan segera mahu membantu.
Cara yang paling mudah ialah dengan menyalurkan bantuan kewangan.
Bukan sedikit wang yang dikutip bagi membantu saudara-saudara kita yang sedang dizalimi itu, namun seperti selalu pasti akan timbul banyak pertanyaan sama ada wang yang dikumpul benar-benar sampai kepada mereka yang berhak.
Dimisalkan kami ini menderma RM1 kepada tabung berkenaan, tentu saja kami mahukan wang tersebut benar-benar digunakan untuk membeli bantuan buat mereka yang memerlukan, bukannya membayar kos papan iklan gergasi di pinggir lebuh raya.
Benar, ada yang mengatakan bahawa mereka yang terlibat dalam usaha mengumpul bantuan juga perlu hidup. Mereka memerlukan belanja untuk menguruskan itu dan ini.
Justeru sebagai orang awam, kami menyatakan bahawa pekerjaan sukarela bukan tempat untuk sesiapa mahukan ‘gaji’ atau tempat untuk membelanjakan puluhan juta bagi membeli aset pertubuhan masing-masing.
Mengumpul wang sumbangan kini sudah menjadi punca pendapatan kepada sesetengah orang, perseorangan atau pertubuhan.
Lihat bagaimana orang yang pandai agama merayu sumbangan untuk membina masjid, sekolah agama, perigi dan segala macam kebaikan hanya bersandarkan modal keuntungan akhirat.
Segala ayat al-Quran dan hadis lalu digunakan mereka sebagai penggalak.
Api membakar di akhirat
Namun apa yang jarang kita dengar ialah bagaimana wang yang dikumpul itu dibelanjakan. Di sesetengah masjid ada dipaparkan jumlah pendapatan dan ke mana ia dialirkan.
Begitulah sepatutnya dilakukan oleh siapa pun yang rajin merayu sumbangan.
Orang agama yang ralit mengutip sumbangan itu dilihat bebas menggunakan wang yang dikumpul tanpa terikat pada sebarang akauntabiliti. Mereka tidak dipertanggungjawabkan kepada sesiapa pun perihal pengagihan wang yang mereka kumpul itu.
Ada yang lebih berani apabila merayu sumbangan dengan memberikan akaun peribadi.
Mungkin kamu benar apabila mengatakan bahawa orang agama ada iman dan tidak mungkin mereka sanggup berlaku curang. Namun biar kami katakan bahawa iman sudah lama dijual dan dibeli.
Pada zaman orang agama juga sibuk mahu berjam tangan mewah dan berkereta besar ini, apa yang kita harapkan cuma ketelusan dalam membelanjakan wang sumbangan.
Selain pemeriksa kira-kira yang sedia ada, kita juga perlukan suatu badan pemeriksa yang bersandarkan al-Quran dan hadis supaya mereka bertanggungjawab menguruskan wang sumbangan berteraskan agama ini.
Kita tidak ingin wang yang kita sumbang hari ini menjadi bukti korupsi di mahkamah beberapa tahun akan datang. Atau bahkan menjadi api yang membakar kita di akhirat nanti.
Kerja sukarela adalah payah. Kamu perlu mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit untuk menjayakannya. Jangan jadikan kerja amal sebagai jalan cari makan.
Buat kerja itu kerana Allah, bukan kerana lain.
Ambil contoh budak-budak tabligh. Mereka mengumpul wang sendiri, mengambil cuti dan pergi membuat kerja sukarela. Dipuji mereka buat, dikeji juga mereka tetap buat.
Untung dunia satu sen pun tak dapat. Untung akhirat pula entah apa nasibnya.
Mereka minta berceramah percuma, kamu jegilkan mata kerana kamu mahu membayar pendakwah bebas yang mencari makan dengan menjual cerita jenaka.
Pendakwah paling bebas ialah budak-budak tabligh itulah.
Tapi itulah, apabila mereka datang ke masjid kamu, kamu pandang pun tidak. Hapak kata kamu.
Yang budak-budak tabligh itu pun satu hal… mandilah!
ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan pengembara.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai