Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Reformasi minda: Madani jawapannya?

Sesungguhnya, politik, sosial, budaya dan minda berpisah tiada. Justeru itu, “Reformasi” tidak sempurna seandainya sesebuah negara mencapai reformasi politik tanpa masyarakatnya mengalami reformasi sosial, budaya dan minda.

Alangkah malangnya jikalau “Reformasi” berakhir dengan pertukaran calon perdana menteri, atau peralihan kuasa dari parti politik ini ke parti politik itu, pada masa yang sama masyarakatnya tetap mewarisi sebuah negara dengan struktur dan sistem yang lama. Lebih malang, setelah reformasi dijana untuk merombak sistem dan struktur, majoriti masyarakat pula tidak bersedia menerimanya, dari segi sosial, budaya dan minda. “Pembaharuan” sedemikian biasanya berakhir dengan tragedi.

Misalnya, apabila akta draconian yang mengekang hak asasi manusia dan kebebasan dimansuhkan, sesebuah masyarakat yang gagal memahami dan menghayati erti sebenar kebebasan, akan menyalahgunakan kebebasan ini untuk menyebarkan berita palsu, fitnah dan hujah berbaur kebencian. Malah ada yang menggunakan kebebasan ini untuk menafikan hak dan kebebasan kelompok lain yang biasanya minoriti.

Akhirnya, kebebasan hanya dimiliki golongan yang berada dalam arus perdana. Golongan minoriti yang terpinggir terus dimomokkan, dan tidak terbela sungguhpun reformasi sistem telah dilaksanakan. Jadi, apa maknanya kebebasan itu dimiliki, andainya kebebasan yang diamalkan itu tidak menegakkan keadilan untuk membela kelompok minoriti?

Wacana Reformasi dibayangi PAS

Mukadimah ini cuba memperlihatkan hakikat bahawa misi yang lebih mencabar berbanding “pelaksanaan reformasi institusi” adalah “reformasi minda”. Ringkasnya, masyarakat kita memerlukan anjakan paradigma dari segi pemikiran, sebelum mencapai persetujuan dalam isu hala tuju pembangunan negara seterusnya. Dengan kata lain, Reformasi memerlukan pengisian baru.

Untuk berlaku adil, Anwar Ibrahim hanya sempat melafazkan Deklarasi Permatang Pauh pada 12 September 1998, sebelum ditahan dan dipenjarakan untuk enam tahun kemudiannya. Wacana Reformasi lebih dibayangi pemimpin PAS yang bersama dalam gelombang Reformasi, sungguhpun ada usaha daripada cendekiawan dan aktivis tertentu untuk menyuntik hujah baru dengan konsep “keadilan sosial” dan sebagainya ke dalam gerakan ini.

Sengaja atau tidak, konsep “Negara Islam” lebih ditonjolkan dalam ruang wacana pada ketika itu – cukup untuk menakut-nakutkan pengundi bukan Islam dalam PRU10 pada tahun 1999, dan akhirnya menemui kebuntuan khususnya selepas serangan pengganas di Amerika Syarikat pada 11 September 2001. Momentum Reformasi terus merosot, dan dijelmakan dalam keputusan PRU11 pada tahun 2004.

Sudah tentu Anwar menyedari situasi ini. Lantas Anwar kembali ke gelanggang politik dengan wacana baru, melakar wajah negara dan masyarakat yang ingin dibinanya. Cita-cita Anwar untuk membina jati diri dan perwatakan bangsa Malaysia terserlah dalam pidatonya yang berjudul “Membangun Semula Makna Diri Malaysia”, disampaikan sempena Seminar Tahunan Institut Kajian Dasar (IKD) pada 6 Ogos 2005.

Dalam satu jangka masa selepas PRU11 dan sebelum PRU12, Anwar memilih untuk bertembung dengan mentaliti arus perdana masyarakat Melayu dan Muslim. Untuk tiga tahun berturut-turut (2005-2007) ketua pemuda Umno, Hishammuddin Hussein menghunus, mencium dan menjulang keris dalam Perhimpunan Agung Umno, dan Anwar membalas dengan lontaran idea berani untuk mengkaji semula Dasar Ekonomi Baru (DEB). Memetik idea cendekiawan, budayawan, sasterawan, negarawan dari Timur ke Barat di dunia antarabangsa, melangkaui beberapa tamadun, Anwar cuba mengadunkan perwatakan bangsa Malaysia sebagai satu bangsa yang cintakan demokrasi, keadilan dan kebebasan.

Usaha ini tidak membuahkan hasil serta-merta. Malah pembangkang ketika itu kalah dalam siri pilihan raya kecil yang diadakan pada tahun 2007, sehingga ada penyokong Reformasi yang mula meragui kemampuan Anwar. Ada juga yang berseloroh ketika itu, bahawa andainya Anwar gagal bangkit semula dalam arena politik, mungkin lebih baik beliau beralih untuk memimpin reformasi pemikiran, tanpa perlu tunduk kepada tekanan undi.

Naratif yang mendominasi wacana

Selebihnya adalah sejarah. Sepanjang perjuangan 25 tahun ini, Mahathir berundur, Umno-BN ditumbangkan, dan kini Anwar Ibrahim dinobatkan menjadi perdana menteri kesepuluh. Reformasi institusi digerakkan, sungguhpun amat perlahan langkahnya. Persoalan sekarang, bagaimana dengan reformasi minda masyarakat kita?

Perlu diingatkan bahawa situasi sudah jauh berbeza dalam tempoh sedekad dua ini, lebih-lebih lagi dengan kemajuan teknologi maklumat yang semakin luas liputannya. Jikalau 20 tahun lalu kerajaan memiliki kelebihan untuk mengawal pemikiran rakyatnya dengan menguasai institusi pendidikan dan media arus perdana, kini mentaliti, jati diri dan perwatakan masyarakat boleh dibentuk melalui pempengaruh di media sosial.

Kemudahan sedemikian dimanfaatkan sepenuhnya oleh kumpulan yang bersaing untuk menyebarkan fahaman dan idea masing-masing. Usaha PAS membina sistem pendidikan tersendiri dari Pasti (Pusat Asuhan Tunas Islam), Sriti (Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam Al-Furqan), SMITI (Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam) hingga ke KUIZM (Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad) dituai hasilnya, apabila melahirkan generasi yang berpegang kepada fahamannya, dan kini meresap dalam masyarakat akar umbi di seluruh pelosok.

Apapun label yang dilontarkan, sayap kanan, konservatif, eksklusif, fahaman sempit, perkauman dan sebagainya – naratif yang terbina atas keresahan Melayu-Muslim, kini menjadi arus perdana dalam ruang wacana. Diselubungi sentimen “Islam terancam”, Melayu-Muslim tempatan diseru agar berwaspada dengan golongan “yang lain”, dari bukan Melayu, bukan Islam, kuasa Barat, komunis, hinggalah LGBTQ.

“Suara rakyat, suara keramat”. Setuju atau tidak dengan pandangan tersebut, Kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim terpaksa bertindak balas agar tidak membelakangi suara rakyat. Maka kerajaan ini dilihat menari mengikut irama yang didendangkan, malah ada kalanya terlajak langkah – misalnya rampasan buku (Marx Sang Pendidik Revolusioner, Koleksi Puisi Masturbasi), pengharaman filem (Mentega Terbang), malah jam tangan berwarna pelangi yang dikaitkan dengan unsur LGBTQ (Swatch).

Apa ada dengan Madani?

Kesemua ini menenggelami konsep Madani, yang diketengahkan Anwar Ibrahim untuk melakar masa depan Malaysia. Seperti biasa, rakyat jelata yang mudah keliru dengan konsep tertanya-tanya, bolehkah Madani ditakrifkan dengan satu ayat yang mudah, atau dijelmakan dengan satu contoh yang jelas, agar ia tidak kelihatan kabur dan terlalu dalam untuk diselami?

Anwar boleh menjelajah dari hulu ke hilir, dari Perlis ke Sabah untuk menjaja konsep Madaninya. Namun persoalan di atas tetap tidak terungkai selagi kerajaan Anwar gagal mendefinisikan Madani dalam konteks semasa tempatan.

Contoh yang mudah, apakah penyelesaian isu larangan atlet wanita di Terengganu untuk menyertai acara gimnastik, andainya dibincangkan dalam kerangka Madani? Apakah larangan itu harus diperluaskan kepada atlet lelaki, atau kita perlu membuka satu perspektif yang lebih luas ketika membincangkan isu sukan dalam konteks abad ke-21?

Contoh seterusnya, apakah Madani mengiyakan rampasan buku dan pengharaman filem, lebih-lebih lagi pada zaman kita terdedah kepada segala-gala informasi di alam maya? Sejauh manakah kuasa daulah harus campur tangan untuk menentukan apa yang dibenarkan dan apa yang diharamkan? Berdasarkan kayu ukur apakah sesuatu itu dihalalkan dan diharamkan? Andainya kayu ukur agama tertentu yang digunapakai, bagaimana jikalau kesan dasar itu menempias golongan yang berbeza agama, atau tidak beragama?

Persoalan sedemikian adalah subjektif, tidak boleh dijawab hanya dengan benar atau salah, lebih-lebih lagi masyarakat kita terdiri daripada berbilang kaum, agama, dan budaya yang memiliki kayu ukur masing-masing. Justeru itu, jikalau konsep Madani itu asas kerangka dasar kerajaan Anwar untuk mentadbir sebuah masyarakat majmuk, ia harus merungkaikan persoalan sedemikian, yang berlaku saban hari dan terpampang jelas di depan mata.

Misi ini mencabar, kerana jikalau Anwar masih berpegang kepada idealisme dan prinsipnya untuk membina satu bangsa yang cintakan demokrasi, keadilan dan kebebasan, ia seolah-olah menongkah arus dalam masyarakat Malaysia, lebih-lebih lagi dalam ruang wacana Melayu-Muslim yang tidak menyebelahinya. Dengan kata lain, Anwar akan merisikokan kedudukan kuasanya untuk melancarkan reformasi minda.

Cuma, jikalau takutkan risiko, usah bicara soal perjuangan, bukan?


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.