Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KOLUM | Menilai Reformasi selepas 25 tahun

Mustahil Reformasi dimonopoli tafsirannya dengan hanya satu definisi, setelah mengharungi liku-liku 25 tahun.

Jikalau Reformasi diteorikan, barangkali ia tesis yang lebih tebal berbanding kamus; jikalau Reformasi dirakamkan, boleh jadi ia filem yang lebih dramatik berbanding filem pecah panggung; jikalau Reformasi digalerikan, mungkin ia sebuah memorial yang lebih sarat dengan kenangan berbanding artifaknya.

Dengan kata lain, Reformasi boleh ditelaah sebagai teori akademik, dikisahkan sebagai pengalaman perjuangan dan diluahkan sebagai sentimen kolektif. Slogan “re-for-ma-si” memberi seribu satu makna untuk mereka yang pernah melaungkannya. Ia merupakan senjata yang memberanikan diri untuk melawan sang penguasa. Ia adalah simbol yang melambangkan semangat zaman. Ia adalah impian untuk masa depan. Terpulanglah kepada tafsiran masing-masing.

Apa-apa pun, dalam tafsiran paling ringkas dan mudah, Reformasi membawa maksud perubahan ke arah kebaikan. Maka Reformasi boleh hadir dalam pelbagai aspek dari politik, ekonomi, sosial, budaya sehinggalah pemikiran.

Cuma apabila “Reformasi” dikupas dalam konteks pergelutan kuasa antara Anwar Ibrahim dengan Mahathir Mohamad pada suku abad lalu, kebanyakan kita lebih cenderung untuk membincangkan reformasi dari aspek politik.

Reformasi politik

Terdapat tiga dimensi apabila kita berbicara tentang “reformasi politik” yang dicanangkan setelah pemecatan Anwar sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan pada 2 September 1998. Ia diperlihatkan melalui aksi politik, seperti demonstrasi jalanan dan dokumen politik seperti Deklarasi Permatang Pauh.

Pertama, dalam bentuk yang paling “superficial”, Reformasi boleh dimanifestasikan dengan pengunduran Mahathir sebagai perdana menteri, atau tumbangnya Umno-BN sebagai kerajaan persekutuan.

Kedua-dua matlamat ini dicapai sepanjang 25 tahun lalu. Mahathir berundur pada tahun 2003, manakala Umno-BN ditumbangkan pada tahun 2018. Ironinya, setelah dijatuhkan Mahathir dan Umno-BN diangkat semula oleh mereka yang memperjuangkan “Reformasi”.

Kedua, Reformasi boleh dijelmakan dengan melunturkan Mahathirisme dan merombak semula formula politik Umno-BN.

Dari satu segi, Mahathirisme lebih menekankan nilai ketimuran yang cenderung untuk menindas hak asasi manusia dan kebebasan individu. Ia ditonjolkan dengan pemerintahan autoritarian yang menggunakan akta-akta draconian untuk mengukuhkan kuasa.

Formula BN pula berpegang kepada perkongsian kuasa dalam satu gandingan parti politik di mana Umno mewakili Melayu, MCA mewakili Cina, MIC mewakili India dan parti di Malaysia Timur mewakili Sabah dan Sarawak. BN ditunjangi Umno dan kemudian semakin didominasi parti itu sehingga parti-parti komponen lain dilihat terpinggir.

Perjuangan “Reformasi” membuka lembaran baru apabila rakyat turun ke jalan raya untuk mempertahankan hak asasi manusia dan menuntut ruang kebebasan yang lebih luas.

Perjuangan rakyat memperlihatkan kesan kemudian, apabila Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan dan beberapa akta digubal atau dipinda untuk melonggarkan sekatan kebebasan berbanding sebelumnya. (Sudah tentu Najib Razak tidak akan memansuhkan ISA pada zaman pemerintahannya tanpa desakan massa, yang dijelmakan dengan Himpunan Bersih 2 pada 9 Julai 2011).

Demonstrasi anti-ISA pada 2009

Untuk formula Umno-BN pula, perjuangan Reformasi melahirkan Parti Keadilan Nasional, yang kemudiannya bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia untuk dinamakan sebagai Parti Keadilan Rakyat (PKR). Langkah penubuhan parti berbilang kaum dan agama ini dianggap percubaan menongkah arus yang berani untuk menempuh Umno ketika itu. Dari Barisan Alternatif (BA), Pakatan Rakyat (PR) hinggalah Pakatan Harapan (PH), gandingan ini cuba menampilkan parti-parti komponen yang lebih inklusif terhadap semua rakyat Malaysia, juga kedudukan yang lebih saksama antara parti.

Ketiga, Reformasi yang diterapkan ke dalam institusi kerajaan untuk menghapuskan amalan rasuah, kronisme dan nepotisme. Ia memperkasa mekanisme semak imbang dalam sistem kerajaan dengan membebaskan institusi kehakiman, media dan sebagainya dari cengkaman eksekutif. Ia membina semula gelanggang pilihan raya yang lebih rata untuk menyuburkan persaingan sihat antara parti politik.

Di samping itu, Reformasi mendukung prinsip pengagihan sumber yang lebih adil untuk merapatkan jurang antara kaya dan miskin agar tidak berlaku fenomena “yang kaya semakin kaya, yang miskin semakin miskin”. Jikalau Mahathir dilihat cenderung untuk berjinak-jinak dengan projek mega dan taikun yang maha kaya, Anwar pula menampilkan pendekatan dirinya dengan projek sederhana dan kecil-kecilan yang lebih dekat dengan rakyat.

Mengapa Reformasi disindir?

Sesungguhnya, tidak semua babak perjuangan Reformasi sarat dengan pengorbanan yang sedih dan pahit atau pengkhianatan yang oportunistik dan jelik. Ada juga detik yang memberangsangkan, dengan kemenangan kecil seperti penafian majoriti dua pertiga BN dalam Dewan Rakyat pada 8 Mac 2008 sebelum mereka ditumbangkan buat kali pertama dalam sejarah pada 9 Mei 2018. Paling kemuncak, apabila simbol ikoniknya, Anwar Ibrahim dinobatkan sebagai perdana menteri ke-10 di ambang ulang tahun ke-25 Reformasi.

Jikalau Reformasi dinilai berdasarkan dimensi yang “superficial”, maka kisah ini boleh dinoktahkan pada 24 November 2022 dengan kesudahan yang mengujakan buat satu dunia. Apa tidaknya, susuk tubuh ini boleh jadi mati pada malam 20 September 1998 sebelum bangkit dengan mata lebamnya untuk melawan regim Mahathir yang menindasnya.

Namun rakyat menuntut sesuatu yang lebih daripada “Anwar jadi perdana menteri”. Maka tidak hairan apabila perjuangan ini dilontar dengan pelbagai sindiran sinis oleh lawan dan kawannya dari masa ke masa. Anwar dikatakan menggadaikan prinsip untuk bekerjasama dengan Mahathir (ketika PRU14) dan Umno-BN (selepas PRU15) semata-mata untuk diangkat menjadi perdana menteri.

Pertama, harus kita sedar bahawa sejarah berkembang secara berperingkat. Mustahil cengkaman penguasa dilonggarkan andainya Mahathir tidak berundur. Ya, Umno-BN tetap kekal berkuasa selepas Mahathir berundur pada 31 Oktober 2003, malah kedudukan parti pemerintah ini kembali kukuh selepas PRU11 pada tahun 2004. Cuma, kita tidak terbayang Anwar akan dibebaskan pada 2 September 2004 jikalau Mahathir masih berkuasa, bukan?

Kedua, sungguh pun perdana menteri selepas Mahathir iaitu Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak cuba mengambil pendekatan atau memperkenalkan dasar baru untuk dilihat berbeza daripada pentadbiran Mahathir, tetapi ia sekadar “reformasi kosmetik” yang tidak mengusik struktur dalam sistem.

Lebih-lebih lagi, apabila kedudukan dirinya tergugat, misalnya ketika Najib semakin terdesak lantaran pendedahan skandal 1MDB, dia cuba mengerah seluruh jentera dan institusi negara untuk menyelamatkan dirinya.

Dalam situasi sebegitu, kita sedar bahawa pertukaran kerajaan persekutuan adalah wajib andainya kita mahu memperbetulkan sistem yang pincang dan bobrok secara tuntas. Kita berkompromi untuk matlamat yang lebih besar, supaya Malaysia boleh mara ke depan sepanjang proses pendemokrasian. Kini, pertukaran kerajaan persekutuan menjadi normal, bukan lagi sesuatu yang boleh ditakut-takutkan dengan tragedi 13 Mei.

Apa seterusnya?

Apa-apa pun, Reformasi kini berada di kedudukan baru setelah Anwar menjadi PMX dalam kerajaan Madani yang ditunjangi PH. Anwar sendiri menentukan sejauh mana re-for-ma-si yang dilaungkannya sampai, khususnya pada dimensi reformasi institusi.

Anwar boleh menjadikan kekangan realiti politik sebagai alasannya jikalau reformasi tidak kesampaian – ia masih diterima sesetengah peminat dan penyokong tegarnya, tetapi bukan rakyat kebanyakan.

Malah, gerakan Reformasi harus diangkat ke satu darjat yang lebih tinggi agar tidak lagi terperangkap dalam kebuntuan politik partisan yang hanya menitik beratkan pertimbangan strategi untuk mempertahankan kuasa. Ini kerana jikalau Zahid Hamidi boleh di-DNAA-kan hari ini, apakah Najib Razak juga boleh di-DNAA-kan esok?

Reformasi boleh bersorak untuk kejayaannya setelah Mahathir dijatuhkan, Umno-BN ditumbangkan, dan akhirnya Anwar dilantik sebagai perdana menteri. Namun Reformasi bukan memoir Anwar atau filem Untold Story semata-mata, tetapi penyertaan dan pengorbanan mereka yang menuntut perubahan ke arah kebaikan sepanjang 25 tahun ini.

Mereka layak menuntut sesuatu yang lebih daripada itu, bukan?


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.