Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KOLUM | Wajarkah sekat peruntukan pembangkang?

Perkataan “Reformati” yang sangat dibenci oleh para penggiat reformasi hanya perlu dipasangkan “on” di akhirnya, barulah perkataan ini kembali ke maksud asalnya.

Perkataan Reformasi yang diambil dari perkataan Indonesia itu berasal dari perkataan Inggeris dan Eropah. Perkataan asal pada istilah ini, ialah reformation. Reformasi tanpa mengambil kira terma reformation, hanyalah suatu hal yang sia-sia.

Jeritan reformasi, baik di Indonesia mahupun selepas itu di Malaysia, bermaksudkan untuk perubahan sistem. Soalnya sekarang, adakah para penjerit reformasi berdekad-dekad selama ini telah bersetuju bahawa reformasi sudah selesai bila Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri?

Pada suatu hari, Anwar dengan angkuh mengatakan, “kalau tak runding, tunggulah sampai bilapun, saya tidak luluskan.”

Para penyokong Anwar dan rejim Madani boleh berkata apa sahaja. Tetapi ayat yang diucapkan Anwar dalam perbahasan di Parlimen baru-baru ini menunjukkan bahawa peruntukan itu ada. Peruntukan itu bukan sahaja untuk ahli parlimen kerajaan, tetapi juga ahli parlimen pembangkang.

Peruntukan itu bukan disauk dari poket Anwar atau poket Zahid Hamidi. Peruntukan itu dikaut dari rakyat dan untuk dibelanjakan oleh mana-mana ahli parlimen di kawasan yang mereka menangi. Dan Anwar tidak akan sekali-kali meluluskan jika para pembangkang tidak mahu berunding dengannya.

Dengan akal yang waras, sihat dan bijaksana, kita pasti Anwar hendak meletakkan syarat bahawa kerajaannya tidak boleh diganggu-gugat sehingga habis penggal ini. Anwar pastinya mahu melampaui tempoh pemerintahan tiga perdana menteri sebelumnya yang tidak dapat menghabiskan walau satu penggal sekalipun.

Duluan yang ditinggalkan sebelum ini iaitu Langkah Sheraton iaitu membubarkan kerajaan sebelum tempoh masaknya hasil ulah atau makar orang-orang politik harusnya dikeji. Walaupun langkah penggantian kerajaan itu tidak melalui pilihan raya yang memakan puluhan juta ringgit, ia sangat tidak menghormati demokrasi dan mandat rakyat.

Pastinya kita tidak dapat menerima jika PN melakukan rekayasa itu sekali lagi, sebenci manapun kita pada perdana menteri kesepuluh yang kita sayangi ini. Kerajaan ini harus dibiarkan memerintah berdasarkan suara rakyat yang diperolehinya selama lima tahun, dijangka berakhir paling lewat pada 2027.

Akta Antilompat Parti tidak bergigi?

Ini membawa kepada persoalan, adakah Akta Antilompat Parti yang diperkenalkan itu tidak bergigi? Jika akta itu kuat, kenapa Anwar takut dengan pembangkang? Sedangkan sebagaimana kata Syed Saddiq dalam perbahasan di Parlimen yang sama, kerusi yang dimenangi PH-BN (dan segala parti dalam kerajaan perpaduan) ialah majoriti yang besar berbanding tiga perdana menteri sebelum ini.

Jadi kenapa Anwar dilihat takut dengan Zahid Hamidi berbanding Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri, sedangkan Anwarlah yang paling berdegar-degar berkokok tentang antikorupsi?

Begitu juga dalam peruntukan terhadap pembangkang, mengapa tidak terus diberi jika rejim Anwar ini kuat dan ampuh dan Akta Antilompat Parti itu sememangnya bergigi? Ini menimbulkan syak wasangka kita semua pada rejim Anwar ini. Kerajaan ini dilihat begitu lemah dan tunduk pada Umno-BN, terutama pada ketuanya iaitu Zahid Hamidi.

Kerajaan yang ketika ceramahnya sebelum ini begitu kuat bersyarah tentang antikorupsi, sampai membuat lagu hoi hoi ya hoi siapa sokong penyamun. Tetapi apabila menang memerintah mereka pula dilihat tunduk dan penakut terhadap orang yang mereka tuduh sebagai penyamun.  

Katalah Zahid diambil tindakan, adakah Anwar tidak yakin Umno-BN akan bersamanya dalam Kerajaan perpaduan? Atau Umno-BN akan menyeberang ke PN?

Atau seperti Anwar katakan terhadap seorang pelajar sekolah baru-baru ini, adakah dia nak PN mengambil alih pemerintahan jika Anwar bercakap soal kuota pelajar di universiti? Ini tanda Anwar sangat berhati-hati untuk bercakap soal reformasi, takut akan hilang kerusi, hilang undi dan hilang jawatan perdana Mmenteri.

Jika Umno-BN pergi ke PN sekalipun (selepas Zahid diambil tindakan), biarkanlah luncai terjun dengan labu-labunya. Kerana kajian telah mendapati dan menunjukkan bahawa prestasi Umno-BN makin merudum dari tahun ke tahun. Apatah lagi Bersatu dan PAS di bawah PN telah menelan satu persatu kawasan Umno-BN.

Maka perginya Umno-BN ke PN hanyalah proses yang akan menyegerakan pengebumian mereka. Jadi pilihan yang ada pada Umno-BN ialah buang Zahid dan terus dengan agenda reformasi bersama dalam PH.

Tetapi jika Umno-BN tidak mahu bersama dengan PH dan PN, kenapa Anwar harus membela biawak hidup? Biarlah parlimen tergantung sekalipun pada ketika itu. Ia menunjukkan Anwar adalah reformer yang tangguh. Bukan terlalu terdesak (atau bahasa orang Kedah, sangap) nak menjadi perdana menteri hingga sanggup berpakat dengan siapa sahaja.

Penyokong PH selalu mengatakan PAS tidak ada prinsip. Persoalan yang sama harus ditalakan pada mereka; adakah Anwar juga tiada prinsip?

Yang atas boleh turun, yang bawah boleh naik

Walaupun Malaysia dikatakan pernah dipimpin diktator iaitu Mahathir, jika ditilik dengan cermat Malaysia tidaklah sama seperti China, USSR atau mana-mana negara tanpa parti politik atau hanya ada satu parti politik.

Rejim Mahathir akhirnya lengser juga (dilengserkan oleh Mahathir sendiri dan mendapat ombak dan kemuncak dari peristiwa Reformasi 1998). Mahathir yang dinilai berkukubesi itupun akhirnya kalah jua. Tidak ada apa yang kekal selamanya di atas.

Ini menunjukkan bahawa PH hari ini sedang menongkat kuasa di Putrajaya, bukan selamanya akan parking kereta di sana. Satu hari nanti mereka akan naik tren juga dan kembali ke Sogo. Satu hari nanti, mereka akan ditendang keluar juga dari Putrajaya seperti musuh-musuh politik mereka yang pernah berdiam di sana.

Reformasi haruslah melangkaui Anwar Ibrahim dan bukanlah hanya tentang Anwar Ibrahim. Dia boleh dikatakan sebagai pencetus atau figura penting untuk ideologi reformasi yang dijadikan arus utama penentangan kerajaan Mahathir tetapi reformasi bukan tentang dia seorang.

Dan Anwar Ibrahim bukan akan hidup begitu lama bersama kita. Empat tahun lagi, dia akan berumur 80 tahun. Kita pun tidak pasti apakah kemampuan dan fikirannya masih tajam untuk mentadbir kita semua di usia warga emas itu.

Kerana itu PH yang menjadi kerajaan hari ini wajar risau dari sekarang jika akta-akta drakonian belum dicabut serta peruntukan untuk pembangkang tidak dijadikan mandatori serta merta. Kerana empat tahun lagi, jika mereka menjadi pembangkang, mereka akan berdepan dengan masalah yang sama.

Adakah ketika itu berlaku barulah PH yang menjadi pembangkang pada masa itu mahu menjerit, bertempik, membawa sepanduk, mengepung Masjid Jamek dan merempuh Dataran Merdeka kerana peruntukan terhadap mereka tidak diberikan sama rata?

Anwar ketika itu mungkin tidak perlu pusing kepala atau pening kepala kerana dia telah pun menjadi perdana menteri – Impian yang sangat dikejarinya selama ini. Tetapi bagaimana dengan ahli-ahli Parlimen dan Adun PH yang lain, yang baru nak hidup dan nak bekerja untuk rakyat? Adakah mereka bersedia untuk menjadi seperti Ahli Parlimen Ketereh Khlir Mohd Nor yang dipersenda-sendakan kerana menuntut peruntukan untuk pembangkang?

Jika Anwar cikgu Zahid, Mahathir cikgu Anwar?

Walaupun Anwar sering berkhutbah dan bersyarah di mana-mana bahawa dia tidak seperti Mahathir, tetapi hari ke hari kita boleh melihat nafsunya pada kekuasaan begitu kuat dan erat.

Apa yang diidam-idamkan selama ini akhirnya telah berhasil. Dia telah menjadi perdana menteri meski melalui tribulasi dan mehnah yang bukan sedikit. Rasanya tidak ada sosok yang nak menjadi perdana menteri di Malaysia akan melalui ranjau berliku sepertinya.

Tetapi lama kelamaan sikapnya semakin menjadi seperti musuh yang dibencinya itu. Apa yang Anwar buat itu, iaitu masih mengekalkan akta-akta drakonian, samalah seperti apa yang Mahathir buat selama ini. Mahathir perkenalkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP), Anwar masih kekalkan AMCP. Mahathir kekalkan Akta Hasutan, Anwar juga masih kekalkan Akta Hasutan.

Pada era Mahathir, dia menyekat peruntukan terhadap Kelantan kerana Kelantan satu-satunya negeri pada era 90-an yang berani melawan pemerintahannya. Oleh sebab itu Mahathir secara sistemik memiskinkan Kelantan. Dia mahu mengajar orang Kelantan yang memilih Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat dan PAS sebagai pemerintah. Hal yang sama atau tidak lebih baik bila Anwar turut melakukan hal yang sama terhadap ahli-ahli Parlimen PN yang tidak mahu menyembahnya.

Sama ada Anwar membaca buku Robert Green, 48 Laws of Power, di mana Law 15 menyebutkan “crush your enemy totally”, atau dia meniru sepenuhnya pengamalan politik Mahathir.

Jika orang PH mengatakan bahawa peruntukan pada ahli Parlimen PN tidak perlu diberi kerana peruntukan telah diberikan kepada kawasan parlimen mereka, kenapa ahli parlimen PH ada diberikan peruntukan, tetapi tidak kepada ahli Parlimen PN?

Adakah ini reformasi atau reformati?


BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.