Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KOLUM | Tioman dah tak begitu ramah

KOLUM | Sudah lama sebenarnya kami teringin untuk datang lagI ke Pulau Tioman. Kali terakhir kami ke sana ialah pada zaman hore-hore dulu.

Entah sepuluh, entah dua puluh atau mungkin juga tiga puluh tahun yang lampau.

Banyak kali rancangan kami mahu menziarahi Nenek Semukut tergendala. Ada saja halangannya dan kami pun berserah sajalah pada ketentuan masa.

Pulau Tioman sentiasa menjadi pulau sorga nan indah dalam lipatan kenangan kami.

Semasa pertama kali ke sana lama dulu, kami terpegun dengan keindahannya. Benar, kami ini dibesarkan di tepi laut namun pasir putih di Teluk Cempedak, Pantai Sepat, Pantai Gelora, Batu Hitam atau Pantai Pelindung tentu saja tidak dapat menandingi gebunya pasir di Pulau Tioman.

Mana mungkin segala kerang dan karang yang ada di pesisir pantai-pantai di tempat kami dapat bersaing dengan apa yang terdapat di pulau yang terkenal itu.

Kerana itu kami sentiasa merindui masa untuk datang kembali ke pulau berkenaan.

Pantai masih gebu

Tambahan pula ada seorang kenalan yang - setelah habis sekolah - pergi ke pulau berkenaan dan tidak pulang ke tempat kami lagi. Dari cerita yang kami dengar, dia memang sudah menjadi penduduk pulau tersebut.

Walaupun bukan begitu rapat, kami ingin juga berjumpa dengan dia waima untuk bertanya khabar. Atau jika kami mahu bercakap benar sesuai dengan mereka yang seusia kami, maka mahu kami tanyakan kepada dia, apakah dia sihat atau sakitkah?

Lalu peluang itu datang baru-baru ini. Kami pun berasa begitu bersemangat dan mempersiapkan diri untuk pergi kembali kepada suatu kenangan lama.

Pulau Tioman masih seperti dulu. Maksudnya, laut di sekitar masih biru dan menawan. Pasir pantainya juga tetap gebu sepertimana ketika kami tinggalnya entah berapa puluh tahun nan lalu.

Mengikut kata mereka yang pergi menyelam, karang dan kerangnya juga masih boleh diharap untuk menghiburkan hati nan lara.

Gambar hiasan

Sayugia diingatkan, walaupun kami ini besarnya di gigi air, kami tidak tahu berenang.  Ditambah pula dengan penyakit gayat yang datang bersama usia, kami lebih selesa berada di tanah datar.

Kepada yang tidak tahu - pada kami yang gayat ini - kedalaman (lautan) adalah sama saja dengan ketinggian apa-apa pun.  Lalu jika kami menyelam walau hanya di permukaan air, ingatan kepada kedalaman laut lepas akan membuatkan kami menggeletar.

Kerana itu seperti yang dijelaskan tadi, kami lebih selesa berada di atas tanah berbanding berenang walaupun sekadar di permukaan air, apatah lagi menyelam ke dalamnya.

Dan di sinilah bermulanya sedikit kekecewaan pada kami.

Pulau Tioman sangat mengalu-alukan perenang dan penyelam. Kepada mereka segala kemudahan disediakan - daripada pelampung untuk yang tidak tahu berenang, kepada bot-bot yang bersedia membawa mereka ke mana saja sama ada untuk menyelam atau pun memancing.  

Tidak ada identiti

Dan sememangnya Pulau Tioman memberikan tumpuan yang lebih banyak kepada penyelam kerana dikatakan hampir 70 peratus daripada pengunjungnya datang untuk tujuan tersebut.

Daripada lebih 250,000 pelancong yang datang setiap tahun, 80 peratus adalah penyelam khususnya dari Singapura.

 Mereka yang berada di darat tidak diberi penghormatan selayaknya oleh pulau tersebut. Pulau Tioman menjadi rugi apabila mereka tidak menyediakan tempat penginapan yang mempunyai nilai-nilai estetika seperti dilakukan oleh banyak pulau atau tempat tumpuan pelancong di luar negara.

Ambil saja Bali sebagai contoh. Rumah penginapan mereka begitu menarik sehingga terkenal ke seluruh dunia, sedangkan Pulau Tioman pula lebih cenderung membina bangunan yang tidak mempunyai identiti tempatan.

Atau jika boleh kami katakan, ia langsung tidak mempunyai sebarang identiti.

Mereka membangunkan petempatan mengikut cita rasa sendiri. Ada yang membina bangunan batu seperti kebanyakan rumah orang Melayu di kampung-kampung, dan ada juga yang membina rumah ala resort yang langsung tidak memberi peluang pelancong menikmati keindahan alam sekeliling.

Gambar hiasan

Mungkin pihak yang bertanggungjawab boleh membuat garis panduan mengenai pembinaan rumah tumpangan yang lebih bercirikan tempatan pada masa depan.

Jika tidak kita akan dapati keadaan rumah-rumah tumpangan yang ada di pulau tersebut tidak ubahnya seperti petempatan rumah-rumah haram. Dan memang itu pun gambaran yang kami dapat apabila sampai ke pulau tersebut baru-baru ini.

Hampir semua pembangunan yang dilakukan adalah tidak mesra alam, dan ada sedikit kerunsingan apabila pembangunan yang tidak terkawal itu akhirnya akan mengakibatkan pencemaran terutama kepada laut dan pantai.

Terdapat beberapa rumah tumpangan dibina betul-betul di tepi pantai, bahkan ada antaranya hingga ke dalam air.  

Hiasan awam juga tidak begitu menarik dan kelihatan dibuat atas dasar asal ada. Sepatutnya pihak yang berkenaan melantik pakar yang bersesuaian apabila ia melibatkan kerja kreatif.

Macam sebuah kilang

Semasa kami datang untuk pertama kali dulu, Pulau Tioman berada dalam kelompok 10 pulau tercantik di dunia. Mengikut CNN Travel baru-baru ini, pulau tersebut kini berada di tangga ke-21.

Apakah faktor yang menjerumuskan Pulau Tioman ke tangga tersebut?

Pulau Tioman mempunyai cita-cita untuk menggamit pelancong untuk tinggal lebih lama di situ, namun jika hanya mengharapkan keindahan laut dan pantai sebagai tarikan, mereka akan kecewa.

Keselesaan di darat adalah faktor utama yang akan menarik pelancong untuk berlama-lama di sesuatu tempat. Pulau Tioman mempunyai potensi untuk menarik kumpulan nomad digital untuk menjadikan hab mereka.

Namun sudah pasti sesuatu harus dilakukan bagi menarik kumpulan tersebut.

Pulau Tioman juga kekurangan budaya. Ia adalah sebuah pulau yang keras. Walaupun semasa di dalam feri di tengah laut kamu seakan-akan dilambai lembut oleh pohon kelapa di gigi air, tidak ada apa-apa aktiviti kesenian menanti.  

Semua tenaga dikerahkan untuk menjana pendapatan melalui aktiviti laut, pantai dan rumah tumpangan. Jadilah Pulau Tioman seakan-akan sebuah kilang dengan penduduknya menjadi pekerja, laut dan pantai sebagai produk dan pelancong menjadi pembeli.

Semua mereka keras bekerja untuk memperkukuh ekonomi, dan itulah saja matlamatnya. Barangkali sebarang kegiatan berbudaya tetapi tidak mendatangkan hasil kewangan perlu segera diketepikan.

Gambar hiasan

Dan kejayaan dalam ekonomi juga sedikit sebanyak menyumbangkan kepada hilangnya kemesraan dalam kalangan penduduk tempatan. Apatah lagi kepada pelancong tempatan ini.

Namun mungkin ia boleh dimaafkan kerana kita sedar, orang tempat ini cuma membawa wang yang sedikit jika dibandingkan dengan pelancong asing.

Kami mengalami sendiri ‘kemesraan’ tersebut, manakala ada sahabat yang dihalau oleh penduduk setempat kerana dia tersilap memasuki kawasan.

Pulau Tioman harus faham bahawa statistik mengatakan majoriti pelancong yang datang ke situ adalah dari Singapura. Rakyat republik itu ke sana hanya kerana pulau tersebut adalah yang paling hampir dengan negara mereka.

Tidak ada kekuatan selain dari faktor jarak yang membuatkan mereka melazimi laut Pulau Tioman.

Sebut fasal Singapura, kenalan yang kami cari itu rupa-rupanya baru saja berhijrah ke negara berkenaan setelah dia berpuluh tahun tinggal di Pulau Tioman.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan pelancong.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.