Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KOLUM | Bersedia untuk masa depan

Mukadimah pulasan berjudul “Kerajinan berfikir yang hilang” oleh Al-Abror Mohd Yusuf menjentik fikiran saya.

“Mungkin kalau sejak 10 hingga 15 tahun lalu Kementerian Pendidikan Malaysia memperkasa aspek kefahaman dalam subjek Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, geger yang berlaku akhir-akhir ini tidak seteruk sekarang.”

Kuncinya, persediaan awal untuk kita mendepani zaman akan datang. Mungkin sukar kita terelak daripada malapetaka yang melanda, tetapi kita mampu mengurangkan impaknya.

Bayangkan jikalau anak murid kita diasuh untuk membezakan antara “fakta yang objektif” dengan “pandangan yang subjektif”, sudah tentu mereka tidak termakan sebulat-bulatnya dengan propaganda murahan atau label yang dilontarkan pada hari ini.

Kedatangan media sosial

Petik contoh media sosial, kita sebenarnya tidak bersedia untuk kedatangannya. Tidak dinafikan bahawa gelombang pertama media sosial yang mengombak sekitar tahun 2010 menjadi ejen pendemokrasian yang penting, terutamanya untuk negara yang masih disekat ruang kebebasannya.

Apa tidaknya, hampir semua media tradisional seperti surat khabar, televisyen dan radio dimiliki kroni parti pemerintah, malah dikawal ketat oleh kerajaan dengan akta drakonian.

Lantas, kemunculan media sosial bukan sahaja menembusi monopoli maklumat, tetapi juga mengubah aliran maklumat dari sehala kepada dua hala.

Kita yang teruja dengan slogan “suara rakyat, suara keramat”, sudah tentu mengalu-alukan gelombang ini pada ketika itu. Tanpa disedari, bahaya sedang menimpa kita apabila semua orang diberi hak untuk menerima, menghasilkan dan menyebarkan maklumat.

Bayangkan, jikalau dahulu seorang pengamal media perlu mengaji selama tiga tahun di Fakulti Komunikasi sebelum menguasai kemahiran untuk menyemak kesahihan fakta, di samping menghadam pelbagai teori dan etika kewartawanan; kini, budak sekolah rendah dan warga emas yang langsung tidak tahu-menahu tentang media, boleh memuat naik status di Facebook, gambar di Instagram, mahupun video di TikTok.

Adakah mereka selidik sejauh mana kredibiliti sumber maklumat itu? Mampukah mereka mengesan jikalau video atau gambar yang ditularkan itu telah disunting atau dipalsukan?

Apakah mereka sedar akan tanggungjawab dirinya, dan kesannya kepada masyarakat apabila meninggalkan komen di ruang awam, atau menularkan mesej yang dikongsi kepadanya?

Kita tahu jawapannya. Padahal fenomena inilah yang menjurus kepada kecelaruan di alam maya pada hari ini. Keadaan menjadi semakin tenat dan parah apabila kita disuapkan informasi berdasarkan perhitungan algoritma – suara yang sama melantun-lantun dalam dunia kita, menebalkan prejudis diri kita, di samping menyempitkan persepektif kita. Akhirnya kita mendapat sebuah masyarakat polarisasi yang saling bertentangan, malah bermusuhan.

Pendidikan sivik untuk pengundi18?

Perkembangan mutakhir ini menyaksikan bagaimana Malaysia berdepan dengan dilema apabila usia kelayakan sebagai pengundi diturunkan kepada 18 tahun. Sememangnya kebanyakan negara di serata dunia memperuntukkan hak mengundi kepada belia berusia 18 tahun, memandangkan seseorang itu sudah cukup dewasa dari sisi perundangan untuk bertanggungjawab ke atas tingkah laku dirinya.

“Dilema” bukan kerana kecenderungan pengundi muda antara usia 18 hingga 20 tahun untuk mengundi Perikatan Nasional, tetapi sejauh manakah mereka celik mengenai politik sebelum memangkah pada kertas undi. “Celik” boleh diukur dari segi pengetahuan dan kesedaran politik, juga kemampuan mengenalpasti kesahihan maklumat dan kebolehan menilai kewajaran di sebalik setiap dasar ketika membuat keputusan.

Lantas timbul gesaan bahawa pendidikan sivik harus dilaksanakan di sekolah, agar golongan pengundi muda membuat keputusan berdasarkan pengetahuan, bukan dipengaruhi video TikTok yang panjangnya 15 saat. Untuk rekod, pendidikan sivik diperkenalkan pada Jun 2019, ketika Dr Maszlee Malik menerajui Kementerian Pendidikan.

Sekali lagi, sejauh manakah kita bersedia untuk satu mata pelajaran yang menuntut kebijaksanaan gurunya untuk berinteraksi dengan pelajar?

Saya sempat menyelak pengalaman yang dibukukan seorang guru yang mengajar pendidikan sivik di Taiwan. Dia cuba membawa pendekatan interaksi dua hala ketika mengajar. Untuk menjadikan pengajarannya lebih menarik, dia memetik isu yang berlaku dalam realiti hidup harian sebagai tajuk perbincangan.

Misalnya, kontroversi yang tercetus lebih sedekad lalu apabila pekerja asing di Taiwan berkumpul di Stesen Taipei (umpama KL Sentral di Malaysia) untuk meraikan hari raya.

Pihak pengurusan Stesen Taipei cuba mengasingkan mereka dengan memasang garisan merah, lalu langkah ini dibidas kerana berbaur diskriminasi terhadap buruh asing.

Pelajar-pelajarnya digalakkan untuk mengetengahkan pandangan masing-masing. Ada yang bertegas bahawa pekerja asing harus diberi ruang untuk berkumpul, pada masa yang sama ada yang mencadangkan mereka berkumpul di tempat yang tidak mengganggu perjalanan pengguna pengangkutan awam di situ.

Di sini pentingnya peranan guru, untuk membimbing perbincangan dan merungkaikan keraguan yang tersemai dalam hati pelajar. Jikalau pengajaran berlaku secara “sehala”, guru sekadar menerapkan apa yang terkandung dalam modul kepada pelajar, ia mungkin berakhir dengan jawapan yang memenuhi “political correct”, tanpa mengikis prejudis dalam jiwa pelajar itu. Mereka memberi jawapan yang mampu untuk skor A.

Namun, dengan keizinan untuk muridnya membangkitkan kerisauan yang terpendam, misalnya “perhimpunan pekerja asing secara beramai-ramai boleh mencemar imej sesebuah kota”, guru tersebut boleh memahami bagaimana anak muridnya berfikir, dan kemudian membimbing mereka dengan menawarkan perspektif yang berbeza.

Contohnya, bagaimana kita boleh menuduh mereka menodai imej kota, sedangkan mereka datang untuk melakukan kerja yang kotor dan bahaya untuk kita?

Bayangkan, andainya guru yang mengajar pendidikan sivik ini sekadar mencari jawapan dari media sosial, ada risikonya dia cenderung untuk jawapan mudah, sungguhpun kasar.

Misalnya, dia mungkin menyanggah, pekerja asing ini jikalau diberi hak, akan satu hari nanti mereka dapat betis minta paha. Jangan lupa kita pernah ada isu pelarian Rohingya, dan saya masih ingat bagaimana netizen kita berkata, “Jikalau kamu bersimpati terhadap mereka, bawalah balik ke rumah kamu dan tanggunglah kos sara hidup mereka”.

Persediaan itu penting

Maksudnya, jikalau kita mahu memupuk satu generasi baru dengan kesedaran sivik yang tinggi, kita perlu tenaga guru yang cekap untuk menggalas misi ini. Namun untuk beberapa tahun kebelakangan, isu pendidikan seolah-olah disempitkan dengan pertikaian pengiktirafan UEC, aliran pendidikan yang pelbagai, tanpa kita memberi tumpuan untuk mendalami aspek-aspek lain, yang tidak kurang pentingnya.

Lantas kita menggelabah pada hari ini kerana ketidaksediaan kita dahulu. Pempengaruh yang membuat lawak ke atas OKU, menabur wang kertas di jalan raya semata-mata untuk menghasilkan content yang mampu mengumpul view dan like dan sebagainya. Itupun belum generasi yang percaya jikalau PN menang pilihan raya negeri hari ini, maka perdana menteri akan berundur pada hari esok.

Banyak lagi perkara yang kita mengambil mudah, dan tidak membuat persediaan. Seketika dahulu sebaris stesen tol menawarkan belasan hingga puluhan peluang pekerjaan.

Dengan kehadiran Touch n Go, puluhan pekerja ini hilang kerja. Dan kita boleh membayangkan, andainya satu hari akan datang, penghantaran makanan dan barangan boleh diselesaikan tanpa tenaga manusia, bagaimana dengan anak muda kita yang bekerja sebagai penghantar dan pemandu?

Tidakkah kita seram membayangkan kesemua ini? Namun apakah persediaan kita untuk berdepan dengan situasi ini? Atau kita lebih ghairah untuk berpolitik setiap hari, sambil kita berpantun roh roh roh, neh neh neh?


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.