Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KOLUM | Madani lawan takfiri

Patik berpendapat sudah tiba masanya gejala kafir mengkafir atau budaya takfiri ditangani. Ada dua pihak yang nampaknya mempunyai wewenang besar untuk menghentikan fenomena kafir mengkafir yang sudah berterusan selama beberapa dekad ini.

Mula-mulanya patik ingin menyinggung peranan pihak kedua yang berupaya menghentikan gejala ini ke noktahnya. Siapakah pihak kedua itu? Mohon dianjurkan pembacaan rencana patik yang tidak seberapa ini.

Patik membaca banyak tulisan dan kajian sarjana mengenai gejala yang berlanjutan ini dan berasa teramat geruh dan bimbang. Izinkan patik memetik karangan Dr Munif Zarirruddin Fikri Nordin yang pernah menulis sebuah artikel pada tahun 2001 dengan tajuk ‘Kafir Dalam Wacana Bahasa: Politik Islam di Malaysia’; dan sumbangan Profesor Dr Mohamad Abu Bakar berjudul ‘Konservatisme dan Konflik: Isu kafir mengkafir Dalam Politik Kepartian 1955-2000’.

Nyata sekali isu kafir atau biasa disebut 'kafir mengkafir' dalam wacana politik ini telah pun wujud sejak Malaysia menempuh pilihan raya 1955 dan ia merebak menjadi isu sentral dalam tahun-tahun awal 60-an dan awal 80-an.

Sebelum itu wacana atau penuduhan kafir ini hanya ditujukan kepada penjajah, bukannya sesama bangsa Melayu atau umat Islam sendiri.

Menurut Munif dan Muhammad, tidak syak lagi ketegangan kafir sana kafir sini ini terhasil akibat daripada percanggahan sengit Umno dan PAS dalam meraih sokongan orang Melayu.

Mereka antara lain menyebut yang pada 1961, Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Mutalib al-Mandili memuatkan pandangan bobrok terhadap prinsip-prinsip politik yang diamalkan Umno di dalam buku Beberapa Mutiara Yang Bagus Lagi Indah. Syeikh Abdul Qadir al-Mandili ini berada di Mekah dan dalam banyak tulisan akademik ada merujuk beliau sebagai wakil PAS di sana.

Kerajaan Perikatan tatkala itu setahu patik telah mengambil tindakan tegas mengharamkan karya Syeikh Abdul Qadir yang bertajuk Íslam: Ugama dan Kedaulatan.

Mujur hal ini nampaknya masih terkawal ketika itu. Akan tetapi ia menjadi sangat dahsyat pada awal tahun 80-an dan tidak mahu padam. Dahsyatnya kebakaran yang menyala itu tampaknya pada hemat patik tidak lagi reda.

Tiada usaha untuk padam

Seingat patik, menurut Dr Munif, kebakaran ini disumbukan oleh penggunaan 'kafir' dalam ucapan Haji Abdul Hadi Awang. Ia dikenali sebagai 'Amanat Haji Hadi' yang memecahkan Melayu kepada kelompok Umno atau PAS.

Kandungan Amanat Haji Hadi ini disebutkan pada 7 April 1983 di Banggol Peradong, Kuala Terengganu. Antara lain disentuh penentangan PAS terhadap Umno adalah kerana prinsip Umno yang mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan peraturan kafir dan mengekalkan undang-undang jahiliyyah.

Patik bukanlah seorang Sasterawan Negara, tidak bermimpi pun apa-apa; hanyalah novelis biasa-biasa sahaja dan patik melihatkan selama beberapa dekad lamanya gejala ini kian menghantui rakyat Malaysia khusus yang beragama Islam.

Patik masih mengingat, pernah Haji Hadi diasak berkenaan amanat beliau ini, dalam Mingguan Malaysia, 27 Mei 2001, beliau mempertahankan tindakannya dengan menegaskan beliau bukannya mengkafir orang tertentu, tetapi kepada parti Umno sambil mengakui mengkafir seseorang dengan sewenang-wenangnya memang merupakan satu kesalahan di sisi agama dan undang-undang.

Dalam erti kata lain, tiada usaha mengangkat atau memadam punca masalah ini. Padahal bukan tiada pemimpin PAS yang menyedari hakikat kecelakaan untuk umat ini. Misalnya ia pernah dinyatakan oleh anakanda tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat beberapa tahun lalu.

Patik juga ingin menyentuh makalah Wan Rohila Ganti Wan Abdul Ghapar dan Che Hamdan Che Mohd Razali dalam kajian ilmiah mereka ‘Ragam Politik Kepartian Melayu Terengganu: Sejarah Panjang Perseteruan PAS-Umno’ yang menyatakan betapa malangnya budaya takfiri ini amat mewabak di Pantai Timur dan terdapat tanggapan Umno itu mustakbirin (zalim) manakala PAS pula konon sebagai yang ditindas (mustadhafin).

Kedua-duanya dalam makalah ini menyatakan begini, izinkan patik memetik;

“Pesuruhjaya PAS Terengganu, yang juga ulama PAS, Haji Abdul Hadi Awang, yang mengatakan bahawa orang Islam tidak perlu menukar agama untuk menjadi kafir. Mereka boleh menjadi kafir hanya dengan beriktikad bahawa Islam dan politik adalah terpisah.

“Haji Abdul Hadi tidak pernah menyatakan ucapan beliau di Banggol Peradong pada tahun 1981 sebagai satu amanat yang wajib ditaati oleh penyokong PAS dan ianya bukanlah pendirian rasmi PAS, namun mengambil kira kedudukan Haji Abdul Hadi dalam PAS dan pengiktirafan terhadap ilmunya, ucapan itu telah dianggap sebagai lampu hijau untuk menggelarkan 'kafir' kepada pengikut dan pemimpin Umno.

“Pada masa yang sama, tidak ada pemimpin PAS yang menghalang pertuduhan takfir tersebut, seolah-olah memberi persetujuan secara tidak langsung terhadap tuduhan tersebut. Malah ianya disebut secara tidak langsung dalam ceramah-ceramah yang dilakukan dari semasa ke semasa.”

Mereka seterusnya menjelaskan inilah juga puncanya masyarakat terpecah belah sehingga mengakibatkan sembahyang dua Imam, tidak makan sembelihan orang Umno dan menikahkan semula anak-anak perempuan mereka yang dinikahkan oleh kadi Umno.

Terdapat juga dakwaan bahawa jenazah juga disemadikan di tanah perkuburan yang berbeza, selain tidak hadir ke majlis kenduri dan keramaian yang hosnya orang Umno dan zakat dibayar secara terus kepada ahli PAS yang layak kerana khuatir cara wang zakat tersebut diagihkan.

Patik berpendapat gejala inilah menjadi sebab pembinaan masjid dan balaisah sendiri menggunakan dana dari kutipan derma ahli-ahli mereka, dan sejak dua dekad lalu telah naik setingkat lagi dalam bentuk sistem pendidikan atau sekolah swasta persendirian.

Patik melihat corak takfiri ini tampak marak di negeri-negeri Melayu tidak bersekutu (kecuali Johor) dan kian sukar dibendung.

Sebetulnya sudah ada mekanisme untuk membendung dan menghentikan kebakaran ini. Terimalah sembah takzim patik yang tiada seberapa ini. Jika di Kedah, takfiri ini merupakan satu jenayah syariah dan sudah tiba masanya untuk disiasat dan didakwa mana-mana pihak yang berbuat tuduhan kafir ini di bawah Seksyen 24 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988.

Kian menghantui

Patik melihat-lihat dan meninjau-ninjau rupa-rupanya peruntukan undang-undang menyentuh takfiri ini bukan sahaja ada di Kedah, tetapi di hampir semua enakmen jenayah syariah negeri lain ikut memiliki peruntukan serupa.

Di negeri Selangor, pada 24 Julai 2001 Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (Fatwa) Negeri Selangor telah memutuskan bahawa; "Tidak boleh seseorang itu menghukumkan orang lain kafir kerana penentuan itu adalah hak mutlak Allah SWT dan umat Islam dilarang menyatakan demikian".

Manakala di Negeri Sembilan pula dinyatakan begini di dalam Enakmen Jenayah Syariah 1992; ‘Mana-mana orang yang mengatakan atau mengaitkan melalui kata-kata, sama ada bertutur atau lisan, atau melalui isyarat, atau melalui apa-apa perbuatan, kegiatan atau kelakuan, atau dengan mengelola, menggalak atau memperaturkan apa-apa kegiatan, atau selainnya dengan apa jua cara, bahawa mana-mana orang yang menganuti Agama Islam, atau orang-orang yang tergulung dalam mana-mana kumpulan, kelas atau perihalan orang-orang yang menganuti Agama Islam:

(i) adalah orang kafir; atau

(ii) telah berhenti menganuti Agama Islam; atau

(iii) tidak patut diterima, atau tidak dapat diterima, sebagai menganuti Agama Islam; atau

(iv) tidak mempercayai, mengikuti, menganuti atau tergulung dalam Agama Islam,

adalah melakukan satu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan dikenakan penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau kedua-duanya.”

Patik percaya tujuan peruntukan ini digubal adalah untuk menghalang tuduhan takfiri supaya tidak terbakar besar dalam kalangan umat Islam hari ini, khusus bila berlakunya perbezaan pendapat baik dari segi agama atau politik.

Patik bukanlah seorang profesor, malah profesor madya pun belum; bahkan hanyalah sarjana biasa-biasa sahaja dan patik melihatkan selama beberapa dekad lamanya gejala ini kian menghantui rakyat Malaysia khusus yang beragama Islam. Patik berasa bimbang yang teramat sangat melihat perpecahan yang dicetuskan oleh gejala ini.

Sekarang sudah sepertinya madani melawan takfiri. Jika tidak dikekang cepat-cepat, sudahnya berantakan negara kita.

Setilik-tilik patik hanya Melaka sahaja yang mewartakan amanat yang mengkafirkan orang Islam lain itu sebagai sesat. Dalam sejarah, Melaka adalah sebuah negeri selat.

Patik percaya di sebuah masyarakat yang madani dan berperadaban, api atau kebakaran jengkel, jelek dan jijik lagi nista seperti tuduh menuduh dan kafir mengkafir ini hendaklah dipadamkan sampai tidak lagi berbara. Jangan sampai ada asapnya kelihatan malah.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.