KOLUM | Benang basah lencun
"Ahli politik ini," kata mereka, "sudah bankrap dan menggunakan pihak berkuasa untuk menyekat suara rakyat."
Untuk sengaja mengeruhkan lagi keadaan, kami mengatakan bahawa ucapan Sanusi Md Nor semasa sidang akhbar mengenai penangkapan dia tempoh hari juga seakan berbaur hasutan.
Memang selamanya kita mendengar bahawa siapa pun yang menjadi kerajaan, akan ada tuduhan yang mengatakan bahawa mereka menggunakan pihak berkuasa untuk kepentingan sendiri. Dan tuduhan itu tidak pernah dibuktikan oleh sesiapa.
Kita si marhaen ini akan diminta untuk menyokong mereka yang telah melanggar undang-undang hanya berbekalkan sentimen.
Di Malaya ini yang sentiasa benar ialah pembangkang. Siapa pun mereka. Lalu menuduh pihak berkuasa kerjanya hanya mengikut telunjuk pemerintah adalah suatu penghinaan.
Kita merendahkan pihak berkuasa hanya kerana yang kena tangkap adalah 'orang kita'.
Kita terasa dianiaya hanya kerana badut pujaan kita itu dituduh sebagai penghasut, dan kita berfikir begitu tanpa mengira sama ada kita walaun-kah atau walanon-kah.
Politik Malaya diumpamakan negeri akhirat. Hanya ada dua tempat yang tersedia iaitu sorga atau punya neraka; sama ada kamu sokong kerajaan atau sokong pembangkang.
Patut tahu masa berhenti
Kamu dilarang lagi terkutuk direjam kalau mengambil posisi duduk di tengah dan menghentam siapa pun yang salah antara mereka.
Kerana itu tidak ada periksa dan pertimbangan atas kesalahan yang dilakukan oleh kedua-dua pihak. Asalkan kamu mengkritik satu pihak, diandaikan jadi pemuja yang satu lagilah kamu itu.
Lalu jadilah kamu umpama lembu yang dicucuk hidungnya - mengikut saja kata tuan tanpa perlu berdiri pada tapak kebenaran.
Politik Malaya itu juga sudah lama melahirkan badut demi badut. Daripada kalangan itu ada yang sudah menjadi menteri dan ada juga yang sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk memiliki jawatan besar.
Namun belum ada badut yang - hanya kerana mahukan kemenangan - sanggup berbuat jenaka keji seperti yang dibuat oleh badut yang ditangkap itu.
Badut-badut sebelum ini tahu bila sepatutnya mereka berhenti walaupun penonton sedang ketawa pecah perut. Yang Sanusi itu mungkin terbawa-bawa oleh populariti yang sedang dikecapi sehingga terlupa akan batasan.
Lalu setelah ditangkap, dia melagukan nyanyi penderitaan sambil meminta belas kasihan. Kamu wira besar dalam partai, apa perlunya berkeluh kesah sekiranya kamu yakin kamu dianiaya?
Yang terlebih besar ialah kamu itu pejuang partai kononnya Islam dan tuhan sudah lama menjanjikan kemenangan kepada siapa pun yang dianiaya. Maka angkat tangan, dan berdoa sajalah.
Dalam perjuangan menegakkan agama, hanya ada dua kemungkinan, iaitu kamu menang atau mati dalam berusaha untuk menang. Belum ada pejuang sejati Islam yang kalah di mata tuhan.
Tidak perlu pada kamu menuduh itu ini pada semua orang, termasuk pihak berkuasa, hanya kerana keterlanjuran yang kamu lakukan.
Berdiri megah atas kesalahan itu kerana kamu sudah memohon ampun kepada pihak istana. Ini adalah jihad dan kejatuhan kamu - buat sementara waktu ini - pun adalah ujian.
Nanti jika ditakdirkan kamu kalah, maka umpada syahidlah kamu di mata para penyokong.
Malah tidak salah jika kami katakan bahawa kamu akan dikenang oleh penyokong kamu untuk seribu tahun mendatang.
Bercakap mengenai badut, jika kamu perhatikan dari partai yang Islami itulah yang melahirkan ramai badut popular. Mengapa agaknya?
Agak kami ialah kerana penyokong mereka memang jenis gemar mentertawakan orang lain sehinggalah datang masa mereka pula yang ditertawakan.
Apabila ini berlaku, mereka akan menjeritkan nama tuhan, bersinsing lengan dan bersedia untuk menegakkan benang yang mereka sendiri basah lencunkan.
ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis, pengembara dan penenun benang.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai