Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KOLUM | Satu demi satu 'kutu' pergi

"Satu, satu kutu mati,” kata seorang sahabat apabila dia mendapat berita mengenai kematian Sheikh Karim dari kumpulan muzik Blues Gang.

Yang selalu mengingatkan kami tentang Blues Gang ialah Lan Sinaganaga. Bukan kerana dia blues sangat pun, tetapi kalau saja kami ada peluang bertemu, dalam setiap perbualan pasti akan terselit hal kumpulan itu.

Misai tebal Sinaganaga juga sedikit membantu kami untuk terkenangkan semua ahli kumpulan Blues Gang yang rata-ratanya bermisai tebal.

Cuma sekarang ini Sinaganaga tidak lagi bermisai, sebaliknya dia menjaga janggutnya dengan rapi. Jadi kami ada syak yang dia sekarang sudah ikut budak-budak tabligh.

Sinaganaga juga mempunyai pengetahuan yang luas perihal muzik yang datang pada zaman remajanya.

Ketika sampai di Studio Anai-Anai iaitu pejabat si Sinaganaga, kami dapati dia sedang menyekolahkan si Rasydan, orang kuat syarikat buku Kata-Pilar yang terkenal itu.

Sinaganaga sedang menerangkan betapa pentingnya Joe Cocker kepada Rasydan.

Joe Cocker menurut Sinaganaga ialah penyanyi yang sangat kurang lagu-lagu original. Namun setiap kali menyanyikan lagu penyanyi popular yang lain, Joe Cocker berjaya menjadikan lagu tersebut lebih sedap didengar.

Sesuatu yang mungkin tidak diketahui ramai ialah, Sheikh Karim merupakan penyanyi asal lagu Ibu oleh kumpulan Blues Gang.

Dia juga banyak menyanyikan lagu terkenal lain daripada Blues Gang.

Lagu Oh Mak Siti misalnya.

Suara Sheikh Karim sentiasa membawa kami kepada kenangan tahun-tahun 1980-an. Setiap kali terdengar lagu Blues Gang yang dinyanyikan oleh dia, kami sentiasa terkenang zaman kami menjual burger bersama kawan-kawan yang entah di mana mereka sekarang ini.

Muzik orang lelaki

Kami paling suka apabila Sheikh Karim sedikit meneran semasa menyebut patah-patah perkataan tertentu. Di situ terserlah benar ke-blues-an dia.

Kecuali Julian Mokhtar, semua ahli kumpulan Blues Gang adalah penyanyi termasuk mendiang Jim Madasamy. Ito menjadi lebih popular setelah meletupnya lagu Apo Nak Dikato.

Jadi untuk mengatakan Sheikh Karim hanya pemain drum untuk kumpulan itu tentu saja tidak tepat. Lagu Apo Nak Dikato juga membawa kumpulan Blues Gang ke arus perdana.

Sebelum itu walaupun lagu Ibu terlebih dahulu mendapat tempat, kumpulan berkenaan masih cuma digilai anak muda yang mahukan sedikit kelainan dalam muzik.

Lama sebelum itu, mereka sudah merakam sebuah album berbahasa Inggeris yang diberi judul Anytime Anyday.

Jika kamu belum pernah mendengar lagu-lagu dari album itu sayugia kami sarankan kamu melakukannya sekarang. Kami amat meminati lagu Parasite People dari album berkenaan.

Blues Gang adalah kumpulan muzik orang lelaki. Maksudnya kumpulan ini mewakili suara jantan dan diminati oleh jantan. Jangan percaya jika ada perempuan genit yang mengaku sebagai peminat kumpulan tersebut.

Lagu cinta mendayu Blues Gang, Kau Telah Pergi, tidak mungkin diingati oleh mana-mana perempuan yang kita semua tahu mudah rapuh dengan hanya mendengar keluh-kesah cinta walau hanya dalam lagu.

 Seperti kebanyakan lelaki, lagu-lagu Blues Gang adalah santai, tidak tergopoh-gapah dan melayan masa mengikut waktunya. Lagu Jumpo Kawan Lamo misalnya.

Sedikit tak berganjak

Dalam berseloroh mereka menceritakan hal-hak berkaitan kehidupan seharian. Yang satu kawan sudah menjadi anggota polis manakala yang seorang lagi menjadi penyanyi popular.

Pada masa yang sama mereka bercerita mengenai masalah yang sedang mereka hadapi.

Sedikit selingan: Dulu jika menyanyikan lagu Ceritaku, kawan-kawan di tembok akan menukar lirik "bersamaku hanya gitar dan harmonika dan sedikit wang untuk belanja" menjadi "bersamaku hanya gitar dan harmonika dan sedikit wang untuk beli ganja."

Pada waktu itu lagu tersebut juga seakan anthem untuk anak muda yang berhijrah ke kota.

Lagu Jumpo Kawan Lamo berkisah mengenai si anggota polis yang mengadu gajinya tidak naik-naik, manakala si penyanyi pula menceritakan bagaimana hasil titik peluhnya dicuri orang.

Namun semuanya dilagukan dalam irama yang sangat rileks sehingga kamu lupa bahawa apa yang mereka perkatakan pada waktu itu adalah sama seperti apa yang kamu lalui hari ini.

Kamu tidak akan jumpa berita gosip mahupun siapa kahwin siapa mengenai kumpulan Blues Gang.

Hatta kamu tidak akan pernah melihat gambar mereka mandi di kolam renang dengan berseluar dalam yang menjadi kemestian artis popular sebagai hiasan majalah atau akhbar mingguan pada masa itu.

Blues Gang akan sentiasa dilihat dengan seluar jeans biru dan kadangkala disesuaikan dengan jaket denim. Penampilan mereka sentiasa mewakili golongan kutu.

Dan mereka tidak berganjak sedikit pun untuk menarik peminat selain dengan gaya itu.

Apa yang kamu lihat adalah apa yang kamu dapat - itu prinsip mereka dan mereka melakukannya dengan bergaya.

Blues Gang adalah cool.

Yang selalu kita dengar adalah betapa mereka sering dilanda kontroversi melawan ketidakadilan atas pencabulan hak sebagai ahli muzik. Sehingga hari ini pun, hal yang sama masih diperkatakan oleh Ito.

Lagu Sakit, Sakit, Sakit dan Jumpo Kawan Lamo, Bukan Senang Jadi Senang  serta beberapa lagu lain juga menyelitkan kegelisahan tentang hak mereka yang dirompak.

Kumpulan itu mewakili suatu zaman yang lebih tenang.

Mendengar kembali lagu-lagu mereka membuatkan kita bertanya: di mana silapnya kita ini sehingga walau silih berganti ketua kerajaan, negara kita masih lagi gagal dalam banyak hal?

Al-Fatihah dan selamat jalan kepada Sheikh Karim. Terima kasih atas kenangan yang berterusan dan semoga dia beroleh kesejahteraan yang abadi.

Satu per satu, kutu mati.


ABDULLAHJONES ialah pelukis dan penulis yang meminati irama blues sebelum beralih ke irama dangdut.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.