Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KOLUM | Nak naik haji

KOLUM | “Dia takut naik kapal terbang....”

Kami lupa siapa yang mengucapkan kata-kata itu.

Ayah Busu ialah adik bongsu kepada Mok dan dalam kalangan adik-beradik Mok, cuma dia yang tidak pergi haji. Mungkin kerana dia meninggal pada usia yang agak muda, sekitar 40-an.

Dia juga tak mahu ke Mekah kerana dia dikatakan enggan menaiki kapal terbang. Perkhimatan kapal laut untuk menunaikan haji bagi jemaah negara ini ditamatan sekitar 1976.

Ayah Busu meninggal dunia pada awal 1980-an.

Kami sendiri juga seorang yang penakut apabila perlu menaiki kapal terbang. Macam-macam yang terbayang dalam kepala apabila duduk di perut kapal terbang.

Paling utama gamaknya ialah kerana takut mati. Maklumlah, amalan yang kami ada sedikit cuma sedang dosa ditambah setiap hari tanpa ada tapisnya.

Kita semua bertuah apabila Ungku Aziz bersungguh-sungguh memikirkan bagaimana cara untuk orang Islam dapat melaksanakan tuntutan agama yang satu itu.

Buat rayuan akan diterima

Hasil buah fikiran Ungku Aziz, generasi awal kita mempunyai cara yang mudah untuk menunaikan haji. Tidak ada lagi kisah bakal jemaah haji yang terpaksa menjual tanah dan sawah ladang hanya kerana mahu menambah amal ibadat.

Kejayaan Lembaga Tabung Haji menguruskan jemaah adalah sesuatu yang perlu kita dibanggakan. Hampir semua mereka yang pernah mengerjakan haji dengan lembaga itu memberikan pujian yang banyak atas kesungguhan kakitangannya melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Kami sendiri teringin merasakan kebudimanan yang ditunjukkan oleh Tabung Haji namun setakat ini belum beroleh rezeki di bahagian itu.

Tahun ini kami dikhabarkan bahawa sesiapa saja yang membuat rayuan untuk ke Tanah Suci, ia akan diterima. Mungkin kerana kekangan kewangan maka ramai antara mereka yang ditawarkan untuk menunaikan haji pada tahun ini terpaksa menolak.

Apa yang sedikit dimusykilkan ialah, jika kamu membuat surat rayuan dan kamu dari kumpulan B40, secara automatik kamu akan dikenakan bayaran yang dikhaskan kepada golongan T20 iaitu sebanyak RM30,000 setiap seorang.

Jika ini benar, di mana keadilan yang diharapkan di sini?

Gambar hiasan

Yang mula-mula mengerjakan haji dalam kalangan adik-beradik Mok ialah Ayah Mat dan De Abbas. Mereka pergi naik kapal terbang. Semasa mereka di Tanah Suci, Tok - yakni ibu mereka - meninggal dunia.

Mungkin kerana batasan perhubungan ketika itu maka keluarga kami tidak memberitahu Ayah Mat dan De Abbas akan berita sedih itu.

Rancangannya, mereka hanya akan diberitahu apabila tiba di rumah nanti.

Namun semasa Ayah Mat dengan De Abbas mendarat di lapangan Terbang Subang, salah seorang rakan mereka yang menyambut telah menyampaikan berita sedih tersebut.

Ahli keluarga yang menanti di Kuantan tidak tahu akan hal itu.

Macam institusi berniaga saja

Dari Subang mereka menaiki helikopter untuk ke Lapangan Terbang Kuantan. Kami semua telah bersedia untuk meraikan kepulangan berkenaan sebelum memberitahu akan berita sedih tersebut.

Namun, sebaik saja keluar dari helikopter, kami lihat Ayah Mat dan De Abbas menangis serta memeluk adik-beradik mereka yang lain. Lalu tahulah kami yang mereka sudah maklum mengenai perihal yang kami pendamkan untuk sementara itu.

Dari lapangan terbang kami terus ke kubur Tok di Hutan Setali. Di Kuantan pada waktu itu hanya ada dua tanah perkuburan. Satu di Bukit Ubi dan satu lagi di Hutan Setali.

Hampir semua ahli keluarga kami dikebumikan di Hutan Setali.

Walaupun sudah diberitahu bahawa kami tidak perlu ke Subang untuk menyambut mereka, kami tidak tahu bagaimana Ayah Mat dan De Abbas daapat menaiki helikopter dari Subang, bukannya dengan kereta.

Lama selepas itu cerita yang kami dengar ialah mungkin Ayah Mat dengan De Abbas menumpang helikopter dinaiki Menteri Besar Pahang yang dikatakan turut mengerjakan haji pada musim yang sama.

De Abbas orang kuat kerajaan pada masa itu, justeru ada sedikit kebenaran dalam kemungkinan tersebut.

Tabung Haji ditubuhkan dengan mandat yang suci. Bagaimana mandat tersebut diubah menjadi Tabung Haji sekarang sehingga ia menjadi seolah-olah organisasi yang hanya berteraskan perniagaan, tidaklah diketahui.

Gambar hiasan

Mungkin kerana ia kini diterajui oleh ahli lembaga yang terdiri daripada ahli korporat maka fokus utama mereka adalah keuntungan.

Tidak adalah lagi kisah si melarat yang mengumpul wang bertahun-tahun hanya kerana mahu mengerjakan haji. Yang tinggal cuma kisah bagaimana dan dari mana kamu beroleh wang untuk ke Mekah.

Mungkin kisah orang menjual harta benda untuk ke Tanah Suci seperti yang dirisaukan oleh Ungku Aziz dulu itu akan berulang kembali.

Kita semua juga bersalah apabila menjadikan Tabung Haji sebagai senjata politik. Kita mengira keuntungan yang diperolehi setiap tahun sebagai penanda aras berjaya atau gagalnya kerajaan.

Apabila dividen tahunan yang diterima sedikit, maka kita pun menyalahkan orang itu dan orang ini. Kita jadikan badan yang sepatutnya membantu kita beramal ibadah sebagai objek belasahan demi kepentingan politik.

Kami pernah ke Mekah pada zaman sebelum ada jam besar itu. Kami suka suasana waktu itu jika dibandingkan dengan sekarang.

Kini Mekah sudah sama seperti bandar-bandar besar yang lain, terutama di kawasan sekeliling Masjidil Haram.

Yang membezakannya ialah iman kamu - sama ada mahu hanyut dalam nikmat beribadah, atau lebih ghairah dan asyik membeli-belah.


ABDULLAHJONES ialah penulis dan pelukis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.