KOLUM | Cikgu Bock: Pendidik Cina yang menjual cakoi
Ramai anak murid yang berasal dari aliran pendidikan bahasa Cina pernah mendengar orang tua ini bercerita. Ya, mendiang Bock Tai Hee, 79, seorang pejuang pendidikan Cina yang tegar, malah pernah ditahan selama 60 hari di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1975 tetapi atas tuduhan yang tidak pernah dibuktikan, sebagaimana tahanan ISA yang lain.
Bekas pengarah eksekutif Dong Zong (tahun 1981-2006) ini sempat meninggalkan wasiat bertulis, “Terima kasih kepada setiap insan yang baik”, sebelum menghembuskan nafas terakhir pada tengah hari Jumaat lalu. Sesungguhnya, pemergian Cikgu Bock menambah kepiluan kepada gerakan pendidikan bahasa Cina selepas mereka kehilangan seorang veteran, Goh Kean Seng pada bulan lalu.
Latar belakang Cikgu Bock sedemikian mungkin mengerutkan kening sesetengah pembaca Melayu. Dong Zong, bekas tahanan ISA, pendidikan aliran bahasa Cina…barangkali mencungkil label-label seperti cauvinis Cina, komunis, ektremis dalam minda. Persoalannya, jikalau itu perwatakan Cikgu Bock, bagaimana kisah yang diceritakan mendiang mampu menyentuh hati generasi muda masyarakat Cina pada abad ke-21?
Ujian menangkap cacing
Biar saya berterus-terang, perjuangan dengan retorik “bangsa” yang keras sudah menjadi agak basi untuk dihadam generasi anak muda pada zaman sekarang. Malah generasi seperti saya, yang tidak lagi muda, pernah diasak dengan persoalan bagaimana seseorang itu boleh dipertanggungjawabkan atas satu pilihan yang tidak dibuat olehnya secara bebas? Dengan kata lain, saya gagal diyakinkan dengan logik “orang Cina wajib menyokong pendidikan bahasa Cina” kerana saya tidak diberikan kebebasan untuk memilih sama ada saya dilahirkan sebagai Cina atau bukan Cina di bumi ini.
Fahaman sedemikian sepatutnya mengasingkan diri saya daripada perjuangan pendidikan bahasa Cina, dan mustahil kisah perjuangan mendiang Bock menarik minat saya.
Namun apa yang berlaku di sebaliknya. Kisah yang diceritakan mendiang Bock tetap memahat dalam ingatan saya, sungguhpun 20 tahun dikunyah zaman. Pendidikan yang dipromosikan Bock bukan sekadar berlegar-legar pada bahasa Cina, tetapi pembinaan keyakinan, nilai belas kasihan, integriti dan sebagainya dalam kalangan pelajar.
Antara kisah yang saya masih ingat, mendiang Bock memohon untuk mengambil alih satu kelas tercorot yang kebanyakan pelajarnya tercicir. Mereka berasal dari keluarga golongan terpinggir pada zaman sekitar tahun 1970-an, dan dibiar dalam keadaan terbiar sebelum ini.
Sebagai guru kelas merangkap guru sains, Cikgu Bock cuba menyesuaikan silibus berdasarkan kemampuan pelajar, malah mengubah suai kaedah ujian, agar pelajar tidak masuk gelanggang peperiksaan hanya untuk dinafikan kemampuan mereka. Cikgu Bock cukup sedar, jikalau dinilai dengan piawaian normal, sudah tentu budak-budak ini akan gagal dalam peperiksaan.
Maka Cikgu Bock mengubah suai soalan, andainya pelajar berjaya membawa balik benda hidup dari pekarangan sekolah, maka dia akan diberikan markah lulus. Lantas anak muridnya mencari cacing, serangga dan sebagainya untuk dibawa balik ke bilik darjah, dan perhatikan sifat dan tabiat organisma tersebut untuk hari-hari seterusnya, sambil dijadikan bahan pengajaran oleh guru sains.
Kesudahannya, satu kelas lulus tanpa sesiapa digagalkan!
Kisah ini menjentik hati saya kerana saya pernah berkhidmat sebagai guru sementara ketika menunggu keputusan STPM. Saya guru yang tegas pada usia 20 tahun, cuba sedaya-upaya untuk menyediakan soalan peperiksaan yang mencabar, dengan andaian semakin sukar soalan peperiksaan, maka semakin tinggi tahap kualitinya.
Semakin dewasa kemudian, saya sedar bahawa andaian tersebut adalah satu kesilapan. Pembinaan keyakinan dalam diri pelajar juga tidak kurang pentingnya. Realitinya, tidak semua pelajar berbakat dalam bidang akademik. Mereka lali setelah digagalkan berkali-kali. Bukan sahaja mereka hilang perasaan, tetapi mereka juga hilang minat, hilang keyakinan dan paling dahsyat, hilang semangat dalam hidup.
Bayangkan, andainya Cikgu Bock menjalankan tugas rutinnya seperti biasa, peperiksaan tersebut tidak lebih sebagai satu lagi kegagalan untuk pelajar tersebut. Namun, pengubahsuaian kaedah peperiksaan ketika itu boleh jadi peristiwa yang dikenang pelajar sebagai kali pertama lulus dalam peperiksaan. Ia saat yang sukar dipadamkan dari ingatan. Siapa tahu jikalau ia menjadi titik perubahan dalam hayat salah seorang pelajar itu?
Jual cakoi selepas dibebaskan
Penahanan di bawah ISA menghalang Bock daripada menyambung kerjayanya sebagai guru setelah berkhidmat untuk lapan tahun. Bock dikenakan sekatan pergerakan selepas dibebaskan dan tidak dibenarkan untuk kembali mengajar. Maka graduan fakulti kimia ini terpaksa mencari rezeki dengan menjual cakoi di tepi jalan.
Menurut Bock, bekas pelajarnya cuba mengelak bertembung dengannya, barangkali tidak mahu Bock berasa kekok sebagai penjual cakoi di depan mereka. Namun, Bock tidak berasa segan atau malu sama sekali, malah Bock dengan yakin dan bangga menghulurkan cakoi air tangannya kepada pelajar itu, “Ini cakoi yang cikgu sediakan berdasarkan teori kimia. Kamu mesti cuba!”
Demikianlah mendiang Bock. Darjat dan maruah seseorang tidak diukur mengikut pekerjaan atau status sosialnya, tetapi sejauh mana seseorang itu ghairah terhadap kerjanya, juga rasa tanggungjawab ke atas kepakarannya.
Mendiang Bock pernah menerajui Sekolah Menengah Persendirian Chung Hwa di Kelantan pada tahun 2008, sementara lembaga pengelola sekolah itu berhempas-pulas mencari calon pengetua baru. Menurut guru yang menjadi rakan sekerjanya ketika itu, sudah menjadi satu kebiasaan untuk Bock mengutip sampah dalam pekarangan sekolah. Malah, pada hujung minggu, Bock akan mengetuai anak murid sekolahnya untuk mengutip sampah di luar pekarangan sekolah pula. Inilah pendidikan melalui teladan, memperlihatkan bagaimana seorang insan mempengaruhi insan lain dengan perwatakannya yang bersinar.
Ketika menyandang jawatan CEO Dong Zong, Bock akan bertukar menjadi “tukang kebun” dalam pekarangan bangunan Dong Zong selepas waktu pejabat. Memang itu minat mendiang - menanam pokok bunga dan menghiasi ruangan yang ada. Malah Bock lebih selesa untuk menggelar dirinya sebagai “tukang kebun pendidikan bahasa Cina” dan bersedia untuk berkhidmat selama-lamanya tanpa mengharapkan ganjaran.
Selagi batu ada, api tidak terpadam
Ketepikan perbezaan kita dalam bahasa, bukankah perwatakan mendiang Bock sebagai pendidik cukup menyentuh hati? Pendidikan untuk membina keyakinan, membentuk jati diri, mengasuh anak agar tidak rendah diri kerana pekerjaannya, menginsafkan insan bahawa maruah terbina atas amanah dan sikap profesional ketika menyempurnakan tugas, membimbing generasi muda untuk mengerti tanggungjawabnya terhadap alam sekitar.
Nilai dan pegangan sedemikian menjalinkan kita antara satu sama lain, sungguhpun disampaikan dengan bahasa yang berbeza. Tidak semua pandangan mendiang Bock saya setuju, maklumlah kita hidup pada zaman yang amat lebar jurangnya. Tetapi tidak sesekali saya menafikan komitmen dan semangat mendiang untuk menjadikan tanah air ini lebih baik melalui pendidikan.
Seperkara lagi, Bock seorang yang suka mengumpul batu-batan dan menghadiahkan batu-batan kepada kawannya. Mendiang suka pepatah Cina yang berbunyi, selagi batu masih ada, api tidak terpadam. Maklumlah, nenek moyang kita menyalakan api dengan menggesekkan batu pada zaman purba. Makna tersiratnya, harapan tetap ada selagi kita tidak berputus asa.
Alangkah sedihnya, Cikgu Bock telah meninggal dunia, meninggalkan batu-batannya bersama kita. Moga-moga apinya tetap membara, dan tidak terpadam buat selama-lamanya.
LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).
Artikel ini pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai